Roket Ariane 5 akan melancarkan 2 buah satelit ke orbit pindah geopegun

Arianespace, syarikat penyedia pelancaran ke angkasa dijadual melancarkan sebuah roket Ariane 5 ECA dari Kourou, French Guiana pada 26 September 2018 jam 05:53 waktu Malaysia (25 September 2018, jam 18:53 waktu tempatan). Roket tersebut akan dilancarkan dari pad pelancaran Ariane Launch Complex No. 3 (ELA 3) di Guiana Space Center [1]. Pelancaran ini merupakan pelancaran ke 300 oleh Arianespace dan pelancaran ke 100 roket Ariane 5.

Pihak Arianespace akan menyediakan liputan siaran langsung pelancaran tersebut. Liputan boleh ditonton melalui laman YouTube Arianespace kira-kira 30 minit sebelum roket dilancarkan.

IKLAN


Siaran langsung pelancaran roket Ariane 5 ECA membawa satelit Horizons 3e dan satelit Azerspace-2/Intelsat 38 ke orbit pindah geopegun pada 26 September 2018 jam 05:53 waktu Malaysia

 

Roket Ariane 5 ES ketika pelancaran 4 buah satelit Galileo pada 25 Julai 2018 lepas
Roket Ariane 5 ES ketika pelancaran 4 buah satelit Galileo pada 25 Julai 2018 lepas
Kredit: Arianespace [2]

 

Penerbangan tersebut tersebut mempunyai jendela pelancaran selama 45 minit bermula jam 05:53 sehingga 06:38. Roket Ariane 5 ECA akan membawa 2 buah satelit ke orbit pindah geopegun iaitu satelit Horizons 3e dan satelit kombinasi Azerspace-2/Intelsat 38. Kedua-dua muatan dijadual dilepaskan ke orbit pindah geopegun yang berukuran 35,726 km x 250 km dengan kecondongan 6º kira-kira 42 minit selepas pelancaran.

Orbit sasaran untuk pelancaran Horizons 3e dan Azerspace-2 Intelsat 38
Orbit sasaran untuk pelancaran Horizons 3e dan Azerspace-2/Intelsat 38
Kredit: Arianespace [1]

 

Satelit Horizons 3e ialah sebuah satelit komunikasi yang dibina oleh Boeing. Satelit tersebut akan dikendalikan oleh INTELSAT dan SKY PErfect JSAT. Ketika dilancarkan, satelit ini mempunyai jisim sebanyak 6,411 kg. Satelit ini akan beroperasi pada slot 169º Timur di orbit geopegun yang berketinggian kira-kira 35,786 km. Satelit Horizons 3e dijangka akan mempunyai hayat operasi selama 15 tahun.

 

Satelit Azerspace-2/Intelsat 38 pula adalah sebuah satelit komunikasi yang dibina oleh SSL. Satelit ini akan dikendalikan oleh Azercosmos dan Intelsat. Ketika dilancarkan, satelit tersebut mempunyai jisim kira-kira 3,500 kg. Satelit ini akan beroperasi pada slot 45º Timur di orbit geopegun dan dijangka mempunyai hayat operasi selama 15 tahun.

 

Roket Ariane 5 ECA adalah sebuah roket yang menggunakan bahan bakar hidrogen cecair (LH2) dan oksigen cecair sebagai bahan pengoksida pada roket teras. Roket ini mempunyai 2 buah roket penggalak EAP P241 yang menggunakan bahan bakar pepejal. Ketika dilancarkan, roket Ariane 5 ECA mempunyai jisim kira-kira 780,000 kg. Oleh kerana pelancaran ini membawa 2 buah muatan, roket peringkat kedua akan membawa SYLDA iaitu struktur khas pada roket Ariane untuk pelancaran dwi satelit.

Struktur roket Ariane 5 ECA
Struktur roket Ariane 5 ECA
Kredit: Arianespace [1]

 

Garis Masa Misi

Masa (Jam:Minit:Saat) Peristiwa
– 00:04:00.00 Tekanan tangki sedia untuk penerbangan
– 00:00:05.00 Arahan buka untuk lengan kriogen
– 00:00:04.00 Sistem komputer roket mengambil alih kawalan
00:00:00.00 Masa rujukan
+ 00:00:01.00 Nyalaan enjin roket teras kriogen (EPC)
+ 00:00:07.05 Nyalaan roket penggalak pepejal (EAP)
+ 00:00:07.30 Roket dilancarkan
+ 00:00:12.30 Penerbangan menegak tamat, gerakkan anggul bermula
+ 00:00:17.10 Olah gerak guling bermula
+ 00:02:19.00 Roket penggalak pepejal EAP dipisahkan
+ 00:03:19.00 Reraut muatan dibuang
+ 00:08:55.00 Fasa tujahan roket teras EPC tamat
+ 00:09:01.00 Roket teras EPC dipisahkan
+ 00:09:05.00 Nyalaan roket peringkat kedua ESC-A
+ 00:28:19.00 Satelit Horizons 3e dilepaskan ke orbit
+ 00:35:56.00 Struktur SYLDA dibuang
+ 00:42:17.00 Satelit Azerspace-2/Intelsat 38 dilepaskan ke orbit

 

Kredit gambar: Arianespace [1]

 

Rujukan:

[1] http://www.arianespace.com/wp-content/uploads/2018/09/VA243-launchkit-EN.pdf

[2] http://www.arianespace.com/gallery/?taxonomy%5Barianespace-gallery-category%5D=ariane-5

 

Anda Mungkin Juga Berminat

SpaceX Melancarkan Satelit Komunikasi Telstar 19 VANTAGE, Mendaratkan Kembali Roket SpaceX telah berjaya melancarkan sebuah satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE, ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) dengan menggunakan roket Falcon 9. Pelancaran terseb...
Roket Falcon 9 Akan Melancarkan Satelit Telstar 19 VANTAGE ke Orbit SpaceX akan melancarkan sebuah satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) dengan menggunakan roket Falcon 9 baharu dari "block 5". Pelan...
Roket Long March 3B melancarkan komponen orbit geopegun sistem navigasi satelit Beidou-3 GEO-1 Kemaskini terakhir: 2 November 2018, 6:00 PM   Sebuah roket Long March 3B telah melancarkan sebuah satelit sistem navigasi BeiDou ke orbit pindah geopegun. Pelancaran tersebut telah dilakukan d...
Pendaratan prob utama Hayabusa2 di asteroid Ryugu ditangguhkan sehingga 2019 Agensi angkasa Jepun, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) telah mengumumkan bahawa mereka akan menangguhkan pendaratan prob utama kapal angkasa Hayabusa2 di asteroid Ryugu. Pendaratan tersebut p...