Kapal angkasa SpaceX Dragon Crew akan melakukan penerbangan ujian ke ISS

SpaceX dan agensi angkasa Amerika Syarikat, National Aeronautics and Space Administration (NASA) akan melakukan penerbangan ujian kapal angkasa kru SpaceX Dragon Crew SpX-DM1 ke stesen angkasa antarabangsa, ISS.

Pelancaran tersebut dijadual dilakukan pada Sabtu, 2 Mac 2019, 15:49 waktu Malaysia (02:49 waktu tempatan) dari pad pelancaran LC-39A, Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat dengan jendela pelancaran yang segera. Sekiranya gagal dilancarkan pada 2 Mac 2019, peluang pelancaran seterusnya adalah pada Selasa, 5 Mac 2019, 14:37 waktu Malaysia (01:38 waktu tempatan). SpaceX akan cuba untuk mendaratkan kembali roket peringkat pertama Falcon 9 yang digunakan ketika pelancaran tersebut di atas kapal tongkang sokongan yang dikenali sebagai “Of Course I Still Love You” (OCISLY) yang berada di Lautan Atlantik [1] [2].

IKLAN
Roket Falcon 9 dan kapal angkasa kru SpX-DM1 dibawa ke pad pelancaran
Kredit: NASA [4]

Liputan siaran langsung pelancaran boleh mula ditonton bermula 15:00, 2 Mac 2019 waktu Malaysia melalui laman berikut:
https://youtu.be/2ZL0tbOZYhE (SpaceX)
https://youtu.be/21X5lGlDOfg (NASA)

Kejayaan penerbangan ujian ini akan mengembalikan keupayaan Amerika Syarikat melancarkan angkasawan ke orbit. Ketika ini, hanya kapal angkasa kru Soyuz oleh Rusia / Roscosmos, dan Shenzhou oleh China / CNSA yang turut dibina berasaskan teknologi Soyuz mempunyai kemampuan membawa angkasawan ke orbit. Kali terakhir angkasawan dilancarkan ke orbit dari bumi Amerika Syarikat adalah pada 8 Julai 2011 dengan menggunakan kapal angkasa Space Shuttle “Atlantis” ketika misi STS-135.

Kedudukan stesen angaksa antarabangsa, ISS, berbanding tapak pelancaran LC-39A, Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat ketika waktu pelancaran.
Simulasi JSatTrak

Kapal angkasa kru SpX-DM1 akan melakukan perjalanan kira-kira 27 jam ke ISS. Setelah tiba di ISS, SpX-DM1 akan melakukan percantuman automatik pada pangkalan cantum PMA-2/IDA-2 pada modul Harmony yang berada di bahagian hadapan ISS. SpX-DM1 akan berada di ISS selama hampir 5 hari sebelum keluar dok dan berpisah dari ISS untuk kembali ke Bumi. SpX-DM1 dijadual berpisah dari ISS pada 8 Mac 2019, 15:31 waktu Malaysia, dan melakukan pembakaran keluar orbit pada 20:50. Kapsul SpX-DM1 dijangka mendarat di Lautan Atlantik pada 21:45 hari yang sama [3].

Berbeza dengan kapal angkasa kargo Dragon V1, kapal angkasa kru Dragon Crew yang juga dikenali sebagai Dragon V2 mempunyai kemampuan melakukan percantuman automatik pada pangkalan cantum di ISS seperti kapal angkasa kru Soyuz atau kapal angkasa kargo Progress. Kapal angkasa lain yang melakukan perjalanan ke ISS seperti Dragon V1, Cygnus, dan H-II Transfer Vehicle (HTV) perlu ditangkap oleh lengan robotik Canadarm2 dan dipasang pada pangkalan cantum di ISS dengan menggunakan lengan robotik. Faktor saiz atau jisim kapal angkasa, dan kelebaran ruang pada pangkalan cantum yang digunakan mempengaruhi faktor keperluan kapal angkasa untuk melakukan percantuman automatik atau dipasang dengan menggunakan lengan robotik pada pangkalan cantum di ISS.

Penerbangan ujian ini tidak akan membawa angkasawan, namun akan membawa kira-kira 180 kg bekalan ke ISS, pensimulasi jisim, dan 1 patung yang diberi nama “Ripley” dan akan dilengkapi dengan pelbagai sensor pada bahagian kepala, leher, dan tulang belakang bagi mengumpul maklumat untuk penerbangan ujian seterusnya SpaceX Dragon Crew SpX-DM2 yang akan membawa 2 angkasawan NASA ke ISS. Penerbangan SpX-DM2 dijangka dilakukan pada Julai 2019.

Setelah beroperasi, kapal angkasa Dragon Crew mempunyai keupayaan maksimum untuk membawa 7 angkasawan ke orbit dan kembali pulang ke Bumi. Kapal angkasa kru Soyuz yang digunakan ketika ini mempunyai kapasiti maksimum untuk membawa 3 orang angkawan ke orbit dan kembali ke Bumi.

Bahagian dalaman kapal angkasa kru SpaceX Dragon Crew
Kredit: NASA

Kredit gambar: SpaceX (Roket Falcon 9 dan kapal angkasa kru Dragon Crew berada di pad pelancaran)

Rujukan:

[0] https://twitter.com/SpaceX/status/1101299837322944513

[1] https://www.spacex.com/sites/spacex/files/crew_demo-1_press_kit.pdf

[2] https://gist.github.com/theinternetftw/52a258992b6729b25b7a843b32f42653

[3] https://www.nasa.gov/multimedia/nasatv/schedule.html

[4] https://www.flickr.com/photos/nasahqphoto/32298706417/in/album-72157676881447277/

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Falcon 9 Menghantar 3 Satelit ke Orbit Rendah Bumi Tepat pada 10:17PM 22 Februari 2018 waktu Malaysia (6:17AM waktu tempatan), roket Falcon 9 Full Thrust dari SpaceX telah berjaya dilancarkan, dan meletakkan 3 satelit di orbit rendah bumi. Satelit ter...
SpaceX Melancarkan Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Angkasa SpaceX telah berjaya melancarkan roket Falcon Heavy dalam penerbangan ujian pada jam 4:45 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia (3:45 PM 6 Februari 2018 waktu tempatan) dari Kompleks Pelancaran 39A di Pus...
Soyuz 2.1a Bersama Progress MS-08 Akan Cuba Dilancarkan Semula Pada 4:13PM 13 Februari 2018 Roket Soyuz 2.1a akan cuba melancarkan kembali kapal angkasa Progress MS-08 pada 4:13PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia . Oleh kerana peluang untuk membuat perjalanan pantas 3 setengah jam telah ter...
SpaceX Bakal Menguji Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Orbit Marikh Siaran Langsung Penerbangan Demonstrasi Roket Falcon Heavy SpaceX bakal menayangkan secara langsung penerbangan demonstrasi roket Falcon Heavy pada 2:30 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia. Penerbang...