Roket Falcon 9 Akan Melancarkan Satelit Telstar 19 VANTAGE ke Orbit

SpaceX akan melancarkan sebuah satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) dengan menggunakan roket Falcon 9 baharu dari “block 5“. Pelancaran tersebut dirancang dilakukan bermula pada jam 13:50, 22 Julai 2018 waktu Malaysia (jam 01:50 waktu tempatan). Pelancaran ini mempunyai jendela pelancaran selama 4 jam bermula jam 13:50 hingga 17:50 waktu Malaysia (01:50 hingga 05:50 waktu tempatan). Pelancaran akan dilakukan dari Space Launch Complex 40 (SLC-40) di Stesen Tentera udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat [1]. Telstar 19 VANTAGE akan dioperasikan oleh Telesat, sebuah syarikat komunikasi satelit Kanada [2].

Pihak SpaceX akan membuat liputan siaran langsung pelancaran tersebut. Ketika artikel ini ditulis, ramalan cuaca menunjukkan 60% kemungkinan tidak melanggar kekangan cuaca untuk pelancaran [6].


Tonton siaran langsung pelancaran satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE menggunakan roket Falcon 9 oleh SpaceX. Pelancaran dijadualkan bermula jam 13:50, 22 Julai 2018 waktu Malaysia
Kredit: SpaceX [3]

 

IKLAN

Satelit Telstar 19 VANTAGE akan dilepaskan ke orbit pindah geopegun kira-kira 32 minit selepas dilancarkan. Selepas dilepaskan ke orbit pindah geopegun, satelit Telstar 19 VANTAGE akan menggunakan sistem penujah elektriknya sendiri untuk bergerak ke orbit geopegun Bumi (geostationary Earth orbit, GEO) yang terletak pada ketinggian kira-kira 35,786 km. Satelit tersebut akan beroperasi di slot 63° Barat [5]. Satelit itu bakal menawarkan liputan jalur Ka dan Ku ke kawasan Atlantik Utara, Caribbean, utara Kanada, dan Amerika Selatan.

Satelit Telstar 19 VANTAGE dibangunkan dengan menggunakan platform SSL 1300. Satelit ini adalah satelit komunikasi yang mempunyai daya pemprosesan yang tinggi (high throughput satellite, HTS) [7]. Satelit ini dijangka beroperasi di orbit selama 15 tahun.

Kawasan liputan satelit Telstar 19 VANTAGE
Kawasan liputan satelit Telstar 19 VANTAGE
Kredit: Telesat [5]

 

Satelit Telstar 19 VANTAGE ketika ujian antena di SSL
Satelit Telstar 19 VANTAGE ketika ujian antena di SSL
Kredit: SSL [7]

 

SpaceFlightNow melaporkan bahawa satelit Telstar 19 VANTAGE mempunyai jisim sebanyak kira-kira 7,076 kg [4]. Sebelum ini, rekod jisim tertinggi muatan yang dilancarkan ke orbit pindah geopegun oleh roket Falcon 9 ialah 6,761 kg iaitu satelit Intelsat 35e yang dilancarkan pada Julai 2017 [9]. SpaceX tidak mendaratkan kembali roket peringkat pertama kerana roket itu adalah dari “block 3” dan tidak mempunyai prestasi dan bahan api yang cukup untuk didaratkan kembali setelah menghantar muatan berjisim tinggi ke orbit bertenaga tinggi.

Pada Mac 2018 yang lepas, SpaceX telah melancarkan satelit komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6 yang berjisim 6,092 kg. Pada awalnya, SpaceX merancang untuk mendaratkan kembali roket peringkat pertama, namun dibatalkan kerana keadaan lautan yang bergelora. Walau bagaimanapun, simulasi pendaratan tetap dilakukan tanpa kapal tongkang. Roket Falcon 9 yang digunakan ketika itu adalah dari “block 4“. Oleh kerana jisim muatan yang dihantar adalah tinggi, satelit tersebut telah dihantar ke orbit pindah geopegun yang lebih rendah dari kebiasaan yang dilakukan oleh SpaceX untuk misi ke orbit pindah geopegun kerana roket tersebut memerlukan menyimpan sedikit bahan api untuk melakukan pendaratan.

Roket Falcon 9 yang digunakan untuk pelancaran satelit Telstar 19 VANTAGE adalah dari “block 5“. Jadi, peningkatan prestasi pada roket Falcon 9 versi baharu ini akan membolehkan roket peringkat pertama didaratkan kembali walaupun jisim muatan adalah tinggi. Ini merupakan satu rekod jisim muatan yang baharu untuk SpaceX bagi misi ke orbit pindah geopegun yang menggunakan roket Falcon 9 dengan mendaratkan kembali roket peringkat pertama.

Roket peringkat pertama Falcon 9 untuk pelancaran ini akan didaratkan di atas kapal tongkang yang diberi nama “Of Course I Still Love You“. Kapal tersebut akan ditempatkan di lautan Atlantik. Namun, SpaceX tidak akan cuba mendapatkan kembali reraut muatan (payload fairing) untuk pelancaran ini kerana kapal sokongan “Mr. Steven” berada di pantai Barat Amerika Syarikat. Cubaan mendapatkan kembali reraut muatan dijangka dilakukan ketika pelancaran satelit Iridium-7 pada 25 Julai 2018.

Roket peringkat pertama Falcon 9 yang didaratkan kembali di atas kapal tongkang Of Course I Still Love You ketika misi JCSAT-16 pada Ogos 2016
Roket peringkat pertama Falcon 9 yang didaratkan kembali di atas kapal tongkang “Of Course I Still Love You” ketika misi JCSAT-16 pada Ogos 2016
Kredit: SpaceX [8]

 

Garis Masa Misi

Masa (JAM:MINIT:SAAT) Peristiwa
– 00:01:00 Komputer penerbangan memulakan semakan pra-pelancaran terakhir
– 00:01:00 Tekanan tangki bahan dorong dinaikkan ke tahap tekanan penerbangan
– 00:00:45 Pengarah Pelancaran SpaceX mengesahkan kebolehan pelancaran
– 00:00:03 Pengawal enjin mengarahkan aturan penyalaan enjin dimulakan
00:00:00 Roket Falcon 9 dilancarkan
00:01:12 Roket mengalami tekanan mekanikal maksimum (Max Q)
00:02:30 Enjin roket peringkat pertama dimatikan (MECO)
00:02:33 Roket peringkat pertama dan kedua dipisahkan
00:02:34 Enjin roket peringkat kedua dihidupkan
00:03:40 Reraut muatan (payload fairing) dibuka
00:06:12 Pembakaran kemasukan (entry burn) roket peringkat pertama
00:08:12 Enjin roket peringkat kedua dimatikan kali pertama (SECO-1)
00:08:29 Roket peringkat pertama mendarat
00:26:49 Enjin roket peringkat kedua dihidupkan kembali
00:27:39 Enjin roket peringkat kedua dimatikan kali kedua (SECO-2)
00:32:40 Satelit Telstar 19 VANTAGE dilepaskan ke orbit

 

Kredit gambar: Telesat [0]

 

Rujukan:

[0] Telstar 19 VANTAGE: https://www.telesat.com/our-fleet/telstar-19-vantage

[1] http://www.spacex.com/sites/spacex/files/telstar19vantagepresskit.pdf

[2] https://www.telesat.com/about-us/who-we-are

[3] Telstar 19v Mission: https://www.youtube.com/watch?v=xybp6zLaGx4

[4] Record-setting commercial satellite awaits blastoff from Cape Canaveral: https://spaceflightnow.com/2018/07/21/record-setting-commercial-satellite-awaits-blastoff-from-cape-canaveral/

[5] https://www.telesat.com/sites/default/files/telesat/brochures/telesat_satellitebrochure_telstar19v_2.pdf

[6] https://forum.nasaspaceflight.com/index.php?topic=45842.msg1839329#msg1839329

[7] Maxar’s SSL Ships First of Three Advanced Communications Satellites Scheduled to Launch on the SpaceX Falcon 9 This Summer: http://www.sslmda.com/html/pressreleases/2018-06-21-Maxar-SSL-ships-first-of-three-advanced-communications-satellites-scheduled-to-launch-on-the-SpaceX-Falcon-9-this-summer.php

[8] https://www.flickr.com/photos/spacex/28965678292/

[9] https://www.reddit.com/r/spacex/wiki/launches/manifest

Anda Mungkin Juga Berminat

Malaysia akan menghantar eksperimen ke stesen angkasa ISS pada Februari 2019 Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) bakal menghantar eksperimen sains ke stesen angkasa antarabangsa, ISS pada Februari 2019. Sampel eksperimen tersebut te...
SpaceX “melukis” “nebula” di langit dan mendaratkan roket di daratan untuk k... SpaceX telah melancarkan sebuah roket Falcon 9 dan menghantar sebuah satelit pemerhati Bumi milik Argentina, SAOCOM 1A ke orbit rendah Bumi. Roket tersebut telah dilancarkan dari pad pelancaran SLC-4E...
Roket Atlas V Berjaya Melancarkan Satelit Cuaca NASA, GOES-S Roket Atlas V membawa satelit GOES-S berlepas dari Kompleks Pelancaran Angkasa 41 Kredit: ULA   Roket Atlas V 541 telah berjaya dilancarkan dan menghantar satelit GOES-S ke orbit. Roket t...
Roket Atlas V meletakkan satelit AEHF-4 di orbit pindah geosegerak United Launch Alliance telah melancarkan sebuah roket Atlas V 551 ke orbit dari Kompleks Pelancaran Angkasa 41 (SLC-41), Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat pada 17 Oktober ...