Roket Epsilon membawa 7 satelit ke orbit

Agensi angkasa Jepun, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA), telah melancarkan sebuah roket Epsilon dari Uchinoura Space Center, Jepun, pada 18 Januari 2019, 08:50:20 waktu Malaysia (09:50:20 waktu tempatan) [1]. Pelancaran tersebut telah membawa 7 satelit ke orbit rendah Bumi dengan beberapa satelit beroperasi pada orbit segerak Matahari.

Roket Epsilon membawa 7 satelit ke orbit
Kredit: JAXA [10]

Ketika artikel ini ditulis, 9 objek dari pelancaran tersebut telah dikatelogkan dengan ukuran orbit berikut [2]:

IKLAN

2019-003A/43932 – 511 km x 498 km x 97.3º
2019-003B/43933 –  513 km x 490 km x 97.3º
2019-003C/43934 – 511 km x 490 km x 97.3º
2019-003D/43935 – 512 km x 489 km x 97.3º
2019-003E/43936 – 513 km x 481 km x 97.31º
2019-003F/43937 – 512 km x 480 km x 97.3º
2019-003G/43938 – 513 km x 480 km x 97.31º
2019-003H/43939 – 733 km x 211 km x 97.16º
2019-003J/43940 – 511 km x 481 km x 97.3º

Gambaran objek dari pelancaran roket Epsilon tersebut
Simulasi JSatTrak

Muatan utama pelancaran tersebut adalah satelit Rapid Innovative Payload Demonstration Satellite 1 atau RAPIS-1 [9] yang dikendalikan oleh JAXA. Satelit tersebut mempunyai jisim kira-kira 200 kg dan berukuran 102.2 sm x 108.2 sm x 106.6 sm [11]. RAPIS-1 akan beroperasi di orbit segerak Matahari. Satelit RAPIS-1 merupakan satelit demonstrasi teknologi bagi menguji mekanisme pedal bagi membuka 5 panel solar di orbit. Satelit tersebut akan menguji sama ada panel solar tersebut berjaya dibuka dan melihat sama ada panel solar tersebut mampu membekalkan kuasa secara normal selepas dibuka.

Selain itu, RAPIS-1 turut membawa beberapa eksperimen dan demonstrasi teknologi lain:

Institusi Eksperimen dan demonstrasi teknologi
NEC Menguji ketahanan litar bersepadu “field-programmable gate array” (FPGA) kepada persekitaran angkasa
Universiti Keio Demonstrasi laluan turun 2-3 Gbps jalur X di orbit
Japan Space Systems

Demonstrasi sistem kawalan reaksi bahan dorong hijau di orbit

Demonstrasi pemantau zarah angkasa di orbit

Tokyo Institude of Technology Pembangunan pembelajaran mendalam sensor altitud / pengesan bintang
Universiti Chubu Demonstrasi penerima sistem navigasi satelit global kuasa rendah bersaiz kecil di orbit
Animasi pembukaan panel solar RAPIS-1
Kredit: JAXA [11]

Satelit RISESat atau Hodoyoshi-2 turut dibawa ke orbit ketika pelancaran tersebut. Satelit RISESat mempunyai jisim 59.3 kg dan berukuran 50 sm x 50 sm x 50 sm. RISESat beroperasi di orbit segerak Matahari. Satelit RISESat membawa 8 peralatan saintifik dari Sweden, Republik Czech, Hungary, Taiwan, Vietnam, Amerika Syarikat, dan German. Antara perkakasan saintifik utama RISESat ialah “High Precision Telescope” (HPT), “Dual-band Optical Transient Camera” (DOTCam), “Ocean Observation Camera” (OOC), “Three-dimensional Telescope” (TriTel), “Space Radioation micro-Tracker” (Timepix), “micro-Magnetometer” (µMAG), “Very Small Optical TrAnsponder” (VSOTA), dan “Data Packet Decoder” (DPD) [12].

Ilustrasi: Satelit RISESat
Kredit: JAXA [11]

Selain itu, satelit MicroDragon turut dilancarkan ketika penerbangan ini. MicroDragon adalah sebuah satelit pemerhati Bumi yang dibangunkan oleh Vietnam National Satellite Center (VNSC). MicroDragon mempunyai ukuran 50 sm x 50 sm x 50 sm dan mempunyai jisim 50.5 kg. Satelit tersebut direka bagi memantau kualiti air di kawasan pantai, mengesan sumber perikanan, dan memerhati perubahan lautan bagi membantu sektor akuakultur Vietnam [13].

Ilustrasi: Satelit MicroDragon
Kredit: JAXA [11]

Satelit OrigamiSat-1 pula adalah sebuah satelit demonstrasi teknologi bagi menguji pembukaan struktur membran yang telah dilipat di angkasa. Struktur membran tersebut akan membentuk filem sel solar nipis dan antena SMA nipis setelah dibuka. Satelit itu mempunyai sebuah kamera bagi memantau bentuk pembukaan struktur membran tersebut. Selain itu, satelit itu akan turut menguji komunikasi radio amatur kelajuan tinggi pada frekuensi 5.84 GHz [14]. OrigamiSat-1 mempunyai ukuran 10 sm x 10 sm x 34 sm dengan jisim 4.1 kg.

Ilustrasi: Satelit OrigamiSat-1
Kredit: JAXA [11]

Selain itu, satelit AOBA-VELOX-4 turut dilancarkan. Satelit tersebut telah dibangunkan oleh Nanyang Technological University, Singapura, dan Kyushu Institude of Technology (Kyutech), Jepun. Satelit tersebut dilancarkan sebagai demonstrasi teknologi bagi memerhati “Lunar Horizon Glow”. Satelit itu akan mengambil gambar ufuk ketika melintas dari bahagian siang ke malam dan menangkap pemandangan Bumi ketika malam dengan menggunakan kamera cahaya rendah. Bagi memerhati “Lunar Horizon Glow”, satelit tersebut akan mengubah orientasi kamera ke arah hujung permukaan Bulan yang kelihatan dari Bumi ketika bulan mengalami matahari terbit atau terbenam [15].

Ilustrasi: Satelit AOBA-VELOX-4
Kredit: JAXA [11]

Satelit NEXUS yang turut menjadi muatan ketika pelancaran tersebut ialah sebuah satelit demonstrasi teknologi oleh Nihon University dan Japan AMSAT Association (JAMSAT), Jepun. Satelit tersebut mempunyai ukuran 10 sm x 10 sm x 11 sm dan mempunyai jisim 1.3 kg. Satelit NEXUS bertujuan menguji komunikasi satelit amatur generasi baharu [16].

Ilustrasi: Satelit NEXUS
Kredit: JAXA [11]

Satelit terakhir yang menjadi muatan dalam pelancaran itu ialah sebuah satelit yang dikenali sebagai ALE-1. Satelit demonstrasi teknologi tersebut mempunyai ukuran 60 sm x 60 sm x 80 sm dan mempunyai jisim 68.0 kg. Satelit ini bertujuan menguji kebolehlaksanaan pancuran meteor tiruan buatan manusia sebagai satu perkhidmatan untuk hiburan [19].

Ilustrasi: Satelit ALE-1
Kredit: JAXA [11]

Satelit ALE-1 membawa 300 hingga 400 zarah pancuran meteor tiruan [21] yang setiap satu adalah sfera yang berukuran 1 sm dengan jisim beberapa gram. Setiap satu zarah tersebut akan menghasilkan pancuran meteor selama 3 hingga 10 saat. Zarah meteor tiruan tersebut akan terbakar pada lapisan atas atmosfera Bumi pada ketinggian antara 60 km hingga 80 km dari permukaan Bumi.

Bagi menghasilkan pancuran meteor tiruan, satelit ALE-1 perlu merendahkan orbitnya sehingga 400 km dari altitud asal 500 km [20]. Ini akan dilakukan dengan menggunakan membran yang akan meningkatkan daya seretan atmosfera pada satelit ALE-1 yang dikenali sebagai “DOM: De-Orbit Mechanism”. Bagi memastikan zarah pancuran meteor tiruan tidak dilepaskan pada kedudukan atau posisi yang salah, ALE-1 menggunakan 3 sistem lewah. Zarah meteor hanya dilepaskan apabila 3 CPU berasingan bersetuju dengan altitud satelit.

Pancuran meteor tiruan buatan manusia pertama dijangka dilakukan pada musim bunga tahun 2020 di ruang udara Jepun. Pancuran meteor tiruan tersebut dijangka dapat dilihat dari kawasan seluas 200 km.

Gambaran artis: pancuran meteor tiruan ALE-1
Kredit: ALE [18]

Bagi pengendali radio amatur yang gemar memerhati maklumat telemetri dari satelit yang mempunyai muatan radio amatur, pelancaran itu telah membawa 3 satelit yang memancarkan maklumat telemetri pada jalur radio amatur.

Satelit [4] [5] ID NORAD Frekuensi (modulasi)
OrigamiSat-1 [6] 43933

437.505 MHz (AFSK 1,200 bps dan CW)
5,840.0 MHz (FSK)

NEXUS [7] 43940

437.075 MHz (CW)
435.900 MHz (AFSK 1,200 bps)

AOBA-VELOX-4 [8] Belum ditentukan

437.225 MHz (GMSK 9,600 bps)

Ketika artikel ini ditulis, hanya telemetri dari satelit OrigasmiSat-1 dan NEXUS dapat didengari oleh orang awam, manakala telemetri dari satelit AOBA-VELOX-4 masih didapati belum aktif.

Pelancaran tersebut merupakan penerbangan keempat roket Epsilon [17]. Epsilon adalah sebuah roket pelancaran ke orbit berkapasiti ringan oleh JAXA. Epsilon adalah roket pelancaran 3 peringkat yang menggunakan bahan bakar pepejal. Ketika pelancaran ini, roket peringkat keempat tambahan yang dikenali sebagai “Compact Liquid Propulsion System” (CLPS) yang menggunakan bahan bakar cecair hidrazina. Epsilon mempunyai kapasiti muatan 1,200 kg ke orbit rendah Bumi berukuran 500 km x 250 km. Sekiranya menggunakan roket peringkat empat tambahan CLPS, Epsilon boleh melancarkan muatan 700 kg ke orbit rendah Bumi bulat 500 km, atau 450 kg ke orbit segerak Matahari bulat 500 km.

Kredit gambar: JAXA (Roket Epsilon melancarkan 7 satelit ke orbit) [0]

Rujukan:

[0] https://www.facebook.com/jaxa.jp/photos/pcb.2387072958034564/2387072231367970/

[1] http://global.jaxa.jp/press/2019/01/20190118_epsilon4.html

[2] https://www.space-track.org/#catalog

[3] http://www.dk3wn.info/p/?p=92528

[4] http://www.ne.jp/asahi/hamradio/je9pel/satslist.htm

[5] http://www.dk3wn.info/p/?page_id=29535

[6] https://db.satnogs.org/satellite/99907/

[7] https://db.satnogs.org/satellite/99905/

[8] https://db.satnogs.org/satellite/99906/

[9] https://www.axelspace.com/en/solution_/rapis1/

[10] https://www.facebook.com/jaxa.jp/photos/pcb.2388808871194306/2388795117862348/

[11] https://youtu.be/KPWAhaAATWc

[12] https://space.skyrocket.de/doc_sdat/hodoyoshi-2.htm

[13] http://en.nhandan.com.vn/scitech/sci-tech/item/7069402-vietnam’s-microdragon-satellite-enters-space.html

[14] http://www.jsforum.or.jp/ISSS2017/papers/paper/17085_Paper_Prof.%20Hiroki%20Nakanishi.pdf

[15] https://space.skyrocket.de/doc_sdat/aoba-velox-4.htm

[16] https://space.skyrocket.de/doc_sdat/nexus.htm

[17] http://global.jaxa.jp/projects/rockets/epsilon/

[18] https://vimeo.com/231032391

[19] http://star-ale.com/en/faq/

[20] http://star-ale.com/en/news/317/2019/01/04/

[21] https://space.skyrocket.de/doc_sdat/ale-1.htm

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Ariane 5 akan melancarkan 2 buah satelit ke orbit pindah geopegun Arianespace, syarikat penyedia pelancaran ke angkasa dijadual melancarkan sebuah roket Ariane 5 ECA dari Kourou, French Guiana pada 26 September 2018 jam 05:53 waktu Malaysia (25 September 2018, jam 1...
Pengendali radio amatur menerima gambar Bumi dan Bulan dari satelit mikro Longjiang-2 yang sedang me... Seperti kebanyakan satelit mikro lain, satelit DSLWP-B / Longjiang-2 yang sedang mengorbit bulan membolehkan pengandali radio amatur menerima signal radio dari satelit tersebut . Bergantung kepada jen...
Pendaratan prob utama Hayabusa2 di asteroid Ryugu ditangguhkan sehingga 2019 Agensi angkasa Jepun, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) telah mengumumkan bahawa mereka akan menangguhkan pendaratan prob utama kapal angkasa Hayabusa2 di asteroid Ryugu. Pendaratan tersebut p...
Kapal Angkasa Hayabusa2 Tiba Di Asteroid Ryugu Setelah 1302 hari misi bermula, kapal angkasa Hayabusa2 telah tiba di asteroid Ryugu pada 27 Jun 2018 dalam misi membawa pulang sampel asteroid tersebut ke bumi. Hayabusa2 akan tinggal di asteroid ter...