10 satelit terakhir konstelasi Iridium-NEXT dilancarkan ke orbit menggunakan roket Falcon 9

Pelancaran ke orbit dari permukaan Bumi untuk tahun 2019 bermula dengan baik dengan pelancaran kedua oleh roket Falcon 9, kurang 24 jam selepas pelancaran pertama tahun 2019 oleh roket Long March 3B/G3. SpaceX telah melancarkan sebuah roket Falcon 9 dari SLC-4E, Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California, Amerika Syarikat. Pelancaran tersebut telah dilakukan pada 11 Januari 2019, 23:31 waktu Malaysia (07:31 waktu tempatan) [1]. Pelancaran itu bertujuan membawa 10 satelit terakhir konstelasi satelit komunikasi Iridium-NEXT ke orbit kutub Bumi.

Roket Falcon 9 melancarkan 10 satelit terakhir Iridium-NEXT
Roket Falcon 9 melancarkan 10 satelit terakhir Iridium-NEXT
Kredit: SpaceX [12]

Ketika artikel ini ditulis, 10 objek telah dikatelogkan dari pelancaran tersebut (2019-002A/43922 – 2019-002K/43931). Satelit-satelit Iridium-NEXT itu berada pada orbit kutub Bumi yang berukuran kira-kira 625 km x 610 km dengan kecondongan 86.68º.

Gambaran orbit misi Iridium-NEXT 8, simulasi JSatTrak
Gambaran orbit misi Iridium-NEXT 8
Kredit: Celestrak [13]
Simulasi JSatTrak

Penerbangan tersebut merupakan penerbangan kedua roket peringkat pertama Falcon 9 teras B1049. Sebelum ini, roket teras itu pernah dilancarkan ke angkasa ketika misi Telstar 18V pada September 2018 lepas dan berjaya didaratkan di atas kapal tongkang sokongan “Of Course I Still Love You”.

­Penerbangan ini merupakan penerbangan terakhir bagi konstelasi Iridium-NEXT menyiapkan konstelasi satelit tersebut. Iridium-NEXT adalah konstelasi satelit komunikasi yang mempunyai 75 satelit di orbit. 66 satelit di orbit akan bertindak sebagai satelit operasi dan 9 satelit di orbit akan disimpan sebagai satelit ganti.

Iridium Communications telah membina sejumlah 81 satelit untuk konstelasi Iridium-NEXT. Dengan 75 satelit telah berada di orbit, baki 6 satelit akan disimpan sebagai satelit ganti di darat [3].

IKLAN
Satelit Iridium-NEXT sebelum dilancarkan
Satelit Iridium-NEXT sebelum dilancarkan
Kredit: Iridium [17]

Satelit-satelit konstelasi Iridium-NEXT beroperasi di orbit rendah Bumi pada orbit yang dikenali sebagai orbit kutub Bumi. Iridium-NEXT beroperasi di orbit bulan yang mempunyai ketinggian kira-kira 780 km dengan kecondongan 86.4º [2]. Dengan beroperasi pada ketinggian orbit yang rendah, konstelasi Iridium-NEXT boleh menawarkan perkhidmatan komunikasi kependaman rendah berbanding satelit komunikasi yang berada di orbit geopegun Bumi. Dengan 66 satelit beroperasi di orbit kutub Bumi, liputan perkhidmatan komunikasi dari satelit Iridium-NEXT boleh dicapai dari seluruh permukaan Bumi [16].

Iridium-NEXT dilancarkan bagi menggantikan konstelasi lama satelit Iridium dengan teknologi yang lebih baharu. Pelancaran 10 satelit pertama untuk konstelasi Iridium-NEXT telah dilakukan bermula Januari 2017. Pelancaran terakhir pada 11 Januari 2019 merupakan pelancaran ke 8 Iridium-NEXT. Semua 8 pelancaran Iridium-NEXT dilakukan menggunakan roket Falcon 9 dari Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California, Amerika Syarikat.

Pendaratan roket

Misi pelancaran tersebut telah berlaku tanpa sebarang masalah. Untuk pelancaran kali ini, SpaceX berjaya mendaratkan kembali roket peringkat pertama Falcon 9 di atas kapal tongkang sokongan yang berada di Lautan Pasifik. Pendaratan tersebut merupakan pendaratan kedua roket peringkat pertama Falcon 9 teras B1049. Sebelum ini, teras tersebut pernah dilancarkan ketika misi Telstar 18V pada September 2018 lalu dan berjaya didaratkan di atas kapal tongkang sokongan “Of Course I Still Love You”.

Sebelum ini, kali terakhir SpaceX cuba mendaratkan kembali roket peringkat pertama Falcon 9 adalah pada 6 Disember 2018 lepas ketika misi pelancaran kapal angkasa kargo Dragon CRS-16 dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat. Kapal angkasa kargo Dragon CRS-16 selamat tiba di orbit dan seterusnya stesen angkasa antarabangsa, ISS.

Namun, roket peringkat pertama Falcon 9 yang digunakan ketika misi tersebut gagal didaratkan kembali ke pad pendaratan “Landing Zone 1” [4] kerana kegagalan pam hidraulik yang mengawal sirip grid [5]. Roket peringkat pertama Falcon 9 menggunakan sirip grid dan sistem penujah gas sejuk bagi mengawal arah tuju ketika cuba melakukan pendaratan. Kegagalan tersebut menyebabkan roket peringkat pertama Falcon 9 itu mengikut trajektori balistik dan mendarat di lautan berhampiran pad pendaratan.

Roket peringkat pertama Falcon 9 mendarat di lautan ketika misi Dragon CRS-16 selepas kegagalan pam hidraulik pengawal sirip grid
Kredit: Elon Musk [14]

Roket peringkat pertama Falcon 9 mendarat di lautan ketika misi Dragon CRS-16 selepas kegagalan pam hidraulik pengawal sirip grid (kamera pada roket)
Kredit: Elon Musk [15]

Mendapatkan kembali reraut muatan

Selain menggunakan kembali roket sebagai langkah mengurangkan kos pelancaran ke angkasa, SpaceX turut cuba mendapatkan kembali dan menggunakan semula reraut muatan yang telah dilancarkan. Menurut Elon Musk, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknologi SpaceX, reraut muatan yang digunakan ketika pelancaran roket Falcon 9 mempunyai kos kira-kira USD 6 juta (kira-kira RM 24.6 juta) [6].

Walaupun SpaceX tidak cuba mendapatkan kembali reraut muatan ketika pelancaran 10 satelit terakhir Iridium-NEXT, SpaceX telah melakukan ujian mendapatkan kembali reraut muatan dengan melepaskan separuh reraut muatan pada altitud tinggi dari helikopter untuk ditangkap oleh kapal sokongan bernama “Mr. Steven” yang mempunyai jaring besar pada 8 Januari 2019 lepas [7].

Ujian mendapatkan kembali reraut muatan untuk ditangkap oleh kapal sokongan yang dikenali sebagai Mr. Steven
Kredit: SpaceX [7]

Roket Falcon 9 adalah sebuah roket pelancaran ke orbit muatan sederhana yang mempunyai 2 peringkat. Versi terbaharu roket Falcon 9 yang dikenali sebagai “block 5” membolehkan roket peringkat pertama dilancarkan lebih dari 10 kali dengan servis yang minimum.

Sekiranya dilancarkan tanpa mendapatkan kembali roket peringkat pertama, Falcon 9 mempunyai kapasiti muatan 22,800 kg ke orbit rendah Bumi, 8,300 kg ke orbit pindah geosegerak, dan 4,020 kg ke planet Marikh [8]. Kapasiti muatan ke orbit pindah geosegerak adalah sebanyak 5,500 kg sekiranya roket peringkat pertama didaratkan.

Roket Falcon 9 menggunakan bahan bakar kerosin gred roket (RP-1) yang disejukkan, dan oksigen cecair (LOX) sebagai bahan pengoksida pada kedua-dua roket peringkat pertama dan peringkat atas. Ketika ini, roket Falcon 9 adalah salah satu dari dua roket yang beroperasi yang boleh melakukan pendaratan secara menegak. Satu lagi roket ke angkasa yang mampu melakukan pendaratan secara menegak ialah New Shepard dari Blue Origin [9]. New Shepard hanya melakukan penerbangan suborbit namun Blue Origin turut membangunkan roket pelancaran ke orbit yang boleh melakukan pendaratan secara menegak yang dikenali sebagai New Glenn [10]

Sorotan pelancaran roket Falcon 9 membawa 10 satelit komunikasi Iridium-NEXT 8 ke orbit kutub Bumi
Kredit: SpaceX

Kredit gambar: SpaceX (Roket Falcon 9 melancarkan 10 satelit terakhir Iridium-NEXT) [0]

Sejarah kemas kini:

2019-01-16 07:30 – video sorotan pelancaran

Rujukan:

[0] https://www.flickr.com/photos/spacex/39745614053/

[1] https://youtu.be/VshdafZvwrg

[2] https://www.space-track.org/#catalog

[3] https://spacenews.com/spacex-launches-third-set-of-iridium-next-satellites/

[4] https://www.cnbc.com/2018/12/05/watch-spacexs-rocket-land-in-the-ocean-after-spinning-off-target.html

[5] https://twitter.com/elonmusk/status/1070386062164283392

[6] https://www.space.com/39784-spacex-catchers-mitt-boat-narrowly-misses-rocket-fairing.html

[7] https://twitter.com/SpaceX/status/1082469132291923968

[8] https://www.spacex.com/about/capabilities

[9] https://www.blueorigin.com/new-shepard

[10] https://www.blueorigin.com/new-glenn

[11] https://www.space-track.org/#catalog

[12] https://www.flickr.com/photos/spacex/39745613733/

[13] https://celestrak.com/NORAD/elements/

[14] https://twitter.com/elonmusk/status/1070446975642812416

[15] https://twitter.com/elonmusk/status/1070399755526656000

[16] https://www.iridium.com/network/iridium-next/

[17] https://twitter.com/IridiumComm/status/1075075929150509057

Anda Mungkin Juga Berminat

Malaysia akan menghantar eksperimen ke stesen angkasa ISS pada Februari 2019 Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) bakal menghantar eksperimen sains ke stesen angkasa antarabangsa, ISS pada Februari 2019. Sampel eksperimen tersebut te...
SpaceX Bakal Menguji Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Orbit Marikh Siaran Langsung Penerbangan Demonstrasi Roket Falcon Heavy SpaceX bakal menayangkan secara langsung penerbangan demonstrasi roket Falcon Heavy pada 2:30 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia. Penerbang...
Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Akan Menguji Tempoh Perjalanan Singkat ke Stesen Angkasa Antaraba... Walaupun stesen angkasa antarabangsa, ISS baru sahaja menerima ketibaan kapal angkasa kargo SpaceX Dragon CRS-15 pada 2 Julai 2018, kini stesen angkasa tersebut akan menerima ketibaan kapal angkasa ka...
Roket H-IIA Melancarkan Satelit Pengintip Jepun, IGS-Optical 6 Kemas kini terakhir: 18:15 27 Februari 2018 Agensi angkasa Jepun, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) telah mengesahkan kejayaan misi IGS-Optical 6 . Walaupun tiada liputan secara langsung ras...