Satelit UiTMSAT-1 Akan Dilancarkan Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 ke ISS

Kemas kini 2018-07-03 00:30

Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS

 

Artikel Asal

Satelit UiTMSAT-1 akan dilancarkan bersama kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 ke stesen angkasa antarabangsa, ISS dengan menggunakan roket Falcon 9 v1.2. Roket tersebut akan dilancarkan pada 29 Jun 2018 17:42 waktu Malaysia (05:42 waktu tempatan). Pelancaran roket itu akan dilakukan dari pad SLC-40 di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat [13].

Pihak SpaceX dan NASA akan membuat siaran langsung untuk pelancaran ini. Siaran langsung boleh ditonton dari laman YouTube NASA [1] atau laman YouTube SpaceX [2]. Siaran langsung boleh mula ditonton kira-kira 30 minit sebelum roket Falcon 9 tersebut dilancarkan.


Siaran langsung pelancaran roket Falcon 9 membawa kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 ke stesen angkasa antarabangsa, ISS
Kredit: SpaceX [15]

IKLAN

 

UiTMSAT-1 adalah sebuah satelit kecil CubeSat 1U yang berukuran kira-kira 10 cm x 10 cm x 10 cm. UiTMSAT-1 dibina dengan kerjasama Kyushu Institute of Technology (Kyutech) dibawah projek The Joint Global Multi-Nation BIRDS Satellite Project (Birds) [3]. Antara tujuan projek Birds:

  • Belajar keseluruhan proses pembangunan satelit dari perancangan misi sehingga pelupusan satelit.
  • Meletakkan asas kepada program angkasa yang mapan dengan melatih sumber manusia, dan melancarkan program penyelidikan serta pendidikan angkasa di universiti.
  • Mewujudkan rangkaian antarabangsa bagi membantu sesama program angkasa yang masih baharu.

 

UiTMSAT-1

UiTMSAT-1
UiTMSAT-1
Kredit: Birds-2 [5]

 

Program Birds-2 disertai oleh Malaysia, Bhutan, Jepun, dan Filipina. UiTMSAT-1 dan CubeSat Birds-2 yang lain mempunyai beberapa misi:

1. Kamera
CubeSat tersebut mempunyai 2 kamera yang sama dengan saiz kanta yang berbeza untuk menangkap gambar dengan resolusi berbeza. Kamera tersebut juga akan digunakan untuk menangkap video resolusi minimum dari angkasa sebagai ujian.

2. Sistem laporan paket automatik Digipeater (Automatic Packet Reporting System Digipeater, APRS-DP), serta simpan dan hantar (Store and Forward, S&F)
Ketika satelit berada dalam lingkungan, pengguna radio amatur di permukaan bumi boleh menghantar mesej teks dari radio mereka ke satelit Birds-2, dimana seterusnya akan dipancarkan kembali disepanjang kawasan liputan CubeSat tersebut. Satelit-satelit tersebut akan mengumpul data dari sensor darat jauh (remote ground sensors), menyimpan maklumat tersebut di satelit, dan menghantar data tersebut ke pusat kawalan misi.

3. Demonstrasi cip GPS
Cip GPS rekaan baharu dipasang pada satelit dan akan digunakan untuk menguji keupayaan operasi berkuasa rendah di angkasa.

4. Single Event Latch-Up (SEL)
Sekiranya satelit tersebut mengalami halangan operasi akibat radiasi sepanjang tempoh hayat misi, peristiwa tersebut akan direkodkan.

5. Magnetometer
Satelit tersebut membawa sensor medan magnetik yang akan digunakan untuk mengukur medan magnetik di angkasa dan akan dibandingkan dengan ukuran di darat.

 

Sebagai mana program Birds-1 terdahulu, satelit UiTMSAT-1 bersama satelit Birds-2 yang lain akan dilepaskan ke orbit dari modul Kibo dari stesen angkasa antarabangsa, ISS. Oleh kerana satelit-satelit tersebut tidak mempunyai enjin pendorong, satelit-satelit tersebut dijangka akan mempunyai parameter orbit yang hampir sama dengan ISS iaitu kira-kira 414 km x 409 km dengan kecondongan 51°. UiTMSAT-1 akan melakukan 1 orbit lengkap mengelilingi bumi setiap 92 minit.

Program Birds pertama iaitu Birds-1 telah dimulakan pada 2015 dan disertai oleh Jepun, Ghana, Mongolia, Nigeria, dan Bangladesh. Pada 4 Jun 2017, 5 CubeSat 1U Birds-1 telah dilancarkan bersama misi kapal angkasa Dragon CRS-11 dengan menggunakan roket Falcon 9 ke stesen angkasa antarabangsa, ISS. Satelit-satelit Birds-1 tersebut telah dilepaskan dari ISS ke orbit dari modul Kibo.

Satelit Birds-1 dilepaskan dari modul Kibo di stesen angkasa antarabangsa, ISS

Satelit Birds-1 dilepaskan dari modul Kibo di stesen angkasa antarabangsa, ISS
Satelit Birds-1 dilepaskan dari modul Kibo di stesen angkasa antarabangsa, ISS pada 7 Julai 2017
Kredit: JAXA [4]

 

Muatan utama dari pelancaran roket Falcon 9 ini ialah kapal angkasa kargo Dragon CRS-15 yang akan membawa bekalan dan perkakasan untuk menyokong kajian sains di stesen angkasa antarabangsa, ISS. Kira-kira 9 minit 30 saat selepas dilancarkan oleh roket Falcon 9, kapal angkasa Dragon CRS-15 akan dipisahkan dari badan roket, dan akan memulakan perjalanan “mengejar” stesen angkasa. Perjalanan kapal angkasa Dragon CRS-15 “mengejar” stesen angkasa di orbit dijangka mengambil masa 3 hari dan dijangka tiba di stesen angkasa pada hari Isnin, 2 Julai 2018. Setelah Dragon CRS-15 tiba di stesen angkasa, lengan robotik Canadarm2 akan menangkap kapal angkasa tersebut, dan akan dicantumkan pada bahagian bawah modul Harmony stesen.

Kapal angkasa Dragon CRS-15 akan tinggal di stesen angkasa selama kira-kira sebulan [16]. Selepas itu, kapal angkasa tersebut akan kembali ke Bumi membawa pulang kira-kira 1,800 kg kargo. Selepas kira-kira 5 jam meninggalkan stesen angkasa, Dragon akan melakukan pembakaran keluar orbit yang dijangka mengambil masa selama 10 minit. Kira-kira 30 minit selepas itu, kapsul Dragon akan memasuki kembali atmosfera Bumi dan dijangka mendarat di lautan Pasifik.

Kapal angkasa Dragon CRS-15 itu akan membawa kargo yang berjumlah 2,697 kg [6]. 1,712 kg dari kargo tersebut akan berada pada bahagian bertekanan (pressurized) kapal angkasa. 985 kg muatan akan berada di bahagian tanpa tekanan (unpressurized) kapal angkasa.

Pada bahagian bertekanan, 205 kg muatan ialah bekalan krew, 1,233 kg merupakan penyiasatan sains, 63 kg ialah peralatan untuk aktiviti luar stesen angkasa (spacewalk), 178 kg ialah peralatan kenderaan, 21 kg ialah peralatan komputer, dan 12 kilogram adalah perkakasan dari Rusia.

Pada bahagian tanpa tekanan, 550 kg ialah peralatan sains bumi yang diberi nama “ECOsystem Spaceborne Thermal Radiometer Experiment on Space Station” (ECOSTRESS). Alat ini akan menyediakan ukuran berasaskan angkasa baharu bagaimana tumbuhan bertindak balas kepada perubahan ketersediaan air. 435 kg dari muatan tanpa tekanan ialah “Latching End Effector” (LEE) yang merupakan komponen pada lengan robotik Canadarm2 yang terdapat pada stesen angkasa [7]. Agensi angkasa Kanada membekalkan LEE tersebut untuk menggantikan LEE yang rosak yang telah dibuang pada aktiviti luar stesen pada 2017. Setiap hujung lengan robotik Canadarm2 mempunyai LEE yang sama, yang bertindak sebagai “tangan” untuk memegang muatan seperti ketibaan kapal angkasa kargo.

Misi kapal angkasa Dragon CRS-15 ini turut membawa pelbagai bahan kajian. Antara yang menarik ialah “Crew Interactive Mobile companion” (CIMON). CIMON merupakan kajian perintis pemerhatian sistem bantuan angkasawan. Kajian tersebut akan membekalkan pandangan terawal kesan terhadap kecekapan dan penerimaan angkasawan apabila dibantu dan disokong oleh kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) sepanjang misi bertempoh lama di angkasa. CIMON akan membantu angkasawan dalam tugasan seharian mereka, seperti memaparkan prosedur kerja, amaran awal terhadap masalah teknikal, dan ia mempunyai keupayaan untuk belajar bagi menambah baik penawaran untuk menyelesaikan masalah. CIMON menggunakan teknologi Watson AI dari IBM cloud dan dibangunkan oleh Airbus [8].

Crew Interactive Mobile companion (CIMON)
“Crew Interactive Mobile companion” (CIMON)
Kredit: Airbus [8]

 

Dragon CRS-15 akan turut membawa kajian biologi Micro-12 untuk mengkaji bagaimana keadaan graviti mikro memberi kesan terhadap pertumbuhan, dan kebolehan bakteria untuk memindah elektron melalui membran pada sel. Bakteria tersebut mungkin boleh digunakan untuk sel bahan api mikrob bagi menjana elektrik dari bahan buangan organik. Selain itu, eksperimen penyiasatan genom alga angkasa turut dibawa. Penyiasatan tersebut akan menguji produktiviti alga yang dibiakkan di angkasa. Turut diuji untuk eksperimen tersebut ialah adakah alga melihat keadaan graviti mikro di angkasa sebagai satu tekanan, yang akan mencetus penghasilan minyak alga yang mungkin akan membantu untuk mengurangkan kesan bahaya graviti mikro, dan radiasi kosmik semasa penerbangan angkasa, menyerap sisa karbon dioksida, serta menyediakan nutrisi asas [6].

Kapal angkasa Dragon menghampiri stesen angkasa antarabangsa, ISS, sebelum ditangkap oleh lengan robotik Canadarm2
Kapal angkasa Dragon menghampiri stesen angkasa antarabangsa, ISS, sebelum ditangkap oleh lengan robotik Canadarm2
Kredit: NASA [12]

 

Apa yang menarik untuk pelancaran ini, kedua-dua kapal angkasa Dragon, dan roket Falcon 9 adalah kenderaan yang pernah dilancarkan untuk misi terdahulu. Kapal angkasa Dragon misi CRS-15 ini telah digunakan ketika misi Dragon CRS-9 pada 18 Julai 2016 [10]. Roket Falcon 9 tersebut yang diberi nombor siri B1045 telah dilancarkan dan didaratkan kembali ketika misi satelit teleskop angkasa Transiting Exoplanet Survey Satellite (TESS) pada 18 April 2018 [11]. Roket ini adalah satu rekod terpantas oleh SpaceX untuk guna kembali roket yang mengambil masa 74 hari. Ini selaras dengan matlamat SpaceX untuk menambah baik kos dan kebolehpercayaan akses ke angkasa dengan merendahkan kos penerbangan dan guna semula sistem pelancaran dengan cepat. Oleh kerana B1045 adalah dari versi lama Falcon 9 “block 4“, SpaceX dijangka tidak akan mendaratkan kembali roket tersebut bagi memberi laluan kepada roket Falcon 9 yang ditambah baik dari “block 5“. Laporan oleh laman berita NasaSpaceFlight telah mengesahkan bahawa roket Falcon 9 tidak akan didaratkan kembali, tetapi akan digunakan untuk menguji sistem pembatalan ketika penerbangan (In-Flight Abort). Sistem pambatalan penerbangan tersebut adalah penting untuk misi SpaceX bagi membawa krew komersial pada masa hadapan.

 

Garis Masa Misi

Masa (Jam:Minit:Saat) Peristiwa [16]
-00:00:45 Pengarah pelancaran SpaceX mengesahkan kebolehan untuk pelancaran
-00:00:03 Pengawal enjin memberi arahan untuk memulakan aturan menghidupkan enjin
00:00:00 Roket Falcon 9 dilancarkan
00:01:19 Roket mengalami keadaan Max Q dimana badan roket mengalami tekanan mekanikal maksimum
00:02:45 Enjin roket peringkat pertama dimatikan (MECO)
00:02:48 Roket peringkat pertama dan peringkat kedua dipisahkan
00:02:56 Enjin roket peringkat kedua dihidupkan
00:08:31 Enjin roket peringkat kedua dimatikan (SECO)
00:09:31 Kapal angkasa Dragon berpisah dari roket peringkat kedua
00:11:00 Panel solar Dragon dibuka
02:20:00 Pintu ruang panduan, navigasi dan kawalan Dragon dibuka

 

Kredit gambar: NASA [0]

 

Sejarah kemas kini:

2018-07-03 00:30 – Dragon CRS-15 tiba di stesen angkasa

2018-06-29 16:00 – pautan siaran langsung rasmi, kemas kini maklumat berdasarkan kit media

2018-06-28 16:00 – pengesahan tiada pendaratan untuk roket Falcon 9

 

Rujukan:

[0] https://www.flickr.com/photos/nasakennedy/41197121071/in/album-72157689408330410/

[1] https://www.youtube.com/watch?v=wwMDvPCGeE0

[2] https://www.youtube.com/channel/UCtI0Hodo5o5dUb67FeUjDeA

[3] http://birds2.birds-project.com/about/

[4] Successful deployment of five “BIRDS project” CubeSats from the “Kibo”: http://iss.jaxa.jp/en/kiboexp/news/170707_cubesat_birds.html

[5] http://birds2.birds-project.com/gallery/

[6] https://www.nasa.gov/sites/default/files/atoms/files/spacex_crs-15_mision_overview_rev2_high_res7.pdf

[7] ECOSTRESS, Latching End Effector Integrated into SpaceX Dragon Truck: https://www.nasa.gov/image-feature/ecostress-latching-end-effector-integrated-into-spacex-dragon-truck

[8] http://www.airbus.com/newsroom/press-releases/en/2018/02/hello–i-am-cimon-.html

[9] https://www.nasa.gov/mission_pages/station/research/experiments/explorer/Investigation.html?#id=7470

[10] https://www.reddit.com/r/spacex/wiki/capsules

[11] https://www.reddit.com/r/spacex/wiki/cores#wiki_b1045

[12] https://www.flickr.com/photos/nasa2explore/32269420513/in/album-72157657540415831/

[13] http://icessat.uitm.edu.my/

[14] Falcon 9 conducts Static Fire test ahead of CRS-15 mission: https://www.nasaspaceflight.com/2018/06/falcon-9-static-fire-test-crs-15/

[15] CRS-15 Mission: https://www.youtube.com/watch?v=ycMagB1s8XM

[16] CRS-15 Press Kit: http://www.spacex.com/sites/spacex/files/crs15presskit.pdf

Anda Mungkin Juga Berminat

3 Angkasawan Kembali ke Bumi Dari Stesen Angkasa Antarabangsa Kemas kini terakhir: 1:15 PM, 28 Februari 2018 3 orang angkasawan dari Ekspedisi 54 Stesen Angkasa Antarabangsa telah selamat mendarat di Kazakhstan pada 10:31 AM 28 Februari 2018 waktu Malaysia (8:3...
SpaceX Melancarkan Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Angkasa SpaceX telah berjaya melancarkan roket Falcon Heavy dalam penerbangan ujian pada jam 4:45 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia (3:45 PM 6 Februari 2018 waktu tempatan) dari Kompleks Pelancaran 39A di Pus...
Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 Selamat Tiba di Orbit Kemas kini 2018-07-03 00:30 Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS   Artikel Asal Satelit CubeSat UiTMSAT-1 yang dihantar bersama kapal angkasa ...
Roket Falcon 9 SpaceX Akan Melancarkan Satelit Pengintip Sepanyol, Paz Kemas kini terakhir: 12:40AM 22 Februari 2018   Pelancaran roket Falcon 9 untuk misi satelit Paz pada 10:17PM 21 Februari 2018 telah dibatalkan kerana keadaan angin altitud tinggi yang tidak ...