Cygnus Ubah Orbit ISS, Bersedia Untuk Berlepas ke Orbit

Kapal angkasa kargo Amerika Syarikat, Cygnus NG-9/OA-9 telah berjaya menguji kebolehan untuk mengubah orbit stesen angkasa antarabangsa, ISS. Ujian tersebut telah dilakukan bermula pada jam 04:24:50, 11 Julai 2018 (waktu Malaysia) [1]. Sistem penujah pada kapal angkasa Cygnus telah dihidupkan selama 50 saat dan telah menaikkan orbit stesen angkasa tersebut sebanyak hampir 100 meter.

Sebelum ini, peranan tersebut dilakukan oleh kapal angkasa dari Rusia (Progress atau Soyuz). Sekiranya keadaan memerlukan, enjin penujah pada modul Zvezda di stesen angkasa boleh digunakan untuk melakukan pembetulan orbit. Antara kapal angkasa yang pernah digunakan untuk melakukan pembetulan pada orbit stesen angkasa antarabangsa, ISS, ialah Space Shuttle dari Amerika Syarikat, dan Automated Transfer Vehicle (ATV) kapal angkasa kargo dari agensi angkasa Eropah, European Space Agency (ESA) [2]. Namun, Space Shuttle dan ATV sudah ditamatkan perkhidmatan.

IKLAN

Kapal angkasa kargo Cygnus NG-9/OA-9 dipegang oleh lengan robotik Canadarm2
Kapal angkasa kargo Cygnus NG-9/OA-9 dipegang oleh lengan robotik Canadarm2
Kredit: NASA [10]

[https://mybit.my/ms/?p=1783]

Walaupun stesen angkasa tersebut berada kira-kira 400 km di angkasa, orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO) masih mempunyai lapisan atmosfera yang nipis menyebabkan ISS mengalami daya seretan. Ini menyebabkan ia secara perlahan-lahan memasuki kembali lapisan atmosfera Bumi. Oleh itu, stesen angkasa tersebut (atau sebarang satelit di orbit, terutamanya di orbit rendah bumi) perlu melakukan proses galak semula orbit (orbit reboost) atau pengurusan stesen (station keeping) dengan menghidupkan sistem penujah secara berkala untuk melawan susutan orbit tersebut.

Selain itu, kebolehan untuk mengubah orbit stesen angkasa antarabangsa, ISS, juga penting untuk membolehkan makmal angkasa tersebut dilupuskan secara terkawal dengan masuk kembali ke lapisan atmosfera Bumi, jika diperlukan pada masa hadapan. Tanpa kebolehan tersebut, stesen angkasa tidak dapat dilupuskan dengan terkawal dan selamat seperti yang berlaku kepada prototaip pertama stesen angkasa China, Tiangong-1 pada 2 April 2018 yang lalu [3].

 

Cygnus Dalam Proses Untuk Berpisah Dari Stesen Angkasa Antarabangsa, ISS

Kapal angkasa kargo Cygnus NG-9/OA-9 telah berada di stesen angkasa tersebut sejak 24 Mei 2018. Kini, kapal angkasa tersebut dalam proses untuk dipisahkan dari stesen angkasa setelah hampir 2 bulan bercantum dengan stesen angkasa tersebut. Kapal angkasa Cygnus itu bercantum dengan stesen angkasa pada pangkalan cantum di modul Unity.

Lengan robotik Canadarm2 akan digunakan untuk memegang dan melepaskan Cygnus ke orbit. Perpisahan tersebut dijadualkan berlaku pada jam 21:35, 15 Julai 2018 waktu Malaysia [4]. Pihak NASA akan menyiarkan liputan siaran langsung pelepasan ke orbit itu bermula jam 21:15, dan boleh ditonton melalui laman YouTube NASA TV.

Kedudukan kapal angkasa yang sedang bercantum dengan stesen angkasa antarabangsa, ISS, pada 13 Julai 2018
Kedudukan kapal angkasa yang sedang bercantum dengan stesen angkasa antarabangsa, ISS, pada 13 Julai 2018
Kredit: NASA [11]

[https://mybit.my/ms/?p=1783]

Selepas berpisah dari stesen angkasa, kapal angkasa Cygnus akan bergerak ke orbit yang lebih tinggi untuk melepaskan beberapa CubeSat ke orbit. CubeSat tersebut akan dilepaskan ke orbit yang berketinggian sekurang-kurangnya 45 km lebih tinggi dari orbit stesen angkasa antarabangsa, ISS. Ketinggian orbit sasaran untuk melepaskan CubeSat tersebut ialah 470 km – 480 km dengan kecondongan orbit yang sama dengan ISS iaitu 51.6° [5]. CubeSat tersebut ialah 4 buah Lemur dari Spire Global Inc, serta AeroCube 12A dan AeroCube 12B dari Aerospace Corporation.

CubeSat Lemur ialah konstelasi satelit kecil pemerhati Bumi yang biasanya digunakan untuk memerhati keadaan cuaca, dan mengesan kapal serta kapal terbang yang berada di Bumi [7]. Pasangan CubeSat AeroCube pula adalah satelit eksperimen untuk menguji sensor pengimejan pengesan bintang, pelbagai bahan teknologi nano, sel solar terbaharu, dan sistem penujah elektrik [8].

Selepas dilepaskan ke orbit, kapal angkasa Cygnus NG-9/OA-9 akan terus berada di orbit untuk tempoh tambahan selama 2 minggu untuk melakukan pelbagai ujian kejuruteraan. Cygnus dijadualkan keluar orbit pada 30 Julai 2018 dan memasuki kembali atmosfera Bumi untuk dilupuskan di atas lautan Pasifik bersama sampah yang dibawa keluar dari stesen angkasa.

Cygnus adalah kapal angkasa kargo bekalan ke ISS yang dibina oleh Orbital ATK (sekarang dikenali sebagai Northrop Grumman). Cygnus NG-9/OA-9 telah dilancarkan ke orbit dengan menggunakan roket Antares-230 pada 21 Mei 2018. Cygnus mempunyai kapasiti untuk membawa muatan berjumlah sehingga 2,700 kg ke ISS [9].

 

Kredit gambar: Oleg Artemyev [0]

 

Rujukan:

[0] https://artemjew.ru/en/2018/05/24/cygnus-18/

[1] ISS Daily Summary Report – 7/10/2018: https://blogs.nasa.gov/stationreport/2018/07/10/iss-daily-summary-report-7102018/

[2] Cygnus reboost test conducted on the ISS: https://www.nasaspaceflight.com/2018/07/cygnus-reboost-conducted-iss/

[3] Chinese Space Station Tiangong-1 Falling to Earth Now, But Where?: https://www.space.com/40164-chinese-space-station-crash-last-day.html

[4] Coverage Set for Departure of US Cargo Ship from International Space Station: https://www.nasa.gov/press-release/coverage-set-for-departure-of-us-cargo-ship-from-international-space-station

[5] https://forum.nasaspaceflight.com/index.php?topic=45724.msg1829421#msg1829421

[6] NanoRacks Launches 15 CubeSats, New Commercial Customers, on Latest Space Station Cargo Resupply Launch: http://nanoracks.com/15-cubesats-launched/

[7] NanoRacks-LEMUR-2 (NanoRacks-LEMUR-2) – 05.09.18: https://www.nasa.gov/mission_pages/station/research/experiments/2349.html

[8] AeroCube 12 A&B (AeroCube 12 A&B) – 05.09.18: https://www.nasa.gov/mission_pages/station/research/experiments/2769.html

[9] http://space.skyrocket.de/doc_sdat/cygnus-pcm-e.htm

[10] https://www.nasa.gov/image-feature/the-orbital-atk-space-freighter-is-slowly-maneuvered-by-the-canadarm2-robotic-arm

[11] Visiting Vehicle Launches, Arrivals and Departures: https://www.nasa.gov/feature/visiting-vehicle-launches-arrivals-and-departures

 

Anda Mungkin Juga Berminat

Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS Satelit UiTMSAT-1 bersama kargo yang dibawa oleh kapal angkasa Dragon CRS-15 telah selamat tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS. Lengan robotik Canadarm2 yang dikawal oleh angkasawan NASA, Ricky A...
Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa Kurang 4 Jam Selepas Dilancar... Kapal angkasa kargo dari Rusia, Progress MS-09 telah tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS, kurang 4 jam selepas dilancarkan ke angkasa. Progress MS-09 (atau Progress 70P) telah tiba di stesen angk...
SpaceX bakal melakukan pendaratan roket “kembali ke tapak pelancaran” di pantai Barat AS Kemas kini terakhir: 7 Oktober 2018, 17:10   SpaceX bakal melakukan pendaratan "kembali ke tapak pelancaran" ("return to launch site", RTLS) roket peringkat pertama Falcon 9 di pantai Barat Ame...
10 satelit terakhir konstelasi Iridium-NEXT dilancarkan ke orbit menggunakan roket Falcon 9 Pelancaran ke orbit dari permukaan Bumi untuk tahun 2019 bermula dengan baik dengan pelancaran kedua oleh roket Falcon 9, kurang 24 jam selepas pelancaran pertama tahun 2019 oleh roket Long March 3B/...