Roket Long March 4B melancarkan satelit pemerhati laut Haiyang-2B ke orbit

Sebuah roket Long March 4B telah melancarkan sebuah satelit pemerhati Bumi Haiyang-2B ke orbit. Pelancaran tersebut telah dilakukan dari Pusat Pelancaran Satelit Taiyuan di Wilayah Shanxi, China. Roket Long March 4B itu telah dilancarkan pada 25 Oktober 2018, pukul 6:57 AM waktu Malaysia dan tempatan [1]. Pelancaran tersebut merupakan pelancaran ke 29 dari China ke orbit pada tahun 2018 [2].

 

Roket Long March 4B melancarkan satelit Haiyang-2B ke orbit
Roket Long March 4B melancarkan satelit Haiyang-2B ke orbit
Kredit: 9ifly [0]

 

IKLAN

Ketika artikel ini ditulis, satelit Haiyang-2B berada pada orbit segerak Matahari berukuran 944 km x 929 km dengan kecondongan 99.35º [3].

 

Gambaran orbit satelit Haiyang-2B
Gambaran orbit satelit Haiyang-2B
Kredit: USSTRATCOM [3]
Simulasi JSatTrak

 

Satelit Haiyang-2B akan digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai lautan seperti aras laut, kelajuan angin, ais di lautan, tahap hujan, dan suhu permukaan laut. Satelit tersebut turut dilengkapi dengan sistem pengenalan automatik untuk memantau dan mengesan kapal, serta sistem pengumpul data untuk menerima, menyimpan, dan menghantar data ukuran dari boya di kawasan laut China dan lautan lain.

 

Haiyang-2B akan meningkatkan kemampuan China melakukan ramalan, memantau, dan melakukan penderiaan jauh lautan [5]. Maklumat dari satelit tersebut akan turut digunakan dalam bantuan bencana laut, penggunaan sumber lautan, dan melihat kesan akibat perubahan iklim. Satelit Haiyang-2B mempunyai jisim kira-kira 1,500 kg dan dijangka beroperasi selama 5 tahun [4].

 

Gambaran artis - Haiyang-2B
Gambaran artis – Haiyang-2B
Kredit: 9ifly [6]

 

Sebelum ini, China telah melancarkan 5 buah satelit Haiyang ke orbit dengan pelancaran pertama pada tahun 2002 iaitu Haiyang 1. Pelancaran pertama untuk siri Haiyang 2 adalah pada tahun 2011 iaitu Haiyang 2A. Haiyang membawa maksud lautan.

 

Roket Long March 4B yang digunakan untuk pelancaran tersebut adalah sebuah roket pelancaran ke orbit yang mempunyai ketinggian 44.1 meter dan mempunyai diameter 3.35 meter. Ketika dilancarkan, roket tersebut mempunyai jisim kira-kira 249,200 kg. Long March 4B mempunyai kapasiti muatan kira-kira 4,200 kg ke orbit rendah Bumi, kira-kira 2,800 kg ke orbit segerak Matahari, dan kira-kira 1,500 kg ke orbit pindah geosegerak. Long March 4B mempunyai 3 peringkat dan menggunakan bahan bakar hidrazina “unsymmetrical dimethylhydrazine” (UDMH) dan nitrogen tetroksida (N2O4). Pelancaran tersebut merupakan pelancaran ke 58 dari roket siri Long March 4 dengan 56 pelancaran yang berjaya sejak tahun 1988 [2].

 


Video sorotan roket Long March 4B melancarkan satelit Haiyang-2B ke orbit
Kredit: CCTV

 

Kredit gambar: 9ifly (Roket Long March 4B melancarkan satelit Haiyang-2B ke orbit) [0]

 

Rujukan:

[0] http://www.9ifly.cn/article-13627-1.html

[1] http://www.xinhuanet.com/english/2018-10/25/c_137557493.htm

[2] http://www.spacelaunchreport.com/log2018.html

[3] https://www.space-track.org/#catalog

[4] https://www.wmo-sat.info/oscar/satellites/view/555

[5] http://www.globaltimes.cn/content/1124587.shtml

[6] http://www.9ifly.cn/article-13628-1.html

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Long March 2C melancarkan pasangan satelit pemerhati Bumi Yaogan-32 Sebuah roket Long March 2C telah melancarkan 2 buah satelit pemerhati Bumi Yaogan-32. Pelancaran tersebut telah dilakukan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, China. Roket dan satelit pasangan terse...
Roket Falcon 9 Menghantar 3 Satelit ke Orbit Rendah Bumi Tepat pada 10:17PM 22 Februari 2018 waktu Malaysia (6:17AM waktu tempatan), roket Falcon 9 Full Thrust dari SpaceX telah berjaya dilancarkan, dan meletakkan 3 satelit di orbit rendah bumi. Satelit ter...
Long March 9: Roket Paling Berkuasa China Bakal Dibangunkan China terus meluaskan peranan mereka dalam industri angkasa dan bakal membangunkan roket baharu dari keluarga Long March. Roket yang bakal dikenali sebagai Long March 9 (LM-9/Changzheng 9/CZ-9) terseb...
SpaceX “melukis” “nebula” di langit dan mendaratkan roket di daratan untuk k... SpaceX telah melancarkan sebuah roket Falcon 9 dan menghantar sebuah satelit pemerhati Bumi milik Argentina, SAOCOM 1A ke orbit rendah Bumi. Roket tersebut telah dilancarkan dari pad pelancaran SLC-4E...