Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS

Satelit UiTMSAT-1 bersama kargo yang dibawa oleh kapal angkasa Dragon CRS-15 telah selamat tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS. Lengan robotik Canadarm2 yang dikawal oleh angkasawan NASA, Ricky Arnold dan Drew Feustel telah berjaya menangkap kapal angkasa tersebut pada jam 18:54 waktu Malaysia, 2 Julai 2018 ketika stesen angkasa sedang berada di atas ruang angkasa Quebec, Kanada [1]. Kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 selesai dicantumkan pada bahagian bawah modul Harmony di stesen angkasa pada jam 21:52 waktu Malaysia.

Lengan robotik Canadarm2 menangkap kapal angkasa Dragon CRS-15
Lengan robotik Canadarm2 menangkap kapal angkasa Dragon CRS-15
Kredit: NASA

[https://mybit.my/ms/?p=1706]

IKLAN

Kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 telah dilancarkan pada 29 Jun 2018 dengan menggunakan roket Falcon 9. Pelancaran telah dibuat dari pad SLC-40 di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat. Dragon CRS-15 telah mengambil masa selama kira-kira 3 hari untuk “mengejar” stesen angkasa antarabangsa, ISS.

Satelit UiTMSAT-1 dijangka akan dilepaskan ke orbit dari modul Kibo sebelum berakhir bulan Julai 2018 bersama-sama satelit CubeSat yang lain dari projek Birds-2 iaitu MAYA (Bird PHL), dan Bhutan-1 (Bird BTN). Dari bahagian pelepas satelit CubeSat yang lain iaitu NRCSD-14, terdapat beberapa lagi CubeSat yang dijangka dilepaskan pada 9 Julai 2018, iaitu RainCube, Radix, CubeRRT, HaloSat, TEMPEST-D, EnduroSat AD, EQUISat, MemSat, dan RadSat-g [2].

Kini, stesen angkasa antarabangsa, ISS mempunyai 5 buah kapal angkasa yang bercantum dengan stesen tersebut. 2 kapal angkasa adalah untuk membawa pulang angkasawan kembali ke Bumi iaitu Soyuz MS-08 dan Soyuz MS-09. 3 buah lagi adalah kapal angkasa kargo iaitu Dragon CRS-15 yang baru tiba, Cygnus OA-9 yang tiba pada 24 Mei 2018, dan Progress MS-08 / 69P yang telah bercantum dengan stesen angkasa sejak 13 Februari 2018. Cygnus OA-9 dijangka akan berpisah dari modul Unity dari kapal angkasa pada 15 Julai 2018 dan akan memasuki semula atmosfera Bumi dan terbakar bersama sampah sarap yang dibawa dari stesen angkasa di atas lautan Pasifik.

Kapal angkasa yang berada di stesen angkasa ketika ini
Kapal angkasa yang berada di stesen angkasa ketika ini
Kredit: NASA [3]

[https://mybit.my/ms/?p=1706]

Kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 membawa muatan kargo berjumlah hampir 2,700 kg yang terdiri daripada eksperimen sains, bekalan angkasawan, alat ganti, dan peralatan untuk aktiviti luar stesen (spacewalk). Dragon CRS-15 akan tinggal di angkasa selama kira-kira 1 bulan sebelum berpisah dari stesen angkasa dan kembali ke Bumi membawa pulang kargo dari angkasa yang berjumlah kira-kira 1,700 kg. Kapsul Dragon dijangka akan mendarat di lautan dengan bantuan payung terjun di luar pantai Baja, California, Amerika Syarikat.


Rakaman ketibaan dan penangkapan kapal angkasa Dragon CRS-15
Kredit: NASA, melalui SciNews [4]

 


Rakaman percantuman kapal angkasa Dragon CRS-15 pada bahagian bawah modul Harmony pada stesen angkasa
Kredit: NASA, melalui SciNews [5]

 

Kredit gambar: NASA Johnson [0]

 

Rujukan:

[0] https://www.flickr.com/photos/nasa2explore/28181701187/in/dateposted/

[1] Dragon Capture Confirmed Over Canada: https://blogs.nasa.gov/spacestation/2018/07/02/dragon-capture-confirmed-over-canada/

[2] Space Station Science Highlights: Week of June 25, 2018: https://www.nasa.gov/mission_pages/station/research/news/SSSH_25jun18

[3] https://www.nasa.gov/feature/visiting-vehicle-launches-arrivals-and-departures

[4] SpaceX CRS-15: Dragon capture, 2 July2018: https://www.youtube.com/watch?v=7aXLBlk5cRA

[5] SpaceX CRS-15: Dragon berthing to the ISS, 2 July2018: https://www.youtube.com/watch?v=9vszTzi7Gxk

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Falcon 9 Menghantar 3 Satelit ke Orbit Rendah Bumi Tepat pada 10:17PM 22 Februari 2018 waktu Malaysia (6:17AM waktu tempatan), roket Falcon 9 Full Thrust dari SpaceX telah berjaya dilancarkan, dan meletakkan 3 satelit di orbit rendah bumi. Satelit ter...
SpaceX Melancarkan Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Angkasa SpaceX telah berjaya melancarkan roket Falcon Heavy dalam penerbangan ujian pada jam 4:45 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia (3:45 PM 6 Februari 2018 waktu tempatan) dari Kompleks Pelancaran 39A di Pus...
SpaceX Melancarkan Satelit Komunikasi Telstar 19 VANTAGE, Mendaratkan Kembali Roket SpaceX telah berjaya melancarkan sebuah satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE, ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) dengan menggunakan roket Falcon 9. Pelancaran terseb...
Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Akan Menguji Tempoh Perjalanan Singkat ke Stesen Angkasa Antaraba... Walaupun stesen angkasa antarabangsa, ISS baru sahaja menerima ketibaan kapal angkasa kargo SpaceX Dragon CRS-15 pada 2 Julai 2018, kini stesen angkasa tersebut akan menerima ketibaan kapal angkasa ka...