Stesen Angkasa Antarabangsa Akan Menguji Proses Mengubah Orbit Menggunakan Kapal Angkasa Amerika Syarikat

Stesen angkasa antarabangsa, ISS, akan menguji proses melakukan perubahan pada orbit stesen dengan menggunakan kapal angkasa dari Amerika Syarikat. Kapal angkasa yang akan digunakan ialah kapal angkasa kargo yang dibina oleh Northrop Grumman (dahulu dikenali sebagai Orbital ATK) iaitu Cygnus NG-9/OA-9. Proses tersebut dijangka akan dilakukan pada jam 04:25, 11 Julai 2018 waktu Malaysia [1]. Proses itu dijangka mengambil masa selama satu minit, dan impuls yang dijana oleh penujah Cygnus dijangka sebanyak 6 cm per saat. Ini akan menyebabkan orbit stesen angkasa tersebut meningkat sebanyak 100 meter.

Selepas ujian tersebut, kapal angkasa itu akan berpisah dari stesen angkasa, terbang ke orbit yang lebih tinggi, melepaskan beberapa CubeSat ke orbit, dan akhirnya bergerak memasuki semula atmosfera bumi untuk terbakar bersama sampah sarap yang dibawa keluar dari stesen angkasa.

Kapal angkasa Cygnus NG-9/OA-9 telah berada di stesen angkasa sejak 24 Mei 2018. Kapal angkasa tersebut dijangka berpisah dari stesen angkasa paling awal pada 15 Julai 2018.

IKLAN

Walaupun stesen angkasa antarabangsa ISS berada di angkasa pada orbit yang berketinggian kira-kira 400 km, stesen angkasa tersebut perlu melakukan proses galak semula (reboost) orbit dari semasa ke semasa. Hal ini kerana stesen angkasa masih berada di orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO) dan masih mengalami daya seretan dari lapisan nipis atmosfera, menyebabkan stesen angkasa bergerak dengan semakin perlahan dan akan jatuh ke bumi secara beransur-ansur.

Kapal angkasa kargo Cygnus NG-9/OA-9 (kanan) dan kapal angkasa krew Soyuz MS-09 (kiri)
Kapal angkasa kargo Cygnus NG-9/OA-9 (kanan) dan kapal angkasa krew Soyuz MS-09 (kiri)
Kredit: NASA [5]

[https://mybit.my/ms/?p=1733]

Selain itu, proses pembetulan orbit juga dilakukan untuk tujuan lain seperti memastikan stesen angkasa berada pada posisi yang paling optimum sebelum ketibaan kapal angkasa kargo dan krew, atau untuk membolehkan pendaratan kapsul Soyuz di Kazakhstan dilakukan dengan berjaya setelah berpisah dari stesen angkasa untuk membawa krew pulang ke Bumi [3], atau mengelak sampah angkasa yang mendatangkan bahaya kepada stesen [4].

Sebelum ini, proses mengubah altitud stesen angkasa antarabangsa, ISS, dilakukan dari bahagian Rusia stesen, sama ada dengan menggunakan enjin pada modul Zvezda, atau enjin kapal angkasa yang berada pada segmen Rusia stesen angkasa tersebut. Ketika ini, bahagian Amerika Syarikat tidak mempunyai kebolehan untuk melakukan perubahan altitud stesen. Namun, perubahan orientasi stesen angkasa boleh dilakukan dari kedua-dua bahagian, iaitu Rusia dengan menggunakan roda reaksi (reaction wheel) atau penujah, dan roda reaksi pada bahagian Amerika Syarikat.

Stesen angkasa antarabangsa, ISS, mengorbit Bumi di orbit yang berketinggian kira-kira 400 km. Satu pusingan orbit penuh stesen angkasa tersebut mengelilingi Bumi mengambil masa kira-kira 93 minit. Stesen angkasa itu mengorbit bumi dengan kelajuan kira-kira 7.66 km per saat atau 27,500 km per jam.

Gambaran orbit stesen angkasa antarabangsa, ISS
Gambaran orbit stesen angkasa antarabangsa, ISS
Kredit: Stuff in Space [6]

[https://mybit.my/ms/?p=1733]

Kredit gambar: NASA [0]

 

Rujukan:

[0] International Space Station: https://www.nasa.gov/image-feature/international-space-station-18

[1] http://www.interfax.ru/world/619684

[2] Cygnus cargo craft will test ability to boost and deorbit the International Space Station: http://www.planetary.org/blogs/jason-davis/2018/20180525-cygnus-iss-boost-test.html

[3] ISS Orbit Increases Almost 2,000 Feet After Adjustment Maneuver – Control Center: https://sputniknews.com/science/201708271056824227-iss-orbit-increase-adjustment-center/

[4] How does the International Space Station dodge space junk?: https://www.airspacemag.com/need-to-know/how-does-the-international-space-station-dodge-space-junk-16106207/

[5] The Soyuz MS-09 Crew Craft and the Cygnus Space Freighter: https://www.nasa.gov/image-feature/the-soyuz-ms-09-crew-craft-and-the-cygnus-space-freighter

[6] http://stuffin.space/?intldes=1998-067A&search=zarya

 

Anda Mungkin Juga Berminat

Cygnus Ubah Orbit ISS, Bersedia Untuk Berlepas ke Orbit Kapal angkasa kargo Amerika Syarikat, Cygnus NG-9/OA-9 telah berjaya menguji kebolehan untuk mengubah orbit stesen angkasa antarabangsa, ISS. Ujian tersebut telah dilakukan bermula pada jam 04:24:50, ...
Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa Kurang 4 Jam Selepas Dilancar... Kapal angkasa kargo dari Rusia, Progress MS-09 telah tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS, kurang 4 jam selepas dilancarkan ke angkasa. Progress MS-09 (atau Progress 70P) telah tiba di stesen angk...
Roket Soyuz 2.1a Melancarkan Kapal Angkasa Kargo Progress MS-08 ke Stesen Angkasa Antarabangsa Kemaskini terakhir: 23:20 14 Februari 2018   Roket Soyuz 2.1a di pad pelancaran Kredit: Roscosmos   Pada 4:13PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia (2:13PM waktu tempatan), roket Soyuz...
3 Angkasawan Kembali ke Bumi Dari Stesen Angkasa Antarabangsa Kemas kini terakhir: 1:15 PM, 28 Februari 2018 3 orang angkasawan dari Ekspedisi 54 Stesen Angkasa Antarabangsa telah selamat mendarat di Kazakhstan pada 10:31 AM 28 Februari 2018 waktu Malaysia (8:3...