Rusia Akan Berhenti Menghasilkan Roket Proton

Kenderaan pelancaran angkasa orbital Proton akan ditamatkan pengeluaran oleh Khrunichev State Research and Production Space Center. Proton adalah roket orbital yang mempunyai sejarah yang lama dan antara roket yang terawal wujud dalam sejarah penerbangan ke angkasa. Antaranya ialah pelancaran Salyut 1 yang merupakan stesen angkasa pertama yang mempunyai krew, dan modul servis Zvesda, yang kini menjadi asas kepada pembentukan stesen angkasa antarabangsa, ISS. Panamatan tersebut adalah susulan peralihan kepada penggunaan roket baharu iaitu Angara, seperti yang dilaporkan oleh Ars Technica [1].

Ketika artikel ini ditulis, roket dari keluarga Proton telah melakukan sebanyak 414 penerbangan dengan 367 dari pelancaran tersebut adalah berjaya. Penerbangan pertama roket Proton adalah pada bulan Julai 1965 yang membawa satelit Proton-1 untuk mengkaji partikel kosmik bertenaga tinggi ke orbit rendah bumi. Versi moden roket Proton masih digunakan sehingga kini dengan penerbangan terakhir ketika penulisan ini ditulis adalah pada 18 April 2018 yang menghantar satelit komunikasi tentera, Kosmos 2526/Blagovest 12L yang dimiliki oleh Rusia ke orbit geopegun bumi (geostationary earth orbit, GEO). Sehingga kini, roket dari keluarga Proton masih mempunyai kontrak aktif yang telah ditempah sebanyak 15 pelancaran sehingga tahun 2023 [5].

IKLAN

Roket Proton-M dibawa ke pad pelancaran
Roket Proton-M dibawa ke pad pelancaran
Kredit: Roscosmos [9]

[https://mybit.my/ms/?p=1700]

Selain digunakan untuk melancarkan muatan bagi kerajaan Rusia ke orbit, pelancaran ke angkasa dengan menggunakan roket tersebut turut ditawarkan kepada pelanggan antarabangsa melalui syarikat International Launch Services (ILS).

Menurut laporan itu lagi, antara sebab kemerosotan pasaran untuk roket Proton ialah kerana peningkatan kadar kegagalan misi oleh roket Proton itu sendiri. Selain itu, kewujudan tawaran yang lebih murah untuk pelancaran ke angkasa seperti roket Falcon 9 oleh SpaceX menyebabkan bilangan pelancaran tahunan roket Proton menurun dari 8 kepada 1 atau 2 sahaja.

Roket Proton paling baharu ialah roket Proton-M. Roket tersebut boleh dilancarkan dengan konfigurasi 3 atau 4 peringkat. Proton-M mempunyai ketinggian sebanyak 58.2 meter dan berdiameter 7.4 meter. Ketika dilancarkan, roket tersebut mempunyai jisim lebih dari 700,000 kg [6]. Roket Protom-M mempunyai keupayaan menghantar muatan berjisim sehingga 22,000 kg ke orbit rendah bumi, dan sehingga 6,550 kg ke orbit pindah geosegerak (geosynchonous transfer orbit, GTO).

Roket peringkat pertama, kedua, dan ketiga Proton-M menggunakan bahan dorong hipergolik (hypergolic) yang terdiri dari bahan bakar hidrazina (hydrazine) unsymmetrical dimethylhydrazine (UDMH) yang toksik bersama bahan pengoksida nitrogen tetroxide (N2O4). Biasanya, pelancaran roket Proton-M akan menggunakan roket suntikan orbit peringkat atas Briz-M yang menggunakan bahan dorong yang sama.

Roket dari keluarga Angara yang bakal menggantikan roket Proton menggunakan bahan bakar yang lebih selamat iaitu kerosin gred roket (RP-1) bersama bahan pengoksida oksigen cecair (LOX). Roket Angara adalah agak modular dan boleh dilancarkan dengan pelbagai konfigurasi bergantung pada muatan dan orbit sasaran [7]. Roket paling berkuasa dari keluarga Angara iaitu Angara-5 dilaporkan mampu membawa muatan sehingga 24,500 kg ke orbit rendah bumi, dan sehingga 7,500 kg ke orbit pindah geopegun dengan roket peringkat atas baharu KVTK [8].

Roket Angara 5 ketika ujian penerbangan pada 23 Disember 2014 dari Plesetsk Cosmodrome, Rusia
Roket Angara 5 ketika ujian penerbangan pada 23 Disember 2014 dari Plesetsk Cosmodrome, Rusia
Kredit: Khrunichev State Research and Production Space Center [10]

[https://mybit.my/ms/?p=1700]

Kredit gambar: European Space Agency [0]

 

Rujukan:

[0] ExoMars 2016 liftoff: https://www.flickr.com/photos/europeanspaceagency/25151860304/

[1] Russia’s Proton rocket, which predates Apollo, will finally stop flying: https://arstechnica.com/science/2018/06/russias-proton-rocket-which-predates-apollo-will-finally-stop-flying/

[2] New Roscosmos chief prioritizes ending Proton’s reign: http://spacenews.com/new-roscosmos-chief-prioritizes-ending-protons-reign/

[3] http://space.skyrocket.de/doc_sdat/proton-1.htm

[4] Proton delivers the second Blagovest satellite: http://www.russianspaceweb.com/blagovest12l.html

[5] https://www.rbc.ru/rbcfreenews/5b2ca9f49a794770c0332d5d

[6] http://www.russianspaceweb.com/proton-m.html

[7] http://www.russianspaceweb.com/angara.html

[8] http://www.russianspaceweb.com/angara5.html

[9] https://www.flickr.com/photos/roscosmos/35004786891/in/photostream/

[10] Angara A5: Maiden Launch from Plesetsk, December 23, 2014: http://www.khrunichev.ru/main.php?id=250

 

Anda Mungkin Juga Berminat

Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Akan Menguji Tempoh Perjalanan Singkat ke Stesen Angkasa Antaraba... Walaupun stesen angkasa antarabangsa, ISS baru sahaja menerima ketibaan kapal angkasa kargo SpaceX Dragon CRS-15 pada 2 Julai 2018, kini stesen angkasa tersebut akan menerima ketibaan kapal angkasa ka...
Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa Kurang 4 Jam Selepas Dilancar... Kapal angkasa kargo dari Rusia, Progress MS-09 telah tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS, kurang 4 jam selepas dilancarkan ke angkasa. Progress MS-09 (atau Progress 70P) telah tiba di stesen angk...