Roket Long March 3A Melancarkan Satelit Navigasi BeiDou Baharu ke Orbit

Roket Long March 3A telah melancarkan sebuah satelit navigasi BeiDou baharu ke orbit. Pelancaran telah dilakukan pada jam 04:58 waktu Malaysia dan tempatan pada hari Selasa, 10 Julai 2018 [1]. Roket tersebut telah dilancarkan dari Kompleks Pelancaran 2 (Launch Complex 2, LC-2) di Pusat Pelancaran Satelit Xichang (Xichang Satellite Launch Center, XSLC), China.

Satelit tersebut akan beroperasi di orbit condong geosegerak (inclined geosynchronous orbit, IGSO) [2]. Menurut Jonathan McDowell, satelit tersebut telah dikatelogkan dan telah dihantar ke orbit pindah 201 km x 35,780 km x 55.1° [6] oleh roket Long March 3A.

IKLAN

Roket Long March 3A melancarkan satelit BeiDou 2 I7
Roket Long March 3A melancarkan satelit BeiDou 2 I7
Kredit: China News Service [0]

[https://mybit.my/ms/?p=1763]

Pelancaran ini merupakan pelancaran ke angkasa yang ke 2 oleh China dalam masa 24 jam, selepas pelancaran PRSS-1 dan PakTES-1A pada jam 11:56, 9 Julai 2018 waktu Malaysia. Kurang 1 jam selepas pelancaran tersebut, agensi angkasa Rusia, Roscosmos, telah melancarkan kapal angkasa kargo Progress MS-09 ke stesen angkasa antarabangsa, ISS, dengan menggunakan roket Soyuz 2.1A. Ini membawa kepada 3 pelancaran ke angkasa oleh manusia untuk menghantar muatan dari Bumi ke orbit dalam tempoh kurang 24 jam.

Satelit yang dilancarkan adalah satelit BeiDou 2 IGSO 7 yang merupakan satelit generasi kedua untuk sistem navigasi satelit BeiDou. Ia telah ditambah baik berbanding satelit BeiDou generasi kedua terdahulu. Satelit ini merupakan satelit sandaran untuk sistem navigasi satelit BeiDou bagi memastikan operasi sistem BeiDou sentiasa berterusan dan stabil, sebagaimana yang dilaporkan oleh Xinhua [1].

Satelit BeiDou 2 I7 ketika diproses sebelum pelancaran
Satelit BeiDou 2 I7 ketika diproses sebelum pelancaran
Kredit: NasaSpaceFlight  [7]

 

Sistem navigasi satelit BeiDou dibina oleh China sebagai saingan untuk sistem navigasi satelit yang lain seperti Amerika Syarikat (GPS), Rusia (GLONASS), dan Eropah (Galileo). Sistem BeiDou dijangka dapat memberi perkhidmatan navigasi dan penentu kedudukan di negara yang wujud di sepanjang laluan Belt and Road pada hujung tahun 2018, dan meliputi seluruh dunia pada tahun 2020.

Satelit-satelit sistem navigasi BeiDou beroperasi di pelbagai orbit. Ketika artikel ini ditulis, BeiDou mempunyai 6 satelit yang beroperasi di orbit geopegun bumi (geostationary Earth orbit, GEO) dengan ketinggian orbit kira-kira 35,000 km, 8 satelit yang beroperasi di orbit condong geosegerak dengan kecondongan 55°, dan 14 satelit beroperasi di orbit sederhana bumi (medium Earth orbit, MEO) dengan ketinggian orbit kira-kira 21,500 km dan berkecondongan 55° [3].

Gambaran orbit satelit BeiDou yang beroperasi di angkasa
Gambaran orbit satelit BeiDou yang beroperasi di angkasa
Kuning – orbit geopegun bumi
Hijau – orbit condong geosegerak
Merah – orbit sederhana bumi

Kredit: Space Track [8], Wikipedia [3]

[https://mybit.my/ms/?p=1763]

Roket yang digunakan ialah roket Long March 3A. Roket ini adalah roket orbital yang mempunyai 3 peringkat. Long March 3A mempunyai ketinggian 52.52 meter dan diameter 3.35 meter. Ketika pelancaran, roket ini mempunyai jisim sebanyak 241,000 kg.

Roket peringkat pertama dan kedua Long March 3A menggunakan bahan bakar hipergolik hidrazina “unsymmetrical dimethylhydrazine” (UDMH) dan pengoksida “dinitrogen tetroxide” (N2O2). Roket peringkat atas atau peringkat ketiga untuk Long March 3A menggunakan bahan bakar hidrogen cecair (LH2) dan bahan pengoksida oksigen cecair (LOX).

Long March 3A mempunyai kepasiti membawa muatan berjisim 2,600 kg ke orbit pindah geosegerak (geosynchronous transfer orbit, GTO), 6,000 kg ke orbit rendah bumi berketinggian 200 km, sehingga 5,000 kg ke orbit segerak Matahari (sun-synchronous orbit, SSO), dan kira-kira 1,400 kg untuk misi antara planet atau keluar dari orbit bumi [5].

Perbandingan struktur roket Long March 3A, Long March 3B/3BA, dan Long March 3C
Perbandingan struktur roket Long March 3A, Long March 3B/3BE, dan Long March 3C
Kredit: China Great Wall Industry Corporation (CGWIC) [5]

[https://mybit.my/ms/?p=1763]


Rakaman pelancaran roket Long March 3A membawa satelit navigasi BeiDou 2 IGSO 7 ke orbit
Kredit: CCTV+

 

Kredit gambar: China News Service [0]

 

Sejarah kemas kini:

2018-07-11 14:00 – rakaman video pelancaran

 

Rujukan:

[0] http://www.ecns.cn/hd/2018-07-10/detail-ifyvvuhv1812906.shtml

[1] China launches new Beidou navigation satellite: http://www.xinhuanet.com/english/2018-07/10/c_137313098.htm

[2] http://zz.81.cn/content/2018-07/10/content_8083705_2.htm

[3] https://en.wikipedia.org/wiki/List_of_BeiDou_satellites

[4] LM-3A: http://cgwic.com/Launchservice/LM3A.html

[5] http://www.cgwic.com/LaunchServices/Download/manual/LM-3A%20Series%20Launch%20Vehicles%20User’s%20Manual%20Issue%202011.pdf

[6] https://twitter.com/planet4589/status/1016522759898386432

[7] https://forum.nasaspaceflight.com/index.php?topic=40432.msg1836752#msg1836752

[8] https://www.space-track.org

 

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Long March 3B melancarkan komponen orbit geopegun sistem navigasi satelit Beidou-3 GEO-1 Kemaskini terakhir: 2 November 2018, 6:00 PM   Sebuah roket Long March 3B telah melancarkan sebuah satelit sistem navigasi BeiDou ke orbit pindah geopegun. Pelancaran tersebut telah dilakukan d...
China hantar pendarat dan perayau Chang’e-4 ke permukaan Bulan yang tidak menghadap Bumi Sebuah roket Long March 3B telah dilancarkan dari Xichang Satellite Launch Center, China, membawa pendarat dan perayau yang dikenali sebagai Chang'e-4 ke Bulan. Pelancaran tersebut telah dilakuk...
Roket Atlas V Berjaya Melancarkan Satelit Cuaca NASA, GOES-S Roket Atlas V membawa satelit GOES-S berlepas dari Kompleks Pelancaran Angkasa 41 Kredit: ULA   Roket Atlas V 541 telah berjaya dilancarkan dan menghantar satelit GOES-S ke orbit. Roket t...
Roket Kuaizhou 1A melancarkan satelit prototaip Centispace-1 1S ke orbit segerak Matahari Sebuah roket Kuaizhou 1A telah melancarkan sebuah satelit prototaip Centispace-1 1S ke orbit segerak Matahari. Pelancaran tersebut telah dilakukan pada 29 September 2018 lalu pada jam 12:13 waktu Mala...