Roket Falcon 9 SpaceX Berjaya Melancarkan Satelit Komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6 (Hispasat 1F), Pendaratan Tidak Dilakukan Kerana Laut Bergelora

Kemas kini terakhir: 6:00 AM, 7 Mac 2018

SpaceX telah berjaya melancarkan roket Falcon 9 dan menghantar sebuah satelit komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6, ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO). Roket Falcon 9 itu telah dilancarkan tepat pada 1:33 PM, 6 Mac 2018 waktu Malaysia (12:33 AM, 6 Mac 2018 waktu tempatan) dari Kompleks Pelancaran Angkasa 40 (Space Launch Complex 40, SLC-40). Pelancaran ini adalah pelancaran ke-50 untuk roket Falcon 9, dan pelancaran ke-30 SpaceX dari SLC-40.

Selepas berpisah dari roket peringkat pertama, roket peringkat kedua Falcon 9 membawa muatan ke orbit singgah. Pembakaran untuk ke orbit singgah (parking orbit) dilakukan oleh enjin Merlin 1D Vacuum pada roket peringkat kedua Falcon 9 tersebut selama 6 minit. Selepas melalui fasa peluncuran (coasting phase) hampir 18 minit, enjin roket peringkat kedua dihidupkan kembali selama 55 saat untuk mengubah orbit dari orbit singgah ke orbit pindah geopegun. Satelit Hispasat 30W-6 dilepaskan ke orbit pindah geopegun kira-kira 36 minit selepas berlepas dari tapak pelancaran. Kejayaan misi tersebut telah disahkan apabila pembuat satelit Hispasat 30W-6, SSL, menerima signal dari satelit tersebut setelah satelit dilepaskan ke orbit [16].

Roket Falcon 9 bersama satelit Hispasat 30W-6 berlepas dari SLC-40
Roket Falcon 9 bersama satelit Hispasat 30W-6 berlepas dari SLC-40
Kredit: SpaceX [13]

 

Satelit Hispasat 30W-6 dilepaskan ke orbit dari roket peringkat kedua Falcon 9
Satelit Hispasat 30W-6 dilepaskan ke orbit dari roket peringkat kedua Falcon 9
Kredit: SpaceX [13]

 

IKLAN

Roket Falcon 9 tersebut adalah roket baharu dari versi Block 4. Walaupun telah dipasang sirip grid titanium dan kaki pendaratan, SpaceX tidak dapat mendaratkan kembali roket peringkat pertama di atas kapal tongkang ‘Of Course I Still Love You’ kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan di lautan Atlantik.

“Ombak sehingga 8 meter, atau 26 kaki ketinggian, menghapuskan kebarangkalian untuk mendapat kembali (roket peringkat pertama), dan kami tinggalkan kapal dron kami, ‘Of Course I Still Love You’, di pelabuhan,” menurut John Insprucker, jurutera integrasi utama SpaceX yang mengulas pelancaran tersebut. Namun, roket peringkat pertama Falcon 9 itu telah melakukan pembakaran kemasukan (entry burn) dan pembakaran pendaratan (landing burn) yang telah diprogramkan seperti rancangan pendaratan asal menurut John Insprucker lagi.

Objek di orbit dari pelancaran tersebut telah diberi pengenalan 2018-023A (184 km x 22,261 km x 26.97°) dan 2018-023C (186 km x 22,215 km x 26.92°) [17]. Ini menunjukkan orbit yang dicapai adalah dibawah ketinggian orbit “supersynchronous” sebagaimana yang biasa dilakukan oleh SpaceX untuk misi ke orbit geopegun (geostationary orbit, GEO). Prestasi sebegini adalah dijangka kerana satelit Hispasat 30W-6 adalah antara satelit berjisim tertinggi (6,092 kg) yang dilancarkan oleh SpaceX ke orbit pindah geopegun, malah roket peringkat pertama Falcon 9 telah menyimpan bahan bakar untuk melakukan pembakaran kemasukan (entry burn) dan kebakaran pendaratan (landing burn).

 


Tonton rakaman penuh siaran langsung liputan pelancaran roket Falcon 9 membawa satelit Hispasat 30W-6 ke orbit pindah geopegun
Kredit: SpaceX [13]

 


Artikel Asal

Kemas kini: 8:45 AM, 6 Mac 2018

SpaceX telah mengesahkan bahawa mereka tidak akan cuba untuk mendaratkan kembali roket peringkat pertama untuk pelancaran roket Falcon 9 kali ini. Ini kerana keadaan cuaca buruk di lautan Atlantik di sekitar kawasan pendaratan [11]. Keadaan lautan yang terlalu bergelora tidak membenarkan SpaceX mendaratkan kembali roket peringkat pertama Falcon 9 di atas kapal tongkang “Of Course I Still Love You”. Ramalan cuaca di tapak pelancaran ketika pelancaran adalah 90% diluar kekangan cuaca [14]. Sekiranya SpaceX membatalkan pelancaran pada 6 Mac 2018, peluang pelancaran seterusnya ialah pada 7 Mac 2018 jam yang sama. Ramalan cuaca untuk jendela pelancaran 7 Mac ialah 40% diluar kekangan cuaca.

Kekuatan angin di lautan Atlantik
Kekuatan angin di lautan Atlantik
Kredit: Stormsurf [12]

 

Walaupun roket peringkat pertama Falcon 9 tersebut tidak akan melakukan pendaratan kembali, sirip grid titanium dan kaki pendaratan masih terpasang pada roket peringkat pertama.

 

Garis Masa Misi

Masa (JAM:MINIT:SAAT) Peristiwa
00:00:00 Roket Falcon 9 bersama satelit Hispasat 30W-6 (Hispasat 1F) berlepas dari tapak pelancaran
00:01:18 Roket mengalami tekanan mekanikal tertinggi (maximum dynamic pressure, Max Q)
00:02:35 Enjin roket peringkat pertama dimatikan (main engine cutoff (MECO))
00:02:37 Roket peringkat pertama dan kedua berpisah
00:02:39 Enjin roket peringkat kedua dihidupkan
00:03:39 Reraut muatan (payload fairing) dibuang
00:08:39 Enjin roket peringkat kedua dimatikan untuk kali pertama (2nd stage engine cutoff (SECO-1))
00:26:38 Enjin roket peringkat kedua dihidupkan semula
00:27:33 Enjin roket peringkat kedua dimatikan (2nd stage engine cutoff (SECO-2))
00:32:51 Satelit Hispasat 30W-6 dilepaskan

Artikel Asal: Roket Falcon 9 SpaceX Akan Melancarkan Satelit Komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6 (Hispasat 1F)

SpaceX akan menggunakan sebuah roket Falcon 9 v1.2 dari Block 4 yang baharu (B1044.1) untuk melancarkan sebuah satelit komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6 (Hispasat 1F). Pelancaran ini dirancang untuk dilakukan bermula 1:33 PM, 6 Mac 2018 waktu Malaysia (12:33 AM, 6 Mac 2018 waktu tempatan). Jendela pelancaran (launch window) adalah selama 2 jam bermula 1:33 PM sehingga 3:33 PM waktu Malaysia (12:33 AM sehingga 2:33 AM waktu tempatan). Pelancaran boleh berlaku bila-bila masa dalam tempoh jendela pelancaran tersebut. Siaran langsung liputan pelancaran boleh ditonton pada laman YouTube [7] dan Facebook [8] SpaceX bermula kira-kira 15 minit sebelum pelancaran.

Roket Falcon 9 ialah sebuah roket yang mempunyai tinggi sebanyak 70 meter. Kedua-dua roket peringkat pertama dan peringkat kedua Falcon 9 menggunakan bahan bakar kerosin gred roket (RP-1) dan oksigen cecair (LOX) sebagai bahan pengoksida.

Roket tersebut akan dilancarkan dari Kompleks Pelancaran Angkasa 40 (Space Launch Complex 40, SLC-40) di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat. SpaceX dijangka akan mendaratkan kembali roket peringkat pertama Falcon 9 tersebut di atas kapal tongkang sokongan “Autonomous Spaceport Drone Ship” (ASDS) yang diberi nama “Of Course I Still Love You” di lautan Atlantik [1]. Enjin roket telah diuji ketika nyalaan statik (static fire) pada 22 Februari 2018 lepas.

Gambaran artis: satelit Hispasat 30W-6 (Hispasat 1F)
Gambaran artis: satelit Hispasat 30W-6 (Hispasat 1F)
Kredit: Hispasat [2]

[https://mybit.my/ms/?p=1560]

Satelit Hispasat 30W-6 (Hispasat 1F) ialah sejenis satelit komunikasi dan akan digunakan untuk menggantikan satelit Hispasat 1D sedia ada. Satelit tersebut akan beroperasi pada orbit geopegun (geostationary orbit, GEO) yang berketinggian kira-kira 35,786 km di slot 30º barat [2]. Satelit itu dijangka mempunyai jisim sebanyak 6,092 kg ketika pelancaran [3]. Satelit Hispasat 30W-6 adalah satelit pelbagai misi yang mempunyai 40 transponder untuk jalur Ku, 10 transponder jalur C, dan 7 transponder alur sorot (spot beam) untuk jalur Ka. Satelit itu akan membekalkan liputan dari Eropah, utara Afrika, Kanada, Amerika Syarikat, dan Amerika Selatan. Hispasat 30W-6 dijangka mempunyai jangka hayat perkhidmatan selama 15 tahun.

Antara perkara menarik mengenai pelancaran ini ialah pandaratan kembali roket peringkat pertama Falcon 9. Jika SpaceX berjaya mendaratkan kembali roket peringkat pertama Falcon 9 tersebut, maka satelit Hispasat 30W-6 akan menjadi muatan berjisim paling tinggi (6,092 kg) untuk misi ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) dan berjaya melakukan pendaratan kembali roket peringkat pertama. Roket peringkat pertama Falcon 9 itu turut dipasang sirip grid titanium yang mempunyai kuasa kawalan (control authority) dan lebih tahan untuk kemasukan kembali ke atmosfera yang pantas berbanding sirip grid aluminium.

Setakat ini, misi yang mempunyai jisim muatan tertinggi untuk misi ke orbit pindah geopegun dan berjaya melakukan pendaratan roket peringkat pertama Falcon 9 ialah misi SES-10 pada Mac 2017 (5,281 kg). Sebelum ini, terdapat beberapa misi bertenaga tinggi menggunakan roket Falcon 9 ke orbit pindah geopegun yang mempunyai muatan berjisim tinggi dimana roket peringkat pertama tidak didaratkan kembali seperti Intelsat-35e pada Julai 2017 (6,761 kg), Inmarsat-5 F4 pada Mei 2017 (6,086 kg), dan Echostar-23 pada Mac 2017 (kira-kira 5,500 kg) [4].

Kapal tongkang sokongan Autonomous Spaceport Drone Ship (ASDS) SpaceX, Of Course I Still Love You
Kapal tongkang sokongan “Autonomous Spaceport Drone Ship” (ASDS) SpaceX, “Of Course I Still Love You”
Kredit: SpaceX [9]

[https://mybit.my/ms/?p=1560]

Untuk ke orbit, roket perlu membina halaju mendatar disamping bergerak ke atas, termasuklah melakukan perubahan pada kecondongan orbit. Untuk membina halaju yang lebih tinggi (untuk mencapai orbit yang lebih tinggi), pembakaran yang lebih lama perlu dilakukan.

Untuk membolehkan roket peringkat pertama Falcon 9 didaratkan kembali, roket tersebut perlu mempunyai bahan bakar yang cukup untuk melakukan pembakaran kemasukan (entry burn) dan pembakaran pendaratan (landing burn). Sebagaimana misi Falcon 9 sebelum ini, kebanyakkan misi ke orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO) adalah misi bertenaga rendah (roket peringkat pertama melakukan pembakaran pendek). Ini membolehkan roket peringkat pertama Falcon 9 tersebut melakukan pembakaran “boostback” untuk membolehkan roket itu berpusing dan melakukan pendaratan kembali ke tapak pelancaran. Misi ke orbit pindah geosegerak (geosynchronous transfer orbit, GTO) pula tidak mempunyai bahan bakar yang cukup untuk melakukan pembakaran “boostback” dan didaratkan di lautan dimana pembakaran “boostback” tidak perlu dilakukan. Ini kerana misi ke orbit yang lebih tinggi seperti orbit pindah geosegerak memerlukan roket peringkat pertama melakukan pembakaran yang lebih lama (misi bertenaga tinggi).

Kebanyakkan orbit pindah geosegerak untuk misi Falcon 9 adalah sejenis “supersynchronous orbit” kerana apogi (apogee, orbit tertinggi) adalah melebihi ketinggian orbit geosegerak (35,786 km). Sebagai contoh, Intelsat-35e (296 km x 42,742 km x 25.85°), Inmarsat-5 F4 (385 x 70,134 km x 24.52°), dan Echostar-23 (179 x 35,903 km x 22.43°). Orbit “supersynchronous” membolehkan satelit menggunakan bahan bakar yang lebih sedikit untuk melakukan perubahan pada kecondongan orbit dan bergerak ke orbit geopegun berbanding dengan orbit pindah geosegerak biasa [5].

Trajektori dan perbandingan misi Falcon 9 dan Falcon Heavy
Trajektori dan perbandingan misi Falcon 9 dan Falcon Heavy
Kredit: veebay @ r/SpaceX [10]

[https://mybit.my/ms/?p=1560]

Jika roket Falcon 9 berjaya meletakkan muatan ke orbit pindah yang optimum dan mendaratkan kembali roket peringkat pertama dengan muatan berjisim tinggi, maka ini merupakan satu kejayaan besar untuk SpaceX. Terdapat beberapa spekulasi mengenai pendaratan untuk misi bertenaga tinggi kali ini sebagaimana yang terdapat di forum NasaSpaceFlight [6]. Antaranya:

– Roket Falcon 9 adalah dari Block IV biasa dan pelanggan menerima penghantaran satelit ke orbit yang lebih rendah dari orbit pindah geosegerak asal, kemungkinan dengan diskaun untuk pendaratan kembali roket peringkat pertama.
– Roket peringkat atas telah ditambah baik dan boleh membawa muatan ke orbit pindah geosegerak optimum walaupun roket peringkat pertama tidak melakukan pembakaran yang lama.
– Roket peringkat pertama Falcon 9 dinaik taraf ke Block 4.5 dimana roket peringkat pertama lebih cekap dan mempunyai bahan bakar yang cukup untuk melakukan pembakaran kemasukan (entry burn) yang lama walaupun melakukan misi bertenaga tinggi.
– Roket peringkat pertama Falcon 9 adalah dari Block 4 biasa, pembakaran kemasukan (entry burn) yang pendek akan dilakukan, sirip grid titanium akan membantu memperlahankan roket dengan seretan atmosfera. 

[https://mybit.my/ms/?p=1560]

Kredit gambar: SpaceX [0]

 

Sejarah kemas kini:

8:00 AM, 7 Mac 2018 – orbit awal

6:00 PM, 6 Mac 2018 – misi pelancaran berjaya

8:45 AM, 6 Mac 2018 – sirip grid titanium, kaki pendaratan roket

6:45 AM, 6 Mac 2018 – SpaceX tidak akan melakukan pendaratan roket peringkat pertama, garis masa peristiwa pelancaran, pautan YouTube siaran langsung liputan

 

Rujukan:

[0] https://www.facebook.com/SpaceX/photos/a.10150303260090131.563831.353851465130/10160623421080131/?type=3&theater

[1] Hispasat 30W-6 Launch Campaign Thread: https://www.reddit.com/r/spacex/comments/7r5pyn/hispasat_30w6_launch_campaign_thread/

[2] Hispasat 30W-6: https://www.hispasat.com/en/satellite-fleet/future-satellites/hispasat-30w-6

[3] Hispasat 30W-6 (Hispasat 1F): http://space.skyrocket.de/doc_sdat/hispasat-1f.htm

[4] launches/gto_performance: https://www.reddit.com/r/spacex/wiki/launches/gto_performance

[5] SpaceX Falcon 9 v1.1 – SES-8 Launch Updates: http://www.spaceflight101.net/spacex-falcon-9-v11-ses-8-launch-updates.html

[6] SpaceX Falcon 9 : Hispasat 30W-6 (1F) : March 1 2018 – DISCUSSION: https://forum.nasaspaceflight.com/index.php?topic=43435.msg1793307#msg1793307

[7] http://www.spacex.com/webcast

[8] SpaceX: https://www.facebook.com/SpaceX/

[9] Of Course I Still Love You: https://www.flickr.com/photos/spacex/18610429514/

[10] Falcon 9 and Falcon Heavy trajectories and comparisons: https://www.reddit.com/r/spacex/comments/7wlk5j/falcon_9_and_falcon_heavy_trajectories_and/

[11] http://www.spacex.com/sites/spacex/files/hispasat30w6_presskit.pdf

[12] MWx Pro Surf Report – North Atlantic: http://www.stormsurf.com/locals/natla.shtml

[13] HISPASAT 30W-6 Mission: https://www.youtube.com/watch?v=Kpfrp-GMKKM

[14] SpaceX Falcon 9 : Hispasat 30W-6 (1F) : March 6, 2018 – UPDATES: https://forum.nasaspaceflight.com/index.php?topic=44695.msg1795870#msg1795870

[15] https://twitter.com/_TomCross_/status/970794782632108033

[16] https://twitter.com/pbdes/status/970911765017055233

[17] https://twitter.com/Spaceflight101/status/971074423108358144

Anda Mungkin Juga Berminat

Malaysia akan menghantar eksperimen ke stesen angkasa ISS pada Februari 2019 Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) bakal menghantar eksperimen sains ke stesen angkasa antarabangsa, ISS pada Februari 2019. Sampel eksperimen tersebut te...
Roket Atlas V Berjaya Melancarkan Satelit Cuaca NASA, GOES-S Roket Atlas V membawa satelit GOES-S berlepas dari Kompleks Pelancaran Angkasa 41 Kredit: ULA   Roket Atlas V 541 telah berjaya dilancarkan dan menghantar satelit GOES-S ke orbit. Roket t...
SpaceX “melukis” “nebula” di langit dan mendaratkan roket di daratan untuk k... SpaceX telah melancarkan sebuah roket Falcon 9 dan menghantar sebuah satelit pemerhati Bumi milik Argentina, SAOCOM 1A ke orbit rendah Bumi. Roket tersebut telah dilancarkan dari pad pelancaran SLC-4E...
Roket Falcon 9 SpaceX Akan Melancarkan Satelit Pengintip Sepanyol, Paz Kemas kini terakhir: 12:40AM 22 Februari 2018   Pelancaran roket Falcon 9 untuk misi satelit Paz pada 10:17PM 21 Februari 2018 telah dibatalkan kerana keadaan angin altitud tinggi yang tidak ...