SpaceX “melukis” “nebula” di langit dan mendaratkan roket di daratan untuk kali pertama dari pantai Barat AS ketika melancarkan satelit SAOCOM 1A

SpaceX telah melancarkan sebuah roket Falcon 9 dan menghantar sebuah satelit pemerhati Bumi milik Argentina, SAOCOM 1A ke orbit rendah Bumi. Roket tersebut telah dilancarkan dari pad pelancaran SLC-4E dari Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California, Amerika Syarikat. Pelancaran tersebut telah dilakukan pada 8 Oktober 2018, jam 10:21 PM waktu Malaysia (7 Oktober 2018, jam 7:21 PM waktu tempatan) [1].

Roket Falcon 9 dilancarkan dari pad pelancaran membawa satelit SAOCOM 1A ke orbit
Roket Falcon 9 dilancarkan dari pad pelancaran membawa satelit SAOCOM 1A ke orbit
Kredit: SpaceX [8]

 

SpaceX juga telah berjaya mendaratkan kembali roket peringkat pertama Falcon 9 tersebut di kawasan pendaratan LZ-4, di pangkalan tentera udara yang sama. Ini merupakan pendaratan roket pertama di daratan dari pantai Barat Amerika Syarikat oleh SpaceX. Sebelum ini, SpaceX hanya mendaratkan roket peringkat pertama Falcon 9 di atas kapal tongkang sokongan ASDS untuk pelancaran dari Pangkalan Tentera Udara Vandenberg.

IKLAN

 

Pelancaran ini merupakan pelancaran kali kedua roket Falcon 9 teras B1048. Sebelum ini, teras tersebut pernah digunakan untuk melancarkan 10 buah satelit Iridium NEXT pada bulan Julai 2018 lepas dari pad pelancaran yang sama [2]. Pelancaran tersebut merupakan pelancaran roket ke 17 oleh SpaceX untuk tahun 2018.

 

Satelit SAOCOM 1A telah dilancarkan ke orbit rendah Bumi jenis orbit segerak Matahari. Beberapa jam selepas pelancaran, satelit SAOCOM 1A telah dikatelogkan dengan nombor 43641 dan mempunyai orbit awal berukuran 634 km x 607 km x 97.9º [3].

Gambaran orbit SAOCOM 1A ketika artikel ini ditulis
Gambaran orbit SAOCOM 1A ketika artikel ini ditulis
Kredit: USSTRATCOM [6]
Similasi JSatTrak

 

Untuk pelancaran ini, SpaceX tidak cuba untuk mendapatkan kembali reraut muatan.

 

Asap dari roket Falcon 9 kelihatan seperti nebula akibat pantulan cahaya Matahari
Asap dari roket Falcon 9 kelihatan seperti nebula akibat pantulan cahaya Matahari
Kredit: SpaceX [7]

 

Oleh kerana pelancaran tersebut dilakukan beberapa ketika selepas Matahari terbenam, penduduk sekitar laluan perjalanan roket tersebut dapat melihat corak seperti nebula terbentuk di langit ketika pelancaran. Hal ini berlaku kerana keadaan di daratan yang gelap, namun, lapisan atmosfera yang tinggi masih menerima cahaya Matahari. Oleh itu, wasap yang terhasil akibat pembakaran enjin roket Falcon 9 dapat dilihat dengan jelas akibat pantulan cahaya Matahari. Malah, wasap dari semburan gas nitrogen sejuk sistem kawalan reaksi roket peringkat pertama Falcon 9 tersebut turut dapat dilihat dengan jelas ketika roket tersebut berpusing di udara dan mengawal arah pergerakan untuk kembali mendarat di tapak pelancaran.

Rakaman “timelapse” pelancaran satelit SAOCOM 1A
Kredit: anosmia [4]

 

Tujahan gas sejuk dari sistem kawalan reaksi roket Falcon 9
Kredit: bloomed84 [5]

 

Roket Falcon 9 adalah sebuah roket orbital yang mempunyai ketinggian kira-kira 70 meter. Roket tersebut menggunakan kerosin gred roket (RP-1) sebagai bahan bakar dan oksigen cecair (LOX) sebagai bahan pengoksida. Roket Falcon 9 yang digunakan untuk pelancaran ini adalah roket Falcon 9 versi terbaharu iaitu “block 5”. Naik taraf pada Falcon 9 “block 5” membolehkan roket tersebut mempunyai kuasa yang cukup untuk menghantar satelit SAOCOM 1A ke orbit dan masih mempunyai bahan bakar yang cukup untuk melakukan pembakaran “boostback” bagi mengubah hala tuju roket untuk kembali ke tapak pelancaran dan melakukan pendaratan.


Rakaman pelancaran roket Falcon 9 membawa satelit SAOCOM 1A ke orbit segerak Matahari
Kredit: SpaceX [1]

 

Kredit gambar: SpaceX [0]

 

Rujukan:

[0] https://www.flickr.com/photos/spacex/30234801997/

[1] https://youtu.be/vr_C6LQ7mHc

[2] https://www.reddit.com/r/spacex/wiki/cores#wiki_b1048

[3] https://twitter.com/planet4589/status/1049167565904388096

[4] https://youtu.be/GKqKXB2cttM

[5] https://youtu.be/Mp6x_yEMvN8

[6] https://www.space-track.org/

[7] https://www.flickr.com/photos/spacex/44451125454/

[8] https://www.flickr.com/photos/spacex/31310559708/

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Long March 2C melancarkan pasangan satelit pemerhati Bumi Yaogan-32 Sebuah roket Long March 2C telah melancarkan 2 buah satelit pemerhati Bumi Yaogan-32. Pelancaran tersebut telah dilakukan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, China. Roket dan satelit pasangan terse...
Roket Long March 4B melancarkan satelit pemerhati laut Haiyang-2B ke orbit Sebuah roket Long March 4B telah melancarkan sebuah satelit pemerhati Bumi Haiyang-2B ke orbit. Pelancaran tersebut telah dilakukan dari Pusat Pelancaran Satelit Taiyuan di Wilayah Shanxi, China. Roke...
SpaceX Bakal Menguji Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Orbit Marikh Siaran Langsung Penerbangan Demonstrasi Roket Falcon Heavy SpaceX bakal menayangkan secara langsung penerbangan demonstrasi roket Falcon Heavy pada 2:30 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia. Penerbang...
Satelit CubeSat buatan Malaysia, InnoSAT-2 berjaya dilancarkan bersama satelit HysIS dan 29 satelit ... Kemas kini terakhir: 30 November 2018, 8:40 AM Sebuah satelit buatan Malaysia, InnoSAT-2, telah berjaya dilancarkan ke orbit. Pelancaran tersebut telah dilakukan dengan menggunakan roket Polar Satell...