India Berjaya Menguji Sistem Lepas Krew Untuk Penerbangan Manusia ke Angkasa

Agensi angkasa India, Indian Space Research Organisation (ISRO), telah berjaya menguji sistem lepas (escape system) pada jam 09:30, 5 Julai 2018 waktu Malaysia (07:00 waktu tempatan). Sistem tersebut telah diuji pada modul krew simulasi yang berjisim 12.6 tan dari pad pelancaran di Satish Dhawan Space Centre, Sriharikota [0].

Ujian tersebut telah berjalan selama 259 saat. Ketika ujian tersebut, sistem lepas telah menarik modul simulasi ke udara dan telah mencapai altitud menghampiri 2.7 km. Sistem lepas tersebut menggunakan 7 motor roket pepejal (solid rocket motor) yang direka untuk bertindak dengan pantas untuk membawa modul krew ke jarak yang selamat tanpa melebihi aras g yang selamat. Modul krew tersebut kemudian mendarat kembali ke Bumi dengan bantuan payung terjun, kira-kira 2.9 km dari Sriharikota.

 

IKLAN

9 roket motor pepejal menarik modul krew ke udara
9 roket motor pepejal menarik modul krew ke udara
Kredit: ISRO [0]

 

Modul krew mendarat
Modul krew mendarat
Kredit: ISRO [0]

 

Sistem lepas, juga dikenali sebagai sistem lepas krew (crew escape system), sistem lancar lepas (launch escape system), atau sistem pembatalan pelancaran (launch abort system) adalah satu elemen penting dalam penerbangan membawa manusia ke angkasa. Berbeza dengan pelancaran roket yang membawa muatan satelit atau kapal angkasa kargo yang tidak membawa manusia, penerbangan ke angkasa yang mengandungi krew manusia memerlukan satu sistem lepas yang akan digunakan sekiranya pelancaran gagal atau mengalami masalah. Sistem lepas ini akan membantu krew melepaskan diri dan bergerak dari roket yang mengalami masalah sekiranya masalah berlaku ketika pelancaran.

Sepanjang sejarah penerbangan manusia ke angkasa, hanya 1 kali sahaja sistem lepas pernah digunakan iaitu ketika misi Soyuz T-10a pada tahun 1983 [1]. Misi tersebut sepatutnya membawa angkasawan Rusia Vladimir Titov dan Gennadi Strekalov ke stesen angkasa Rusia (Kesatuan Soviet) ketika itu iaitu Salyut 7. Namun, roket yang digunakan untuk pelancaran ketika itu iaitu Soyuz-U telah bocor menyebabkan bahan bakar kerosin gred roket (RP-1) keluar dan terbakar. Kebakaran tersebut menyebabkan kabel kawalan terbakar dan sistem lancar lepas tidak dapat diaktifkan secara normal. Sistem lepas tersebut akhirnya diaktifkan dengan menggunakan arahan radio yang mengambil masa yang lebih lama. Ketika itu, keseluruhan badan roket dan pad pelancaran sudah dijilat api.

Ketika krew Soyuz T-10a melepaskan diri dengan menggunakan sistem lepas, mereka telah mengalami daya pecutan dari 14 hingga 17 g dan mengalami lebam yang teruk. Kapsul krew tersebut dilaporkan terbang mencapai ketinggian 2,000 meter di udara dan mendarat 4 km dari pad pelancaran.

Ketika artikel ini ditulis, hanya 2 buah negara sahaja yang mempunyai kemampuan menghantar manusia ke angkasa lepas iaitu Rusia dengan menggunakan kapal angkasa Suyuz, dan negara China yang menggunakan kapal angkasa Shenzhou yang turut menggunakan teknologi dari Soyuz. Amerika Syarikat hilang keupayaan melakukan menerbangkan manusia ke angkasa setelah mereka menamatkan program Space Shuttle. Namun, pelbagai organisasi dari Amerika Syarikat sedang membangunkan kapal angkasa yang mampu membawa manusia ke angkasa lepas dari bumi Amerika Syarikat seperti Crew Dragon oleh SpaceX, Starliner oleh Boeing, Orion oleh NASA, dan Dream Chaser oleh Sierra Nevada Corporation.


Ujian sistem lepas pada kapsul Crew Dragon oleh SpaceX
Kredit: SpaceX [2]

 

Kredit gambar: ISRO [0]

 

Rujukan:

[0] SUCCESSFUL FLIGHT TESTING OF CREW ESCAPE SYSTEM – TECHNOLOGY DEMONSTRATOR: https://www.isro.gov.in/update/05-jul-2018/successful-flight-testing-of-crew-escape-system-technology-demonstrator

[1] ‘We Were Swearing!’ Thirty Years Since Russia’s Brush With Disaster: http://www.americaspace.com/2013/09/28/we-were-swearing-thirty-years-since-russias-close-shave-with-disaster/

[2] SpaceX Pad Abort Test: https://www.youtube.com/watch?v=1_FXVjf46T8

 

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket membawa 2 angkasawan Soyuz MS-10 ke angkasa gagal ketika pelancaran Pada 11 Oktober 2018, sebuah roket Soyuz FG telah dilancarkan untuk membawa 2 orang angkasawan iaitu Nick Hague (Amerika Syarikat/NASA), dan Alexey Ovchinin (Rusia/Roscosmos) ke stesen angkasa antarab...
Satelit CubeSat buatan Malaysia, InnoSAT-2 berjaya dilancarkan bersama satelit HysIS dan 29 satelit ... Kemas kini terakhir: 30 November 2018, 8:40 AM Sebuah satelit buatan Malaysia, InnoSAT-2, telah berjaya dilancarkan ke orbit. Pelancaran tersebut telah dilakukan dengan menggunakan roket Polar Satell...
Blue Origin Berjaya Menguji Sistem Lepas Krew, Mendaratkan Kembali Kapsul dan Roket Blue Origin berjaya menguji sistem lepas krew (crew escape system) pada altitud tinggi dengan keadaan vakum dalam rancangan membawa pelancong ke angkasa pada masa hadapan. Kapsul yang bakal digunakan ...