SpaceX Melancarkan Satelit Komunikasi Telstar 19 VANTAGE, Mendaratkan Kembali Roket

SpaceX telah berjaya melancarkan sebuah satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE, ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) dengan menggunakan roket Falcon 9. Pelancaran tersebut telah dilakukan pada jam 13:50, 22 Julai 2018 waktu Malaysia (jam 01:50 waktu tempatan). Pelancaran itu telah dilakukan dari Space Launch Complex 40 (SLC-40) di Stesen Tentera udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat.

Pelancaran ini merupakan satu rekod untuk SpaceX kerana jisim satelit tersebut adalah tertinggi setakat ini (7,075 kg) untuk pelancaran ke orbit pindah geopegun dengan melakukan pendaratan kembali roket peringkat pertama [2]. Namun, satelit tersebut diletakkan pada ketinggian orbit pindah yang lebih rendah berbanding orbit pindah geopegun “super-synchronous” yang biasa dilakukan oleh SpaceX untuk pelancaran ke orbit pindah geopegun. Satelit tersebut telah dikatelogkan dan diberi ID NORAD 43562. Satelit Telstar 19 VANTAGE telah dilepaskan ke orbit pindah geopegun berukuran 17,865 km x 244 km x 27° [3].

Satelit Telstar 19 VANTAGE ketika ujian antena di SSL
Satelit Telstar 19 VANTAGE ketika ujian antena di SSL
Kredit: SSL

 

IKLAN

Pelancaran tersebut telah berlaku dengan lancar tanpa sebarang masalah. Pada masa kira-kira 1 minit 12 saat selepas pelancaran, badan roket Falcon 9 itu telah mengalami tekanan mekanikal maksimum dari atmosfera atau lebih dikenali sebagai “Max Q”. Ketika ini, roket Falcon 9 tersebut bergerak dengan kelajuan lebih 1,700 km per jam. Pada masa kira-kira 2 minit 30 saat selepas pelancaran, roket peringkat pertama Falcon 9 telah selesai tugasnya membawa muatan ke altitud tinggi, dan enjin roket peringkat pertama telah dimatikan. Roket peringkat pertama dan kedua kemudian dipisahkan.

Roket Falcon 9 berlepas dari pad pelancaran membawa satelit Telstar 19 VANTAGE ke orbit pindah geosegerak
Roket Falcon 9 berlepas dari pad pelancaran membawa satelit Telstar 19 VANTAGE ke orbit pindah geosegerak
Kredit: SpaceX [5]

 

Seterusnya, enjin roket peringkat kedua Merlin 1D Vacuum atau lebih dikenali sebagai MVac yang lebih cekap berfungsi di ruangan vakum dihidupkan. Roket peringkat kedua melakukan pembakaran selama kira-kira 5 minit 38 saat untuk membawa muatan ke orbit pindah awal. Apabila muatan telah keluar dari lapisan atmosfera yang tebal, reraut muatan (payload fairing) telah dibuang pada masa kira-kira 3 minit 27 saat selepas pelancaran. Reraut muatan berfungsi untuk melindungi muatan ketika bergerak dengan kelajuan yang pantas dalam lapisan atmosfera yang tebal.

Roket peringkat pertama Falcon 9 meneruskan perjalanan mengikut trajektori balistik ke kapal tongkang “Of Course I Still Love You” yang berada di lautan Atlantik kira-kira 650 km dari tapak pelancaran untuk melakukan pendaratan. Ketika di udara, penujah sistem kawalan altitud telah melakukan beberapa pembetulan supaya hala tuju roket adalah tepat untuk mendarat di kapal tongkang tersebut. Pada masa 6 minit 16 saat selepas pelancaran, roket peringkat pertama Falcon 9 menghidupkan kembali enjin untuk melakukan pembakaran kemasukan (entry burn). Pembakaran tersebut dilakukan untuk memperlahankan halaju roket dari kira-kira 8,200 km per jam ke kira-kira 7,000 km per jam [4]. Ketika ini, roket peringkat pertama itu berada pada ketinggian kira-kira 69 km.

Pada masa kira-kira 7 minit 55 saat, enjin roket peringkat pertama Falcon 9 itu dinyalakan kembali untuk melakukan pembakaran pendaratan (landing burn). Kaki pendaratan (landing legs) dibuka pada masa kira-kira 8 minit 18 saat selepas pelancaran. Roket peringkat pertama yang berketinggian kira-kira 42 meter tersebut telah berjaya mendarat di atas kapal tongkang “Of Course I Still Love You” pada masa kira-kira 8 minit 30 saat selepas pelancaran.

Ketika proses pendaratan roket peringkat pertama itu berlaku, roket peringkat kedua Falcon 9 yang berada di angkasa telah tiba di orbit pindah pertama pada masa kira-kira 8 minit 19 saat selepas pelancaran, dan enjin pada roket peringkat kedua itu telah dimatikan (SECO-1). Roket peringkat kedua memasuki fasa meluncur (coasting phase) tanpa pembakaran enjin selama kira-kira 18 minit 39 saat untuk bergerak ke posisi orbit yang sesuai bagi melakukan proses menaikkan ketinggian orbit (apogi) seterusnya.

Pada masa kira-kira 26 minit 57 saat selepas pelancaran, enjin roket peringkat kedua Falcon 9 dihidupkan kembali bagi menaikkan apogi dan melakukan perubahan pada kecondongan orbit. Namun, sambungan komunikasi dari roket ke stesen bumi (ground station) telah terputus untuk beberapa ketika dan pengesahan tamat pembakaran telah dilakukan pada minit 30 selepas pelancaran. Satelit Telstar 19 VANTAGE dilepaskan ke orbit pindah geosegerak pada masa kira-kira 32 minit 44 saat selepas dilancarkan.

Satelit Telstar 19 VANTAGE dilepaskan ke orbit pindah geopegun
Kredit: SpaceX [1]

 

Gambaran orbit
Gambaran orbit pindah geosegerak bagi satelit Telstar 19 VANTAGE (merah). Sebagai perbandingan, orbit satelit Measat-3B yang berada di orbit geopegun Bumi (biru) dan orbit pindah geosegerak “super-synchronous” (kuning) ketika misi SES-12 pada 4 Jun 2018 lepas oleh SpaceX

 

Untuk beberapa minggu akan datang, satelit tersebut akan menggunakan bahan bakarnya sendiri untuk bergerak ke orbit geopegun bulat berketinggian kira-kira 35,786 km dan akan beroperasi di slot 63° Barat. Satelit itu dijangka mempunyai hayat beroperasi selama 15 tahun.

Roket Falcon 9 yang digunakan adalah sebuah roket orbital yang mempunyai ketinggian 70 meter. Roket tersebut menggunakan bahan bakar kerosin gred roket (RP-1) dan bahan pengoksida oksigen cecair (LOX) untuk roket peringkat pertama dan kedua. Ketika dilancarkan, roket Falcon 9 mempunyai jisim kira-kira 550,000 kg di pad pelancaran. Roket itu mempunyai kemampuan membawa muatan maksimum berjisim 22,800 kg ke orbit rendah Bumi sekiranya roket peringkat pertama tidak didaratkan. Kapasiti muatan yang boleh dibawa ke orbit pindah geopegun ialah kira-kira 5,500 kg jika roket peringkat pertama didaratkan kembali atau 8,300 kg jika kapasiti roket peringkat pertama digunakan sepenuhnya dan dikorbankan.


Sorotan misi Telstar 19 VANTAGE
Kredit: SpaceX [1]

 

Sejarah kemas kini:

2018-07-24 14:45 – Video sorotan misi

 

Kredit gambar: SpaceX [0]

 

Rujukan:

[0] Telstar 19 Vantage Mission: https://www.flickr.com/photos/spacex/28684550147/

[1] Telstar 19 VANTAGE Mission: https://youtu.be/xybp6zLaGx4

[2] Telstar 19V (Telstar 19 Vantage): http://space.skyrocket.de/doc_sdat/telstar-19v.htm

[3] https://www.space-track.org/#/catalog

[4] https://www.flightclub.io/result?tab=2&code=T19V

[5] https://www.flickr.com/photos/spacex/29700000688/

 

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Falcon 9 Akan Melancarkan Satelit Telstar 19 VANTAGE ke Orbit SpaceX akan melancarkan sebuah satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) dengan menggunakan roket Falcon 9 baharu dari "block 5". Pelan...
Satelit UiTMSAT-1 Akan Dilancarkan Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 ke ISS Kemas kini 2018-07-03 00:30 Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS   Artikel Asal Satelit UiTMSAT-1 akan dilancarkan bersama kapal angkasa kargo...
Roket Falcon 9 Menghantar 3 Satelit ke Orbit Rendah Bumi Tepat pada 10:17PM 22 Februari 2018 waktu Malaysia (6:17AM waktu tempatan), roket Falcon 9 Full Thrust dari SpaceX telah berjaya dilancarkan, dan meletakkan 3 satelit di orbit rendah bumi. Satelit ter...
SpaceX Melancarkan Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Angkasa SpaceX telah berjaya melancarkan roket Falcon Heavy dalam penerbangan ujian pada jam 4:45 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia (3:45 PM 6 Februari 2018 waktu tempatan) dari Kompleks Pelancaran 39A di Pus...