Blue Origin Berjaya Menguji Sistem Lepas Krew, Mendaratkan Kembali Kapsul dan Roket

Blue Origin berjaya menguji sistem lepas krew (crew escape system) pada altitud tinggi dengan keadaan vakum dalam rancangan membawa pelancong ke angkasa pada masa hadapan. Kapsul yang bakal digunakan untuk membawa manusia ke angkasa tersebut telah dilancarkan dengan menggunakan roket New Shepard ke trajektori suborbital. Dalam ujian tersebut, Blue Origin turut berjaya mendaratkan kembali roket New Shepard dan kapsul dengan selamat. Pelancaran tersebut telah dilakukan pada jam 00:11, 19 Julai 2018 waktu Malaysia (jam 10:11, 18 Julai 2018 waktu tempatan) dari tapak ujian Blue Origin berhampiran bandar Van Horn, West Texas, Amerika Syarikat. Syarikat Blue Origin dimiliki oleh individu terkaya dunia, Jeff Bezos (nilai harta kira-kira RM 614 billion / USD 151 billion ketika artikel ini ditulis [1]), yang turut memiliki syarikat perdagangan elektronik dan pengkomputeran awan (cloud computing) Amazon.

Profil penerbangan misi ke 9 New Shepard
Profil penerbangan misi ke 9 New Shepard
Kredit: Blue Origin [0]

 

Sistem lepas adalah penting untuk pelancaran yang membawa manusia ke angkasa dan dibina bersama semua sistem pelancaran yang membawa manusia ke angkasa. Sistem tersebut akan diaktifkan bagi membolehkan krew melarikan diri ke arah yang selamat sekiranya pelancaran mengalami masalah sebelum tiba di destinasi.

Dalam penerbangan New Shepard itu, roket dan kapsul telah mencapai halaju maksimum sebanyak 3,598 km per jam sebelum enjin utama New Shepard dimatikan. Motor sistem lepas yang menggunakan bahan bakar pepejal telah diaktifkan kira-kira 20 saat selepas kapsul berpisah dari roket, pada masa 3 minit 4 saat selepas pelancaran di ketinggian hampir 90 km. Pengaktifan yang sengaja dilambatkan selama 20 saat tersebut membolehkan kapsul berada pada jarak kira-kira 30 meter dari roket agar daya tujahan dari motor sistem lepas kapsul tidak mengganggu trajektori dan kestabilan roket New Shepard kerana Blue Origin mahu mendaratkan kembali roket tersebut.

IKLAN

Enjin roket dimatikan, sistem lepas pada kapsul dihidupkan pada altitud kira-kira 90 km
Kredit: Blue Origin [0]

 

Ketika motor sistem lepas dihidupkan, sistem tujahan pada kapsul tersebut diaktifkan bagi menstabilkan orientasi kapsul. Ketika motor sistem lepas aktif, kapsul tersebut mengalami pecutan sehingga 10g. Kapsul tersebut meneruskan perjalanan mengikut trajektori balistik melepasi garisan Karman (100 km) dan telah mencapai altitud maksimum hampir 120 km dari aras laut pada masa kira-kira 4 minit 27 saat selepas dilancarkan.

Roket New Shepard pula meneruskan perjalanan kembali ke Bumi dan enjin roket tersebut telah diaktifkan kembali pada masa 7 minit 3 saat selepas pelancaran bagi memperlahankan halaju roket lalu terapung di udara untuk beberapa saat. Roket tersebut telah mendarat dengan selamat di pad pendaratan pada masa 7 minit 25 saat selepas pelancaran.

Roket New Shepard kembali ke Bumi dan melakukan pendaratan secara menegak
Kredit: Blue Origin [0]

 

Ketika ini, kapsul New Shepard masih di udara. Pada ketinggian kira-kira 2.6 km, 3 penyauk angin (drogue chutes) kapsul dibuka bagi membantu memperlahankan kapsul yang sedang bergerak dengan kelajuan kira-kira 320 km per jam. Selepas itu, pada ketinggian kira-kira 2.3 km di udara, 3 payung terjun utama kapsul pula telah diaktifkan pada masa 9 minit 9 saat selepas pelancaran bagi memperlahankan halaju turun kapsul dari 233 km per jam ke 25 km per jam. Beberapa ketika sebelum kapsul mendarat, roket pendaratan dihidupkan bagi menghasilkan kusyen udara untuk mewujudkan keadaan pendaratan yang lebih lembut.


Rakaman penuh keadaan dalam kapsul New Shepard ketika ujian penerbangan ke 7 pada 12 Disember 2017 lalu
Kredit: Blue Origin [6]

 

Turut serta dalam penerbangan tersebut ialah beberapa muatan komersial [5]:

Schmitt Space Communicator Xperimental (SC1-x) oleh Solstar dan NASA
Menguji akses WiFi komersial di angkasa.

GAGa (Granular Anisotropic Gases) oleh Otto-von-Guericke University, OLYMPIASPACE, dan agensi angkasa German, DLR
Menguji gas granular dan butiran pepejal yang dicairkan yang berinteraksi dengan pelanggaran rawak. Data dari eksperimen ini boleh membantu mengesahkan model teori sedia ada dan menyumbang dalam memahami dinamik sistem berkaitan seperti salji runtuh atau awan debu kosmik.

Suborbital Flight Experiment Monitor-2 (SFEM-2) oleh NASA
Merekod keadaan kenderaan seperti tekanan kabin, suhu, karbon dioksida, keadaan akustik, dan pecutan.

Condensed Droplet Experiment for NASA in Sub-Orbital Spaceflight (ConDENSS) oleh Purdue University dan NASA
Menguji keadaan titisan kecil air untuk menyokong pembangunan sistem perpindahan haba yang kecil dan cekap untuk penerbangan angkasa.

APL Electromagnetic Field Experiment oleh makmal fizik gunaan di Johns Hopkins University dan NASA
Mengukur medan magnetik dan tekanan sekitar dalam kenderaan.

Vibration Isolation Platform Data Logger oleh NASA
Demonstrasi teknologi untuk platform penstabilan aktif bagi membolehkan muatan sensitif yang terbang dengan New Shepard diasingkan dari getaran persekitaran ketika penerbangan.

mu Space-1 oleh mu Space Corporation dari Thailand
Pelbagai muatan ujian seperti eksperimen sains, perubatan, bahan tekstil untuk sut dan pakaian angkasa.

Blue Origin “Fly My Stuff”
Pelbagai muatan khas dari pekerja Blue Origin.

 

Harga tiket untuk penerbangan suborbital ke angkasa menggunakan roket New Shepard adalah dijangka bernilai kira-kira RM 800 ribu – RM 1.1 juta (USD 200 ribu – USD 300 ribu) [2]. Sebagai perbandingan, penerbangan membuat orbit ke angkasa dan kembali ke Bumi dengan menggunakan kapal angkasa Soyuz mempunyai kos sebanyak kira-kira RM 280 juta (USD 70 juta) untuk satu tempat duduk, sebagaimana yang dibayar oleh NASA kepada Roscosmos pada tahun 2016 [3] [4]. Kos untuk tahun 2018 untuk ke angkasa menggunakan kapal angkasa Soyuz adalah dianggarkan sebanyak RM 320 juta (USD 80 juta) bagi 1 tempat duduk.

Ketika artikel ini ditulis, kapal angkasa Soyuz merupakan salah 1 daripada 2 sahaja cara manusia ke angkasa lepas. Sebuah lagi kapal angkasa yang berkemampuan membawa manusia ke angkasa ialah Shenzhou dari China, yang turut menggunakan teknologi Soyuz.

Roket New Shepard mempunyai ketinggian kira-kira 18.3 meter. Roket tersebut menggunakan bahan bakar hidrogen cecair (LH2) dan oksigen cecair (LOX) sebagai bahan pengoksida. Untuk penerbangan ke orbit, Blue Origin membangunkan roket New Glenn yang dijangka melakukan penerbangan sulung pada tahun 2020. Seperti roket Falcon 9 / Falcon Heavy oleh SpaceX, roket peringkat pertama New Glenn mempunyai kemampuan untuk kembali ke Bumi dan mendarat secara menegak [7]. 


Rakaman penuh ujian penerbangan New Shepard ke 9
Kredit: Blue Origin [0]

 

Kredit gambar: Blue Origin [0]

 

Rujukan:

[0] Replay of Mission 9 Webcast: https://www.youtube.com/watch?v=NRDhdHRyyjc

[1] Jeff Bezos: https://www.forbes.com/profile/jeff-bezos/

[2] Exclusive: Jeff Bezos plans to charge at least $200,000 for space rides – sources: https://www.reuters.com/article/us-space-blueorigin-exclusive/exclusive-jeff-bezos-plans-to-charge-at-least-200000-for-space-rides-sources-idUSKBN1K301R

[3] https://oig.nasa.gov/audits/reports/FY16/IG-16-028.pdf

[4] NASA is paying Russia more than $70 million to bring an astronaut home in this spaceship tonight: https://www.businessinsider.my/space-travel-per-seat-cost-soyuz-2016-9/

[5] PAYLOAD MANIFEST ON MISSION 9: https://www.blueorigin.com/news/news/payload-manifest-on-mission-9

[6] Mannequin Skywalker’s ride to space onboard Crew Capsule 2.0: https://www.youtube.com/watch?v=6ZJghIk7_VA

[7] https://www.blueorigin.com/new-glenn

 

Anda Mungkin Juga Berminat

India Berjaya Menguji Sistem Lepas Krew Untuk Penerbangan Manusia ke Angkasa Agensi angkasa India, Indian Space Research Organisation (ISRO), telah berjaya menguji sistem lepas (escape system) pada jam 09:30, 5 Julai 2018 waktu Malaysia (07:00 waktu tempatan). Sistem tersebut ...
Roket Perum MOMO 2 Gagal Dilancarkan Dalam Ujian Penerbangan Kedua Roket perum (sounding rocket) MOMO gagal dilancarkan dalam penerbangan ujian kali kedua pada jam 04:30 waktu Malaysia (05:30 waktu tempatan) pada 30 Jun 2018. Ujian pelancaran tersebut telah dilakukan...
Roket membawa 2 angkasawan Soyuz MS-10 ke angkasa gagal ketika pelancaran Pada 11 Oktober 2018, sebuah roket Soyuz FG telah dilancarkan untuk membawa 2 orang angkasawan iaitu Nick Hague (Amerika Syarikat/NASA), dan Alexey Ovchinin (Rusia/Roscosmos) ke stesen angkasa antarab...