Objek Antara Bintang ‘Oumuamua Memecut, Mengubah Haluan

Objek antara bintang (interstellar) pertama yang dikesan memasuki sistem solar, ‘Oumuamua, didapati telah memecut dan meningkatkan kelajuan, seterusnya mengubah haluan sepanjang perjalanannya merentasi bahagian tengah sistem solar pada tahun 2017, seperti laporan NASA pada 28 Jun 2018 [1]. Pemerhatian telah dilakukan dari teleskop angkasa Hubble yang berada di orbit rendah bumi dan dari permukaan Bumi. ‘Oumuamua adalah sebuah objek berukuran kira-kira 230 meter x 35 meter yang datang dari luar sistem solar dan kali pertama dikesan pada 19 Oktober 2017 [2] oleh teleskop Pan-STARRS 1 yang dimiliki oleh Universiti Hawaii di Halaekala, Hawaii.

 

Kelakuan ‘Oumuamua memecut adalah ganjil kerana biasanya, perubahan pergerakan objek di angkasa adalah disebabkan dari daya tarikan graviti matahari dan planet-planet, terutamanya dari planet yang mempunyai saiz dan jisim yang besar. Pemerhatian terhadap ‘Oumuamua mendapati bahawa objek itu berkelakuan seperti komet yang melepaskan bahan bergas dari permukaannya, lalu memberi daya tujahan kepada objek tersebut.

IKLAN

Biasanya, komet akan mengeluarkan banyak debu dan gas apabila dipanaskan oleh matahari. Namun, pemerhatian oleh pasukan saintis Olivier Hainaut dari balai cerap selatan Eropah, European Southern Observatory, mendapati bahawa tiada tanda pengeluaran gas yang dapat dilihat dari ‘Oumuamua. Oleh sebab itu, pecutan dan perubahan kelajuan objek antara bintang tersebut adalah tidak dijangka.


Animasi laluan ‘Oumuamua merentasi sistem solar
Kredit: NASA [2]

[https://mybit.my/ms/?p=1681]

Pengkaji beranggapan bahawa debu gas yang dihasilkan oleh ‘Oumuamua mungkin terlalu kecil untuk dikesan, tetapi cukup untuk memberi perubahan kepada kelajuan objek itu. Menurut Karen Meech, seorang ahli astronomi di Institut Astronomi Universiti Hawaii, dan pengarang bersama kajian tersebut, beliau mengagak bahawa butiran debu kecil yang ada pada ‘Oumuamua telah banyak hilang dan hanya tinggal sedikit sahaja sepanjang perjalanan melalui ruangan antara bintang yang mengambil masa yang lama.

 

Kini, ‘Oumuamua sudah terlalu jauh untuk diperhatikan, dan sedang bergerak dengan kelajuan 112,000 km per jam untuk keluar dari sistem solar, seterusnya menyambung perjalanan ke ruang angkasa antara bintang.

 

Kredit gambar: NASA’s Goddard Space Flight Center [0]

 

Rujukan:

[0] Is ‘Oumuamua an Interstellar Asteroid or Comet?: https://svs.gsfc.nasa.gov/12988

[1] Our Solar System’s First Known Interstellar Object Gets Unexpected Speed Boost: https://www.nasa.gov/press-release/our-solar-system-s-first-known-interstellar-object-gets-unexpected-speed-boost

[2] Small Asteroid or Comet ‘Visits’ from Beyond the Solar System: https://www.nasa.gov/feature/jpl/small-asteroid-or-comet-visits-from-beyond-the-solar-system

 

Anda Mungkin Juga Berminat

Saintis: Angkasa Mengandungi Banyak Kabus Berminyak Yang Kotor Dan Toksik Sekumpulan saintis dari Universiti New South Wales, Australia dan dari Universiti Ege, Turki telah berpendapat bahawa kebanyakkan ruang di angkasa lepas adalah terdiri dari bahan berminyak yang kotor ...