Roket Atlas V meletakkan satelit AEHF-4 di orbit pindah geosegerak

United Launch Alliance telah melancarkan sebuah roket Atlas V 551 ke orbit dari Kompleks Pelancaran Angkasa 41 (SLC-41), Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat pada 17 Oktober 2018. Pelancaran tersebut mempunyai jendela pelancaran selama 2 jam bermula 12:15 PM hingga 2:15 PM waktu Malaysia (12:15 AM hingga 2:15 AM waktu tempatan), namun, pelancaran telah dilakukan tepat pada 12:15:00.2 PM waktu Malaysia (12:15:00.2 AM waktu tempatan) sebaik sahaja jendela pelancaran dibuka [1].

 

Pelancaran tersebut merupakan misi ke 131 oleh United Launch Alliance, pelancaran ke 79 roket Atlas V, dan pelancaran ke 9 roket Atlas V menggunakan konfigurasi 551.

IKLAN

 

Roket Atlas V melancarkan satelit AEHF-4 ke orbit
Roket Atlas V melancarkan satelit AEHF-4 ke orbit
Kredit: United Launch Alliance [1]

 

Satelit AEHF-4 atau “Advanced Extremely High Frequency” adalah sebuah satelit komunikasi untuk tujuan ketenteraan [4]. AEHF-4 akan menyediakan perkhidmatan komunikasi dengan perlindungan tertinggi untuk tentera Amerika Syarikat dan beberapa negara lain seperti Kanada, Belanda dan United Kingdom. Oleh kerana satelit tersebut merupakan satelit ketenteraan Amerika Syarikat, “United States Strategic Command” (USSTRATCOM) tidak akan mengeluarkan maklumat orbit kepada umum. Namun, United Launch Alliance menyatakan bahawa satelit tersebut akan diletakkan pada orbit pindah geosegerak berukuran 35,299 km x 8,914 km x 12.8º [3].

 

Untuk pelancaran tersebut, roket peringkat atas Centaur telah melakukan pembakaran pada apogi orbit pindah (kedudukan tertinggi pada orbit) untuk menaikkan perigi orbit (kedudukan terendah orbit) supaya satelit AEHF-4 hanya perlu menggunakan tenaga yang sedikit untuk melakukan pembulatan orbit [4] [6]. Satelit AEHF-4 dilepaskan ke orbit pindah geosegerak 3 jam 32 minit 54 saat selepas pelancaran [7].

 

Garis masa misi pelancaran
Garis masa misi pelancaran
Kredit: United Launch Alliance [3]

 

Roket Atlas V yang digunakan untuk pelancaran ini menggunakan konfigurasi 551 iaitu konfigurasi paling berkuasa untuk roket Atlas V. Konfigurasi 551 menggunakan reraut muatan bersaiz 5 meter, 5 roket penggalak sisi pepejal dan roket peringkat atas Centaur dengan 1 enjin. Roket penggalak pepejal yang digunakan oleh Atlas V menggunakan bahan bakar pepejal “hydroxyl-terminated polybutadiene” (HTPB). Enjin RD-180 buatan Rusia roket teras Atlas V menggunakan bahan bakar kerosin gred roket (RP-1) dan oksigen cecair (LOX) sebagai bahan pengoksida. Enjin RL-10A roket peringkat atas Centaur pula menggunakan bahan bakar hidrogen cecair (LH2) dan bahan pengoksida oksigen cecair (LOX). Roket Atlas V mempunyai kemampuan membawa muatan sehingga 20,520 kg ke orbit rendah Bumi, dan 8,900 kg ke orbit pindah geosegerak.

 

Kredit gambar: United Launch Alliance (Roket Atlas V dilancarkan membawa satelit AEHF-4 ke orbit) [0]

 

Rujukan:

[0] https://www.flickr.com/photos/ulalaunch/44466740335/

[1] https://twitter.com/ulalaunch/status/1052420301768790017

[2] https://www.ulalaunch.com/missions/atlas-v-aehf-4

[3] https://www.ulalaunch.com/docs/default-source/launch-booklets/AEHF4_MOB_FinalA.pdf

[4] https://twitter.com/torybruno/status/1052181154546085888

[6] https://twitter.com/ulalaunch/status/1052465704618926080

[7] https://twitter.com/ulalaunch/status/1052466413196247040

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Falcon 9 SpaceX Berjaya Melancarkan Satelit Komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6 (Hispasat 1F),... Kemas kini terakhir: 6:00 AM, 7 Mac 2018 SpaceX telah berjaya melancarkan roket Falcon 9 dan menghantar sebuah satelit komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6, ke orbit pindah geopegun (geostationary tra...
Roket Falcon 9 Akan Melancarkan Satelit Telstar 19 VANTAGE ke Orbit SpaceX akan melancarkan sebuah satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) dengan menggunakan roket Falcon 9 baharu dari "block 5". Pelan...
Roket Atlas V Berjaya Melancarkan Satelit Cuaca NASA, GOES-S Roket Atlas V membawa satelit GOES-S berlepas dari Kompleks Pelancaran Angkasa 41 Kredit: ULA   Roket Atlas V 541 telah berjaya dilancarkan dan menghantar satelit GOES-S ke orbit. Roket t...
Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 Selamat Tiba di Orbit Kemas kini 2018-07-03 00:30 Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS   Artikel Asal Satelit CubeSat UiTMSAT-1 yang dihantar bersama kapal angkasa ...