Pendaratan prob utama Hayabusa2 di asteroid Ryugu ditangguhkan sehingga 2019

Agensi angkasa Jepun, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) telah mengumumkan bahawa mereka akan menangguhkan pendaratan prob utama kapal angkasa Hayabusa2 di asteroid Ryugu. Pendaratan tersebut pada asalnya dijadual dilakukan pada hujung Oktober 2018, namun ditangguhkan sehingga paling awal selepas Januari 2019 [1].

Imej permukaan asteroid Ryugu yang kasar ditangkap ketika pendaratan perayau MASCOT pada 3 Oktober 2018
Imej permukaan asteroid Ryugu yang kasar ditangkap ketika pendaratan perayau MASCOT pada 3 Oktober 2018.
Kredit: JAXA, University of Tokyo, Kochi University, Rikkyo University, Nagoya University, Chiba Institute of Technology, Meiji University, University of Aizu, AIST [5]

 

Penangguhan pendaratan itu dibuat setelah pemerhatian dari operasi sebelum ini mendapati bahawa permukaan asteroid Ryugu lebih kasar dari yang dijangka [2] dan permukaan asteroid itu tidak mempunyai kawasan rata yang luas. Selain itu, pasukan operasi Hayabusa2 mempunyai maklumat baharu mengenai ketepatan sistem bimbingan navigasi pada kapal angkasa Hayabusa2 ketika menghampiri permukaan asteroid Ryugu ketika operasi sebelum ini.

IKLAN

 

Untuk mendarat, prob utama Hayabusa2 memerlukan kawasan yang rata dan batuan yang mempunyai ketinggian lebih 50 cm boleh mendatangkan bahaya kepada kapal angkasa tersebut. Hal ini kerana panjang tanduk pengumpul sampel adalah kira-kira 1 meter dan kapal angkasa Hayabusa2 akan sedikit condong ketika menyentuh permukaan Ryugu. Batuan yang tinggi mungkin akan terkena badan utama kapal angkasa Hayabusa2 atau panel suria ketika proses pendaratan dan boleh menyebabkan kerosakan.

Imej kawasan yang sesuai untuk pendaratan prob utama Hayabusa2

Imej kawasan yang sesuai untuk pendaratan prob utama Hayabusa2
Imej kawasan yang sesuai untuk pendaratan prob utama Hayabusa2. Imej tersebut ditangkap pada ketinggian 1.9 km ketika pendaratan perayau MASCOT pada 3 Oktober 2018.
Kredit: JAXA, University of Tokyo, Kochi University, Rikkyo University, Nagoya University, Chiba Institute of Technology, Meiji University, University of Aizu, AIST [2]

 

Kesukaran timbul kerana kawasan pendaratan yang sesuai hanya mempunyai diameter sepanjang 20 meter sahaja. Sebelum ini, pasukan operasi Hayabusa2 menjangkakan kawasan yang selamat untuk mendarat mempunyai diameter sepanjang 100 meter. Walau bagaimanapun, ketika 2 operasi pendaratan perayau sebelum ini, mereka mendapati Hababusa2 boleh dikawal dan digerakkan dengan ketepatan 10 meter ketika berada pada ketinggian 50 meter dari permukaan Ryugu. ketepatan tersebut dapat membantu mereka membuat pendaratan prob utama.

 

Untuk tahun 2018, 2 misi utama akan dilakukan selepas perubahan jadual misi. Pada 14 sehingga 15 Oktober 2018, Hayabusa2 akan melakukan latihan pendaratan kedua (TD1-R1-A). Pada 24 hingga 25 Oktober 2018, latihan pendaratan ketiga (TD1-R3) akan dilakukan. Pada hujung November 2018 sehingga Disember 2018, tiada operasi akan dilakukan kerana pada ketika itu, komunikasi antara Bumi dan Hayabusa2 tidak dapat dilakukan kerana Matahari akan berada di antara Bumi dan Hayabusa2 (konjunksi solar). Sepanjang tempoh konjunksi solar, pasukan operasi Hayabusa2 akan menetapkan tarikh pendaratan Hayabusa2 berdasarkan maklumat daripada latihan pendaratan.

 

Imej hampir masa nyata untuk operasi latihan pendaratan kedua TD1-R1-A yang akan berlangsung dari 14 hingga 16 Oktober 2018 boleh dilihat pada laman web Hayabusa2.

 

Kedudukan Ryugu berbanding Bumi dalam sistem solar ketika artikel ini ditulis

Kedudukan Ryugu berbanding Bumi ketika konjunksi solar pada bulan Disember 2018
Kedudukan Ryugu berbanding Bumi dalam sistem solar ketika artikel ini ditulis (atas), dan kedudukan Ryugu berbanding Bumi ketika konjunksi solar pada bulan Disember 2018 (bawah)
Kredit: NASA [4]

 

Sebelum ini, Hayabusa2 telah mendaratkan beberapa buah perayau (rover) di atas permukaan asteroid tersebut. PS 21 September 2018 lepas, 2 perayau MINERVA II (Rover-1A dan Rover-1B) telah didaratkan pada permukaan Ryugu dan sedang beroperasi. Perayau MINERVA II mempunyai kemampuan untuk membuat lompatan bagi bergerak di atas permukaan asteroid Ryugu yang mempunyai daya tarikan graviti rendah (1/80,000 g berbanding graviti Bumi). Perayau MASCOT dari Jerman pula telah didaratkan pada 3 Oktober 2018 lepas [5]. MASCOT tidak mempunyai panel solar namun telah beroperasi selama 17 jam menggunakan tenaga bateri. Sepanjang operasi-operasi pendaratan tersebut, kapal angkasa Hayabusa2 dan perayau telah menangkap pelbagai pemandangan menarik asteroid Ryugu.

 

Kapal angkasa Hayabusa2 mempunyai misi sehingga tahun 2020. Pada Mac atau April 2019, Hayabusa2 dijadual melepaskan bahan letupan kecil untuk menebuk permukaan asteroid Ryugu dan membuat kawah bagi membolehkan Hayabusa2 mendapatkan bahan di bawah permukaan asteroid tersebut. Pada Julai 2019, Hayabusa2 dijadual melepaskan perayau terakhir MINERVA-II (Rover-2) ke permukaan asteroid itu. Sebelum kembali ke Bumi, prob utama Hayabusa2 akan melakukan pendaratan pada permukaan asteroid Ryugu bagi mengumpul bahan permukaan dan bawah permukaan asteroid untuk dibawa pulang ke Bumi. Hayabusa2 dijangka kembali ke Bumi pada Disember 2020 membawa pulang sampel asteroid Ryugu.

 

Kredit gambar: MASCOT/DLR/JAXA (Permukaan asteroid Ryugu dari beberapa meter) [0]

 

Rujukan:

[0] https://www.dlr.de/dlr/en/desktopdefault.aspx/tabid-11025#gallery/32252

[1] http://www.hayabusa2.jaxa.jp/en/topics/20181014e_TD/

[2] https://phys.org/news/2018-10-japan-touchdown-hayabusa2-probe-asteroid.html

[3] http://www.hayabusa2.jaxa.jp/en/news/schedule/

[4] https://ssd.jpl.nasa.gov/sbdb.cgi?sstr=2162173

[5] https://www.dlr.de/dlr/en/desktopdefault.aspx/tabid-10255/365_read-30235/#/gallery/32338

Anda Mungkin Juga Berminat

Prob BepiColombo memulakan perjalanan 7 tahun ke planet Utarid Kemas kini terakhir: 22 Oktober 2018, 4:40 PM   Tahun 2018 menyaksikan beberapa pelancaran roket membawa muatan ke orbit heliosentrik seperti ujian penerbangan roket Falcon Heavy membawa sebuah...
SpaceX Bakal Menguji Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Orbit Marikh Siaran Langsung Penerbangan Demonstrasi Roket Falcon Heavy SpaceX bakal menayangkan secara langsung penerbangan demonstrasi roket Falcon Heavy pada 2:30 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia. Penerbang...
Teleskop Angkasa Kepler Diletakkan Dalam Keadaan Hibernasi Kerana Hampir Kehabisan Bahan Api Pada awal bulan Julai 2018, agensi angkasa Amerika Syarikat, National Aeronautics and Space Administration (NASA) telah meletakkan kapal angkasa Kepler dalam keadaan hibernasi dan menghentikan cerapan...
Roket Ariane 5 akan melancarkan 2 buah satelit ke orbit pindah geopegun Arianespace, syarikat penyedia pelancaran ke angkasa dijadual melancarkan sebuah roket Ariane 5 ECA dari Kourou, French Guiana pada 26 September 2018 jam 05:53 waktu Malaysia (25 September 2018, jam 1...