Roket Ariane 5 ES Hantar 4 Satelit Sistem Navigasi Galileo ke Orbit

Sebuah roket Ariane 5 ES telah dilancarkan dari pad Ensemble de Lancement Ariane 3 (ELA-3) di Guiana Space Centre, Kourou, French Guiana, pada 25 Julai 2018, jam 19:25:01 waktu Malaysia (jam 08:25:01 waktu tempatan) [1]. Roket tersebut telah menghantar 4 buah satelit sistem navigasi Galileo ke orbit. Setiap satelit tersebut mempunyai jisim kira-kira 716 kg dan telah dihantar ke orbit pindah (~22,900 km) di orbit sederhana Bumi (medium Earth orbit, MEO), kira-kira 300 km lebih rendah dari orbit operasi satelit Galileo tersebut (~23,222 km). Satelit yang dilancarkan ialah satelit Galileo SAT 23, Galileo SAT 24, Galileo SAT 25, dan Galileo SAT 26 [7].

5 objek telah dikatelogkan dari pelancaran tersebut [2]. Ketika artikel ini ditulis, objek-objek dari pelancaran tersebut masih belum ditentukan ID NORAD (badan roket atau satelit-satelit Galileo). Berikut merupakan maklumat orbit objek-objek tersebut ketika artikel ini ditulis:

OBJEK A (2018-060A) – 22,901 km x 22,896 km x 56.31°
OBJEK B (2018-060B) – 22,899 km x 22,891 km x 56.31°
OBJEK C (2018-060C) – 22,915 km x 22,888 km x 56.24°
OBJEK D (2018-060D) – 22,926 km x 22,902 km x 56.32°
OBJEK E (2018-060E) – 22,939 km x 22,900 km x 56.31°

 

IKLAN

Gambaran orbit
Gambaran orbit: Objek-objek dari pelancaran tersebut (merah), orbit satelit Galileo lain (hijau), orbit satelit Measat 3B (putih) yang beroperasi di orbit geopegun Bumi (geostationary Earth orbit, GEO) sebagai perbandingan
Kredit: Simulasi oleh JSatTrak, maklumat orbit oleh Space-Track [2]

 

Selepas dihantar ke orbit, stesen Bumi telah menerima signal dari keempat-empat satelit, dan panel solar satelit-satelit tersebut telah dibuka. Satelit-satelit tersebut telah dilaporkan berada dalam keadaan yang baik.

Menurut Jean Verniolle, Pengarah Misi Galileo FOC-M8 European Space Agency (ESA), satelit tersebut akan mula bergerak ke slot operasi di orbit dengan menggunakan sistem penujah sendiri 6 hari selepas pelancaran. Pergerakan ini dijangka mengambil masa selama kira-kira 2 minggu. Selepas itu, satelit-satelit tersebut akan melakukan ujian di orbit selama kira-kira 6 bulan untuk memastikan satelit boleh beroperasi dengan baik. Jika tiada masalah, satelit Galileo 23 dan 25 akan mula beroperasi pada hujung bulan Disember 2018. Satelit Galileo 24 dan 26 pula akan mula beroperasi pada hujung bulan Februari 2019.

Sehingga kini, 26 buah satelit sistem navigasi Galileo telah dilancarkan ke angkasa (tidak termasuk 2 satelit ujian sistem Galileo untuk pemfailan frekuensi signal). Galileo dijangka akan beroperasi sepenuhnya dengan liputan merangkumi seluruh dunia bermula tahun 2020. Ketika beroperasi sepenuhnya, sistem Galileo akan mempunyai 30 buah satelit di orbit, dimana 24 akan beroperasi dan 6 buah lagi akan diletakkan dalam keadaan bersedia di orbit sebagai satelit gantian.

Roket Ariane 5 ES bersama 4 satelit Galileo di pad pelancaran ELA-3
Roket Ariane 5 ES bersama 4 satelit Galileo di pad pelancaran ELA-3
Kredit: ESA [6]

 

Sebelum ini, 14 buah satelit Galileo telah dilancarkan dengan menggunakan roket Soyuz STB buatan Rusia, dan 8 buah telah dilancarkan dengan menggunakan roket Ariane 5 ES [3] [4]. Pelancaran satelit Galileo pada 25 Julai 2018 merupakan pelancaran terakhir yang menggunakan roket Ariane 5 ES. Pada masa hadapan, satelit Galileo akan dilancarkan dengan menggunakan roket terbaharu Arianespace iaitu Ariane 6 yang dijadual pada tahun 2020. Roket Ariane 6 masih dalam pembangunan.

Sistem navigasi satelit Galileo adalah alternatif yang ditawarkan oleh Kesatuan Eropah kepada sistem navigasi satelit Global Positioning System (GPS) oleh Amerika Syarikat. Sistem navigasi satelit lain yang ada ialah GLONASS oleh Rusia, BeiDou oleh China, NAVIC oleh India, dan QZSS oleh Jepun.


Rakaman penuh misi VA244, pelancaran roket Ariane 5 ES membawa 4 satelit Galileo ke orbit
Kredit: Arianespace [5]

 

Kredit gambar: Arianespace [0]

 

Rujukan:

[0] http://www.arianespace.com/mission/ariane-flight-va244/

[1] Arianespace continues the momentum for Europe’s Galileo constellation with another Ariane 5 success: http://www.arianespace.com/mission-update/va244-galileo-success/

[2] https://www.space-track.org/

[3] http://space.skyrocket.de/doc_sdat/galileo-iov.htm

[4] http://space.skyrocket.de/doc_sdat/galileo-foc.htm

[5] Arianespace Flight VA244 / Galileo FOC-M8 / SAT 23-24-25-26: https://youtu.be/t0BKsk97n6Y

[6] Galileo’s Ariane 5 at ZL3 launch site: https://www.flickr.com/photos/europeanspaceagency/28719454777/

[7] http://www.arianespace.com/mission/ariane-flight-va244/

 

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Long March 3B menghantar 2 satelit sistem navigasi BeiDou ke orbit Sebuah roket Long March 3B bersama roket peringkat atas Yuanzheng-1 telah dilancarkan dan meletakkan 2 lagi satelit untuk kegunaan sistem navigasi satelit BeiDou. 2 buah satelit tersebut ialah BeiDou-...
2 Pelancaran Dalam Tempoh 15 Minit: Arianespace: 4 Satelit Galileo; SpaceX: 10 Satelit Iridium NEXT Kemas kini terakhir: 2018-07-25 14:15   Pada 25 Julai 2018, benua Amerika akan menyaksikan 2 pelancaran roket ke angkasa, masing-masing kurang dari 15 minit antara satu sama lain. Kedua-dua pel...
China Menambah 2 Satelit Navigasi BeiDou di Orbit, Roket Jatuh Berhampiran Rumah Penduduk Pada 1:03PM 12 Februari 2018 waktu Malaysia, Perbadanan Sains dan Teknologi Aeroangkasa China (China Aerospace Science and Technology Corporation, CASC) telah berjaya melancarkan roket Long March 3B d...
Roket Soyuz ST-B / Fregat Berjaya Menghantar 4 Satelit O3b ke Orbit Sederhana Bumi Kemas kini terakhir: 4:00 AM, 10 Mac 2018 Roket Soyuz ST-B bersama roket peringkat atas Fregat yang dioperasikan oleh Arianespace telah berjaya melancarkan 4 buah satelit O3b ke orbit sederhana bumi ...