Prob BepiColombo memulakan perjalanan 7 tahun ke planet Utarid

Kemas kini terakhir: 22 Oktober 2018, 4:40 PM

 

Tahun 2018 menyaksikan beberapa pelancaran roket membawa muatan ke orbit heliosentrik seperti ujian penerbangan roket Falcon Heavy membawa sebuah kereta Tesla Roadster menyentuh orbit planet Marikh pada Februari 2018, misi pelancaran pendarat InSight ke planet Marikh pada Mei 2018, dan misi pelancaran prob angkasa Parker Solar Probe mendekati Matahari pada Ogos 2018.

 

Sebuah roket Ariane 5 ECA telah melancarkan prob angkasa BepiColombo keluar dari pengaruh kuat graviti Bumi menuju ke planet Utarid. Pelancaran tersebut telah dilakukan dari pad ELA-3, Guiana Space Center, Kourou, French Guiana, Perancis. Roket Ariane 5 ECA itu telah dilancarkan pada 20 Oktober 2018 pada pukul 9:45:28 AM waktu Malaysia, atau 19 Oktober 2018 pada pukul 10:45:28 PM waktu tempatan [1].

 

IKLAN

Tempoh misi pelancaran tersebut berlaku selama kurang 27 minit. Kira-kira 36 minit selepas pelancaran, stesen bumi agensi angkasa Eropah, European Space Agency (ESA) di Darmstadt, Jerman, telah menerima signal dari prob angkasa BeliColombo mengesahkan kejayaan misi pelancaran tersebut. Roket Ariane 5 ECA itu telah meletakkan prob angkasa BepiColombo pada halaju lepas berukuran kira-kira 3.475 km/s dengan kecondongan kira-kira -3.8º bagi membolehkan prob angkasa tersebut memulakan perjalanan kira-kira 7 tahun ke planet Utarid [2].

 

Prob angkasa BepiColombo
Prob angkasa BepiColombo
Kredit: ESA/CNES/Arianespace/Optique video du CSG – S. Martin [9]

 

BepiColombo adalah satu misi sains ke planet Utarid oleh agensi angkasa Eropah, European Space Agency (ESA), dan agensi angkasa Jepun, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA). BepiColombo mempunyai 2 kapal angkasa utama yang membawa misi sains iaitu Mercury Planetary Orbiter (MPO) yang disediakan oleh ESA, dan Mercury Magnetospheric Orbiter (MMO) yang disediakan oleh JAXA. BepiColombo turut mempunyai beberapa struktur lain iaitu Mercury Transfer Module (MTM), dan Mercury Magnetospheric Orbiter’s Sunshield and Interface Structure (MOSIF).

Struktur Fungsi
Mercury Transfer Module (MTM)

Struktur ini mempunyai penujah elektrik solar yang menggunakan 4 penujah ion. Penujah ion tersebut menggunakan tenaga solar bagi menjana tenaga elektrik dan 581 kg xenon sebagai bahan penujah [4]. Penujah ion ini digunakan untuk membolehkan BepiColombo melakukan proses ‘brek’ melawan daya tarikan graviti Matahari ketika menghampiri planet Utarid.

MTM akan dibuang dari badan utama prob BepiColombo sebelum BepiColombo mula mengorbit Utarid [5].

MTM mempunyai jisim kira-kira 1,100 kg

Mercury Planetary Orbiter (MPO)

MPO akan mengorbit planet Utarid setiap 2.3 jam dengan orbit berukuran 1,500 km x 480 km dengan kecondongan 90º [6].

MPO membawa 11 peralatan eksperimen sains:

  • BepiColombo Laser Altimeter (BELA)
    Mengukur permukaan Utarid bagi menghasilkan model rupa bumi digital

  • Italian Spring Accelerometer (ISA)
    Mendapatkan maklumat struktur dalaman Utarid dan menguji teori kerelatifan am Einstein

  • Magnetic Field Investigation (MPO-MAG)
    Mengukur medan magnet Utarid

  • Mercury Radiometer and Thermal Imaging Spectrometer (MERTIS)
    Mendapatkan maklumat komposisi mineral permukaan Utarid, inersia terma dan suhu

  • Mercury Gamma-ray and Neutron Spectrometer (MGNS)
    Menentukan komposisi unsur permukaan dan bawah permukaan Utarid, dan mengenalpasti pengagihan kawasan tidak stabil di kawasan kutub yang sentiasa terlindung

  • Mercury Imaging X-ray Spectrometer (MIXS)
    Menghasilkan peta resolusi tinggi komposisi atomik keseluruhan permukaan Utarid

  • Mercury Orbiter Radio science Experiment (MORE)
    Menentukan medan magnetik Utarid, saiz dan keadaan fizikal teras, kebuntalan graviti Matahari, dan menguji sistem penjejak antara planet paling canggih yang pernah dibina

  • Probing of Hermean Exosphere by Ultraviolet Spectroscopy (PHEBUS)
    Mencirikan kompisisi dan dinamik eksosfera Utarid, dan mencari lapisan ais pada permukaan di kawasan yang sentiasa terlindung pada kawah berlatitud tinggi

  • Search for Exosphere Refilling and Emitted Neutral Abundances (SERENA)
    Mengkaji interaksi gas antara permukaan Utarid, eksosfera, magnetosfera, angin suria, dan medium antara planet

  • Spectrometers and Imagers for MPO BepiColombo Integrated Observatory (SIMBIO-SYS)
    Memeriksa dengan pengimejan stereo dan warna, analisis spektroskopi, geologi permukaan Utarid, volkanisme, tektonik global, komposisi dan umur permukaan

  • Solar Intensity X-ray and particle Spectrometer (SIXS)
    Memantau fluks X-ray dan partikel yang berasal dari solar

 

Mercury Magnetospheric Orbiter (MMO)

MMO atau Mio akan mengorbit planet Utarid setiap 9.3 jam pada orbit berukuran 11,640 km x 590 km dengan kecondongan 90º. MMO akan distabilkan dengan membuat pusingan sebanyak 15 pusingan seminit [7].

MMO mempunyai 5 peralatan sains:

  • Mercury Magnetometer (MMO-MAG)
    Membekalkan maklumat mendalam mengenai magnetosfera Utarid

  • Mercury Plasma Particle Experiment (MPPE)
    7 sonsor untuk mengkaji plasma dan partikel pada magnetosfera, dan interaksi antara angin solar dengan magnetosfera Utarid

  • Mercury Plasma Wave Instrument (PWI)
    Analisis penderiaan jauh medan elektrik, gelombang plasma, dan gelombang radi dalam persekitaran plasma Utarid

  • Mercury Sodium Atmosphere Spectral Imager (MSASI)
    Mengukur kadar banyak, taburan, dan dinamik natrium pada eksosfera Utarid bagi menyiasat sumber dan proses-proses yang berkaitan dengannya

  • Mercury Dust Monitor (MDM)
    Mengkaji taburan debu antara planet pada orbit Utarid

 

 

Gambaran orbit operasi MPO dan MMO di planet Utarid
Gambaran orbit operasi MPO dan MMO di planet Utarid
Kredit: PlanetUser/Wikipedia [11]

 

Maklumat prob angkasa BepiColombo
Maklumat prob angkasa BepiColombo
Kredit: Mercury: NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Carnegie Institution of Washington; Spacecraft: ESA/ATG medialab [10]

 

Sepanjang perjalanan selama 7 tahun tersebut, prob angkasa BepiColombo akan melakukan 9 lintas terbang bantuan graviti untuk memperlahankan halaju prob angkasa itu bagi membolehkan ia tiba dan mengorbit planet Utarid pada Disember 2025. BepiColombo akan melakukan 1 lintas terbang dengan Bumi, 2 lintas terbang dengan planet Zuhrah, dan 6 lintas terbang dengan planet Utarid itu sendiri [3]. Olah gerak bantuan graviti membolehkan BepiColombo mengubah halaju dan arah pergerakan prob angkasa tersebut dengan menggunakan sistem penujah yang minimum.

Tarikh Peristiwa
20 Oktober 2018 BepiColombo dilancarkan
6 April 2020 Lintas terbang Bumi
12 Oktober 2020 Lintas terbang Zuhrah pertama
11 Ogos 2021 Lintas terbang Zuhrah kedua
2 Oktober 2021 Lintas terbang Utarid pertama
23 Jun 2022 Lintas terbang Utarid kedua
20 Jun 2023 Lintas terbang Utarid ketiga
5 September 2024 Lintas terbang Utarid keempat
2 Disember 2024 Lintas terbang Utarid kelima
9 Januari 2025 Lintas terbang Utarid keenam
5 Disember 2025 BepiColombo mengorbit Utarid

 

Gambaran animasi garis masa lintas terbang BepiColombo sebelum tiba dan mengorbit planet Utarid
Kredit: ESA [3]

 

BepiColombo merupakan misi ketiga oleh manusia ke planet Utarid, dan misi kedua oleh manusia yang mengorbit planet Utarid [8]. 2 misi ke planet Utarid sebelum ini ialah Mariner 10 oleh NASA yang menghampiri planet tersebut sebanyak 3 kali diantara tahun 1974 hingga 1975, dan MESSENGER oleh NASA yang mengorbit planet tersebut dari 2011 hingga 2015. Dalam sistem solar, planet Utarid merupakan planet yang paling dekat dengan Matahari. Permukaan Utarid mempunyai suhu antara -180ºC hingga 430ºC. Planet Utarid tidak mempunyai lapisan atmosfera. Meletakkan kapal angkasa mengorbit planet Utarid dengan stabil merupakan satu cabaran kerana pengaruh telaga graviti yang terlalu kuat oleh Matahari. Tenaga yang diperlukan untuk menghantar misi ke planet Utarid dari Bumi adalah lebih tinggi berbanding ke planet Pluto.

 

Perkembangan dan berita selanjutnya mengenai perjalanan serta misi BepiColombo boleh diikuti melalui laman Twitter @BepiColombo, @ESA_Bepi, @ESA_MTM, dan @JAXA_MMO.

 


Sorotan roket Ariane 5 ECA melancarkan prob angkasa BepiColombo ke planet Utarid
Kredit: Arianespace/ESA/JAXA

 

Kredit gambar: ESA/CNES/Arianespace/Optique video du CSG – JM Guillon (Roket Ariane 5 ECA melancarkan prob angkasa BepiColombo) [0]

 

Sejarah kemas kini:

22 Oktober 2018, 4:40 PM – gambaran orbit operasi BepiColombo di planet Utarid, video sorotan misi pelancaran

 

Rujukan:

[0] https://www.flickr.com/photos/europeanspaceagency/30499412887/

[1] https://www.esa.int/Our_Activities/Space_Science/BepiColombo/BepiColombo_blasts_off_to_investigate_Mercury_s_mysteries

[2] http://www.arianespace.com/wp-content/uploads/2018/10/VA245-launchkit-EN.pdf

[3] http://www.esa.int/Our_Activities/Space_Science/BepiColombo/BepiColombo_factsheet

[4] http://sci.esa.int/bepicolombo/60642-bepicolombo-mtm-after-xenon-loading/

[5] http://sci.esa.int/bepicolombo/48872-spacecraft/

[6] http://www.esa.int/Our_Activities/Space_Science/BepiColombo/Mercury_Planetary_Orbiter

[7] http://www.esa.int/Our_Activities/Space_Science/BepiColombo/Mercury_Magnetospheric_Orbiter

[8] https://www.esa.int/spaceinimages/Images/2017/07/BepiColombo_mission_and_Mercury_facts

[9] https://www.flickr.com/photos/europeanspaceagency/45197068862/in/album-72157682402320916/

[10] https://www.esa.int/spaceinimages/Images/2017/07/Bepicolombo_spacecraft_facts

[11] https://en.wikipedia.org/wiki/File:MMO%26MPO-Orbits.svg

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Ariane 5 akan melancarkan 2 buah satelit ke orbit pindah geopegun Arianespace, syarikat penyedia pelancaran ke angkasa dijadual melancarkan sebuah roket Ariane 5 ECA dari Kourou, French Guiana pada 26 September 2018 jam 05:53 waktu Malaysia (25 September 2018, jam 1...
Teleskop Angkasa Kepler Diletakkan Dalam Keadaan Hibernasi Kerana Hampir Kehabisan Bahan Api Pada awal bulan Julai 2018, agensi angkasa Amerika Syarikat, National Aeronautics and Space Administration (NASA) telah meletakkan kapal angkasa Kepler dalam keadaan hibernasi dan menghentikan cerapan...
Roket Ariane 5 ES Hantar 4 Satelit Sistem Navigasi Galileo ke Orbit Sebuah roket Ariane 5 ES telah dilancarkan dari pad Ensemble de Lancement Ariane 3 (ELA-3) di Guiana Space Centre, Kourou, French Guiana, pada 25 Julai 2018, jam 19:25:01 waktu Malaysia (jam 08:25:01 ...
Malaysia akan menghantar eksperimen ke stesen angkasa ISS pada Februari 2019 Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) bakal menghantar eksperimen sains ke stesen angkasa antarabangsa, ISS pada Februari 2019. Sampel eksperimen tersebut te...