CubeSat MarCO pengiring pendarat InSight menangkap gambar planet Marikh

Kurang 2 bulan sebelum pendarat InSight tiba dan mendarat di planet Marikh, salah satu dari CubeSat yang mengiring perjalanan InSight ke planet Marikh iaitu MarCO-B telah menangkap gambar planet Marikh. Gambar tersebut telah ditangkap pada 3 Oktober 2018 lepas dan merupakan gambar pertama yang ditangkap oleh satelit kecil kategori CubeSat dalam misi antara planet [1].

 

Planet Marikh seperti yang dilihat oleh kamera pada satelit CubeSat MarCO-B 12.8 juta km dari planet tersebut
Planet Marikh seperti yang dilihat oleh kamera pada satelit CubeSat MarCO-B 12.8 juta km dari planet tersebut
Kredit: NASA/JPL-Caltech [1]

 

MarCO atau “Mars Cube One” adalah 2 buah kapal angkasa kecil (MarCO-A dan MarCO-B) dalam bentuk CubeSat bersaiz 6U iaitu 36.6 cm x 24.3 cm x 11.8 cm [3]. MarCO-A dan MarCO-B adalah 2 buah CubeSat yang sama dari segi komponen dan diberi gelaran “EVE” dan “Wall-E” oleh pasukan kejuruteraan mereka sempena watak dalam filem “Wall-E”. Walaupun kedua-dua MarCO-A dan MarCO-B tidak mempunyai apa-apa peranan dalam misi mendaratkan pendarat InSight pada permukaan planet Marikh, 2 kapal angkasa tersebut telah dilancarkan bersama pendarat InSight sebagai demonstrasi teknologi.

IKLAN

 

Jurutera Joel Steinkraus menguji panel solar pada salah satu pasangan MarCO pada Mac 2018 lepas
Jurutera Joel Steinkraus menguji panel solar pada salah satu pasangan MarCO pada Mac 2018 lepas
Kredit: NASA/JPL-Caltech [8]

 

Antara ujian utama yang akan dilakukan oleh MarCO sekiranya berjaya tiba di planet Marikh ialah membekalkan sambungan komunikasi masa nyata antara pendarat InSight dengan Bumi ketika InSight melalui fasa masuk, turun, dan mendarat (entry, descend and landing atau EDL) di planet Marikh [5]. Ketika InSight melalui fasa EDL, ia tidak mempunyai sambungan komunikasi secara terus dengan Bumi. MarCO akan bertindak sebagai satelit geganti ketika InSight melalui fasa EDL dan akan membekalkan sambungan komunikasi 8 kbps pada jalur UHF antara InSight dan MarCO, dan sambungan komunikasi 8 kbps pada jalur X antara MarCO dengan sistem rangkaian “Deep Space Network” atau DSN di Bumi. Ketika InSight mendarat, MarCO akan berada kira-kira 3,500 km dari planet Marikh. Namun, sekiranya MarCO gagal beroperasi atau tiba di Marikh, ia tidak akan menjejaskan operasi menghantar data EDL InSight dari planet Marikh ke Bumi kerana beberapa jam selepas InSight mendarat pada permukaan Marikh, InSight akan menghantar data tersebut melalui satelit “Mars Reconnaissance Orbiter” (MRO). MRO telah mengorbit planet Marikh sejak Mac 2006 dan akan bertindak sebagai satelit geganti komunikasi antara InSight dan Bumi.

 

Ilustrasi pasangan satelit MarCO akan membekalkan geganti komunikasi masa nyata antara pendarat InSight dengan Bumi ketika pendaratan InSight
Ilustrasi pasangan satelit MarCO akan membekalkan geganti komunikasi masa nyata antara pendarat InSight dengan Bumi ketika pendaratan InSight
Kredit: NASA/JPL-Caltech [4]

 

Selain itu, MarCO akan turut menguji ketahanan teknologi CubeSat beroperasi dalam misi antara planet. Setiap CubeSat MarCO tersebut mempunyai 2 panel solar berukuran 30 cm x 30 cm dan mempunyai bateri dari jenis litium-ion. MarCO mempunyai antena gandaan tinggi jalur X yang akan menghantar data ke Bumi. MarCO turut mempunyai 1 antena gandaan rendah jalur X dan 1 antena gandaan sederhana jalur X yang membekalkan komunikasi dengan Bumi ketika awal penerbangan dahulu. Selain itu, MarCO mempunyai antena penerima UHF yang akan menerima maklumat dari pendarat InSight ketika ia melalui fasa EDL. MarCO turut mempunyai kamera warna pandangan luas yang mempunyai pandangan pepenjuru 138º, dan kamera warna pandangan kecil yang mempunyai pandangan pepenjuru 6.8º. Kedua-dua kamera boleh membekalkan imej dengan resolusi 752 x 480 piksel dan digunakan untuk mengesahkan pembukaan antena pada MarCO.

 

Untuk sistem mengawal orientasi, MarCO menggunakan roda reaksi 3 paksi, giroskop, sensor Matahari, dan penjejak bintang. Untuk sistem penujah, pasangan CubeSat MarCO menggunakan sistem penujah gas sejuk dari jenis gas R236FA mampat yang biasa digunakan dalam pemadam api. Sepanjang perjalanan ke planet Marikh, MarCO akan melakukan pembetulan hala tuju dengan sendiri. Walau bagaimanapun, pasangan MarCO tidak akan mengorbit Marikh. Selepas ia tiba di planet Marikh, MarCO akan terus meluncur dan akan mengorbit Matahari.

 

Ilustrasi perjalanan pendarat InSight ke planet Marikh dan jadual olah gerak pembetulan trajektori
Ilustrasi perjalanan pendarat InSight ke planet Marikh dan jadual olah gerak pembetulan trajektori (trajectory correction maneuvers, TCM)
Kredit: NASA/JPL-Caltech [9]

 

Sebelum ini, CubeSat hanya beroperasi pada orbit yang hampir dengan Bumi. Kos untuk membina satelit CubeSat adalah lebih rendah berbanding satelit biasa. Komponen untuk membina satelit CubeSat adalah mudah untuk didapati berbanding satelit biasa, malah CubeSat boleh dibangunkan dengan mudah kerana sistemnya yang ringkas dan modular.

 

Ketika artikel ini ditulis, pendarat InSight dan 2 satelit CubeSat pengiring MarCO-A dan MarCO-B berada kira-kira 101 juta km dari Bumi [2]. Jarak dari planet Marikh pula adalah kira-kira 8.6 juta km. Pendarat InSight dijangka tiba dan mendarat di planet Marikh pada 27 November 2018. Pendarat InSight akan mendarat di kawasan rata yang dikenali sebagai Elysium Planitia pada permukaan Marikh [6]. InSight akan melakukan beberapa eksperimen sains di planet Marikh seperti mengukur gelombang seismos atau gempa kecil, suhu bawah permukaan Marikh, dan menguji kadar goyangan planet Marikh ketika planet Marikh mengorbit Matahari [7]. Selepas mendarat, InSight dijadual beroperasi selama 728 hari atau hampir 2 tahun [10].

 

Peta planet Marikh menunjukkan lokasi InSight mendarat berbanding misi Marikh sebelum ini
Peta planet Marikh menunjukkan lokasi InSight mendarat berbanding misi Marikh sebelum ini
Kredit: NASA/JPL-Caltech [6]

 

Pendarat InSight dan pasangan CubeSat MarCO telah dilancarkan ke angkasa pada 5 Mei 2018 lepas dengan menggunakan roket Atlas V 401. Pelancaran tersebut telah dilakukan dari pad SLC-3E di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California, Amerika Syarikat.

 

Kredit gambar: NASA/JPL-Caltech (Planet Marikh seperti yang dilihat oleh kamera pada satelit CubeSat MarCO-B 12.8 juta km dari planet tersebut) [1]

 

Rujukan:

[1] https://www.jpl.nasa.gov/news/news.php?feature=7263

[2] https://mars.nasa.gov/insight/

[3] https://www.jpl.nasa.gov/cubesat/missions/marco.php

[4] https://www.jpl.nasa.gov/news/press_kits/insight/appendix/mars-cube-one/

[5] https://marscubesatworkshop.jpl.nasa.gov/static/files/presentation/Asmar-Matousek/07-MarsCubeWorkshop-MarCO-update.pdf

[6] https://mars.nasa.gov/insight/timeline/prelaunch/landing-site-selection/

[7] https://mars.nasa.gov/insight/mission/science/overview/

[8] https://www.jpl.nasa.gov/spaceimages/details.php?id=PIA22317

[9] https://mars.nasa.gov/resources/21905/insights-route-to-mars/?site=insight

[10] https://mars.nasa.gov/insight/timeline/surface-operations/

Anda Mungkin Juga Berminat

SpaceX Bakal Menguji Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Orbit Marikh Siaran Langsung Penerbangan Demonstrasi Roket Falcon Heavy SpaceX bakal menayangkan secara langsung penerbangan demonstrasi roket Falcon Heavy pada 2:30 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia. Penerbang...
Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 Selamat Tiba di Orbit Kemas kini 2018-07-03 00:30 Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS   Artikel Asal Satelit CubeSat UiTMSAT-1 yang dihantar bersama kapal angkasa ...
SpaceX Melancarkan Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Angkasa SpaceX telah berjaya melancarkan roket Falcon Heavy dalam penerbangan ujian pada jam 4:45 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia (3:45 PM 6 Februari 2018 waktu tempatan) dari Kompleks Pelancaran 39A di Pus...