Roket Soyuz ST-B / Fregat Berjaya Menghantar 4 Satelit O3b ke Orbit Sederhana Bumi

Kemas kini terakhir: 4:00 AM, 10 Mac 2018

Roket Soyuz ST-B bersama roket peringkat atas Fregat yang dioperasikan oleh Arianespace telah berjaya melancarkan 4 buah satelit O3b ke orbit sederhana bumi (medium earth orbit, MEO) [12]. Pelancaran telah dilakukan selepas 33 minit dari waktu asal pelancaran iaitu pada 1:10 AM, 10 Mac 2018 waktu Malaysia (2:10 PM, 9 Mac 2018 waktu tempatan) kerana faktor cuaca dan angin peringkat atas yang tidak mengizinkan.

 


Artikel Asal: Roket Soyuz ST-B / Fregat Akan Menghantar 4 Satelit O3b ke Orbit Sederhana Bumi

Arianespace, syarikat pelancaran angkasa Perancis akan melancarkan sebuah roket Soyuz ST-B / Fregat pada 12:37 AM 10 Mac 2018 waktu Malaysia (1:37 PM 9 Mac 2018 waktu tempatan). Roket Soyuz ST-B tersebut akan membawa 4 buah satelit O3b (O3b FM13 – O3b FM16) ke orbit sederhana bumi (medium earth orbit, MEO). Jendela pelancaran adalah segera dan tepat pada 12:37:06 AM waktu Malaysia (1:37:06 PM waktu tempatan). Roket tersebut akan dilancarkan dari Kompleks Pelancaran Soyuz (Soyuz Launch Complex / Ensemble de Lancement Soyouz, ELS) di Pusat Angkasa Guiana (Guiana Space Centre), Sinnamary, French Guiana [1]. French Guiana ialah sebuah rantau luar negara yang dimiliki oleh Perancis. French Guiana terletak di Amerika Selatan dan berkedudukan ke arah utara Brazil.


Tonton siaran langsung liputan pelancaran roket Soyuz ST-B / Fregat membawa 4 satelit O3b ke orbit sederhana bumi. Siaran langsung bermula 12:00 AM 10 Mac 2018 waktu Malaysia.
Kredit: Arianespace [8]

[https://mybit.my/ms/?p=1586]

Satelit O3b dimiliki oleh SES, syarikat komunikasi berasaskan satelit dari Luxembourg. O3b ialah konstelasi satelit di orbit sederhana bumi (medium earth orbit, MEO) sebagai tambahan kepada satelit komunikasi yang dioperasikan oleh SES pada orbit geopegun (geostationary orbit, GEO). Ketika kini, O3b sudah mempunyai 12 satelit (O3b FM1 – O3b FM12) yang berada di orbit sederhana bumi yang turut dilancarkan dengan menggunakan roket Soyuz ST-B bersama roket peringkat atas Fregat. 4 lagi satelit tambahan O3b (O3b FM17 – O3b FM20) dijangka dilancarkan pada tahun 2019 dengan menggunakan roket yang sama.

IKLAN

Konstelasi satelit O3b beroperasi pada orbit sederhana bumi yang mempunyai orbit bulat (circular) pada ketinggian kira-kira 8,063 km dengan kecondongan 0°. Berbanding dengan satelit komunikasi yang berada di orbit geopegun yang berketinggian 35,786 km, satelit komunikasi di orbit sederhana bumi menawarkan kependaman rangkaian (network latency) yang lebih rendah.

4 satelit O3b dipasang pada roket peringkat atas Fregat
4 satelit O3b dipasang pada roket peringkat atas Fregat
Kredit: Arianespace [9]

 

Sebuah satelit O3b mempunyai jisim 700 kg dan mempunyai dimensi 7.72 meter x 3.2 meter x 1.7 meter. Satelit O3b mempunyai 12 transponder jalur Ka yang mempunyai antera boleh gerak. Satelit tersebut mempunyai pendorong (propulsion) yang menggunakan bahan dorong mono jenis hidrazina (hydrazine monopropellant). Pendorong ini digunakan oleh satelit untuk pemeliharaan posisi satelit (station-keeping), pembetulan, atau perubahan pada orbit satelit jika perlu. Satelit O3b mempunyai jangka hayat operasi selama kira-kira 10 tahun.

Satelit O3b dibina dan dibekalkan oleh Thales Alenia Space [4]. Satelit O3b generasi baru yang dijangka akan dilancarkan pada tahun 2021 akan dibekalkan oleh Boeing Satellite Systems [3]. 

Roket yang digunakan untuk pelancaran ini adalah kenderaan pelancar pakai buang (expendable launch vehicle, ELV) iaitu roket Soyuz ST-B bersama roket peringkat atas Fregat. Roket Soyuz ST-B digunakan oleh Arianespace sebagai kenderaan pelancar sederhana (medium-lift launch vehicle). Arianespace mempunyai roket jenis Ariane 5 yang digunakan sebagai kenderaan pelancar berat (heavy-lift launch vehicle) yang digunakan untuk muatan yang berjisim lebih tinggi atau orbit sasaran yang lebih tinggi. Untuk kenderaan pelancar kecil (small-lift launch vehicle), Arianespace menggunakan roket Vega yang menggunakan bahan dorong pepejal (solid propellant).

Roket Soyuz yang dioperasikan oleh Arianespace
Roket Soyuz yang dioperasikan oleh Arianespace
Kredit: Arianespace [10]

[https://mybit.my/ms/?p=1586]

Roket Soyuz ST-B adalah roket dari keluarga Soyuz yang dibekalkan khas oleh Roscosmos untuk Arianespace [5]. Roket Soyuz ST-B diubah suai untuk membolehkan ia beroperasi dari French Guiana yang mempunyai iklim tropika berbanding Kazakhstan atau Rusia yang lebih sejuk. Tidak seperti roket Soyuz yang dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, atau Plesetsk Cosmodrome dan Vostochny Cosmodrome di Rusia, roket Soyuz ST-B menggunakan beberapa komponen yang tidak dibekalkan oleh Rusia seperti penyesuai muatan (payload adapter) yang dibekalkan oleh EADS-CASA dari Sepanyol atau dispenser muatan (payload dispenser) yang dibekalkan oleh EADS-Astrium dari Perancis atau RUAG dari Sweden/Switzerland.

Roket Soyuz ST-B adalah setinggi 46.2 meter. Roket Soyuz ST-B mempunyai 3 peringkat dan digunakan bersama roket Fregat sebagai roket peringkat atas / peringkat keempat.

Peringkat pertama roket Soyuz ST-B terdiri dari 4 roket penggalak (booster) yang dipasang disekeliling roket teras (central core). 4 roket panggalak ini menggunakan enjin RD-107A yang menggunakan bahan bakar kerosin gred roket (RP-1) dan oksigen cecair (LOX) sebagai bahan pengoksida. Roket penggalak ini mempunyai tempoh pembakaran selama kira-kira 118 saat sebelum dipisahkan dari roket utama.

Peringkat kedua roket Soyuz ST-B terdiri dari satu roket teras yang menggunakan enjin RD-108A. Roket ini turut menggunakan bahan bakar kerosin gred roket (RP-1) dan oksigen cecair (LOX) sebagai bahan pengoksida. Roket teras ini mempunyai tempoh pembakaran selama kira-kira 286 saat. Roket teras dan 4 roket penggalak dihidupkan serentak di pad pelancaran kira-kira 20 saat sebelum berlepas.

Roket Soyuz di tapak pelancaran sebelum dipasang roket peringkat atas Fregat
Roket Soyuz di tapak pelancaran sebelum dipasang roket peringkat atas Fregat
Kredit: Roscosmos [11]

 

Peringkat ketiga roket Soyuz ST-B terdiri dari 1 roket berukuran 6.7 meter. Roket ini menggunakan enjin RD-0124 yang turut menggunakan bahan bakar kerosin gred roket (RP-1) dan oksigen cecair (LOX) sebagai bahan pengoksida. Roket ini mempunyai tempoh pembakaran selama kira-kira 270 saat. Berbeza dengan kebanyakkan roket pelancar lain, roket peringkat ketiga Soyuz berpisah dari roket peringkat bawah ketika enjin roket peringkat bawah masih hidup. Kaedah ini dikenali sebagai “hot staging”. Kaedah ini membolehkan roket meneruskan perjalanan ke orbit tanpa kehilangan daya pecutan (tujuan utama adalah untuk memastikan bahan bakar cecair berada pada kedudukan yang betul / tidak berkocak). Kaedah “hot staging” ini turut digunakan ketika pelancaran angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (International Space Station, ISS) dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan yang turut menggunakan roket Soyuz.

Roket peringkat atas Fregat digunakan sebagai roket peringkat keempat. Roket Fregat menggunakan bahan bakar cecair hipergolik “unsymmetrical dimethylhydrazine” (UDMH) dan “dinitrogen tetroxide / nitrogen tetroxide” (N2O4). Bahan bakar jenis hipergolik akan terbakar apabila bercampur dan boleh disimpan pada suhu bilik, berbeza dengan bahan bakar roket cecair lain seperti hidrogen cecair (LH2) atau bahan pengoksida oksigen cecair (LOX) yang memerlukan penyejukan yang berterusan. Namun begitu, bahan bakar hipergolik mempunyai ketoksikan yang tinggi. Enjin roket S5.92 pada Fregat boleh dihidupkan kembali sehingga 20 kali. Ini membolehkan roket peringkat atas Fregat melakukan misi yang kompleks seperti meletakkan beberapa muatan di beberapa orbit yang berlainan.

Untuk misi ini, Ariancespace menggunakan reraut muatan (payload fairing) ST. Reraut muatan ini mempunyai ukuran diameter luaran sepanjang 4.1 meter dan panjang sebanyak 11.4 meter.

Untuk misi ini, roket Soyuz ST-B bersama roket peringkat atas Fregat akan menghantar muatan ke orbit sasaran yang bulat (circular) berketinggian 7,830 km dengan kecondongan sebanyak 0.04º.

[https://mybit.my/ms/?p=1586]

Garis Masa Misi

 

Masa (JAM/MINIT/SAAT) Peristiwa
-00:00:16 Penyalaan enjin
-00:00:14 Tahap tujah awal
-00:00:01 Tahap tujah penuh
00:00:00 Pelancaran
00:01:58 4 roket panggalak (booster) dipisahkan
00:03:55 Reraut muatan (payload fairing) dibuang
00:04:47 Perpisahan roket teras (peringkat kedua)
00:09:23 Perpisahan roket peringkat ketiga
00:10:23 Fregat dihidupkan untuk kali pertama
00:14:23 Fregat dimatikan untuk kali pertama
00:22:50 Fregat dihidupkan untuk kali kedua
00:31:26 Fregat dimatikan untuk kali kedua
01:52:45 Fregat dihidupkan untuk kali ketiga
01:57:51 Fregat dimatikan untuk kali ketiga
02:01:11 2 satelit O3b dilepaskan
02:16:11 Fregat dihidupkan untuk kali keempat
02:16:28 Enjin Fregat dimatikan
02:22:51 2 lagi satelit O3b dilepaskan
04:57:00 Misi Arianespace tamat

 

Profil misi untuk roket Soyuz ST-B
Profil misi untuk roket Soyuz ST-B

 

Profil misi untuk roket peringkat atas Fregat
Profil misi untuk roket peringkat atas Fregat
Kredit: Arianespace [1]

 

Kegagalan Separa Ketika Pelancaran Terdahulu

Pada 25 Januari 2018, Arianespace telah melancarkan sebuah roket Ariane 5 dari Pusat Angkasa Guiana (Guiana Space Centre). Muatan yang dibawa adalah satelit SES-14 (bersama muatan GOLD dari NASA) dan Al Yah 3 yang beroperasi di orbit geopegun (geostationary orbit, GEO). Orbit sasaran untuk misi tersebut ialah orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) yang berukuran 250 km x 45,000 km dengan kecondongan 3º.

Walaupun misi tersebut telah melepaskan kedua-dua muatan pada orbit yang berukuran kira-kira 249 km x 45,234 km (sangat hampir dan tepat dengan orbit sasaran), namun kecondongan orbit adalah 20º [6]. Menurut siaran akhbar Arianespace [6], kegagalan tersebut adalah akibat dari nilai yang salah pada 2 sistem rujukan inertia (inertial reference systems) pada roket Ariane 5 yang digunakan. Nilai azimut yang digunakan ialah 70º berbanding nilai 90º yang sepatutnya digunakan. Hal ini menyebabkan anjakan sebanyak 20º ke selatan pada trajektori roket sejurus roket meninggalkan pad pelancaran.

Walaupun mengalami kegagalan separa, kedua-dua muatan telah berada dalam keadaan yang selamat, namun akan mengambil masa yang lebih lama untuk bergerak ke orbit operasi. Kedua-dua satelit dijangka akan menggunakan bahan bakar simpanan untuk membuat pembetulan pada orbit terutamanya pada kecondongan orbit tersebut.

Oleh kerana Pusat Angkasa Guiana berada hampir dengan garisan khatulistiwa (latitud 5° utara), maka pelancaran ke orbit geopegun sepatutnya boleh dilakukan hampir kepada kecondongan orbit 0º. Tapak pelancaran lain seperti Kompleks Pelancaran Angkasa di Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat yang berada pada latitud 28° utara mempunyai kesukaran untuk menghantar muatan terus ke orbit berkecondongan hampir 0º. Oleh itu, satelit yang perlu beroperasi pada orbit geopegun yang mempunyai kecondongan 0º perlu menggunakan bahan bakar sendiri untuk melakukan pembetulan kecondongan orbit.

Pembetulan kecondongan orbit setelah muatan berada di orbit adalah satu pergerakan yang membebankan dan memerlukan ∆v (delta-v) yang tinggi (ringkasnya, bahan bakar yang banyak). Jika roket pelancar dapat membantu menghantar muatan hampir ke kecondongan orbit operasi, satelit tidak perlu menggunakan bahan bakarnya sendiri untuk melakukan perubahan pada kecondongan orbit sekaligus memanjangkan jangka hayat operasi satelit.

Walaupun mengalami kegagalan separa, ia tidak menghalang Arianespace untuk melakukan misi O3b ini.

[https://mybit.my/ms/?p=1586]

Sejarah kemas kini:

4:00 AM, 10 Mac 2018 – misi pelancaran berjaya

 

Kredit gambar: Roscosmos [0]

 

Rujukan:

[0] https://www.facebook.com/Roscosmos/photos/pcb.2056992124555464/2056991834555493/?type=3&theater

[1] http://www.arianespace.com/wp-content/uploads/2018/02/VS18-launchkit-EN-2.pdf

[2] http://space.skyrocket.de/doc_sdat/o3b-13.htm

[3] SES opens new era in global connectivity with O3b mPOWER: https://www.ses.com/press-release/ses-opens-new-era-global-connectivity-o3b-mpower

[4] THALES ALENIA SPACE TO BUILD EIGHT MORE SATELLITES TO GROW THE O3B CONSTELLATION: https://www.thalesgroup.com/en/worldwide/space/press-release/thales-alenia-space-build-eight-more-satellites-grow-o3b-constellation

[5] http://www.arianespace.com/wp-content/uploads/2015/09/Soyuz-Users-Manual-March-2012.pdf

[6] Independent Enquiry Commission announces conclusions concerning the launcher trajectory deviation during Flight VA241: http://www.arianespace.com/press-release/independent-enquiry-commission-announces-conclusions-concerning-the-launcher-trajectory-deviation-during-flight-va241/

[7] Flight VA241: Arianespace to launch SES-14 and Al Yah 3 for SES and Yahsat to serve their ambitious goals: http://www.arianespace.com/press-release/flight-va241-arianespace-to-launch-ses-14-and-al-yah-3-for-ses-and-yahsat-to-serve-their-ambitious-goals/

[8] Arianespace VS18 – Live Launch (EN): https://www.youtube.com/watch?v=UHHxPjp_Fsg

[9] SOYUZ FLIGHT VS18: http://www.arianespace.com/mission/soyuz-vs18/

[10] http://www.arianespace.com/wp-content/uploads/2015/10/Soyuz-Flyer-Oct2015.pdf

[11] https://www.facebook.com/Roscosmos/photos/pcb.2056992124555464/2056991877888822/?type=3&theater

[12] https://twitter.com/arianespaceceo/status/972196220075732994

Anda Mungkin Juga Berminat

2 Pelancaran Dalam Tempoh 15 Minit: Arianespace: 4 Satelit Galileo; SpaceX: 10 Satelit Iridium NEXT Kemas kini terakhir: 2018-07-25 14:15   Pada 25 Julai 2018, benua Amerika akan menyaksikan 2 pelancaran roket ke angkasa, masing-masing kurang dari 15 minit antara satu sama lain. Kedua-dua pel...
China Menambah 2 Satelit Navigasi BeiDou di Orbit, Roket Jatuh Berhampiran Rumah Penduduk Pada 1:03PM 12 Februari 2018 waktu Malaysia, Perbadanan Sains dan Teknologi Aeroangkasa China (China Aerospace Science and Technology Corporation, CASC) telah berjaya melancarkan roket Long March 3B d...
Roket Ariane 5 ES Hantar 4 Satelit Sistem Navigasi Galileo ke Orbit Sebuah roket Ariane 5 ES telah dilancarkan dari pad Ensemble de Lancement Ariane 3 (ELA-3) di Guiana Space Centre, Kourou, French Guiana, pada 25 Julai 2018, jam 19:25:01 waktu Malaysia (jam 08:25:01 ...
Roket Long March 3B menghantar 2 satelit sistem navigasi BeiDou ke orbit Sebuah roket Long March 3B bersama roket peringkat atas Yuanzheng-1 telah dilancarkan dan meletakkan 2 lagi satelit untuk kegunaan sistem navigasi satelit BeiDou. 2 buah satelit tersebut ialah BeiDou-...