Roket Long March 3B melancarkan komponen orbit geopegun sistem navigasi satelit Beidou-3 GEO-1

Kemaskini terakhir: 2 November 2018, 6:00 PM

 

IKLAN

Sebuah roket Long March 3B telah melancarkan sebuah satelit sistem navigasi BeiDou ke orbit pindah geopegun. Pelancaran tersebut telah dilakukan dari Pusat Pelancaran Satelit Xinchang, China. Roket Long March 3B itu telah dilancarkan pada 1 November 2018 pada pukul 11:57 PM waktu Malaysia dan tempatan. Dengan pelancaran satelit tersebut, negara China telah melakukan 32 pelancaran roket orbital pada tahun 2018 [1].

 

Roket Long March 3B melancarkan satelit Beidou-3 GEO-1
Roket Long March 3B melancarkan satelit Beidou-3 GEO-1
Kredit: 9ifly.cn [1]

 

Satelit Beidou-3 GEO-1 tersebut merupakan komponen satelit pada orbit geopegun Bumi untuk sistem navigasi satelit BeiDou. Ketika satelit tersebut beroperasi, ia akan berada di orbit bulat yang berukuran kira-kira 35,786 km. Satelit tersebut merupakan satelit ke 41 dalam sistem navigasi satelit BeiDou, dan akan beroperasi bersama-sama 16 buah satelit BeiDou-3 yang telah berada di orbit [2]. Sistem navigasi satelit BeiDou mempunyai komponen satelit lain yang beroperasi di orbit geosegerak condong dengan ukuran orbit bulat kira-kira 35,786 km dengan kecondongan kira-kira 55º, dan komponen satelit yang beroperasi di orbit sederhana Bumi dengan orbit bulat berukuran kira-kira 21,500 km dengan kecondongan kira-kira 55º.

 

2 objek dari pelancaran tersebut telah dikatelogkan iaitu 43683 (2018-085A) dan 43684 (2018-085B). Ketika artikel ini ditulis, satelit BeiDou tersebut berada pada orbit berukuran 35,793 km x 212.6 km dengan kecondongan 28.67º [4].

 

Gambaran orbit objek dari pelancaran tersebut (kuning) berbanding orbit satelit Measat-3B (merah) yang beroperasi di orbit geopegun Bumi
Gambaran orbit objek dari pelancaran tersebut (kuning) berbanding orbit satelit Measat-3B (merah) yang beroperasi di orbit geopegun Bumi
Kredit: USSTRATCOM [4]
Simulasi JSatTrak

 

Roket yang digunakan untuk pelancaran tersebut ialah roket Long March 3B. Roket tersebut mempunyai 3 peringkat dan 4 roket penggalak yang dihidupkan bersama roket peringkat pertama. Roket peringkat pertama, kedua, dan 4 roket penggalak Long March 3B menggunakan bahan bakar hidrazina “unsymmetrical dimethylhydrazine” (UDMH) dan nitrogen tetroksida (N2O4). Roket peringkat ketiga pula menggunakan bahan bakar hidrogen cecair (LH2) dan bahan pengoksida oksigen cecair (LOX) [3]. Long March 3B mempunyai kapasiti muatan kira-kira 11,500 kg ke orbit rendah Bumi, kira-kira 7,100 kg ke orbit segerak Matahari, kira-kira 5,500 kg ke orbit pindah geopegun, dan kira-kira 2,000 kg ke orbit geosegerak Bumi.

 


Rakaman pelancaran roket Long March 3B melancarkan satelit
Kredit: China Central Television (CCTV)

 

Sejarah kemaskini:
2 November 2018, 6:00 PM – Rakaman pelancaran

 

Kredit gambar: 9ifly.cn (Roket Long March 3B melancarkan satelit Beidou-3 GEO-1) [0]

 

Rujukan:

[0] http://www.9ifly.cn/article-13631-1.html

[1] https://gbtimes.com/chinas-32nd-launch-of-2018-sends-beidou-satellite-into-geosynchronous-transfer-orbit

[2] http://www.ecns.cn/news/2018-11-02/detail-ifyzmsck5340791.shtml

[3] http://www.calt.com/n840/c5348/content.html

[4] https://www.space-track.org/

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Long March 3B menghantar 2 satelit sistem navigasi BeiDou ke orbit Sebuah roket Long March 3B bersama roket peringkat atas Yuanzheng-1 telah dilancarkan dan meletakkan 2 lagi satelit untuk kegunaan sistem navigasi satelit BeiDou. 2 buah satelit tersebut ialah BeiDou-...
Long March 9: Roket Paling Berkuasa China Bakal Dibangunkan China terus meluaskan peranan mereka dalam industri angkasa dan bakal membangunkan roket baharu dari keluarga Long March. Roket yang bakal dikenali sebagai Long March 9 (LM-9/Changzheng 9/CZ-9) terseb...
Roket Ariane 5 ES Hantar 4 Satelit Sistem Navigasi Galileo ke Orbit Sebuah roket Ariane 5 ES telah dilancarkan dari pad Ensemble de Lancement Ariane 3 (ELA-3) di Guiana Space Centre, Kourou, French Guiana, pada 25 Julai 2018, jam 19:25:01 waktu Malaysia (jam 08:25:01 ...
SpaceX Melancarkan Satelit Komunikasi Telstar 19 VANTAGE, Mendaratkan Kembali Roket SpaceX telah berjaya melancarkan sebuah satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE, ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) dengan menggunakan roket Falcon 9. Pelancaran terseb...