2 Pelancaran Dalam Tempoh 15 Minit: Arianespace: 4 Satelit Galileo; SpaceX: 10 Satelit Iridium NEXT

Kemas kini terakhir: 2018-07-25 14:15

 

Pada 25 Julai 2018, benua Amerika akan menyaksikan 2 pelancaran roket ke angkasa, masing-masing kurang dari 15 minit antara satu sama lain. Kedua-dua pelancaran akan mempunyai liputan siaran langsung.

Untuk pelancaran pertama, Arianespace akan melancarkan roket Ariane 5 ES untuk membawa 4 buah satelit sistem navigasi Galileo ke orbit sederhana Bumi (medium Earth orbit, MEO) dari benua Amerika Selatan. Pelancaran akan dilakukan pada jam 19:25, 25 Julai 2018 waktu Malaysia (jam 08:25 waktu tempatan). Pelancaran akan dilakukan dari Ariane Launch Area 3 (ELA-3), Guiana Space Centre, French Guiana. Siaran langsung boleh ditonton melalui laman YouTube CNES kira-kira 20 minit sebelum pelancaran.

Tempoh misi roket Ariane 5 ES melancarkan 4 buah satelit Galileo dijangka berjalan selama hampir 4 jam.


Siaran langsung pelancaran roket Ariane 5 ES bersama 5 buah satelit sistem navigasi Galileo pada jam 19:25, 25 Julai 2018 waktu Malaysia
Kredit: CNES [11]

 

Untuk pelancaran kedua, SpaceX akan melancarkan roket Falcon 9 untuk membawa 10 buah satelit komunikasi Iridium NEXT ke orbit rendah Bumi (low Earth orbit, LEO), atau lebih spesifik, orbit kutub (polar orbit). Pelancaran ini akan berlaku kira-kira 15 minit selepas pelancaran roket Ariane 5 ES bersama 4 satelit Galileo. Pelancaran akan dilakukan pada jam 19:39. 25 Julai 2018 waktu Malaysia (04:39 waktu tempatan). Pelancaran akan dilakukan dari benua Amerika Utara di Space Launch Complex 4E (SLC-4E), Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California, Amerika Syarikat. Siaran langsung boleh ditonton melalui laman YouTube SpaceX kira-kira 15 minit sebelum pelancaran.

IKLAN

Tempoh misi roket Falcon 9 melancarkan 10 buah satelit Iridium NEXT dijangka berjalan selama kira-kira 1 jam 11 minit.


Siaran langsung pelancaran roket Falcon 9 bersama 10 buah satelit komunikasi Iridium NEXT pada jam 19:39. 25 Julai 2018 waktu Malaysia
Kredit: SpaceX [12]

 

Arianespace: Misi VA244 Akan Melancarkan 4 Buah Satelit Sistem Navigasi Galileo Menggunakan Roket Ariane 5 ES

Sistem navigasi satelit Galileo adalah sistem navigasi satelit yang ditawarkan oleh Kesatuan Eropah sebagai alternatif kepada sistem navigasi satelit GPS oleh Amerika Syarikat. Antara sistem navigasi satelit lain ialah BeiDou oleh China, GLONASS oleh Rusia, IRNSS/NAVIC oleh India, dan Quasi-Zenith Satellite System (QZSS) oleh Jepun.

Roket Ariane 5 ES bersama 4 satelit Galileo dibawa ke pad pelancaran
Roket Ariane 5 ES bersama 4 satelit Galileo dibawa ke pad pelancaran
Kredit: Arianespace [10]

 

Untuk pelancaran ini, roket Ariane 5 ES akan menghantar 4 buah satelit sistem navigasi Galileo (satelit 23, 24, 25, dan 26) ke orbit sederhana Bumi. Orbit pindah yang disasarkan ialah orbit sederhana Bumi bulat berketinggian 22,922 km dengan kecondongan 56° [3]. Orbit pindah tersebut adalah kira-kira 300 km lebih rendah dari orbit operasi satelit Galileo. Setelah tiba di orbit pindah, pasangan satelit Galileo 23 dan 25 akan dilepaskan terlebih dahulu. 20 minit kemudian, baki satelit Galileo 24 dan 26 akan dilepaskan ke orbit. 4 buah satelit Galileo tersebut akan menggunakan sistem penujah sendiri untuk bergerak ke orbit operasi selepas dilepaskan ke orbit pindah.

Satelit navigasi Galileo ketika diproses
Satelit navigasi Galileo ketika diproses
Kredit: ESA [7]

 

Trajektori pelancaran
Trajektori pelancaran
Kredit: Arianespace [3]

 

Jumlah jisim muatan yang dilancarkan ialah kira-kira 2,952 kg. Setiap satelit Galileo yang dilancarkan tersebut mempunyai jisim sebanyak 738 kg dan mempunyai ukuran 2.7 m x 1.2 m x 1.1m. Ketika panel solar satelit dibuka, lebar satelit tersebut boleh mencecah lebih 14 meter. Satelit tersebut dijangka mempunyai jangka hayat operasi selama lebih dari 12 tahun.

Ketika ini, konstelasi sistem navigasi satelit Galileo mempunyai 22 buah satelit yang sedang beroperasi di orbit.

Konstelasi sistem navigasi satelit Galileo ketika artikel ini ditulis
Konstelasi sistem navigasi satelit Galileo ketika artikel ini ditulis
Kredit: Stuff in Space [4]

 

Roket yang digunakan untuk pelancaran ini ialah roket Ariane 5 ES. Roket ini terdiri dari 2 peringkat dan menggunakan 2 roket penggalak. Ketika pelancaran, roket tersebut mempunyai jisim kira-kira 760,000 kg di pad pelancaran.

Roket peringkat pertama atau roket teras (core) mempunyai jisim kira-kira 188,000 kg. Roket teras tersebut menggunakan bahan bakar hidrogen cecair (LH2) dan oksigen cecair sebagai bahan pengoksida (LOX). Roket teras tersebut menggunakan enjin Vulcain 2 dan akan melakukan pembakaran selama 540 saat.

Struktur roket Ariane 5 ES
Struktur roket Ariane 5 ES
Kredit: Arianespace [3]

 

Roket Ariane 5 ES menggunakan 2 buah roket penggalak (booster) EAP. Setiap roket penggalak tersebut mempunyai jisim kira-kira 277,000 kg. Roket penggalak tersebut akan melakukan pembakaran selama kira-kira 130 saat. Roket penggalak tersebut menggunakan bahan bakar pepejal.

Untuk pelancaran ini, roket peringkat kedua atau peringkat atas EPS digunakan. EPS menggunakan bahan bakar hidrazina (hydrazine) monomethylhydrazine (MMH) dan nitrogen tetroxide (N2O4) sebagai bahan pengoksida. Roket peringkat atas EPS akan melakukan pembakaran selama kira-kira 1,230 saat.

Pelancaran ini merupakan palancaran terakhir satelit Galileo menggunakan roket Ariane 5, dan pelancaran terakhir roket Ariane 5 ES. Untuk pelancaran baki satelit Galileo pada masa hadapan, roket terbaharu Ariane 6 akan digunakan.

 

Garis masa misi Ariane 5 ES melancarkan 4 buah satelit navigasi Galileo ke orbit sederhana Bumi

Masa (Jam:Minit:Saat) Peristiwa
– 00:07:00 Laporan kesediaan semua sistem (Go-No-Go)
– 00:04:00 Tekanan tangki disesuaikan untuk penerbangan
– 00:01:00 Roket menggunakan kuasa elektriknya sendiri
– 00:00:04 Sistem di roket mengambil alih kawalan
00:00:00 Enjin roket peringkat pertama / teras (core) EPC dihidupkan
+ 00:00:07 Enjin 2 roket penggalak pepejal (solid booster) EAP dihidupkan
+ 00:00:07 Roket berlepas
+ 00:00:12 Penerbangan menegak tamat, pergerakan anggul (pitch) bermula
+ 00:00:17 Olah gerak guling (roll maneuver) bermula
+ 00:02:19 Roket penggalak EAP dipisahkan
+ 00:03:44 Reraut muatan dibuang
+ 00:08:56 Tujahan roket teras EPC tamat
+ 00:09:01 Roket teras EPC dipisahkan
+ 00:09:19 Enjin roket peringkat kedua / atas EPS dihidupkan
+ 00:19:58 Enjin EPS dimatikan untuk kali pertama. Fasa luncuran balistik pertama bermula
+ 03:27:50 Enjin roket peringkat kedua EPS dihidupkan kembali
+ 03:34:08 Enjin EPS dimatikan. Fasa luncuran balistik kedua bermula
+ 03:36:05 Satelit Galileo 23 dan 25 dilepaskan ke orbit
+ 03:56:05 Satelit Galileo 24 dan 26 dilepaskan ke orbit

 

 

SpaceX: Roket Falcon 9 Akan Melancarkan 10 Buah Satelit Komunikasi Iridium NEXT ke Orbit Kutub

3 hari selepas SpaceX melancarkan satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE dari Timur Amerika Syarikat, SpaceX akan melancarkan 10 buah satelit komunikasi Iridium NEXT ke orbit kutub yang berkedudukan di orbit rendah Bumi. 10 buah satelit itu dijangka dihantar ke orbit berukuran 625 km x 625 km dengan kecondongan 86.4° [2]. Untuk pelancaran ini, SpaceX akan mendapatkan kembali 2 perkara, iaitu roket peringkat pertama Falcon 9 dan reraut muatan (payload fairing).

Iridium NEXT ialah konstelasi satelit yang menawarkan perkhidmatan data untuk dan suara mudah alih. Apabila beroperasi sepenuhnya, konstelasi ini akan mempunyai 66 buah satelit aktif, 9 satelit ganti di orbit, dan 6 satelit ganti di darat [5]. Oleh kerana satelit Iridium NEXT beroperasi di orbit rendah bumi yang berketinggian kira-kira 780 km, perkhidmatan yang ditawarkan mempunyai kependaman (latency) yang rendah, dan kekuatan signal yang lebih kuat berbanding satelit komunikasi yang beroperasi di orbit geopegun Bumi (geostationary Earth orbit, GEO) pada ketinggian kira-kira 35,786 km.

Konstelasi satelit Iridium termasuk konstelasi lama
Konstelasi satelit Iridium termasuk konstelasi lama
Kredit: Stuff in Space

 

Roket Falcon 9 yang digunakan adalah dari versi baharu “block 5” dan tidak pernah digunakan untuk penerbangan. Untuk pelancaran ini, SpaceX akan cuba mendaratkan kembali roket peringkat pertama Falcon 9 di atas kapal tongkang yang diberi nama “Just Read The Instructions” yang ditempatkan di lautan Pasifik.

Selain itu, SpaceX akan turut cuba mendapatkan kembali reraut muatan (payload fairing) dan menangkapnya dengan menggunakan kapal sokongan yang diberi nama “Mr Steven”. Kapal sokongan tersebut telah ditambah baik dengan jaring yang lebih besar bagi membantu proses penangkapan tersebut [6].

Perbezaan kapal sokongan penangkap reraut muatan Mr Steven sebelum dan selepas tambah baik
Perbezaan kapal sokongan penangkap reraut muatan “Mr Steven” sebelum dan selepas tambah baik
Kredit: SpaceX [6]

 

Kapal tongkang Just Read The Instruction ditunda ke pelabuhan selepas misi Iridium-3
Kapal tongkang “Just Read The Instruction” ditunda ke pelabuhan selepas misi Iridium-3
Kredit: Sam Sun/NasaSpaceFlight [8]

 

Setiap satelit Iridium NEXT mempunyai jisim sebanyak 860 kg dan 10 buah satelit tersebut akan dilepaskan dengan menggunakan pelepas satelit khas yang berjisim kira-kira 1,000 kg. Oleh kerana pelancaran ini berlaku ketika awal pagi waktu tempatan, fenomena “twilight effect” seperti yang berlaku ketika pelancaran konstelasi satelit sama pada Disember 2017 lalu dijangka dapat dilihat. Fenomena tersebut berlaku kerana pantulan sinar matahari pada asap roket ketika keadaan darat yang masih gelap, tetapi cahaya matahari telah bersinar di langit.

Fenomena ketika pelancaran Iridium NEXT 4 pada Disember 2017 lalu (video dicepatkan 8.4x)
Kredit: Doug Ellison [9]

 

Garis masa misi roket Falcon 9 melancarkan 10 buah satelit komunikasi Iridium NEXT ke orbit kutub Bumi [13]

Masa (Jam:Minit:Saat) Peristiwa
– 00:01:00 Komputer penerbangan diarahkan untuk memulakan semakan pra-penerbangan terakhir
– 00:01:00 Tekanan tangki bahan dorong disesuaikan untuk penerbangan
– 00:00:45 Pengarah Pelancaran SpaceX mengesahkan kebolehan pelancaran
– 00:00:03 Pengawal enjin mengarahkan aturan penyalaan enjin bermula
00:00:00 Roket berlepas
+ 00:01:12 Badan roket mengalami tekanan mekanikal tertinggi dari atmosfera (Max Q)
+ 00:02:24 Enjin roket peringkat pertama dimatikan (MECO)
+ 00:02:27 Roket peringkat pertama dan peringkat kedua dipisahkan
+ 00:02:29 Enjin roket peringkat kedua dihidupkan
+ 00:03:11 Reraut muatan (payload fairing) dibuang
+ 00:05:39 Pembakaran kemasukan roket peringkat pertama
+ 00:07:17 Pendaratan roket peringkat pertama
+ 00:08:33 Enjin roket peringkat kedua dimatikan kali pertama (SECO-1)
+ 00:51:28 Enjin roket peringkat kedua dihidupkan kembali
+ 00:51:37 Enjin roket peringkat kedua dimatikan kali kedua (SECO-2)
+ 00:56:38 Pelepasan satelit Iridium NEXT bermula
+ 01:11:38 Pelepasan satelit Iridium NEXT tamat

 

Sejarah kemas kini

2018-07-25 14:15 – Pautan rasmi siaran langsung dari YouTube CNES dan SpaceX, kemas kini maklumat berdasarkan “press kit” SpaceX

 

Kredit gambar: Arianespace [10] dan Iridium NEXT [5]

 

Rujukan:

[2] Iridium NEXT Constellation Mission 7 Launch Campaign Thread: https://www.reddit.com/r/spacex/comments/8v4wcm/iridium_next_constellation_mission_7_launch/

[3] http://www.arianespace.com/wp-content/uploads/2018/07/DDP-VA244-GB-final.pdf

[4] http://stuffin.space/?search=galileo

[5] https://www.iridium.com/network/iridium-next/

[6] https://twitter.com/SpaceX/status/1017807493311811584

[7] http://www.esa.int/spaceinvideos/Videos/2018/07/Completing_the_constellation

[8] SpaceX to attempt five recoveries in less than two weeks as fleet activity ramps up: https://www.nasaspaceflight.com/2018/07/spacex-five-recoveries-less-two-weeks-fleet-activity/

[9] SpaceX Iridium 4 Launch from Alhambra, CA: https://www.youtube.com/watch?v=tE5C3O71Xqo

[10] ARIANE FLIGHT VA244: http://www.arianespace.com/mission/ariane-flight-va244/

[11] Ariane 5 launch on July 25, 2018 (VA244 Galileo): https://youtu.be/MeSdG7znJeA

[12] Iridium-7 NEXT Mission: https://youtu.be/vsDknmK30C0

[13] http://www.spacex.com/sites/spacex/files/iridium7_press_kit_7_24.pdf

 

Anda Mungkin Juga Berminat

Rocket Lab Akan Melancarkan Roket Electron Untuk Penerbangan Komersial Sulung Kemas kini 2018-06-28 14:30 Rocket Lab telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan melakukan pelancarkan roket Electron untuk misi "It's Business Time" sepanjang jendela pelancaran kini. Me...
Roket Falcon 9 SpaceX Berjaya Melancarkan Satelit Komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6 (Hispasat 1F),... Kemas kini terakhir: 6:00 AM, 7 Mac 2018 SpaceX telah berjaya melancarkan roket Falcon 9 dan menghantar sebuah satelit komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6, ke orbit pindah geopegun (geostationary tra...
Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 Selamat Tiba di Orbit Kemas kini 2018-07-03 00:30 Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS   Artikel Asal Satelit CubeSat UiTMSAT-1 yang dihantar bersama kapal angkasa ...
Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa Kurang 4 Jam Selepas Dilancar... Kapal angkasa kargo dari Rusia, Progress MS-09 telah tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS, kurang 4 jam selepas dilancarkan ke angkasa. Progress MS-09 (atau Progress 70P) telah tiba di stesen angk...