Teleskop angkasa Hubble mengalami masalah giroskop, mod selamat diaktifkan

Teleskop angkasa Hubble (Hubble Space Telescope, HST) telah mengalami masalah giroskop dan telah mengaktifkan mod selamat pada 5 Oktober 2018 lepas [1]. Mod selamat telah diaktifkan setelah 1 dari 3 giroskop yang digunakan secara aktif oleh teleskop angkasa tersebut gagal berfungsi. Seperti stesen angkasa antarabangsa, ISS, teleskop angkasa Hubble menggunakan giroskop bersama roda reaksi sebagai sistem kawalan reaksi. Sistem tersebut adalah penting bagi teleskop angkasa Hubble untuk mengubah orientasi, mengubah sudut pandangan teleskop, dan menstabilkan badan teleskop ketika melakukan cerapan. Menurut NASA, peralatan pada teleskop angkasa tersebut masih berfungsi dengan baik dan masih mampu melakukan cerapan sains untuk tahun-tahun mendatang.

Struktur teleskop angkasa Hubble
Struktur teleskop angkasa Hubble
Kredit: NASA [6]

 

Teleskop angkasa Hubble mempunyai 6 buah giroskop. Misi servis terakhir HST pada Mei 2009 telah menggantikan semua 6 giroskop [2] [3]. Teleskop angkasa Hubble mampu melakukan cerapan dengan hanya menggunakan 1 giroskop, tetapi ia biasanya menggunakan 3 giroskop untuk beroperasi dengan kecekapan maksimum. Giroskop yang gagal tersebut telah menunjukkan tanda-tanda menghampiri hujung hayat operasi selama kira-kira 1 tahun. 2 giroskop lain telah mengalami kegagalan sepenuhnya. Baki 3 lagi giroskop masih berfungsi dengan baik.

IKLAN

 

Menurut NASA, kakitangan di Goddard Space Flight Center NASA, dan Space Telescope Science Institute masih melakukan analisis untuk melihat pilihan yang boleh dilakukan bagi membolehkan giroskop tersebut kembali berfungsi. Ketika ini, operasi sains teleskop angkasa Hubble dihentikan. Sekiranya giroskop yang gagal tersebut dapat kembali berfungsi, Hubble akan menyambung operasi sains dengan menggunakan konfigurasi 3 giroskop. Sekiranya giroskop tersebut gagal berfungsi, Hubble akan melakukan cerapan sains dengan menggunakan 1 giroskop sahaja.

 

TEXT
Gambaran orbit teleskop angkasa Hubble ketika artikel ini ditulis
Kredit: USSTRATCOM [4]
Simulasi JSatTrak

 

Teleskop angkasa Hubble telah dilancarkan ke orbit pada April 1990 dengan menggunakan kapal angkasa Space Shuttle Discovery. Ketika artikel ini ditulis, teleskop angkasa Hubble berada di orbit rendah Bumi berukuran 541 km x 537 km dengan kecondongan 28.47º [4]. Teleskop angkasa Hubble diletakkan di orbit Bumi supaya cerapan tidak diganggu oleh lapisan atmosfera Bumi yang mengakibatkan cerapan menjadi kabur seperti teleskop lain di daratan [6]. Teleskop angkasa tersebut mempunyai jisim kira-kira 11,000 kg dan berukuran 13.2 meter x 4.2 meter.

 

Teleskop angkasa Hubble ketika menerima misi servis pertama pada Disember 1993
Teleskop angkasa Hubble ketika menerima misi servis pertama pada Disember 1993
Kredit: NASA [8]

 

Sepanjang teleskop angkasa Hubble beroperasi, ia telah menerima 5 misi servis, kali pertama pada Disember 1993, dan kali terakhir pada Mei 2009. Semua misi servis teleskop angkasa Hubble dilakukan dengan menggunakan kapal angkasa Space Shuttle. Namun, program Space Shuttle sudah tidak beroperasi pada masa sekarang. Fungsi Hubble bakal digantikan dengan “James Webb Space Telescope” [7], sebuah teleskop angkasa moden yang bakal dilancarkan paling awal pada tahun 2021 menggunakan roket Ariane 5.

Gambaran artis James Webb Space Telescope
Gambaran artis: “James Webb Space Telescope”
Kredit: NASA [9]

 

Kredit gambar: NASA [1]

 

Rujukan:

[1] https://www.nasa.gov/feature/goddard/2018/hubble-in-safe-mode-as-gyro-issues-are-diagnosed

[2] https://asd.gsfc.nasa.gov/archive/hubble/missions/sm4.html

[3] https://en.wikipedia.org/wiki/STS-125

[4] https://www.space-track.org/#catalog

[5] https://twitter.com/rachelosten/status/1049092469000953857?s=19

[6] https://www.nasa.gov/mission_pages/hubble/spacecraft/index.html

[7] https://jwst.nasa.gov/about.html

[8] https://www.nasa.gov/mission_pages/shuttle/flyout/multimedia/endeavour/93-12-09.html

[9] https://www.flickr.com/photos/nasawebbtelescope/16678793810/

Anda Mungkin Juga Berminat

Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa Kurang 4 Jam Selepas Dilancar... Kapal angkasa kargo dari Rusia, Progress MS-09 telah tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS, kurang 4 jam selepas dilancarkan ke angkasa. Progress MS-09 (atau Progress 70P) telah tiba di stesen angk...
Teleskop Angkasa Kepler Diletakkan Dalam Keadaan Hibernasi Kerana Hampir Kehabisan Bahan Api Pada awal bulan Julai 2018, agensi angkasa Amerika Syarikat, National Aeronautics and Space Administration (NASA) telah meletakkan kapal angkasa Kepler dalam keadaan hibernasi dan menghentikan cerapan...
Rocket Lab Akan Melancarkan Roket Electron Untuk Penerbangan Komersial Sulung Kemas kini 2018-06-28 14:30 Rocket Lab telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan melakukan pelancarkan roket Electron untuk misi "It's Business Time" sepanjang jendela pelancaran kini. Me...
2 Pelancaran Dalam Tempoh 15 Minit: Arianespace: 4 Satelit Galileo; SpaceX: 10 Satelit Iridium NEXT Kemas kini terakhir: 2018-07-25 14:15   Pada 25 Julai 2018, benua Amerika akan menyaksikan 2 pelancaran roket ke angkasa, masing-masing kurang dari 15 minit antara satu sama lain. Kedua-dua pel...