Perisian Pelayar Web Mozilla Firefox Versi 61 Dilancarkan
Pembangun perisian pelayar web popular Mozilla Firefox telah melancarkan Mozilla Firefox versi 61 untuk sistem operasi atas meja (desktop). Versi 61 tersebut telah secara rasmi memasuki saluran stabil hari ini setelah lebih sebulan setengah berada dalam saluran pengujian beta. “Peperangan” pelayar web pada ketika ini kelihatan malap setelah Google Chrome menjadi perisian pelayar web paling popular. Malah kebanyakkan perisian pelayar web “alternatif” lain seperti Opera dan Vivaldi adalah berasaskan kepada kod sumber yang sama seperti Google Chrome iaitu Chromium. Namun, Mozilla Firefox masih mempunyai peminat tersendiri dalam menawarkan perisian pelayar web alternatif.
Versi 61 datang dengan beberapa ciri dan penambahbaikan baharu [1]. Versi ini menawarkan prestasi yang lebih tinggi dengan penambahbaikan pada enjin Quantum CSS yang membolehkan laman web dipersembahkan dengan lebih pantas. Selain itu, fungsi senarai paparan terkini membolehkan pengguna mengakses laman yang kerap dilawat dengan lebih pantas. Firefox versi 61 juga datang dengan fungsi pemanasan tab (tab warming) yang membolehkan proses menukar tab berlaku dengan lebih pantas dan responsif.
Kredit: Bleeping Computer [2]
Pembangun sambungan (extensions) untuk Mozilla Firefox juga boleh menggunakan ciri baharu. Kini, WebExtensions mempunyai kebolehan untuk menyembunyikan tab. Ini menawarkan fungsi tambahan kepada sambungan untuk menyusun dan mengurus tab dengan lebih berkesan, sebagai contoh, menyembunyikan tab yang tidak perlu dibuka seperti tab yang memainkan muzik di latar belakang. Pada sistem operasi MacOS, WebExtensions kini berjalan pada prosesnya yang tersendiri.
Selain itu, fungsi penyelarasan penanda (bookmark synchronization) pada Firefox Sync juga turut ditingkatkan. Dari segi keselamatan, Mozilla Firefox 61 akan menghalang akses ke protokol yang kurang selamat FTP dari laman HTTPS. Selain itu, standard penyulitan (encryption) terbaharu TLS 1.3 turut dibolehkan secara lalai.
Dengan pelancaran Mozilla Firefox 61 versi stabil, Mozilla Firefox versi 62 telah memasuki saluran beta. Mozilla Firefox versi 62 dijangka memasuki saluran stabil pada 5 September 2018 [3].
Muat turun: Mozilla Firefox
Kredit gambar: Mozilla [0]
Rujukan:
[0] New Firefox Releases Now Available: https://blog.mozilla.org/blog/2018/06/26/new-firefox-releases-now-available-2/
[1] https://www.mozilla.org/en-US/firefox/61.0/releasenotes/
[2] Firefox 61 Released for Windows, Mac, and Linux: https://www.bleepingcomputer.com/news/software/firefox-61-released-for-windows-mac-and-linux/
[3] Firefox Release Calendar: https://wiki.mozilla.org/Release_Management/Calendar