Satelit CubeSat buatan Malaysia, InnoSAT-2 berjaya dilancarkan bersama satelit HysIS dan 29 satelit lain menggunakan roket PSLV-CA

Kemas kini terakhir: 30 November 2018, 8:40 AM

Sebuah satelit buatan Malaysia, InnoSAT-2, telah berjaya dilancarkan ke orbit. Pelancaran tersebut telah dilakukan dengan menggunakan roket Polar Satellite Launch Vehicle jenis Core Alone (PSLV-CA). Roket itu telah dilancarkan dari First Launch Pad (FLP), Satish Dhawan Space Centre (SDSC), Sriharikota, India pada 29 November 2018, 12:27:30 PM waktu Malaysia (9:57:30 AM waktu tempatan) [1] [2]. Turut menyertai pelancaran itu ialah satelit pemerhati Bumi India, HysIS yang merupakan muatan utama, dan 29 satelit kecil lain.

 

Roket PSLV-CA melancarkan satelit HysIS bersama 30 satelit lain
Roket PSLV-CA melancarkan satelit HysIS bersama 30 satelit lain
Kredit: ISRO [0]

 

Misi pelancaran tersebut telah mengambil masa hampir 2 jam. Kira-kira 18 minit selepas pelancaran, muatan utama iaitu satelit HysIS telah dilepaskan ke orbit segerak Matahari berukuran 636 km dengan kecondongan 97.957º. Selepas itu, roket peringkat atas PS4 telah melakukan 2 pembakaran bagi bergerak ke orbit segerak Matahari berukuran 504 km dengan kecondongan 97.468º. 30 muatan lain telah dilepaskan ke orbit segerak Matahari tersebut bermula kira-kira 1 jam 49 minit selepas pelancaran. InnoSAT-2 merupakan penumpang tambahan pertama yang dilepaskan ke orbit diikuti oleh 29 penumpang lain yang dilepaskan ke orbit setiap 10 saat. Orbit segerak Matahari membolehkan sesuatu satelit melawat sesuatu tempat pada muka Bumi pada waktu tempatan yang sama setiap hari, atau lebih tepat lagi, pada min waktu suria (mean solar time) yang sama [8]. Orbit segerak Matahari sesuai untuk satelit pemerhati Bumi.

IKLAN

 

Ketika artikel ini ditulis, 1 objek dari pelancaran tersebut telah dikatelogkan sebagai 2018-096A dan diberi ID NORAD 43719. Objek 2018-096A tersebut mempunyai orbit berukuran 643.5 km x 635.9 km dengan kecondongan 97.9687º.

 

Gambaran orbit objek dari pelancaran tersebut
Gambaran orbit objek dari pelancaran tersebut
Kredit: celestrak [9]
Simulasi JSatTrak

 

InnoSAT-2 atau Innovative Satellite 2 adalah satelit buatan Malaysia oleh Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB) [3]. ATSB merupakan kontraktor untuk agensi angkasa Malaysia iaitu Agensi Angkasa Negara (ANGKASA). Satelit InnoSAT-2 tersebut merupakan satelit ke-3 oleh ATSB selepas satelit TiungSAT-1 yang dilancarkan ke angkasa menggunakan roket Dnepr dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada September 2000, dan satelit RazakSAT yang telah dilancarkan ke angkasa pada Julai 2009 menggunakan roket Falcon 1 dari Pulau Omelek oleh SpaceX [4].

 

InnoSAT-2
InnoSAT-2
Kredit: ISRO [2]

 

InnoSAT-2 mempunyai ukuran 3U (30 sm x 10 sm x 10 sm). InnoSAT-2 mempunyai dosimeter, kamera CMOS, dan roda reaksi eksperimen. Menurut laman satelit radio amatur AMSAT-UK, InnoSAT-2 akan memancarkan signal telemetri pada frekuensi 437.45 MHz dengan lebar jalur 50 kHz menggunakan protokol AX.25, namun format paket data adalah proprietari [5]. InnoSAT-2 dilancarkan sebagai demonstrasi teknologi untuk menguji bas satelit buatan tempatan.

 

Muatan utama untuk pelancaran tersebut ialah satelit pemerhati Bumi India, Hyper-Spectral Imaging Satellite (HysIS). Matlamat utama pelancaran HysIS adalah untuk mengkaji spektrum elektromagnetik nampak, hampir inframerah, dan gelombang pendek inframerah permukaan Bumi. HysIS mempunyai jisim kira-kira 380 kg dan mempunyai saiz 2.158 meter x 1.387 meter x 1.157 meter tanpa bukaan panel solar [6]. HysIS dijangka mempunyai jangka hayat operasi selama 5 tahun.

 

Satelit HysIS
Satelit HysIS
Kredit: ISRO [0]

 

Turut dilancarkan dalam penerbangan tersebut ialah 29 satelit lain:

Satelit Jenis Satelit Negara
Centauri x1 Servis komunikasi Internet benda (IoT) kawalan jauh Australia
Kepler (CASE) x1 Internet benda (IoT) Kanada
FACSAT x1 Pemerhati Bumi Colombia
Reaktor Hello World x1 Pemerhati Bumi Finland
HIBER-1 x1 Internet benda (IoT) Belanda
3Cat-1 x1 Sains / eksperimen Sepanyol
Flock 3R x16 Pemerhati Bumi Amerika Syarikat
HSAT-1 x1 Servis komunikasi Internet benda (IoT) kawalan jauh Amerika Syarikat
Global-1 x1 Pemerhati Bumi Amerika Syarikat
LEMUR x4 Sistem pengenalan kapal automarik (Vessel Automatic
Identification System, AIS)
Amerika Syarikat
CICERO-8 x1 Pemerhati Bumi Amerika Syarikat

 

Roket PSLV-CA
Roket PSLV-CA
Kredit: ISRO [7]

 

Roket yang digunakan untuk pelancaran tersebut ialah Polar Satellite Launch Vehicle jenis Core Alone (PSLV-CA). Roket ini mempunyai 4 peringkat. Untuk peringkat pertama (PS1) dan ketiga (HPS3), PSLV-CA menggunakan bahan bakar pepejal dari jenis hydroxyl-terminated polybutadiene (HTPB). Pada peringkat kedua (PS2), bahan bakar cecair hipergolik yang terdiri dari UH 25 sebagai bahan bakar dan dinitrogen tetroksida (N2O4) sebagai bahan pengoksida. Untuk roket peringkat atas atau peringkat keempat (PS4), bahan bakar cecair hidrazina monomethylhydrazine (MMH) bersama bahan pengoksida campuran nitrogen MON3 digunakan. PSLV-CA mempunyai ketinggian hampir 40 meter dan diameter 2.8 meter. PSLV-CA mempunyai kapasiti kira-kira 1,100 kg ke orbit segerak Matahari berukuran 622 km.

 

Roket PSLV mempunyai jenis yang lebih berkuasa iaitu PSLV-XL. PSLV-XL menggunakan 6 roket penggalak sisi tambahan dan mempunyai kapasiti sehingga 1,800 kg ke orbit segerak Matahari.

 


Sorotan pelancaran satelit buatan Malaysia, InnoSAT-2 bersama satelit HysIS dan 29 satelit kecil lain
Kredit: Doordarshan National/Indian Space Research Organisation (ISRO)

 

Sejarah kemas kini:

30 November 2018, 8:40 AM – simulasi gambaran orbit, rakaman sorotan pelancaran

 

Kredit gambar: Indian Space Research Organisation (ISRO) (PSLV-CA melancarkan satelit HysIS bersama 30 satelit kecil) [0]

 

Rujukan:

[0] https://www.isro.gov.in/launcher/pslv-c43-hysis-mission

[1] https://youtu.be/5uqOADtLUDk

[2] https://youtu.be/HxoLAaeRPHE

[3] https://space.skyrocket.de/doc_sdat/innosat-2.htm

[4] http://www.spacetechasia.com/isros-pslv-launches-31-satellites-including-from-australia-malaysia/

[5] http://www.amsatuk.me.uk/iaru/finished_detail.php?serialnum=548

[6] https://www.isro.gov.in/pslv-c43-hysis-mission/pslv-c43-hysis-mission-press-kit

[7] https://www.facebook.com/ISRO/photos/a.1448404935382864/2183682661855084/

[8] https://en.wikipedia.org/wiki/Sun-synchronous_orbit

[9] https://celestrak.com/NORAD/elements/

Anda Mungkin Juga Berminat

Rocket Lab Akan Melancarkan Roket Electron Untuk Penerbangan Komersial Sulung Kemas kini 2018-06-28 14:30 Rocket Lab telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan melakukan pelancarkan roket Electron untuk misi "It's Business Time" sepanjang jendela pelancaran kini. Me...
Stesen angkasa Tiangong-2 China akan ditamatkan perkhidmatan dan keluar orbit secara terkawal pada J... Stesen angkasa kedua China, Tiangong-2 akan ditamatkan perkhidmatan dan akan melakukan proses keluar orbit secara terkawal pada Julai 2019, menurut Lin Xiqiang, timbalan pengarah 'China Manned Space E...
Roket Falcon 9 Menghantar 3 Satelit ke Orbit Rendah Bumi Tepat pada 10:17PM 22 Februari 2018 waktu Malaysia (6:17AM waktu tempatan), roket Falcon 9 Full Thrust dari SpaceX telah berjaya dilancarkan, dan meletakkan 3 satelit di orbit rendah bumi. Satelit ter...
Cygnus Ubah Orbit ISS, Bersedia Untuk Berlepas ke Orbit Kapal angkasa kargo Amerika Syarikat, Cygnus NG-9/OA-9 telah berjaya menguji kebolehan untuk mengubah orbit stesen angkasa antarabangsa, ISS. Ujian tersebut telah dilakukan bermula pada jam 04:24:50, ...