Teleskop Angkasa Kepler Diletakkan Dalam Keadaan Hibernasi Kerana Hampir Kehabisan Bahan Api

Pada awal bulan Julai 2018, agensi angkasa Amerika Syarikat, National Aeronautics and Space Administration (NASA) telah meletakkan kapal angkasa Kepler dalam keadaan hibernasi dan menghentikan cerapan sains kerana mendapati tangki bahan api teleskop angkasa tersebut berada pada paras yang teramat rendah. Teleskop angkasa Kepler diletakkan dalam keadaan tidur untuk sementara waktu bagi membuat persediaan untuk memuat turun dan menghantar data sains yang telah dikumpulkan dalam kempen cerapan terbaharu dari kapal angkasa itu ke Bumi [1].

Kempen cerapan terbaharu Kepler merupakan kempen ke 18 yang telah bermula pada 12 Mei 2018. Keutamaan paling penting buat teleskop angkasa Kepler dengan saki-baki bahan api yang masih ada sekarang ialah untuk mengembalikan data sains yang masih disimpan pada teleskop angkasa itu ke Bumi. Untuk membolehkan data sains dihantar ke Bumi, kapal angkasa itu perlu mengubah orientasi bagi membolehkan antena yang ada pada kapal angkasa itu menghadap ke Bumi. Ketika itu, data sains yang disimpan pada kapal angkasa itu akan dipindahkan melalui rangkaian komunikasi angkasa NASA yang dikenali sebagai Deep Space Network. Peruntukan masa untuk misi Kepler menggunakan rangkaian Deep Space Network dijadual berjalan pada awal Ogos 2018.

Operasi Deep Space Network NASA ketika artikel ini ditulis
Operasi Deep Space Network NASA ketika artikel ini ditulis
Kredit: NASA JPL [9]

[https://mybit.my/ms/?p=1793]

IKLAN

Untuk membolehkan kapal angkasa Kepler mengubah dan membetul orientasinya di angkasa, ia perlu bergantung kepada roda reaksi (reaction wheel) dan menghidupkan sistem penujah yang memerlukan penggunaan bahan api. Pasukan pengendali misi Kepler dijangka akan mengejutkan Kepler dari keadaan hibernasi dan menghantar arahan mengubah orientasi kepada teleskop angkasa tersebut pada 2 Ogos 2018, seterusnya memulakan proses memuat turun data sains. Sekiranya olah gerak dan muat turun data berjaya, Kepler akan memulakan kempen cerapan ke 19 dengan baki bahan api yang masih ada. Sehingga proses muat turun data berlaku, kapal angkasa Kepler akan berada dalam keadaan hibernasi dan tidak akan menggunakan sebarang bahan api. Selepas itu, Kepler dijangka akan kehabisan bahan api sepenuhnya dalam masa beberapa bulan sahaja.

2 dari 4 roda reaksi yang ada pada kapal angkasa Kepler telah gagal berfungsi pada Julai 2012 dan Mei 2013 [2]. Ini menyebabkan misi utama Kepler ditamatkan kerana kapal angkasa tersebut telah hilang kebolehan untuk melakukan perubahan orientasi dengan tepat. Namun, perkhidmatan teleskop angkasa Kepler tetap diteruskan dengan keupayaan yang masih ada dan menggunakan teknik orientasi alternatif dalam misi seterusnya yang dikenali sebagai K2 [3].

Ilustrasi teleskop angkasa Kepler
Ilustrasi teleskop angkasa Kepler
Kredit: NASA [1]

 

Sebelum teleskop angkasa Kepler gagal berfungsi sepenuhnya, NASA akan menghantar arahan untuk mematikan kapal angkasa dan pemancar yang ada pada teleskop angkasa tersebut untuk menghalang pencemaran gelombang udara yang mungkin terjana dari pemancar setelah Kepler tidak digunakan [4]. Pada masa itu, Kepler akan ditinggalkan terbiar di angkasa mengorbit Matahari.

Teleskop angkasa Kepler merupakan misi saintifik oleh NASA untuk melakukan cerapan angkasa bagi mencari planet seperti Bumi yang wujud berhampiran bintang seperti Matahari di luar Sistem Solar (exoplanet). Ketika artikel ini ditulis, Kepler telah mengesan lebih 2,600 buah exoplanet. 30 dari exoplanet tersebut berkemungkinan besar mempunyai ciri-ciri seperti Bumi kerana berada dalam zon boleh didiami dan bersaiz kurang 2 kali saiz Bumi [6]. Kepler dirancang untuk beroperasi selama 3 tahun setengah untuk misi utama, dan sehingga sekarang telah beroperasi selama lebih dari 9 tahun dalam misi tambahan.

Kepler telah dilancarkan ke angkasa pada 6 Mac 2009 dengan menggunakan roket Delta II. Teleskop angkasa Kepler beroperasi dengan mengorbit Matahari pada orbit heliosentrik dan mengekori Bumi dengan jarak yang agak “dekat”. Setiap tahun, Kepler akan bergerak menjauhi Bumi dengan jarak kira-kira 25 juta km. Kepler perlu beroperasi di luar orbit Bumi untuk mengurangkan gangguan okultasi, cahaya, dan graviti akibat terlalu hampir dengan Bumi. Ini membolehkan teleskop angkasa tersebut mengekalkan orientasi dengan lebih stabil dan beroperasi dengan lebih baik untuk melakukan cerapan angkasa.

Gambaran orbit Kepler
Gambaran orbit Kepler
Kredit: NASA [7]

[https://mybit.my/ms/?p=1793]

Dalam perkembangan lain, teleskop angkasa terbaharu NASA, Transiting Exoplanet Survey Satellite (TESS) yang telah dilancarkan ke angkasa pada 18 April 2018 dijangka memulakan operasi pada hujung bulan Julai 2018 setelah berjaya tiba di orbit operasi [8]. Teleskop angkasa James Webb Space Telescope (JWST) yang merupakan kerjasama antara NASA, agensi angkasa Eropah (European Space Agency, ESA), dan agensi angkasa Kanada (Canadian Space Agency, CSA) dijadual dilancarkan ke angkasa pada tahun 2021 [10]. JWST merupakan pengganti teleskop angkasa Hubble yang telah beroperasi sejak tahun 1990.

 

Kredit gambar: NASA [0]

 

Rujukan:

[0] Kepler-186f, the First Earth-size Planet in the Habitable Zone: https://www.nasa.gov/ames/kepler/kepler-186f-the-first-earth-size-planet-in-the-habitable-zone

[1] NASA’s Kepler Spacecraft Pauses Science Observations to Download Science Data: https://www.nasa.gov/feature/ames/nasa-s-kepler-spacecraft-pauses-science-observations-to-download-science-data

[2] NASA Ends Attempts to Fully Recover Kepler Spacecraft, Potential New Missions Considered: https://www.nasa.gov/feature/ames/kepler/nasa-ends-attempts-to-fully-recover-kepler-spacecraft-potential-new-missions-considered

[3] Mission objectives: https://keplerscience.arc.nasa.gov/objectives.html

[4] NASA’s Kepler Spacecraft Fuel Status Frequently Asked Questions: https://www.nasa.gov/kepler/fuel-status-faq

[6] https://www.nasa.gov/kepler/discoveries

[7] https://www.nasa.gov/mission_pages/kepler/spacecraft/index-mission.html

[8] NASA’s TESS Spacecraft Continues Testing Prior to First Observations: https://www.nasa.gov/feature/goddard/2018/nasa-s-tess-spacecraft-continues-testing-prior-to-first-observations

[9] https://eyes.nasa.gov/dsn/dsn.html

[10] https://www.nasa.gov/press-release/nasa-completes-webb-telescope-review-commits-to-launch-in-early-2021

 

Anda Mungkin Juga Berminat

Teleskop angkasa Chandra pula mengalami masalah, mod selamat diaktifkan Selepas teleskop angkasa Hubble mengalami masalah giroskop, dan teleskop angkasa Kepler menghampiri hujung hayat operasi kerana kehabisan bahan bakar sistem pendorong, kini teleskop angkasa X-ray Chan...
SpaceX Bakal Menguji Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Orbit Marikh Siaran Langsung Penerbangan Demonstrasi Roket Falcon Heavy SpaceX bakal menayangkan secara langsung penerbangan demonstrasi roket Falcon Heavy pada 2:30 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia. Penerbang...
Prob BepiColombo memulakan perjalanan 7 tahun ke planet Utarid Kemas kini terakhir: 22 Oktober 2018, 4:40 PM   Tahun 2018 menyaksikan beberapa pelancaran roket membawa muatan ke orbit heliosentrik seperti ujian penerbangan roket Falcon Heavy membawa sebuah...
Teleskop angkasa Hubble mengalami masalah giroskop, mod selamat diaktifkan Teleskop angkasa Hubble (Hubble Space Telescope, HST) telah mengalami masalah giroskop dan telah mengaktifkan mod selamat pada 5 Oktober 2018 lepas . Mod selamat telah diaktifkan setelah 1 dari 3 giro...