Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 Selamat Tiba di Orbit

Kemas kini 2018-07-03 00:30

Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS

 

Artikel Asal

Satelit CubeSat UiTMSAT-1 yang dihantar bersama kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 telah selamat tiba di orbit dan akan mula “mengejar” stesen angkasa antarabangsa, ISS. Perjalanan UiTMSAT-1 bersama kargo-kargo lain yang dibawa oleh Dragon CRS-15 akan mengambil masa selama kira-kira 3 hari untuk tiba di stesen angkasa. Roket Falcon 9 telah melancarkan kapal angkasa Dragon CRS-15 tepat pada jam 17:42:41 waktu Malaysia (05:42:41 waktu tempatan) pada 29 Jun 2018 [9] dari pad SLC-40 di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat.


Rakaman penuh pelancaran roket Falcon 9 menghantar kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 ke orbit.
Kredit: SpaceX [2]

 

IKLAN

Setelah tiba di stesen angkasa, UiTMSAT-1 (Bird MYS) bersama satelit CubeSat projek Birds-2 yang lain [3] iaitu MAYA (Bird PHL) yang merupakan satelit CubeSat pertama dari Filipina, dan Bhutan-1 (Bird BTN) dari Bhutan akan dilepaskan ke orbit dari modul Kibo sebagaimana satelit Birds-1 sebelum ini. Oleh kerana satelit UiTMSAT-1 tidak mempunyai sistem tujahan, satelit tersebut dijangka akan mengorbit Bumi dengan parameter orbit yang hampir sama dengan stesen angkasa. Ketika artikel ini ditulis, stesen angkasa antarabangsa ISS mengorbit Bumi dengan orbit 408 km x 402 km dengan kecondongan 51.6°. Selepas dilepaskan ke orbit, satelit UiTMSAT-1 dijangka akan mengelilingi Bumi setiap 92 minit.

Kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 dilepaskan ke orbit, seterusnya akan memulakan perjalanan “mengejar” stesen angkasa antarabangsa, ISS.
Kredit: SpaceX melalui NASA JPL [12]

[https://mybit.my/ms/?p=1666]

Tarikh untuk satelit dilepaskan ke orbit dari stesen angkasa masih belum diketahui. Anggaran tempoh masa operasi satelit setelah satelit berada di orbit juga masih belum diketahui. Biasanya, CubeSat mempunyai jangka hayat kira-kira 6 bulan setelah dilepaskan ke orbit rendah bumi.

UiTMSAT-1
UiTMSAT-1
Kredit: Birds-2 [7]

 

Satelit UiTMSAT-1 mempunyai beberapa peralatan [7]:

1. Kamera
CubeSat tersebut mempunyai 2 kamera yang sama dengan saiz kanta yang berbeza untuk menangkap gambar dengan resolusi berbeza. Kamera tersebut juga akan digunakan untuk menangkap video resolusi minimum dari angkasa sebagai ujian.

2. Sistem laporan paket automatik Digipeater (Automatic Packet Reporting System Digipeater, APRS-DP), serta simpan dan hantar (Store and Forward, S&F)
Ketika satelit berada dalam lingkungan, pengguna radio amatur di permukaan bumi boleh menghantar mesej teks dari radio mereka ke satelit Birds-2, dimana seterusnya akan dipancarkan kembali disepanjang kawasan liputan CubeSat tersebut. Satelit-satelit tersebut akan mengumpul data dari sensor darat jauh (remote ground sensors), menyimpan maklumat tersebut di satelit, dan menghantar data tersebut ke pusat kawalan misi.

3. Demonstrasi cip GPS
Cip GPS rekaan baharu dipasang pada satelit dan akan digunakan untuk menguji keupayaan operasi berkuasa rendah di angkasa.

4. Single Event Latch-Up (SEL)
Sekiranya satelit tersebut mengalami halangan operasi akibat radiasi sepanjang tempoh hayat misi, peristiwa tersebut akan direkodkan.

5. Magnetometer
Satelit tersebut membawa sensor medan magnetik yang akan digunakan untuk mengukur medan magnetik di angkasa dan akan dibandingkan dengan ukuran di darat.

Satelit Birds-1 dilepaskan dari modul Kibo di stesen angkasa antarabangsa, ISS pada 7 Julai 2017
Satelit Birds-1 dilepaskan dari modul Kibo di stesen angkasa antarabangsa, ISS pada 7 Julai 2017
Kredit: JAXA [5]

 

Modul Kibo pada stesen angkasa antarabangsa, ISS
Modul Kibo pada stesen angkasa antarabangsa, ISS
Kredit: NASA [4]

 

Kawasan yang boleh dilalui oleh stesen angkasa antarabangsa, ISS (merah)
Kawasan yang boleh dilalui oleh stesen angkasa antarabangsa, ISS (merah)

 

Orbit stesen angkasa antarabangsa, ISS (merah) yang berada di orbit rendah bumi berbanding orbit satelit Measat-3B (biru) yang berada di orbit geopegun dengan ketinggian 35,800 km dari Bumi
Gambaran orbit stesen angkasa antarabangsa, ISS (merah) yang berada di orbit rendah bumi berbanding orbit satelit Measat-3B (biru) yang berada di orbit geopegun dengan ketinggian 35,800 km dari Bumi

[https://mybit.my/ms/?p=1666]

Selain UiTMSAT-1, kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 turut membawa kargo lain yang merupakan bekalan untuk angkasawan, alat ganti, dan kajian saintifik yang berjumlah kira-kira 2,700 kg. Kapal angkasa tersebut akan berada di stesen angkasa kira-kira selama sebulan. Selepas itu, kapal angkasa Dragon akan meninggalkan stesen angkasa untuk pulang kembali ke Bumi. Kapsul Dragon dijangka akan membawa pulang kembali kargo sebanyak hampir 1,800 kg dari angkasa ke Bumi [10].

Selain kapsul Dragon, kapsul Soyuz yang membawa angkasawan merupakan satu kaedah lain untuk membawa pulang kargo dari angkasa. Kapal angkasa kargo lain seperti Progress, Cygnus, dan HTV tidak mempunyai kemampuan kembali ke Bumi, biasanya akan digunakan untuk membawa sampah dari stesen angkasa, dan akan dibiarkan terbakar ketika memasuki kembali atmosfera bumi. Pihak Rusia sedang membangunkan kapal angkasa Progress GVK yang boleh membawa kembali kargo pulang dari angkasa ke Bumi [11].

Kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 telah dibawa ke orbit dengan menggunakan roket Falcon 9. Roket Falcon 9 mempunyai 9 enjin Merlin 1D pada roket peringkat pertama. Enjin Merlin 1D menggunakan bahan bakar kerosin gred roket (RP-1) dan oksigen cecair (LOX) sebagai bahan pengoksida. Roket Falcon 9 mempunyai ketinggian 70 meter, dan berdiameter 3.7 meter. Ketika dilancarkan, roket tersebut mempunyai jisim kira-kira sebanyak 550,000 kg.

Pelancaran tersebut telah berlaku sebagaimana yang dirancang tanpa sebarang masalah. 2 minit 48 saat selepas dilancarkan, 9 enjin Merlin 1D pada roket peringkat pertama Falcon 9 dimatikan, dan seterusnya roket peringkat kedua dipisahkan. Kira-kira 9 saat selepas itu, satu-satunya enjin vakum Merlin 1D yang ada pada roket peringkat kedua Falcon 9 telah dihidupkan untuk meneruskan perjalanan membawa kapal angkasa Dragon CRS-15 ke orbit.

Enjin vakum Merlin 1D pada roket peringkat kedua Falcon 9 meneruskan pembakaran selama kira-kira 5 minit 40 saat untuk meletakkan kapal angkasa Dragon CRS-15 di orbit. 9 minit 35 saat selepas pelancaran, kapal angkasa Dragon CRS-15 dipisahkan dari badan roket peringkat kedua Falcon 9.

Untuk pelancaran ini, kedua-dua kapal angkasa Dragon, dan roket Falcon 9 adalah kenderaan yang pernah dilancarkan untuk misi terdahulu. Kapal angkasa Dragon misi CRS-15 ini telah digunakan ketika misi Dragon CRS-9 pada 18 Julai 2016. Roket Falcon 9 tersebut pernah dilancarkan dan didaratkan kembali ketika misi satelit teleskop angkasa Transiting Exoplanet Survey Satellite (TESS) pada 18 April 2018. Roket Falcon 9 yang digunakan untuk pelancaran tersebut adalah roket terakhir versi lama Falcon 9 “block 4” [8]. Oleh sebab itu, SpaceX tidak mendaratkan kembali roket tersebut bagi memberi laluan untuk roket Falcon 9 “block 5” yang telah ditambah baik dan boleh digunakan kembali dengan lebih banyak berbanding “block 4” yang boleh dilancarkan sebanyak 2 kali sahaja.

Oleh kerana pelancaran tersebut berlaku pada awal pagi, pantulan cahaya matahari pada wasap yang dihasilkan oleh roket jelas kelihatan kerana keadaan yang lebih gelap di darat berbanding di udara.


Kredit: TomCross [13]

 

Setelah kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS, pihak NASA akan membuat siaran langsung aktiviti kapal angkasa Dragon CRS-15 tiba, ditangkap oleh lengan robotik Canadarm2, dan dicantumkan pada bahagian bawah modul Harmony di stesen angkasa. Siaran langsung boleh ditonton pada 2 Julai 2018, bermula kira-kira jam 17:00.


Siaran langsung aktiviti kapal angkasa Dragon CRS-15 tiba, ditangkap oleh lengan robotik Canadarm2, dan dicantumkan pada bahagian bawah modul Harmony di stesen angkasa antarabangsa, ISS boleh ditonton bermula pada jam 17:00 pada 2 Julai 2018.
Kredit: NASA [1]

 

Sejarah kemas kini

2018-07-03 00:30 – ketibaan Dragon CRS-15 di stesen angkasa

 

Kredit gambar: John Kraus [0]

 

Rujukan:

[0] https://twitter.com/johnkrausphotos/status/1012656839383769088

[1] NASA Live: Official Stream of NASA TV: https://www.youtube.com/watch?v=wwMDvPCGeE0

[2] CRS-15 Mission: https://www.youtube.com/watch?v=ycMagB1s8XM

[3] http://space.skyrocket.de/doc_sdat/bird.htm

[4] Space Station’s Kibo Laboratory: https://www.nasa.gov/content/space-stations-kibo-laboratory

[5] JAXA http://iss.jaxa.jp/en/kiboexp/news/170707_cubesat_birds.html

[6] https://heavens-above.com/orbit.aspx?satid=25544

[7] BIRDS-2: http://birds2.birds-project.com/about/

[8] Final Block 4 Falcon 9 launches CRS-15 Dragon launch: https://www.nasaspaceflight.com/2018/06/final-block-4-falcon-9-crs-15-dragon-launch/

[9] https://twitter.com/ChrisG_NSF/status/1012608434229927937

[10] New NASA Research, Hardware Heading to Space Station on 15th SpaceX Resupply Mission: https://www.nasa.gov/press-release/new-nasa-research-hardware-heading-to-space-station-on-15th-spacex-resupply-mission

[11] Retrievable Soyuz GVK spacecraft: http://www.russianspaceweb.com/progress_gvk.html

[12] https://twitter.com/NASAJPL/status/1012639202712829952

[13] https://twitter.com/_TomCross_/status/1012645276392284161

Anda Mungkin Juga Berminat

SpaceX Melancarkan Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Angkasa SpaceX telah berjaya melancarkan roket Falcon Heavy dalam penerbangan ujian pada jam 4:45 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia (3:45 PM 6 Februari 2018 waktu tempatan) dari Kompleks Pelancaran 39A di Pus...
Krew stesen angkasa antarabangsa ISS Ekspedisi 57 dikurangkan kepada 5 Bulan Oktober 2018 akan menyaksikan stesen angkasa antarabangsa, ISS, melakukan pertukaran krew.   Pada 4 Oktober 2018 lepas, 3 orang angkasawan iaitu Drew Feustel (Amerika Syarikat/NASA), Rick...
Satelit UiTMSAT-1 Akan Dilancarkan Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 ke ISS Kemas kini 2018-07-03 00:30 Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS   Artikel Asal Satelit UiTMSAT-1 akan dilancarkan bersama kapal angkasa kargo...
Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS Satelit UiTMSAT-1 bersama kargo yang dibawa oleh kapal angkasa Dragon CRS-15 telah selamat tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS. Lengan robotik Canadarm2 yang dikawal oleh angkasawan NASA, Ricky A...