Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Akan Menguji Tempoh Perjalanan Singkat ke Stesen Angkasa Antarabangsa, ISS

Walaupun stesen angkasa antarabangsa, ISS baru sahaja menerima ketibaan kapal angkasa kargo SpaceX Dragon CRS-15 pada 2 Julai 2018, kini stesen angkasa tersebut akan menerima ketibaan kapal angkasa kargo automatik seterusnya, iaitu Progress MS-09. Tujuan misi Progress MS-09 adalah untuk menghantar bekalan bahan dorong, makanan, air, dan kargo lain ke stesen angkasa. Progress MS-09 akan dilancarkan pada jam 05:51 pada 10 Julai 2018 waktu Malaysia (03:51 waktu tempatan) [1]. Kapal angkasa kargo tersebut akan dilancarkan dengan menggunakan roket Soyuz 2.1a. Pelancaran akan dilakukan dari pad 31/6, Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan.

Perjalanan pantas ke stesen angkasa antarabangsa, ISS pernah cuba dilakukan ketika pelancaran misi penerbangan kapal angkasa Progress terdahulu, namun roket tidak dapat dilancarkan ketika jendela pelancaran kerana masalah teknikal yang tidak dinyatakan.

Roket Soyuz 2.1a bersama kapal angkasa kargo Progress MS-09 di pad pelancaran
Roket Soyuz 2.1a bersama kapal angkasa kargo Progress MS-09 di pad pelancaran.
Kredit: Roscosmos [9]

[https://mybit.my/ms/?p=1745]

IKLAN

Pihak NASA akan membuat liputan siaran langsung pelancaran, ketibaan, dan percantuman kapal angkasa kargo Progress MS-09 dengan stesen angkasa antarabangsa, ISS. Siaran langsung liputan pelancaran boleh ditonton bermula jam 05:30 pada 10 Julai 2018 waktu Malaysia di laman YouTube NASA. Siaran langsung liputan ketibaan Progress MS-09 di stesen angkasa pula boleh mula ditonton dari jam 09:00 hari yang sama melalui laman YouTube NASA.


Tonton siaran langsung pelancaran roket Soyuz 2.1A membawa kapal angkasa kargo Progress MS-09 ke orbit untuk ke stesen angkasa antarabangsa, ISS.
Siaran langsung pelancaran: 05:30, 10 Julai 2018 (waktu Malaysia)
Siaran langsung ketibaan di stesen angkasa: 09:00, 10 Julai 2018 (waktu Malaysia)
Kredit: NASA [2]

 

Untuk pelancaran ini, agensi angkasa Rusia, Roscosmos akan cuba untuk melakukan perjalanan singkat ke stesen angkasa antarabangsa, ISS dengan kapal angkasa tersebut. Sebelum ini, perjalanan kapal angkasa kargo atau krew biasanya mengambil masa paling cepat 6 jam [3] atau 4 orbit untuk tiba di stesen angkasa. Perjalanan Progress MS-08 kali ini akan mengambil masa selama kurang 4 jam atau 3 orbit sahaja.

Untuk perjalanan terakhir kapal angkasa kargo ke stesen angkasa antarabangsa, ISS iaitu Dragon CRS-15 pada 2 Julai 2018, kapal angkasa tersebut telah mengambil masa selama 3 hari untuk tiba di ISS. Untuk kapal angkasa krew, perjalanan terakhir yang berlaku pada 6 Jun 2018 iaitu Soyuz MS-09 telah mengambil masa 2 hari [4] atau 34 orbit sebelum tiba di stesen angkasa.

Untuk membolehkan pertemuan pantas antara kapal angkasa dan stesen angkasa berlaku, kedudukan stesen angkasa di orbit ketika pelancaran kapal angkasa berlaku adalah penting. Biasanya, pembetulan orbit oleh stesen angkasa adalah termasuk dalam perancangan pelancaran kapal angkasa. Untuk pelancaran Progress MS-09, perubahan orbit stesen angkasa telah dilakukan pada 23 Jun 2018 [5]. Sistem penujah pada kapal angkasa Progress MS-08 telah dihidupkan selama 208 saat dalam proses tersebut menyebabkan orbit stesen angkasa dinaikkan sebanyak 700 meter kepada kira-kira 405 km.

Setelah tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS, kapal angkasa kargo Progress MS-09 akan bercantum dengan pada bahagian bawah modul Pirs. Progress MS-09 dijangka berada di stesen angkasa sehingga 23 Disember 2018 [6] sebelum dipisahkan dan memasuki kembali atmosfera bumi untuk dilupuskan.

Progress MS-09 akan bercantum pada modul Pirs (bulatan merah) di stesen angkasa antarabangsa, ISS
Progress MS-09 akan bercantum pada modul Pirs (bulatan merah) di stesen angkasa antarabangsa, ISS.
Ketika ini, ISS dilawati oleh 2 kapal angkasa krew (Soyuz MS-08 dan Soyuz MS-09), dan 3 kapal angkasa kargo (Progress MS-08/69P, Dragon CRS-15, dan Cygnus NG-9/OA-9).

Kredit: NASA [10]

 

[https://mybit.my/ms/?p=1745]

Roket Soyuz 2.1a bersama kapal angkasa kargo Progress MS-09 diletakkan di pad pelancaran
Roket Soyuz 2.1a bersama kapal angkasa kargo Progress MS-09 diletakkan di pad pelancaran.
Kredit: Roscosmos [9]

 

Kapal angkasa kargo Progress MS-09 akan dilancarkan dengan menggunakan roket Soyuz 2.1a. Roket Soyuz 2.1a adalah roket yang mempunyai 3 peringkat. Roket ini mempunyai ketinggian sehingga 46.3 meter dan mempunyai jisim sebanyak 312,000 kg ketika dilancarkan [7]. Roket Soyuz 2.1a mempunyai keupayaan membawa muatan maksimum sebanyak 7,480 kg ke orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO) sehingga 2,780 kg ke orbit pindah geosegerak (geostationary transfer orbit, GTO), dan sehingga 1,300 kg ke orbit geopegun bumi (geostationary earth orbit, GEO).

Roket Soyuz 2.1a menggunakan bahan bakar kerosin gred roket yang disejukkan (T-1/RG-1) dan oksigen cecair (LOX) sebagai bahan pengoksida untuk ketiga-tiga peringkat roket.


Video roket Soyuz 2.1a bersama kapal angkasa kargo Progress MS-09 dibawa ke tapak pelancaran.
Kredit: Космический центр “Южный” [8]

[https://mybit.my/ms/?p=1745]

Kredit gambar: Energia [0]

 

Rujukan:

[0] https://www.energia.ru/ru/iss/iss56/progress_ms-09/photo_07-07.html

[1] NASA TV to Air Launch, Docking of Russian Cargo Delivery to Space Station: https://www.nasa.gov/press-release/nasa-tv-to-air-launch-docking-of-russian-cargo-delivery-to-space-station

[2] NASA Live: Official Stream of NASA TV: https://www.youtube.com/watch?v=wwMDvPCGeE0

[3] RENDEZVOUS AND DOCKING WITH ISS: http://blogs.esa.int/VITAmission/2017/07/28/rendezvous-and-docking-with-iss/

[4] Soyuz MS-09 Launches U.S., Russian, German Spacefarers to Space Station: http://www.americaspace.com/2018/06/06/soyuz-ms-09-launches-u-s-russian-german-spacefarers-to-space-station/

[5] ISS orbit raised by 700 meters before Progress spacecraft blastoff: http://tass.com/science/1010722

[6] https://forum.nasaspaceflight.com/index.php?topic=32006.msg1835880#msg1835880

[7] http://en.roscosmos.ru/468/

[8] https://www.youtube.com/watch?v=utSTYSMFU8A

[9] https://www.roscosmos.ru/25278/

[10] https://www.nasa.gov/feature/visiting-vehicle-launches-arrivals-and-departures

 

Anda Mungkin Juga Berminat

Soyuz 2.1a Bersama Progress MS-08 Akan Cuba Dilancarkan Semula Pada 4:13PM 13 Februari 2018 Roket Soyuz 2.1a akan cuba melancarkan kembali kapal angkasa Progress MS-08 pada 4:13PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia . Oleh kerana peluang untuk membuat perjalanan pantas 3 setengah jam telah ter...
Roket Soyuz 2.1a Melancarkan Kapal Angkasa Kargo Progress MS-08 ke Stesen Angkasa Antarabangsa Kemaskini terakhir: 23:20 14 Februari 2018   Roket Soyuz 2.1a di pad pelancaran Kredit: Roscosmos   Pada 4:13PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia (2:13PM waktu tempatan), roket Soyuz...
Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 Selamat Tiba di Orbit Kemas kini 2018-07-03 00:30 Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS   Artikel Asal Satelit CubeSat UiTMSAT-1 yang dihantar bersama kapal angkasa ...
Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa Kurang 4 Jam Selepas Dilancar... Kapal angkasa kargo dari Rusia, Progress MS-09 telah tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS, kurang 4 jam selepas dilancarkan ke angkasa. Progress MS-09 (atau Progress 70P) telah tiba di stesen angk...