Roket Long March 2C melancarkan pasangan satelit pemerhati Bumi Yaogan-32

Sebuah roket Long March 2C telah melancarkan 2 buah satelit pemerhati Bumi Yaogan-32. Pelancaran tersebut telah dilakukan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, China. Roket dan satelit pasangan tersebut telah dilancarkan pada 9 Oktober 2018, pukul 10:43 AM waktu Malaysia dan tempatan [0]. Pelancaran tersebut merupakan pelancaran orbital ke 27 oleh China untuk tahun 2018.

 

Roket Long March 2C melancarkan 2 buah satelit Yaogan-32 ke orbit
Roket Long March 2C melancarkan 2 buah satelit Yaogan-32 ke orbit
Kredit: Xinhua [0]

IKLAN

 

Menurut Xinhua, pasangan satelit pemerhati Bumi dari keluarga Yaogan-32 itu akan digunakan untuk mengkaji persekitaran elektromagnetik dan pelbagai ujian teknologi lain yang berkaitan. Namun, penganalisis luar berpendapat bahawa satelit penderiaan jauh dari keluarga Yaogan tersebut digunakan untuk risikan optikal, radar, dan elektronik bagi tujuan ketenteraan [1].

 

Sebagaimana kebanyakkan satelit pemerhati Bumi lain, pasangan satelit tersebut akan beroperasi di orbit rendah Bumi atau lebih tepat lagi di orbit segerak Matahari. Ketika artikel ini ditulis, 3 objek dari pelancaran tersebut telah dikatelogkan dan berada pada orbit berukuran 705 km x 689 km x 98.28º, 699 km x 689 km x 98.28º, dan 704 km x 689 km x 98.28º [2]. Orbit segerak Matahari membolehkan satelit pemerhati Bumi mencerap sesuatu kawasan di Bumi pada waktu tempatan yang sama setiap hari, atau lebih tepat lagi, pada sudut pancaran sinar matahari yang sama.

Gambaran orbit 3 objek dari pelancaran tersebut ketika artikel ini ditulis
Gambaran orbit 3 objek dari pelancaran tersebut ketika artikel ini ditulis
Kredit: USSTRATCOM [2]
Simulasi JSatTrak

 

Roket Long March 2C yang digunakan untuk pelancaran tersebut adalah sebuah roket orbital 3 peringkat. Roket tersebut mempunyai ketinggian kira-kira 42 meter dan mempunyai jisim sebanyak kira-kira 233,000 kg ketika dilancarkan. Roket Long March 2C menggunakan bahan bakar jenis hidrazina dari UDMH dan nitrogen tetroksida (N2O4) [3]. Untuk pelancaran ini, roket Long March 2C itu roket peringkat ke 3 baharu iaitu Yuanzheng-1S. Roket peringkat atas tersebut adalah versi roket Yuanzheng-1 yang lebih ringkas. Sebelum ini, roket Long March 2C mempunyai kapasiti muatan berjisim 1,200 kg ke orbit segerak Matahari berukuran 700 km, namun dengan penggunakan roket peringkat atas baharu tersebut, kapasiti muatan Long March 2C ke orbit segerak Matahari ditingkatkan kepada 2,000 kg.

 


Roket Long March 2C melancarkan 2 buah satelit pemerhati Bumi Yaogan-32 ke orbit segerak Matahari
Kredit: CCTV melalui SciNews [4]

 

Kredit gambar: Xinhua [0]

 

Rujukan:

[0] http://www.xinhuanet.com/english/2018-10/09/c_137520074.htm

[1] https://gbtimes.com/china-launches-two-yaogan-32-series-reconnaissance-satellites-from-gobi-desert?cat=chinas-space-program

[2] https://www.space-track.org/#catalog

[3] http://cgwic.com/Launchservice/LM2C.html

[4] https://www.youtube.com/watch?v=vd1iwryZ3zM

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Falcon 9 Menghantar 3 Satelit ke Orbit Rendah Bumi Tepat pada 10:17PM 22 Februari 2018 waktu Malaysia (6:17AM waktu tempatan), roket Falcon 9 Full Thrust dari SpaceX telah berjaya dilancarkan, dan meletakkan 3 satelit di orbit rendah bumi. Satelit ter...
Roket Long March 3A Melancarkan Satelit Navigasi BeiDou Baharu ke Orbit Roket Long March 3A telah melancarkan sebuah satelit navigasi BeiDou baharu ke orbit. Pelancaran telah dilakukan pada jam 04:58 waktu Malaysia dan tempatan pada hari Selasa, 10 Julai 2018 . Roket ters...
Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Akan Menguji Tempoh Perjalanan Singkat ke Stesen Angkasa Antaraba... Walaupun stesen angkasa antarabangsa, ISS baru sahaja menerima ketibaan kapal angkasa kargo SpaceX Dragon CRS-15 pada 2 Julai 2018, kini stesen angkasa tersebut akan menerima ketibaan kapal angkasa ka...
Roket Long March 2C Menghantar 2 Satelit Eksperimen Teknologi Ke Orbit China telah melancarkan sebuah roket Long March 2C dan menghantar sepasang satelit eksperimen teknologi ke orbit. Roket tersebut telah dilancarkan tepat pada 27 Jun 2018 11:30:05 AM waktu Malaysia dan...