X-ray Berwarna, 3 Dimensi Pertama Dunia

Pada 10 Julai 2018, makmal fizik Eropah, CERN, telah melaporkan bahawa X-ray manusia yang berwarna dalam bentuk 3D telah dilakukan oleh saintis dari New Zealand. Berbeza dengan X-ray biasa yang berwarna hitam-putih dalam bentuk 2 dimensi, kaedah X-ray terbaharu ini akan memaparkan hasil imbasan dalam bentuk 3 dimensi dan mempunyai warna bagi membezakan struktur anggota yang diimbas seperti tulang, otot dan tisu-tisu lain. Teknologi ini telah dibangunkan oleh MARS Bioimaging dari New Zealand [1].

X-ray berwarna dan berbentuk 3D

X-ray berwarna dan berbentuk 3D
Contoh X-ray berwarna dan berbentuk 3D pada buku lali
Kredit: MARS Bioimaging [0]

IKLAN

 

X-ray (radiografi) konvensional berfungsi dengan meletakkan anggota badan yang ingin diimbas di antara pemancar sinar-X dan plat filem fotograf atau pengesan digital. Apabila sinar-X melalui anggota badan tersebut, bahagian yang mempunyai ketumpatan rendah seperti otot dan tisu membolehkan sinar-X itu menembusi anggota badan yang diimbas, seterusnya kena pada filem atau pengesan. Sinar-X akan diserap dan tidak menembusi bahagian yang lebih tumpat seperti tulang. Sinar-X yang kena pada filem akan meninggalkan kesan hitam, manakala bahagian yang tidak dapat ditembusi oleh sinar-X akan kelihatan putih pada filem X-ray [2].

Kaedah X-ray terbaharu yang direka oleh MARS Bioimaging pula menggunakan teknologi dari cip Medipix. Cip tersebut akan mengukur tahap tenaga yang menembusi anggota badan yang diimbas oleh sinar-X secara tepat, berbeza dengan X-ray biasa yang sekadar merakam sama ada sinar-X tembus atau diserap pada bahagian anggota badan yang diimbas tersebut. Dengan menggunakan algoritma komputer, hasil bacaan dari ukuran tersebut akan ditukar kepada pelbagai warna. Hasilnya, imbasan dalam keadaan berwarna dan 3 dimensi dapat dikeluarkan. Warna yang berlainan menggambarkan tahap tenaga sinar-X yang berlainan yang diterima oleh pengesan, jadi bahagian badan seperti cecair, kalsium, lemak, otot, atau tanda penyakit dapat dikesan dan diberi warna yang sepadan.


Animasi: hasil pengimbas MARS pada buku lali
Kredit: MARS Bioimaging [0]

 

Teknologi ini dapat membantu doktor membuat diagnosa apabila maklumat dari X-ray biasa tidak mencukupi. X-ray 3D berwarna tersebut boleh membantu dalam mendiagnosis masalah pada tulang dan disekitarnya dengan memaparkan imbasan yang lebih teliti. Pengimbas MARS tersebut sudah digunakan dalam pelbagai kajian termasuk kanser dan strok. Seterusnya, pengimbas tersebut akan diuji dalam kajian yang menumpukan kepada pesakit ortopedik dan reumatologi di New Zealand. Sekiranya kajian tersebut berjaya, pengimbas MARS itu bakal digunakan secara rutin dalam sektor perubatan.

 

Kredit gambar: MARS Bioimaging [0]

 

Rujukan:

[0] https://www.marsbioimaging.com/mars/media-pack/

[1] First 3D colour X-ray of a human using CERN technology: https://home.cern/about/updates/2018/07/first-3d-colour-x-ray-human-using-cern-technology

[2] Whoa, We Now Have X-Rays That Take Colour Images of The Human Body: https://www.sciencealert.com/these-weird-images-of-the-human-body-were-made-by-a-brand-new-kind-of-scanner