Kapal Angkasa Hayabusa2 Tiba Di Asteroid Ryugu

Setelah 1302 hari misi bermula, kapal angkasa Hayabusa2 telah tiba di asteroid Ryugu pada 27 Jun 2018 dalam misi membawa pulang sampel asteroid tersebut ke bumi. Hayabusa2 akan tinggal di asteroid tersebut untuk misi mengumpul data dan sampel yang dijangka mengambil masa selama 17 bulan. Hayabusa2 dirancang untuk memulakan perjalanan dari asteroid Ryugu dan pulang ke bumi pada Disember 2019. Hayabusa2 bersama kapsul kemasukan semula (reentry capsule) dijangka akan tiba di bumi dan memasuki atmosfera pada Disember 2020 dengan kelajuan 12 km per saat [1].

Kapal angkasa Hayabusa2 telah dilancarkan ke angkasa pada 3 Disember 2014 menggunakan roket H-IIA dari pad pelancaran LA-Y di Pusat Angkasa Tanegashima, Jepun. Perjalanan “mengejar” asteroid Ryugu (atau lebih tepat lagi menyamakan orbit heliosentrik kapal angkasa Hayabusa2 dengan orbit asteroid Ryugu) telah mengambil masa lebih 3 tahun 6 bulan. Hayabusa2 menggunakan sistem pendorong elektrik enjin ion.

IKLAN


Animasi orbit Hayubusa2 ketika “mengejar” asteroid Ryugu
Kredit: JAXA [9]

[https://mybit.my/ms/?p=1633]

Asteroid Ryugu adalah sejenis objek yang hampir dengan bumi. Asteroid tersebut mempunyai diameter kira-kira 1 km [6]. Ryugu melakukan 1 orbit lengkap mengelilingi matahari setiap 474 hari atau 1.3 tahun. Ryugu mempunyai jarak persimpangan orbit minimum dengan bumi sejauh 95,490 km atau 0.23 jarak bulan-bumi. Asteroid ini berpusing pada paksinya setiap 7.6 jam [5]. Asteroid Ryugu diklasifikasikan sebagai berpotensi berbahaya oleh NASA kerana saiz dan laluan asteroid tersebut di angkasa, tetapi tidak mempunyai ancaman kepada bumi buat masa sekarang.

Kedudukan asteroid Ryugu berbanding bumi ketika artikel ini ditulis
Kedudukan asteroid Ryugu berbanding bumi ketika artikel ini ditulis
Kredit: NASA JPL [5]

 

Asteroid Ryugu sebagaimana dilihat oleh Hayabusa2 dari jarak kira-kira 20 km
Asteroid Ryugu sebagaimana dilihat oleh Hayabusa2 dari jarak kira-kira 20 km
Kredit: JAXA, Universiti Tokyo and kolaborator [2]

 

Pada 27 Jun 2018, kapal angkasa Hayabusa2 tiba di asteroid Ryugu dan terbang berhampiran asteroid tersebut pada jarak 20 km. Sepanjang perjalanan menghampiri asteroid tersebut, Hayabusa2 telah mengambil gambar dan merekod data asteroid Ryugu itu. Maklumat yang diperoleh dari Hayabusa2 akan membantu penyelidik untuk mengkaji sifat dan struktur asteroid yang hampir dengan bumi, seterusnya memahami asteroid yang terhasil daripada pembentukan sistem solar. Maklumat tersebut turut membantu memahami pembentukan planet-planet dan membolehkan perancangan yang lebih berkesan untuk misi pertahanan dari asteroid yang mungkin diperlukan, menurut German Aerospace Center (DLR).

Gambar yang diambil oleh kapal angkasa Hayabusa2 ketika menghampiri asteroid Ryugu
Gambar yang diambil oleh kapal angkasa Hayabusa2 ketika menghampiri asteroid Ryugu
Kredit: German Aerospace Center (DLR) [0]

[https://mybit.my/ms/?p=1633]

Hayabusa2 akan melakukan beberapa misi di astroid Ryugu. Antaranya ialah (tidak mengikut urutan):

1. Pemerhatian menggunakan kamera pelbagai jalur, altimeter laser, spektrometer inframerah hampir, dan kamera inframerah sederhana.

2. Pendaratan 4 kenderaan (rover) kecil ke asteroid bagi melakukan pemerhatian permukaan asteroid:
MINERVA-II – mengandungi II-1A, II-1B, dan II-2 [3].
II-1A dan II-1B mempunyai ukuran diameter 18 cm, ketinggian 7 cm, dan berjisim 1.1 kg. Mempunyai kamera, termometer, dan sel solar serta kapasitor untuk kuasa elektrik.
II-2 mempunyai diameter 15 cm, ketinggian 16 cm, dan berjisim kira-kira 1 kg. Mempunyai kamera, termometer, dan akselerometer (accelerometer). Mempunyai LED optikal dan ultraungu untuk mengesan partikel debu yang terapung.
Ketiga-tiga kenderaan dari MINERVA-II mempunyai kemampuan untuk melakukan lompatan di atas asteroid tersebut bagi mengumpul maklumat dari kawasan permukaan yang berlainan pada astreroid Ryugu.
MASCOT – berukuran 29.5 cm x 27.5 cm x 19.5 cm. Mempunyai jisim sebanyak 9.6 kg. Mempunyai kamera sudut luas, radiometer, magnetometer, dan spektrometer inframerah. Akan melakukan lompatan ke 3 tempat pada permukaan asteroid [4].

3. Pemerhatian permukaan asteroid untuk memilih kawasan bagi mengumpul sampel permukaan, dan membuat kawah tiruan bagi mengumpul sampel bawah permukaan asteroid.

4. Hayabusa2 akan menyentuh permukaan asteroid dengan menggunakan corong silinder dan menembak projektil kecil bagi mengumpul sampel permukaan.

5. Dari ketinggian 500 meter dari asteroid, Hayabusa2 akan melepaskan bahan letupan kecil yang terdiri dari 2 kg ketulan tembaga yang akan menghentam permukaan asteroid dengan kelajuan 2 km per saat untuk membuat kawah tiruan. Sebuah kamera akan dipisahkan dari kapal angkasa Hayabusa2 untuk merakamkan hentaman tersebut ketika kapal angkasa bergerak ke posisi yang selamat. Hayubusa2 kemudian akan mengumpul sampel dari kawah tiruan yang terhasil dari hentaman tersebut untuk mengumpul sampel bawah permukaan asteroid.


Animasi misi mengumpul sampel permukaan dan bawah permukaan asteroid Ryugu oleh Hayabusa2
Kredit: JAXA [7]

 

Peralatan pada kapal angkasa Hayabusa2
Peralatan pada kapal angkasa Hayabusa2
Kredit: JAXA [8]

[https://mybit.my/ms/?p=1633]

Kredit gambar: German Aerospace Center (DLR) [0]

 

Rujukan:

[0] On the trail of a near-Earth asteroid – the Hayabusa2 spacecraft and MASCOT lander reach Ryugu: https://www.dlr.de/dlr/en/desktopdefault.aspx/tabid-10081/151_read-28629#/gallery/31190

[1] http://www.hayabusa2.jaxa.jp/mission/process/

[2] Hayabusa2 Rendezvous with Ryugu: http://global.jaxa.jp/press/2018/06/20180627_hayabusa2.html

[3] http://www.jaxa.jp/projects/sat/hayabusa2/pdf/sat33_fs_20.pdf

[4] Hayabusa2/MASCOT at a glance – Technical specifications and mission timeline: https://www.dlr.de/dlr/en/desktopdefault.aspx/tabid-10977/1757_read-24573/

[5] https://ssd.jpl.nasa.gov/sbdb.cgi?sstr=2162173

[6] http://adsabs.harvard.edu/cgi-bin/bib_query?bibcode=2014ChA&A..38..317L

[7] https://www.youtube.com/watch?v=OR-vN1xyfF0

[8] http://global.jaxa.jp/projects/sat/hayabusa2/pdf/Hayabusa2_Press20180614e.pdf

[9] https://www.youtube.com/watch?v=5shnvTgXPBg

Anda Mungkin Juga Berminat

Prob BepiColombo memulakan perjalanan 7 tahun ke planet Utarid Kemas kini terakhir: 22 Oktober 2018, 4:40 PM   Tahun 2018 menyaksikan beberapa pelancaran roket membawa muatan ke orbit heliosentrik seperti ujian penerbangan roket Falcon Heavy membawa sebuah...
Malaysia akan menghantar eksperimen ke stesen angkasa ISS pada Februari 2019 Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) bakal menghantar eksperimen sains ke stesen angkasa antarabangsa, ISS pada Februari 2019. Sampel eksperimen tersebut te...
Pendaratan prob utama Hayabusa2 di asteroid Ryugu ditangguhkan sehingga 2019 Agensi angkasa Jepun, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) telah mengumumkan bahawa mereka akan menangguhkan pendaratan prob utama kapal angkasa Hayabusa2 di asteroid Ryugu. Pendaratan tersebut p...
Roket Epsilon membawa 7 satelit ke orbit Agensi angkasa Jepun, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA), telah melancarkan sebuah roket Epsilon dari Uchinoura Space Center, Jepun, pada 18 Januari 2019, 08:50:20 waktu Malaysia (09:50:20 wak...