SpaceX bakal melakukan pendaratan roket “kembali ke tapak pelancaran” di pantai Barat AS

Kemas kini terakhir: 7 Oktober 2018, 17:10

 

SpaceX bakal melakukan pendaratan “kembali ke tapak pelancaran” (“return to launch site“, RTLS) roket peringkat pertama Falcon 9 di pantai Barat Amerika Syarikat. Roket Falcon 9 tersebut akan digunakan untuk melancarkan sebuah satelit pemerhati Bumi Argentina, SAOCOM 1A. Pelancaran itu dijadual dilakukan pada hari Isnin, 8 Oktober 2018, jam 10:22 AM waktu Malaysia (Ahad, 7 Oktober 2018, jam 7:22 PM waktu tempatan). Roket tersebut akan dilancarkan dari pad pelancaran SLC-4E, Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California, Amerika Syarikat. Roket peringkat pertama Falcon 9 akan didaratkan kembali ke darat di pad LZ-4 (SLC-4W) di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg [1]. Jendela pelancaran untuk pelancaran tersebut adalah segera.

 

Siaran langsung liputan pelancaran boleh mula ditonton melalui laman YouTube SpaceX kira-kira 15 minit sebelum pelancaran.


Tonton liputan siaran langsung pelancaran roket Falcon 9 menghantar satelit SAOCOM 1A ke orbit segerak Matahari
Kredit: SpaceX [12]

IKLAN

 

Satelit SAOCOM 1A ketika pengkapsulan reraut muatan
Satelit SAOCOM 1A ketika pengkapsulan reraut muatan
Kredit: CONAE [11]

 

Pelancaran roket Falcon 9 untuk misi SAOCOM 1A ini adalah penerbangan kedua untuk teras B1048. Roket tersebut telah dilancarkan pada 25 Julai 2018 lepas ketika misi Iridium 7. Roket tersebut telah didaratkan di atas kapal tongkang sokongan ASDS “Just Read The Instructions“.

 

Ini merupakan kali pertama SpaceX melakukan pendaratan roket “kembali ke tapak pelancaran” di darat dari pantai Barat Amerika Syarikat. Penduduk di sekitar kawasan pelancaran dan laluan roket dijangka dapat mendengar bunyi dentuman sonik ketika roket peringkat pertama Falcon 9 kembali ke darat [4]. Sebelum ini, pendaratan “kembali ke tapak pelancaran” hanya dilakukan dari pantai Timur Amerika Syarikat iaitu di Cape Canaveral, Florida. Namun, SpaceX telah mendaratkan roket peringkat pertama Falcon 9 di atas kapal tongkang sokongan “Autonomous Spaceport Drone Ship” (ASDS) secara rutin dari pelancaran dari Cape Canaveral dan Pangkalan Tentera Udara Vandenberg.

Tapak pendaratan roket di pantai Barat Amerika Syarikat di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California

Tapak pendaratan roket di pantai Barat Amerika Syarikat di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California
Tapak pendaratan roket di pantai Barat Amerika Syarikat di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California
Kredit: SpaceX [13]

 

Secara asas, SpaceX biasanya melakukan pendaratan “kembali ke tapak pelancaran” untuk misi ke orbit bertenaga rendah seperti misi menghantar bekalan ke stesen angkasa antarabangsa ISS yang terletak di orbit rendah Bumi. Oleh itu, roket peringkat pertama masih mempunyai bahan bakar yang cukup untuk melakukan pembakaran “boostback” untuk mengubah hala tuju roket kembali ke tapak pelancaran, melakukan pembakaran kemasukan semula “reentry” untuk memperlahankan kelajuan roket ketika memasuki atmosfera Bumi, dan pembakaran pendaratan.

Pendaratan “kembali ke tapak pelancaran” roket peringkat pertama Falcon 9 ketika misi CRS-13
Kredit: SpaceX melalui SciNews [6]

 

Untuk misi bertenaga tinggi seperti misi ke orbit pindah geosegerak, SpaceX biasanya akan melakukan pendaratan di atas kapal tongkang sokongan ASDS. Untuk misi ini, roket peringkat pertama Falcon 9 perlu menggunakan bahan bakar yang lebih untuk menghantar muatan ke orbit. Roket peringkat pertama tersebut akan meluncur mengikuti trajektori balistik ke lokasi kapal tongkang ASDS. Baki bahan bakar masih cukup untuk melakukan pembakaran “reentry” dan pembakaran pendaratan.

Pendaratan pertama roket Falcon 9 di atas kapal tongkang sokongan ASDS
Kredit: SpaceX [7]

 

Kadang-kadang apabila jisim muatan terlalu tinggi, SpaceX tidak dapat melakukan pendaratan roket peringkat pertama Falcon 9 kerana bahan bakar perlu digunakan sepenuhnya untuk menghantar muatan ke orbit. Untuk membolehkan SpaceX mendapatkan kembali roket peringkat pertama ketika menghantar muatan berjisim tinggi ke orbit bertenaga tinggi, SpaceX telah membangunkan roket Falcon Heavy. Namun, roket Falcon Heavy masih dalam fasa ujian dan hanya pernah melakukan 1 penerbangan. 2 daripada 3 roket yang membentuk Falcon Heavy berjaya didaratkan kembali ketika penerbangan ujian tersebut pada Februari 2018 lepas.

Pendaratan 2 roket sisi Falcon Heavy ketika ujian penerbangan pertama
Kredit: SpaceX [8]

 

Selaras dengan cita-cita SpaceX untuk guna semula sepenuhnya kenderaan pelancaran ke angkasa, mereka akan turut cuba untuk menangkap reraut muatan dalam misi ini dengan menggunakan kapal sokongan “Mr Steven” untuk diguna semula [5].

Kapal sokongan
Kapal sokongan “Mr Steven” yang digunakan oleh SpaceX untuk menangkap reraut muatan dipasang jaring yang lebih besar pada bulan Julai 2018 lepas
Kredit: SpaceX [10]

 

Satelit pemerhati Bumi milik Argentina, SAOCOM 1A tersebut akan dilancarkan ke orbit rendah Bumi. Secara spesifik, orbit tersebut ialah orbit segerak Matahari yang berukuran 620 km x 620 km. Ketika artikel ini ditulis, masih tiada maklumat mengenai kecondongan orbit. Roket Falcon 9 akan bergerak ke arah barat daya selepas dilancarkan. Satelit tersebut mempunyai jisim kira-kira 1,600 kg dan dijangka mempunyai hayat operasi selama 5 tahun [3].

Trajektori roket Falcon 9 selepas dilancarkan ketika misi SAOCOM 1A
Trajektori roket Falcon 9 selepas dilancarkan ketika misi SAOCOM 1A
Kredit: @Raul74Cz [9]

 

Roket Falcon 9 adalah sebuah roket pelancaran ke orbit berkapasiti sederhana dan mempunyai 2 peringkat. Kedua-dua peringkat roket Falcon 9 menggunakan bahan bakar kerosin gred roket (RP-1) dan oksigen cecair (LOX) sebagai bahan pengoksida. Untuk versi terbaharu Falcon 9 iaitu Falcon 9 Block 5, roket ini mempunyai kapasiti muatan sehingga 22,800 kg ke orbit rendah Bumi, 5,500 kg ke orbit pindah geosegerak jika roket peringkat pertama didaratkan, atau 8,300 kg ke orbit pindah geosegerak sekiranya roket peringkat pertama digunakan sepenuhnya dan tidak didaratkan. Keseluruhan roket Falcon 9 mempunyai jisim kira-kira 550,000 kg ketika dilancarkan. Roket Falcon 9 mempunyai ketinggian kira-kira 70 meter dan berdiameter 3.7 meter.

 

Garis masa misi

Masa (Jam:Minit:Saat) Peristiwa [14]
– 00:00:45 Pengarah Pelancaran SpaceX memberi kebenaran pelancaran
– 00:00:03 Pengawal enjin memulakan aturan penyalaan enjin
00:00:00 Roket Falcon 9 dilancarakan
00:00:59 Roket mengalami keadaan “Max Q” iaitu keadaan apabila badan roket mengalami tekanan mekanikal tertinggi
00:02:20 Enjin roket peringkat pertama dimatikan (MECO)
00:02:24 Roket peringkat pertama dan kedua berpisah
00:02:31 Enjin roket peringkat kedua dihidupkan
00:02:36 Pembakaran “boostback” (mengubah arah pergerakan roket peringkat pertama untuk kembali ke tapak pelancaran)
00:02:48 Reraut muatan dibuang
00:05:57 Pembakaran kemasukan (entry burn) roket peringkat pertama
00:07:46 Roket peringkat pertama mendarat
00:10:07 Enjin roket peringkat kedua dimatikan (SECO-1)
00:12:37 Satelit SAOCOM 1A dilepaskan ke orbit

 

Sejarah kemas kini:

7 Oktober 2018, 17:10 – pautan rasmi siaran langsung, kemas kini

 

Kredit gambar: SpaceX [0]

 

Rujukan:

[0] https://www.flickr.com/photos/spacex/28787338307/

[1] https://www.reddit.com/r/spacex/comments/9fwj9o/saocom_1a_launch_campaign_thread/

[2] https://www.reddit.com/r/SpaceX/wiki/pads

[3] https://space.skyrocket.de/doc_sdat/saocom-1.htm

[4] http://www.spaceflightinsider.com/organizations/space-exploration-technologies/warning-issued-about-sonic-booms-during-spacexs-first-west-coast-landing-attempt/

[5] https://www.reddit.com/r/spacex/comments/9lazvr/rspacex_saocom_1a_official_launch_discussion/

[6] https://www.youtube.com/watch?v=Z6RPfXSRww4

[7] https://www.youtube.com/watch?v=sYmQQn_ZSys

[8] https://www.youtube.com/watch?v=wbSwFU6tY1c

[9] https://twitter.com/Raul74Cz/status/1047565245324177409

[10] https://twitter.com/SpaceX/status/1017807493311811584

[11] https://twitter.com/CONAE_Oficial/status/1040694505903738880

[12] https://youtu.be/vr_C6LQ7mHc

[13] https://twitter.com/SpaceX/status/1048700657681592320

[14] https://www.spacex.com/sites/spacex/files/saocom1apresskit.pdf

Anda Mungkin Juga Berminat

Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 Selamat Tiba di Orbit Kemas kini 2018-07-03 00:30 Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS   Artikel Asal Satelit CubeSat UiTMSAT-1 yang dihantar bersama kapal angkasa ...
Stesen angkasa Tiangong-2 China akan ditamatkan perkhidmatan dan keluar orbit secara terkawal pada J... Stesen angkasa kedua China, Tiangong-2 akan ditamatkan perkhidmatan dan akan melakukan proses keluar orbit secara terkawal pada Julai 2019, menurut Lin Xiqiang, timbalan pengarah 'China Manned Space E...
Roket Kuaizhou 1A melancarkan satelit prototaip Centispace-1 1S ke orbit segerak Matahari Sebuah roket Kuaizhou 1A telah melancarkan sebuah satelit prototaip Centispace-1 1S ke orbit segerak Matahari. Pelancaran tersebut telah dilakukan pada 29 September 2018 lalu pada jam 12:13 waktu Mala...
SpaceX Melancarkan Satelit Komunikasi Telstar 19 VANTAGE, Mendaratkan Kembali Roket SpaceX telah berjaya melancarkan sebuah satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE, ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) dengan menggunakan roket Falcon 9. Pelancaran terseb...