Roket Soyuz 2.1b melancarkan satelit pengintip Lotos-S1 / Kosmos-2528

Selepas roket Soyuz FG gagal dilancarkan ke angkasa pada 11 Oktober 2018 lepas, satu variasi roket Soyuz iaitu Soyuz 2.1b telah dilancarkan ke angkasa dari Tapak 43, Plesetsk Cosmodrome, Rusia. Pelancaran tersebut telah dilakukan pada 25 Oktober 2018 pada pukul 8:15 AM waktu Malaysia (3:15 AM waktu tempatan). Roket Soyuz 2.1b tersebut dilancarkan untuk membawa satelit pengintip Lotos-S1 yang dikenali sebagai Kosmos-2528 / 14F145 untuk Kementerian Pertahanan Rusia [1]. Pelancaran tersebut merupakan pelancaran ke 12 roket buatan Rusia ke orbit [4].

 

Roket Soyuz 2.1b melancarkan satelit pengintip Lotos-S1
Roket Soyuz 2.1b melancarkan satelit pengintip Lotos-S1
Kredit: Kementerian Pertahanan Rusia [0]

 

IKLAN

Ketika artikel ini ditulis, satelit Kosmos-2528 tersebut berada di orbit rendah Bumi pada orbit berukuran 901 km x 245 km dengan kecondongan 67.14º [2].

 

Gambaran orbit satelit Kosmos-2528
Gambaran orbit satelit Kosmos-2528 ketika artikel ini ditulis
Kredit: USSTRATCOM [2]
Simulasi JSatTrak

 

Satelit Lotos-S1 atau Kosmos-2528 14F145 tersebut merupakan satelit ketenteraan Rusia. Satelit itu adalah sebahagian dari rangkaian projek Liana yang digunakan dalam risikan elektronik di orbit. Signal radio yang berjaya dipintas oleh satelit tersebut akan membantu untuk mengesan, mencirikan, dan mensasarkan pelbagai kenderaan atau pepasangan ketenteraan [3]. Ketika ini, rangkaian Liana mempunyai 4 buah satelit iaitu Kosmos-2528, Kosmos-2524 (dilancarkan Disember 2017), Kosmos-2503 (dilancarkan Disember 2014), dan Kosmos-2455 (dilancarkan November 2009).

 

Ilustrasi - satelit Lotus-S
Ilustrasi – satelit Lotus-S
Kredit: KB Arsenal/Gunter Dirk Krebs [6]

 

Roket yang digunakan untuk pelancaran adalah Soyuz 2.1b. Roket tersebut mempunyai 3 peringkat dan boleh dilancarkan dengan menggunakan roket peringkat atas tambahan Fregat. Ketiga-tiga peringkat roekt Soyuz 2.1b menggunakan bahan bakar kerosin gred roket (RG-1) dan bahan pengoksida oksigen cecair (LOX). Roket Soyuz 2.1b mempunyai kapasiti muatan ke orbit rendah Bumi sebanyak 8,200 kg, orbit segerak Matahari kira-kira 4,900 kg, dan orbit pindah geosegerak kira-kira 3,250 kg. Roket Soyuz dari variasi Soyuz 2 merupakan roket Soyuz paling moden dengan beberapa pembaharuan seperti sistem kawalan penerbangan digital, dan sistem suntikan yang ditambah baik. Roket Soyuz 2.1b menggunakan enjin RD-0124 yang lebih moden pada roket peringkat ketiga [5].

 


Rakaman roket Soyuz 2.1b melancarkan satelit Kosmos-2528
Kredit: Kementerian Pertahanan Rusia

 

Kredit gambar: Kementerian Pertahanan Rusia (Roket Soyuz 2.1b melancarkan satelit pengintip Lotos-S1) [0]

 

Rujukan:

[0] http://мультимедиа.минобороны.рф/multimedia/photo/gallery.htm?id=61293@cmsPhotoGallery

[1] http://www.russianspaceweb.com/lotos-s1-804.html

[2] https://www.space-track.org/#catalog

[3] http://www.russianspaceweb.com/liana.html

[4] http://www.spacelaunchreport.com/log2018.html#stats

[5] http://www.russianspaceweb.com/soyuz2_lv.html

[6] https://space.skyrocket.de/doc_sdat/lotos.htm

Anda Mungkin Juga Berminat

Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa Kurang 4 Jam Selepas Dilancar... Kapal angkasa kargo dari Rusia, Progress MS-09 telah tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS, kurang 4 jam selepas dilancarkan ke angkasa. Progress MS-09 (atau Progress 70P) telah tiba di stesen angk...