Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa Kurang 4 Jam Selepas Dilancarkan

Kapal angkasa kargo dari Rusia, Progress MS-09 telah tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS, kurang 4 jam selepas dilancarkan ke angkasa. Progress MS-09 (atau Progress 70P) telah tiba di stesen angkasa pada jam 09:31, 10 Julai 2018 waktu Malaysia. Kapal angkasa tersebut telah dilancarkan ke angkasa dengan menggunakan roket Soyuz 2.1a dari pad 31/6, Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, pada jam 05:51, 10 Julai 2018 waktu Malaysia (jam 03:51 waktu tempatan). Progress MS-09 telah bercantum secara automatik pada pangkalan cantum (docking port) di modul Pirs pada stesen angkasa antarabangsa, ISS.

Kapal angkasa kargo Progress MS-09 menghampiri stesen angkasa antarabangsa, ISS, sebelum bercantum
Kapal angkasa kargo Progress MS-09 menghampiri stesen angkasa antarabangsa, ISS, sebelum bercantum
Kredit: NASA

 

Perjalanan kapal angkasa kargo Progress MS-09 ke stesen angkasa antarabangsa, ISS kali ini memecahkan rekod perjalanan terpantas kapal angkasa ke stesen angkasa tersebut. Biasanya, perjalanan ke ISS akan mengambil masa paling cepat 6 jam atau 4 orbit. Malah, perjalanan selama 2 atau 3 hari adalah satu tempoh yang biasa untuk pelancaran ke ISS. Kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 yang tiba di ISS pada 2 Julai 2018 telah mengambil masa 3 hari untuk tiba di stesen angkasa tersebut setelah dilancarkan dari permukaan Bumi. Perkembangan ini membolehkan pelancaran kapal angkasa kargo dan krew pada masa hadapan menggunakan kaedah perjalanan yang lebih cepat.

Menurut Jonathan McDowell, seorang ahli astronomi, percantuman Progress MS-09 dan ISS tersebut adalah rekod ketiga terpantas untuk pelancaran dari Bumi dan bercantum di orbit Bumi. Rekod terpantas dipegang oleh misi eksperimen percantuman automatik tanpa krew Kosmos-186 dan Kosmos-188 pada tahun 1967 iaitu 1 jam 8 minit selepas pelancaran. Rekod kedua terpantas dipegang oleh misi Gemini 11 pada tahun 1966 iaitu 1 jam 34 minit selepas dilancarkan dari permukaan Bumi [3].

IKLAN

Roket Soyuz 2.1a bersama Progress MS-09 meninggalkan pad pelancaran
Roket Soyuz 2.1a bersama Progress MS-09 meninggalkan pad pelancaran
Kredit: Roscosmos [6]

[https://mybit.my/ms/?p=1773]

Untuk membolehkan perjalanan singkat ini berlaku, perancangan yang rapi telah dilakukan bagi memastikan stesen angkasa antarabangsa, ISS, berada pada kedudukan yang betul di orbit ketika pelancaran Progress MS-09 berlaku. Ketepatan suntikan ke orbit setelah pelancaran adalah penting. Pembetulan orbit stesen angkasa tersebut telah dilakukan pada 23 Jun 2018 lepas dengan menghidupkan enjin tujahan pada kapal angkasa Progress MS-08 yang bercantum dengan stesen angkasa selama 208 saat. Ini menyebabkan orbit stesen angkasa telah dinaikkan sebanyak 700 meter kepada kira-kira 405 km.

Pembetulan orbit tersebut telah menyebabkan stesen angkasa antarabangsa, ISS, berada 595 km dari barat daya Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, ketika kapal angkasa Progress MS-09 dilancarkan dari permukaan Bumi. Ketika kapal angkasa Progress MS-09 tiba di orbit, stesen angkasa telah berada kira-kira 1,615 km di hadapan kapal angkasa kargo tersebut. Oleh kerana Progress MS-09 berada di orbit yang lebih rendah dari stesen angkasa, halaju orbit Progress MS-09 adalah lebih tinggi berbanding halaju orbit ISS. Ini membolehkan Progress MS-09 “mengejar” stesen angkasa antarabangsa, ISS. Ketika Progress MS-09 “mengejar” stesen angkasa di orbit yang lebih rendah, 3 kali pembakaran enjin untuk menaikkan orbit telah dilakukan bagi menaikkan orbit kapal angkasa kargo tersebut secara berperingkat, seterusnya menyamakan orbit Progress MS-09 dan ISS.

Perbandingan pembakaran mengubah orbit (∆v) yang perlu dilakukan antara perjalanan pantas kurang 4 jam atau 2 orbit (kiri) dan perjalanan biasa 6 jam atau 4 orbit (kanan)
Perbandingan pembakaran mengubah orbit (∆V) dari orbit awal 210 km yang perlu dilakukan antara perjalanan pantas kurang 4 jam atau 2 orbit (kiri) dan perjalanan biasa 6 jam atau 4 orbit (kanan) ketika mengejar ISS yang berada pada orbit berketinggian 405 km
Kredit: Roscosmos [7]

[https://mybit.my/ms/?p=1773]

Perjalanan pantas kurang 4 jam ke ISS ini pernah cuba dilakukan ketika cubaan melancarkan Progress MS-07 pada Oktober 2017, dan Progress MS-08 pada Februari 2018 yang lalu, namun tidak berjaya kerana pelancaran gagal dilakukan dalam jendela pelancaran. Kapal angkasa kargo tersebut telah mengunakan kaedah perjalanan biasa yang mengambil masa selama 2 hari [2].

Kapal angkasa kargo Progress MS-09 menghantar kira-kira 2,566 kg bekalan ke stesen angkasa antarabangsa, ISS.  Muatan tersebut terdiri dari kira-kira 530 kg bahan pendorong, 52 kg oksigen dan udara, 420 kg air, serta kira-kira 1,565 kg perkakasan dan alat ganti.

Setelah ketibaan kapal angkasa kargo Progress MS-09, stesen angkasa antarabangsa, ISS, kini mempunyai 6 buah kapal angkasa yang sedang bercantum pada stesen tersebut. 4 kapal angkasa tersebut ialah kapal angkasa kargo iaitu Progress MS-08 yang tiba pada 15 Februari 2018, Cygnus NG-9/OA-9 yang tiba pada 25 May 2018, Dragon CRS-15 yang tiba pada 2 Julai 2018, dan Progress MS-09. 2 kapal angkasa adalah kapal angkasa krew iaitu Soyuz MS-08 yang tiba pada 24 Mac 2018, dan Soyuz MS-09 yang tiba di stesen pada 8 Jun 2018 lepas. Kapal angkasa Cygnus NG-9/OA-9 akan meninggalkan stesen pada 15 Julai 2018 untuk dilupuskan bersama sampah dengan memasuki kembali lapisan atmosfera Bumi dan terbakar.

Kedudukan kapal angkasa yang bercantum dengan stesen angkasa antarabangsa, ISS
Kedudukan kapal angkasa yang bercantum dengan stesen angkasa antarabangsa, ISS
Kredit: NASA [8]

 

Dalam tempoh kurang 24 jam sebelum pelancaran kapal angkasa kargo Progress MS-09, trafik dari Bumi ke angkasa lepas agak sibuk dengan 2 lagi pelancaran roket orbital ke angkasa. Roket Long March 3A telah melancarkan satelit sistem navigasi BeiDou 2 IGSO 7 ke orbit pada jam 04:58 waktu Malaysia, kurang 1 jam sebelum pelancaran Progress MS-09 berlaku. Kurang 18 jam sebelum Progress MS-09 dilancarkan, roket Long March 2C/SMA telah melancarkan 2 buah satelit untuk Pakistan iaitu PRSS-1 dan PakTES-1A pada jam 11:56, 9 Julai 2018 waktu Malaysia.


Rakaman misi Progress MS-09
Kredit: NASA dan Roscosmos

 


Rakaman pelancaran roket Soyuz 2.1a bersama kapal angkasa kargo Progress MS-09
Kredit: Roscosmos [4]

 


Rakaman percantuman kapal angkasa kargo Progress MS-09 dengan modul Pirs pada stesen angkasa antarabangsa, ISS
Kredit: NASA [5]

[https://mybit.my/ms/?p=1773]

Kredit gambar: Roscosmos [0]

 

Sejarah kemas kini:

2018-07-12 07:45 – video rakaman misi Progress MS-09

 

Rujukan:

[0] https://www.roscosmos.ru/25287/

[1] Progress freighter completes fastest-ever trip to International Space Station: https://spaceflightnow.com/2018/07/09/progress-freighter-blasts-off-on-fastest-ever-trip-to-international-space-station/

[2] Russian Progress MS-09 spacecraft reaches International Space Station in record time: http://www.spaceflightinsider.com/missions/iss/russian-progress-ms-09-spacecraft-reaches-international-space-station-in-record-time/

[3] https://twitter.com/planet4589/status/1016496150793412609

[4] https://www.youtube.com/watch?v=pLRi34bMfBk

[5] https://www.youtube.com/watch?v=NQavhB6i7yE

[6] https://www.instagram.com/p/BlCMOQdjADG/

[7] https://www.roscosmos.ru/25288/

[8] https://www.nasa.gov/feature/visiting-vehicle-launches-arrivals-and-departures

 

Anda Mungkin Juga Berminat

Cygnus Ubah Orbit ISS, Bersedia Untuk Berlepas ke Orbit Kapal angkasa kargo Amerika Syarikat, Cygnus NG-9/OA-9 telah berjaya menguji kebolehan untuk mengubah orbit stesen angkasa antarabangsa, ISS. Ujian tersebut telah dilakukan bermula pada jam 04:24:50, ...
Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS Satelit UiTMSAT-1 bersama kargo yang dibawa oleh kapal angkasa Dragon CRS-15 telah selamat tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS. Lengan robotik Canadarm2 yang dikawal oleh angkasawan NASA, Ricky A...
2 Pelancaran Dalam Tempoh 15 Minit: Arianespace: 4 Satelit Galileo; SpaceX: 10 Satelit Iridium NEXT Kemas kini terakhir: 2018-07-25 14:15   Pada 25 Julai 2018, benua Amerika akan menyaksikan 2 pelancaran roket ke angkasa, masing-masing kurang dari 15 minit antara satu sama lain. Kedua-dua pel...
Soyuz 2.1a Bersama Progress MS-08 Akan Cuba Dilancarkan Semula Pada 4:13PM 13 Februari 2018 Roket Soyuz 2.1a akan cuba melancarkan kembali kapal angkasa Progress MS-08 pada 4:13PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia . Oleh kerana peluang untuk membuat perjalanan pantas 3 setengah jam telah ter...