China hantar pendarat dan perayau Chang’e-4 ke permukaan Bulan yang tidak menghadap Bumi

Sebuah roket Long March 3B telah dilancarkan dari Xichang Satellite Launch Center, China, membawa pendarat dan perayau yang dikenali sebagai Chang’e-4 ke Bulan. Pelancaran tersebut telah dilakukan pada 8 Disember 2018, 2:23:34 AM waktu Malaysia dan tempatan [0].

Roket Long March 3B melancarkan pendarat dan perayau Chang’e-4 ke Bulan
Kredit: Xinhua/Jiang Hongjing [10]

Chang’e-4 adalah misi oleh agensi angkasa China, China National Space Administration (CNSA) untuk menghantar pendarat dan perayau ke permukaan Bulan. Apa yang menarik untuk misi ini ialah pendarat dan perayau tersebut akan mendarat pada permukaan Bulan yang tidak menghadap Bumi. Misi Chang’e-4 adalah misi pertama manusia mengoperasikan misi pendarat dan perayau pada sebelah Bulan yang tidak menghadap Bumi.

IKLAN

Oleh kerana kadar putaran bulan pada paksinya sama dengan kadar Bulan mengorbit Bumi, maka hampir separuh permukaan Bulan tidak dapat dilihat dari Bumi. Kali pertama permukaan Bulan yang tidak menghadap Bumi dapat dilihat oleh manusia adalah pada tahun 1959. Pada tahun tersebut, misi Luna 3 oleh Kesatuan Soviet telah berjaya mengambil dan menghantar gambar bahagian Bulan yang tidak menghadap Bumi [1].

Gambar bahagian Bulan yang tidak menghadap Bumi yang ditangkap oleh pengorbit Lunar Reconnaissance Orbiter
Kredit: NASA/Goddard Space Flight Center/Arizona State University [11]

Oleh kerana pendarat dan perayau Chang’e-4 akan beroperasi pada permukaan Bulan yang tidak menghadap Bumi, CNSA telah melancarkan sebuah satelit geganti yang dikenali sebagai Queqiao bagi membolehkan Chang’e-4 berkomunikasi dengan Bumi. Satelit geganti Queqiao tersebut telah dilancarkan pada 20 Mei 2018 lepas dan berjaya memasuki orbit halo pada titik Lagrange L2 Bumi-Bulan pada 14 Jun 2018 [2]. Queqiao adalah satelit geganti pertama buatan manusia yang beroperasi di orbit tersebut.

Ilustrasi satelit geganti Queqiao beroperasi di orbit halo pada titik Lagrange L2 Bumi-Bulan
Kredit: CASC melalui GBTIMES

Titik Lagrange L2 Bumi-Bulan adalah satu kawasan yang berada di sebalik Bulan yang agak stabil dari segi pengaruh tarikan graviti. Kawasan tersebut wujud kerana gabungan tarikan graviti Bumi dan Bulan menyebabkan daya emparan di titik tersebut menjadi seimbang. Hal ini membolehkan sesuatu objek mengorbit titik L2 pada orbit yang dipanggil orbit halo.

Pendarat dan perayau Chang’e-4 membawa pelbagai eksperimen menarik.

Pendarat

Pendarat Chang’e-4
Kredit: China Central Television (CCTV)

Kamera – pendarat Chang’e-4 akan membawa 2 kamera iaitu kamera pendaratan (Landing Camera, LCAM) dan kamera rupa permukaan (Terrain Camera, TCAM).

Spektrometer frekuensi rendah (Low Frequency Spectrometer, LFS) bagi mengukur letusan suria

‘Lunar Lander Neutrons and Dosimetry’ (LND) oleh Universiti Kiel dari Jerman – mengukur kadar radiasi dan angin solar untuk kegunaan pengembaraan manusia ke Bulan apda masa hadapan

Ini mungkin merupakan eksperimen yang paling menarik – biosfera.
Eksperimen biosfera pada pendarat Chang’e-4 akan menguji proses fotosintesis dan pernafasan dalam keadaan graviti rendah di Bulan. Biosfera seberat 3 kg tersebut membawa air, bahan nutrien, udara, dan kamera. Biosfera tersebut akan memerhatikan benih tumbuhan ‘arabidopsis’ dan ubi kentang tumbuh di persekitaran graviti rendah Bulan, serta penetasan telur ulat sutera. Larva ulat sutera akan membekalkan karbon dioksida manakala tumbuhan ‘arabidopsis’ dan ubi kentang akan meggunakan karbon dioksida tersebut untuk menghasilkan oksigen melalui proses fotosintesis.
Suhu dalam biosfera tersebut akan dikekalkan antara 1ºC hingga 30ºC dan cahaya semula jadi akan digunakan bagi membolehkan tumbuhan tumbuh [3].

Perayau

Perayau Chang’e-4
Kredit: China Central Television (CCTV)

Perayau Chang’e-4 dibina berasaskan perayau Yutu ketika misi Chang’e-3 pada 2013. Perayau berjisim 140 kg tersebut dijangka beroperasi selama kira-kira 3 bulan [6].

  • Kamera panoramik (Panoramic Camera, PCAM)
  • Radar tembus Bulan (Lunar penetrating radar, LPR) – mengukur keadaan struktur bawah permukaan Bulan [4]
  • Spektrometer tampak dan hampir infra merah (Visible and Near-Infrared Imaging Spectrometer, VNIS) – melihat spektrum infra merah dan imej bagi mengkaji komposisi dan bahan permukaan Bulan
  • ‘Advanced Small Analyzer for Neutrals’ (ASAN) oleh Institut Fizik Angkasa Sweden – mengkaji interaksi angin solar dengan permukaan Bulan, dan mungkin proses bagaimana air di Bulan terbentuk [5]

Selain misi utama Chang’e-4 yang terdiri dari satelit geganti Queqiao dan pendarat serta perayau, 2 buah satelit mikro iaitu Longjiang-1 dan Longjiang-2 turut dilancarkan ketika pelancaran satelit geganti Queqiao. Hanya Longjiang-2 berjaya memasuki orbit Bulan. Satelit Longjiang membawa eksperimen tersendiri, dan antara yang menarik ialah pengendali radio amatur yang berada di Bumi boleh memuat turun gambar dari kamera yang terdapat pada satelit mikro tersebut.

Gambar Bulan dan Bumi yang ditangkap oleh kamera satelit mikro Longjiang-2 ketika mengorbit Bulan
Kredit: Harbin Institute of Technology [12]

Pendarat dan perayau Chang’e-4 akan mendarat di kawah pada permukaan Bulan yang dikenali sebagai kawah Von Kármán. Kawah tersebut mempunyai kawasan yang agak rata untuk pendaratan. Setelah tiba di Bulan, Chang’e-4 akan memasuki orbit Bulan terlebih dahulu. Pendaratan pada permukaan dijangka dilakukan pada 3 Januari 2019.

Misi Chang’e-4 tidak akan membawa pulang sampel bulan ke Bumi. China mempunyai 2 misi akan datang iaitu Chang’e-5 pada tahun 2019 [7], dan Chang’e-6 pada tahun 2020 [8] yang bakal membawa pulang sampel Bulan ke Bumi. Kali terakhir misi membawa pulang sampel Bulan ke Bumi oleh manusia ialah pada tahun 1976 oleh Kesatuan Soviet ketika misi Luna 24 [9].

Rakaman pelancaran roket Long March 3B membawa pendarat dan perayau Chang’e-4 ke Bulan
Kredit: China Central Television (CCTV)

Kredit gambar: China National Space Administration (CNSA) (Long March 3B melancarkan pendarat dan perayau Chang’e-4 ke Bulan) [0]

Rujukan:
[0] http://www.cnsa.gov.cn/n6758823/n6758838/c6804676/content.html
[1] https://gbtimes.com/heres-what-you-need-to-know-about-the-change-4-mission-to-the-far-side-of-the-moon
[2] https://spacenews.com/change-4-relay-satellite-enters-halo-orbit-around-earth-moon-l2-microsatellite-in-lunar-orbit/
[3] https://www.bbc.com/news/science-environment-46471668
[4] https://www.nasaspaceflight.com/2018/12/china-returning-moon-change-4-mission/
[5] https://gbtimes.com/sweden-joins-chinas-historic-mission-land-far-side-moon
[6] https://www.businessinsider.com/china-moon-robot-launch-date-change-4-2018-8
[7] https://gbtimes.com/chinas-change-5-lunar-sample-return-mission-to-launch-in-2019
[8] https://gbtimes.com/china-invites-international-cooperation-in-change-6-moon-sample-return-mission
[9] https://en.wikipedia.org/wiki/Luna_24
[10] http://www.xinhuanet.com/english/2018-12/08/c_137658276_2.htm
[11] https://moon.nasa.gov/resources/126/lunar-far-side/
[12] http://en.hit.edu.cn/m/news/3159

Anda Mungkin Juga Berminat

Pelancaran ke orbit 2019 dimulakan dengan pelancaran roket Long March 3B/G3 dan satelit Zhongxing-2D... Sebuah roket Long March 3B/G3 telah dilancarkan dari Launch Complex 2 (LC-2), Xichang Satellite Launch Center, China pada 11 Januari 2019, 1:11:04 AM waktu Malaysia dan tempatan. Roket Long March 3B ...
Roket Long March 3B melancarkan komponen orbit geopegun sistem navigasi satelit Beidou-3 GEO-1 Kemaskini terakhir: 2 November 2018, 6:00 PM   Sebuah roket Long March 3B telah melancarkan sebuah satelit sistem navigasi BeiDou ke orbit pindah geopegun. Pelancaran tersebut telah dilakukan d...
Roket Long March 4B melancarkan satelit pemerhati laut Haiyang-2B ke orbit Sebuah roket Long March 4B telah melancarkan sebuah satelit pemerhati Bumi Haiyang-2B ke orbit. Pelancaran tersebut telah dilakukan dari Pusat Pelancaran Satelit Taiyuan di Wilayah Shanxi, China. Roke...
Roket Long March 3B menghantar 2 satelit sistem navigasi BeiDou ke orbit Sebuah roket Long March 3B bersama roket peringkat atas Yuanzheng-1 telah dilancarkan dan meletakkan 2 lagi satelit untuk kegunaan sistem navigasi satelit BeiDou. 2 buah satelit tersebut ialah BeiDou-...