Roket membawa 2 angkasawan Soyuz MS-10 ke angkasa gagal ketika pelancaran

Pada 11 Oktober 2018, sebuah roket Soyuz FG telah dilancarkan untuk membawa 2 orang angkasawan iaitu Nick Hague (Amerika Syarikat/NASA), dan Alexey Ovchinin (Rusia/Roscosmos) ke stesen angkasa antarabangsa, ISS, dengan menaiki kapal angkasa Soyuz MS-10. Namun, roket tersebut telah mengalami kegagalan ketika penerbangan menyebabkan sistem lepas automatik diaktifkan. Sistem lepas itu telah membawa kapsul Soyuz MS-10 yang mengandungi 2 angkasawan tersebut jauh dari roket yang gagal berfungsi ke arah yang selamat.

 

2 angkasawan tersebut telah mendarat kembali ke Bumi secara balistik dan berada dalam keadaan selamat. Pasukan penyelamat mengambil masa selama kira-kira 1 setengah jam untuk tiba di kawasan pendaratan kapsul Soyuz MS-10 kira-kira 20 km dari Timur Dzhezkzagan, Kazakhstan [1]. Mereka kemudian dibawa kembali ke Baikonur, Khazakhstan. Roket Soyuz FG tersebut telah dilancarkan dari Pad 1/5, Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada pukul 4:40 PM waktu Malaysia (2:40 PM waktu tempatan).

 

Krew Soyuz MS-10 selepas mereka dijumpai oleh pasukan penyelamat
Kredit: Roscosmos

IKLAN

 

Ketika artikel ini ditulis, punca sebenar kegagalan penerbangan roket Soyuz FG tersebut masih belum diketahui. Menurut laporan SputnikNews, kegagalan tersebut mungkin disebabkan dari roket peringkat pertama (roket penggalak sisi) terkena pada roket peringkat kedua (roket teras tengah) menyebabkan tekanan turun lalu mengaktifkan sistem lepas kerana penerbangan tidak berada dalam keadaan nominal [1]. Analisis awal dari telemetri menunjukkan mungkin terdapat masalah pada bahan letupan piroteknik yang digunakan untuk memisahkan roket peringkat pertama (roket penggalak sisi) dari roket peringkat kedua (roket teras tengah) [3].

 

Sejurus komputer penerbangan mengesan sesuatu yang tidak normal pada pelancaran, sistem lepas telah diaktifkan. Sistem lepas berfungsi untuk membawa angkasawan ke arah yang lebih selamat sekiranya roket mengalami kegagalan ketika pelancaran. Menurut liputan siaran langsung pelancaran oleh NASA TV, kedua-dua angkasawan mengalami daya tarikan setinggi 6.7g ketika sistem lepas diaktifkan.

 

Roket Soyuz FG dilancarkan bersama kapal angkasa Soyuz MS-10
Roket Soyuz FG dilancarkan bersama kapal angkasa Soyuz MS-10
Kredit: NASA [5]

 

Pada ketika ini, kapal angkasa Soyuz MS-09 masih berada di ISS sebagai kenderaan pulang untuk 3 angkasawan Ekspedisi 56 yang masih berada di stesen itu ketika ini iaitu Alexander Gerst (Jerman/ESA), Serena M. Auñón-Chancellor (Amerika Syarikat/NASA), dan Sergey Prokopyev (Rusia/Roscosmos). Bulan Oktober 2018 sepatutnya menyaksikan pertukaran krew stesen angkasa antarabangsa ISS.

 

Pada 4 Oktober 2018 lepas, 3 angkasawan iaitu Drew Feustel (Amerika Syarikat/NASA), Ricky Arnold (Amerika Syarikat/NASA), dan Oleg Artemyev (Rusia/Roscosmos) telah kembali ke Bumi dari ISS dan selamat mendarat berhampiran Zhezkazgan, Kazakhstan dengan menaiki kapal angkasa Soyuz MS-08. 3 angkasawan yang masih berada di ISS pada ketika ini dijadual pulang kembali ke Bumi pada Disember 2018 dengan menaiki Soyuz MS-09.

 

Sekiranya pelancaran tersebut berjaya, ia merupakan kali kedua Alexey Ovchinin ke angkasa, dan merupakan penerbangan pertama Nick Hague ke angkasa. Malah, Nick Hague turut dijadual melakukan aktiviti luar angkasa “spacewalk” 19 Oktober 2018 dan 25 Oktober 2018 bagi menggantikan bateri stesen angkasa ISS. Ketika artikel ini ditulis, masih tiada berita mengenai sama ada aktiviti luar angkasa tersebut dibatalkan atau Nick Hague digantikan oleh Serena M. Auñón-Chancellor.

 

Ini merupakan kejadian tidak diingini kedua yang berlaku dalam tempoh kurang 2 bulan berkaitan penerbangan manusia ke angkasa. Pada 30 Ogos 2018 lepas, sistem amaran di stesen angkasa antarabangsa, ISS, telah dihidupkan kerana stesen angkasa tersebut mengalami penurunan tekanan atmosfera dalaman stesen. Kehilangan tekanan atmosfera dalam tersebut berpunca dari lubang yang dijumpai pada kapal angkasa Soyuz MS-09. Lubang tersebut bagaimanapun telah ditampal oleh krew stesen ketika itu dan tekanan atmosfera stesen kekal stabil sehingga hari ini.

 

Lubang yang dijumpai pada kapal angkasa Soyuz MS-09
Lubang yang dijumpai pada kapal angkasa Soyuz MS-09
Kredit: NASA melalui RussianSpaceWeb [2]

 

Kegagalan ini merupakan kegagalan pertama roket Soyuz FG. Sebelum ini, roket tersebut telah dilancarkan sebanyak 64 kali ke angkasa tanpa masalah. 10 dari pelancaran tersebut telah menggunakan roket peringkat atas Fregat bagi meletakkan satelit di orbit. Baki 54 pelancaran lagi adalah untuk misi ke stesen angkasa antarabangsa seperti pelancaran kapal angkasa berkrew Soyuz atau pelancaran kapal angkasa kargo Progress. Ini merupakan kegagalan pertama pelancaran kapal angkasa Soyuz ke angkasa sejak tahun 1983.

 

Pelancaran seterusnya roket Soyuz FG dijadual dilakukan pada 30 Oktober 2018 ini. Roket tersebut dijadual melancarkan kapal angkasa kargo Progress MS-10 menghantar bekalan ke stesen angkasa antarabangsa, ISS.

 

Ketika ini, hanya 2 negara mempunyai kemampuan untuk membawa manusia ke angkasa iaitu Rusia dengan menggunakan kapal angkasa Soyuz dan China menggunakan kapal angkasa Shenzhou yang turut dibina menggunakan teknologi Soyuz. Amerika Syarikat kehilangan kemampuan membawa manusia ke orbit setelah program kapal angkasa Space Shuttle ditamatkan. Namun, beberapa kapal angkasa untuk membawa manusia ke angkasa dari Amerika Syarikat sedang dibangunkan seperti Dragon Crew, Boeing’s CST-100 Starliner, dan Dream Chaser.

 

Pihak NASA dan Roskosmos akan menjalankan siasatan mendalam bagi mencari punca kegagalan tersebut [4].

 


Rakaman pelancaran roket Soyuz FG bersama kapal angkasa Soyuz MS-10
Kredit: NASA [6]

 

Kredit gambar: ESA/NASA-A.Gerst (Pemandangan pelancaran Soyuz MS-10 dari stesen angkasa antarabangsa, ISS) [0]

 

Rujukan:

[0] https://www.flickr.com/photos/astro_alex/44335552035/in/dateposted/

[1] https://sputniknews.com/world/201810111068785038-accident-soyuz/

[2] http://www.russianspaceweb.com/soyuz-ms-09-hole.html

[3] https://twitter.com/RussianSpaceWeb/status/1050382180130742273

[4] https://www.nasa.gov/press-release/nasa-statement-on-soyuz-ms-10-launch-abort

[5] https://www.flickr.com/photos/nasahqphoto/43428680310/

[6] https://youtu.be/LUwnLFKfuBE

Anda Mungkin Juga Berminat

Satelit UiTMSAT-1 Akan Dilancarkan Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 ke ISS Kemas kini 2018-07-03 00:30 Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS   Artikel Asal Satelit UiTMSAT-1 akan dilancarkan bersama kapal angkasa kargo...
Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 Selamat Tiba di Orbit Kemas kini 2018-07-03 00:30 Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS   Artikel Asal Satelit CubeSat UiTMSAT-1 yang dihantar bersama kapal angkasa ...
Blue Origin Berjaya Menguji Sistem Lepas Krew, Mendaratkan Kembali Kapsul dan Roket Blue Origin berjaya menguji sistem lepas krew (crew escape system) pada altitud tinggi dengan keadaan vakum dalam rancangan membawa pelancong ke angkasa pada masa hadapan. Kapsul yang bakal digunakan ...
Roket Soyuz 2.1a Melancarkan Kapal Angkasa Kargo Progress MS-08 ke Stesen Angkasa Antarabangsa Kemaskini terakhir: 23:20 14 Februari 2018   Roket Soyuz 2.1a di pad pelancaran Kredit: Roscosmos   Pada 4:13PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia (2:13PM waktu tempatan), roket Soyuz...