Kapal angkasa kargo Dragon CRS-16 kembali ke permukaan Bumi dari ISS

Kapal angkasa kargo bekalan ke stesen angkasa antarabangsa, ISS, Dragon CRS-16 telah selamat kembali ke permukaan Bumi membawa pulang eksperimen sains dari stesen angkasa tersebut [1]. Kapsul Dragon CRS-16 telah mendarat di Lautan Pasifik di barat Baja California, Mexico, kira-kira 600 km [2] dari pelabuhan Los Angeles, Amerika Syarikat. Kapsul Dragon CRS-16 itu telah mendarat pada 15 Januari 2019, kira-kira 1:05 PM waktu Malaysia (14 Januari 2019, kira-kira 9:05 PM waktu tempatan) [3].

Kapal angkasa kargo Dragon CRS-16 selepas dilepaskan kembali ke orbit
Kredit: Roscosmos [13]

Kapal angkasa Dragon CRS-16 telah dibuang dari pangkalan cantum yang menghadap Bumi (nadir) pada modul Harmony di ISS dengan menggunakan lengan robotik Canadarm2 yang turut dikenali sebagai “Space Station Remote Manipulator System” (SSRMS) pada 14 Januari 2019, 4:05 AM (waktu Malaysia) [4] . Dragon CRS-16 telah dilepaskan kembali ke orbit dari pegangan Canadarm2 pada 7:33 AM, 14 Januari 2019 (waktu Malaysia). Operasi lengan robotik Canadarm2 tersebut telah dikawal oleh pusat kawalan misi ISS NASA (MCC-H) di Houston, Texas, Amerika Syarikat dan diawasi oleh angkasawan NASA/Amerika Syarikat, Anne McClain yang berada di ISS melalui “cupola” dan paparan skrin LCD “Robotic Work Station” (RWS) [5].

Dragon CRS-16 telah membawa pulang kira-kira 1,800 kg perkakas dan eksperimen dari stesen angkasa tersebut kembali ke Bumi [8]. Ketika ini, kapal angkasa kargo Dragon merupakan kapal angkasa kargo yang mampu membawa pulang sesuatu dari ISS kembali ke permukaan Bumi dalam kuantiti yang banyak. Kapal angkasa kru Soyuz pula hanya dapat membawa pulang eksperimen dan perkakasan kembali ke Bumi dalam kuantiti yang terhad.

Kapsul Dragon CRS-16 di atas kapal sokongan NRC Quest selepas mendarat di Lautan Pasifik
Kredit: SpaceX melalui woods170/NasaSpaceFlight [14]

Kapal angkasa kargo Dragon CRS-16 telah dilancarkan ke angkasa pada 6 Disember 2018 dengan menggunakan roket Falcon 9 dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat. Pada 8 Disember 2018, Dragon CRS-16 telah tiba di ISS, ditangkap, dan dicantumkan pada pangkalan cantum ‘nadir’ yang menghadap Bumi pada modul Harmony dengan menggunakan lengan robotik Canadarm2.

IKLAN

Ketika misi pelancaran Dragon CRS-16, kapal angkasa kargo tersebut selamat tiba di orbit, namun, roket peringkat pertama Falcon 9 yang digunakan untuk pelancaran tersebut gagal didaratkan ke pad pendaratan “Landing Zone 1” [10] di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral kerana kegagalan pam hidraulik yang mengawal sirip grid [11]. Roket peringkat pertama Falcon 9 menggunakan sirip grid dan sistem penujah gas sejuk bagi mengawal arah tuju ketika cuba melakukan pendaratan. Kegagalan tersebut menyebabkan roket peringkat pertama Falcon 9 itu mengikut trajektori balistik dan mendarat di lautan berhampiran pad pendaratan.

Roket peringkat pertama Falcon 9 mendarat di lautan ketika misi Dragon CRS-16 selepas kegagalan pam hidraulik pengawal sirip grid
Kredit: Elon Musk [15]
Roket peringkat pertama Falcon 9 mendarat di lautan ketika misi Dragon CRS-16 selepas kegagalan pam hidraulik pengawal sirip grid (kamera pada roket)
Kredit: Elon Musk [16]

Sebelum ini, kapsul Dragon CRS-16 pernah digunakan ketika misi Dragon CRS-10 [6]. Misi Dragon CRS-10 telah dilancarkan pada 19 Februari 2017 dan telah kembali ke Bumi pada 19 Mac 2017 lalu. Dengan guna semula kenderaan yang pernah dilancarkan termasuk roket dan kapal angkasa kargo, SpaceX dapat mengurangkan kos pembuatan dan penerbangan ke angkasa [7].

Misi akan datang terdekat oleh SpaceX ke ISS adalah dijadual pada 9 Februari 2019 dengan pelancaran kapal angkasa kru Dragon v2 dalam misi yang dikenali sebagai Dragon SpX-DM1 tanpa membawa kru sebagai penerbangan demonstrasi [4]. Penerbangan Dragon SpX-DM1 akan menguji percantuman pada modul Harmony dan pendaratan kembali ke Bumi. Dragon v2 akan mengembalikan keupayaan Amerika Syarikat membawa angkasawan ke angkasa.

Pada 16 Mac 2019, SpaceX turut dijadual melancarkan misi penghantaran bekalan seterusnya ke ISS dengan misi Dragon CRS-17. Penerbangan tersebut dijangka akan turut membawa eksperimen dosimeter dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ke ISS melalui kerjasama JAXA.

Selepas Dragon CRS-16 kembali ke Bumi, terdapat 4 kapal angkasa yang masih berada di ISS.

Kapal angkasa kargo:
Cygnus NG-10
Progress MS-09/70
Progress MS-10/71

Kapal angkasa kru:
Soyuz MS-11

Kapal angkasa yang masih berada di ISS selepas Dragon CRS-16 kembali ke Bumi
Kredit: NASA [17]

Membawa pulang sesuatu dari angkasa ke permukaan Bumi dengan selamat masih merupakan satu cabaran kejuruteraan bagi manusia. Pada 12 November 2018 lepas, agensi angkasa Jepun, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) telah menguji mengembalikan kapsul kecil dari ISS kembali ke Bumi [9]. Kapsul tersebut dikenali sebagai “HTV Small Re-entry Capsule” (HSRC). Kapsul kecil tersebut telah dilancarkan ke ISS bersama kapal angkasa kargo milik JAXA iaitu Kounotori-7 (HTV-7). Selepas berpisah dari ISS, HTV-7 melakukan pembakaran keluar orbit untuk dimusnahkan ketika memasuki kembali lapisan atmosfera Bumi. Sebelum memasuki lapisan atmosfera, kapsul HSRC telah dilepaskan dari HTV-7 dan berjaya mendarat di barat laut Lautan Pasifik berhampiran kepulauan Minami-Tori-shima.

Kapsul “HTV Small Re-entry Capsule” (HSRC) selepas mendarat di Lautan Pasifik
Kredit: JAXA [12]
Kapsul “HTV Small Re-entry Capsule” (HSRC) selepas mendarat di Lautan Pasifik
Kredit: JAXA [12]

Kapal angkasa kargo Dragon CRS-16 dilepas kembali ke orbit dari stesen angkasa antarabangsa, ISS
Kredit: NASA

Kredit gambar: David Saint-Jacques/Canadian Space Agency (CSA) (Lengan robotik Canadarm2 melepaskan kapal angkasa kargo Dragon CRS-16 kembali ke orbit) [0]

Sejarah kemaskini:

2019-01-16 17:35 – rakaman Dragon CRS-16 dilepas ke orbit

Rujukan:

[0] https://www.facebook.com/AstroDavidS/photos/pcb.1044532989066437/1044528765733526/

[1] https://twitter.com/SpaceX/status/1084928913803902976

[2] https://forum.nasaspaceflight.com/index.php?topic=46944.msg1900994#msg1900994

[3] https://twitter.com/SpaceX/status/1084598120422330369

[4] https://forum.nasaspaceflight.com/index.php?topic=32006.msg1898940#msg1898940

[5] https://blogs.nasa.gov/spacestation/2019/01/13/dragon-released-to-return-science-and-supplies-back-to-earth/

[6] https://www.spacex.com/news/2018/12/05/dragon-resupply-mission-crs-16

[7] https://aviationweek.com/space/spacex-advances-space-hardware-reuse-latest-flight

[8] https://www.spaceflightinsider.com/missions/iss/spacex-completes-16th-dragon-mission-to-iss/

[9] http://global.jaxa.jp/press/2018/11/20181111_kounotori7.html

[10] https://www.cnbc.com/2018/12/05/watch-spacexs-rocket-land-in-the-ocean-after-spinning-off-target.html

[11] https://twitter.com/elonmusk/status/1070386062164283392

[12] http://global.jaxa.jp/news/2018/#month11

[13] https://www.facebook.com/Roscosmos/photos/pcb.2270145973240077/2270144999906841/

[14] https://forum.nasaspaceflight.com/index.php?topic=46944.msg1901421

[15] https://twitter.com/elonmusk/status/1070446975642812416

[16] https://twitter.com/elonmusk/status/1070399755526656000

[17] https://www.nasa.gov/feature/visiting-vehicle-launches-arrivals-and-departures

Anda Mungkin Juga Berminat

10 satelit terakhir konstelasi Iridium-NEXT dilancarkan ke orbit menggunakan roket Falcon 9 Pelancaran ke orbit dari permukaan Bumi untuk tahun 2019 bermula dengan baik dengan pelancaran kedua oleh roket Falcon 9, kurang 24 jam selepas pelancaran pertama tahun 2019 oleh roket Long March 3B/...
Roket Falcon 9 SpaceX Akan Melancarkan Satelit Pengintip Sepanyol, Paz Kemas kini terakhir: 12:40AM 22 Februari 2018   Pelancaran roket Falcon 9 untuk misi satelit Paz pada 10:17PM 21 Februari 2018 telah dibatalkan kerana keadaan angin altitud tinggi yang tidak ...
Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Akan Menguji Tempoh Perjalanan Singkat ke Stesen Angkasa Antaraba... Walaupun stesen angkasa antarabangsa, ISS baru sahaja menerima ketibaan kapal angkasa kargo SpaceX Dragon CRS-15 pada 2 Julai 2018, kini stesen angkasa tersebut akan menerima ketibaan kapal angkasa ka...
2 Pelancaran Dalam Tempoh 15 Minit: Arianespace: 4 Satelit Galileo; SpaceX: 10 Satelit Iridium NEXT Kemas kini terakhir: 2018-07-25 14:15   Pada 25 Julai 2018, benua Amerika akan menyaksikan 2 pelancaran roket ke angkasa, masing-masing kurang dari 15 minit antara satu sama lain. Kedua-dua pel...