SpaceX Bakal Menguji Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Orbit Marikh

Siaran Langsung Penerbangan Demonstrasi Roket Falcon Heavy

SpaceX bakal menayangkan secara langsung penerbangan demonstrasi roket Falcon Heavy pada 2:30 AM 7 Februari 2018 [3] waktu Malaysia.

Penerbangan sulung roket Falcon Heavy ini akan menghantar sebuah kereta elektrik Tesla Roadster ke orbit planet Marikh sebagai demonstrasi penerbangan.

SpaceX juga akan cuba mendaratkan kembali ketiga-tiga teras roket peringkat pertama [7].

Waktu tepat roket dilancarkan masih belum diketahui kerana peluang pelancaran (launch window) adalah dari 2:30 AM hingga 5:30 AM pada 7 Februari 2018 waktu Malaysia (1:30 PM hingga 4:30 PM pada 6 Februari 2018 waktu tempatan [2]). Siaran langsung boleh ditonton di laman rasmi SpaceX di Facebook, atau dari YouTube rasmi SpaceX yang kami kepilkan di bawah.

 


Webcast rasmi ujian penerbangan Falcon Heavy oleh SpaceX [4]. Siaran lansung dijangka bermula kira-kira pada 2:00 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia.
Kredit: SpaceX

[https://mybit.my/ms/?p=474]

Falcon Heavy – Roket Paling Berkuasa Abad Ini

Sekiranya penerbangan sulung Falcon Heavy berjaya, Falcon Heavy akan dinobatkan sebagai roket paling berkuasa abad ini selepas persaraan roket Saturn V pada tahun 1973 [5].

Gambaran artis - penerbangan roket Falcon Heavy
Gambaran artis – penerbangan roket Falcon Heavy
Kredit: SpaceX [22]

IKLAN

 

Binaan roket Falcon Heavy adalah terdiri daripada 3 buah roket Falcon 9. 1 roket diubah suai menjadi lebih tahan lasak [12] berbanding Falcon 9 asal untuk dijadikan sebagai roket teras (center core), dan 2 lagi roket Falcon 9 ditambah sebagai roket sisi (side boosters) [6].

Dengan berat, atau lebih tepat lagi, jisim (mass) sebanyak 1,420,788 kg ketika di pad pelancaran, Falcon Heavy akan menjana tujahan sebanyak 22,819 kN (kilonewton) ketika dilancarkan (kapal terbang Airbus A320-200 mampu menjana tujahan maksimum kira-kira 240 kN [8]).

Roket ini mampu membawa muatan sebanyak 63,800 kg ke orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO) iaitu orbit dibawah 2,000 km, muatan sebanyak 26,700 kg ke geosynchronous transfer orbit, GTO, iaitu orbit sementara sebelum satelit melakukan pembetulan orbit dan bergerak ke orbit setinggi 35,786 km, dan 16,800 kg ke planet Marikh [6]. Sebagai perbandingan, roket paling berkuasa yang masih beroperasi pada masa sekarang iaitu Delta IV Heavy dari United Launch Alliance, ULA mempunyai kapasiti ke orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO) sebanyak 28,370 kg dan ke geosynchronous transfer orbit, GTO sebanyak 13,810 kg [9].

 


Animasi simulasi penerbangan roket Falcon Heavy
Kredit: SpaceX [22]

[https://mybit.my/ms/?p=474]

Kereta Pertama ke Angkasa Lepas?

Tesla Roadster berwarna merah milik Elon Musk akan dihantar ke orbit Marikh oleh roket Falcon Heavy
Tesla Roadster berwarna merah milik Elon Musk akan dihantar ke orbit Marikh oleh roket Falcon Heavy
Kredit: Elon Musk [25]

 

Pada 2 Disember 2017, Elon Musk, ketua pegawai eksekutif (CEO) SpaceX mengesahkan muatan yang akan digunakan untuk penerbangan pertama roket Falcon Heavy adalah kereta elektrik Tesla Roadster milik beliau [10].

Biasanya, penerbangan ujian atau demonstrasi pertama roket yang baru dibangunkan akan membawa keluli atau konkrit untuk mensimulasikan berat / jisim, namun SpaceX telah memutuskan untuk melancarkan sesuatu yang lebih unik, iaitu sebuah kereta Tesla Roadster berwarna merah.

Kereta ini akan dihantar ke angkasa untuk mengorbit matahari dimana orbit tertinggi kereta ini akan “menyentuh” orbit planet Marikh dan orbit terendah “menyentuh” orbit bumi [11].


Anggaran perjalanan kereta Tesla Roadster di angkasa
Kredit: Meithan West [27]

 

Untuk membolehkan kereta tersebut bertemu dan mengorbit planet Marikh, banyak perkara perlu diambil kira seperti kedudukan planet Marikh dan planet bumi ketika roket dilancarkan, dan trajektori roket. Jadi, lebih logik bagi SpaceX untuk melancarkan muatan ke orbit yang lebih mudah seperti orbit heliosentrik (mengorbit matahari). Lagi pun, untuk mengorbit Marikh, kereta tersebut memerlukan roket tambahan untuk memperlahankan halaju dari 11 km/s ketika meninggalkan bumi, kepada lebih rendah dari 5 km/s ketika tiba di planet tersebut. Ini adalah terlalu kompleks untuk penerbangan demonstrasi. Walau bagaimanapun, kereta tersebut dijangka mengorbit matahari selama berbilion tahun sekiranya roket itu berjaya dilancarkan.

[https://mybit.my/ms/?p=474]

Pendaratan dan Guna Semula Roket

Roket Falcon 9 dan Falcon Heavy adalah sebahagian daripada program pembangunan teknologi “sistem pelancaran yang boleh diguna semula” oleh SpaceX [13]. Malah, kedua-dua roket sisi (side boosters) untuk pelancaran demonstrasi Falcon Heavy ini adalah dari roket yang pernah digunakan dan didaratkan kembali. Roket-roket tersebut adalah dari misi Thaicom 8 pada bulan May 2016, dan Perkhidmatan Pembekalan Komersial 9 (Commercial Resupply Service 9, CRS-9) untuk Stesen Angkasa Antarabangsa pada Julai 2016 [18].

Sebelum ini, semua roket didunia tidak diguna kembali setelah menghantar muatan ke orbit kerana roket-roket tersebut tidak didaratkan dengan selamat kecuali kapal angkasa Buran oleh Kesatuan Soviet dan Space Shuttle oleh Amerika Syarikat [14]. Namun, kedua-dua kapal angkasa tersebut tidak lagi beroperasi.


Pembakaran boostback (boostback burn) oleh roket Falcon 9 pada ketinggian kira-kira 80 km ketika misi CRS-12 dan CRS-13
Kredit: SpaceX

 

Sehingga 6 Februari 2018, SpaceX telah berjaya mendaratkan roket peringkat pertama (first stage) Falcon 9 sebanyak 21 kali dari 26 percubaan.

SpaceX telah berjaya mendaratkan roket sebanyak 9 kali ke darat di Zon Pendaratan 1 (Landing Zone 1) di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Amerika Syarikat.

SpaceX juga memiliki 2 kapal autonomous spaceport drone ship (ASDS) yang diberi nama “Just Read the Instructions” dan “Of Course I Still Love You” [16]. Kedua-dua kapal ini digunakan untuk mendaratkan roket di laut. Kadang-kadang SpaceX perlu melakukan pendaratan di laut seperti misi yang dilancarkan dari Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California, dimana SpaceX tidak mempunyai pad pendaratan [17], ataupun misi yang memerlukan tenaga yang tinggi seperti pelancaran ke geosynchronous transfer orbit, GTO. Bagi pendaratan di laut, SpaceX berjaya mendaratkan roket sebanyak 12 kali dari 17 percubaan.

Pendaratan roket Falcon 9 di laut ketika misi CRS-8 dan pendaratan di darat untuk misi CRS-13
Kredit: SpaceX

 

Dengan menggunakan kembali roket, SpaceX boleh menawarkan harga yang lebih murah untuk pelancaran ke angkasa [15].

Untuk pelancaran pertama roket Falcon Heavy ini, SpaceX akan cuba mendaratkan kembali ketiga-tiga roket peringkat pertama setinggi 70 meter tersebut setelah roket-roket tersebut terbang pada ketinggian lebih dari 80 km. 2 roket sisi (side boosters) akan melakukan pendaratan kembali ke tapak pelancaran (return to launch site (RTLS) landings) dan roket teras tengah (center core) akan mendarat di atas kapal droneJust Read the Instructions” di laut Atlantik kira-kira 342 km dari tapak pelancaran [19]. Ketiga-tiga roket akan melakukan aksi “akrobatik” dengan berpusing di udara setelah berpisah dari roket teras (center core) dan roket peringkat kedua (second stage) sebelum memulakan pembakaran boostback (boostback burn) untuk mengubah hala tuju roket.

Perbandingan saiz dan ketinggian roket Falcon Heavy berbanding manusia

Perbandingan saiz dan ketinggian roket Falcon Heavy berbanding bangunan Tabung Haji
Perbandingan saiz dan ketinggian roket Falcon Heavy berbanding manusia dan bangunan Tabung Haji
Kredit: TomCross [28], Kaslan Blog [24] dan Wikipedia [26]

[https://mybit.my/ms/?p=474]

Anggaran Garis Masa Misi

Jam:Minit:Saat Peristiwa
00:01:06 Max Q (situasi roket mengalami tekanan mekanikal tertinggi)
00:02:29 Enjin roket sisi (side boosters) dimatikan / Booster Engine Cutoff (BECO)
00:02:33 Roket sisi (side boosters) dipisahkan dari roket teras (center core)
00:02:50 Roket sisi memulakan pembakaran boostback (boostback burn) untuk mengubah hala tuju roket kembali ke tapak pelancaran
00:03:04 Enjin roket teras (center core) dimatikan / Main Engine Cutoff (MECO)
00:03:07 Roket teras (center core) dan roket peringkat kedua (second stage) berpisah
00:03:15 Enjin roket peringkat kedua (second stage) dihidupkan
00:03:24 Roket teras (center core) memulakan pembakaran boostback (boostback burn)
00:03:49 Reraut muatan dibuka
00:06:41 Roket sisi (side boosters) memulakan pembakaran masuk (entry burn) untuk memperlahankan kelajuan roket
00:06:47 Roket teras (center core) memulakan pembakaran masuk (entry burn) untuk memperlahankan kelajuan roket
00:07:58 Roket sisi (side booster) memulakan pembakaran pendaratan (landing burn) dan mendarat di Zon Pendaratan 1 dan Zon Pendaratan 2 di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral
00:08:19 Roket tengah (center core) memulakan pembakaran pendaratan (landing burn) dan mendarat di atas kapal droneJust Read the Instructions” di laut Atlantik kira-kira 342 km dari tapak pelancaran
00:08:31 Enjin roket peringkat kedua dimatikan / second stage engine cutoff (SECO-1)
00:28:22 Enjin roket peringkat kedua (second stage) dimulakan kembali untuk meletakkan muatan mengelilingi bumi dengan orbit sementara yang stabil
00:28:52 Enjin roket peringkat kedua dimatikan / second stage engine cutoff (SECO-2). Roket memasuki fasa peluncuran (coasting phase)
~ 06:00:00 Misi diteruskan setelah mencuba fasa peluncuran (coasting phase) yang lama. Roket akan memulakan pembakaran ketiga untuk meletakkan muatan ke trajektori pelepasan bumi (earth escape trajectory) seterusnya menghantar kereta Tesla Roadster ke orbit Marikh [20]

 

Selain menguji roket Falcon Heavy, misi ini juga akan menguji roket peringkat kedua (upper stage) dengan melakukan fasa peluncuran (coasting phase) yang lama iaitu 6 jam. Fasa selama 6 jam ini adalah dua kali lebih lama berbanding fasa peluncuran (coasting phase) yang dilakukan oleh SpaceX sebelum ini. Ujian ini penting untuk menguji roket peringkat kedua (upper stage) mempunyai kapasiti bateri yang terhad, menguji ketahanan enjin, tangki oksigen cecair dan tangki bahan bakar roket ketika berada lama di angkasa.

[https://mybit.my/ms/?p=474]

Rancangan Selepas Falcon Heavy

Sehari sebelum penerbangan pertama roket Falcon Heavy, Elon Musk memberitahu wartawan bahawa roket Falcon Heavy berkemungkinan besar tidak akan digunakan untuk membawa manusia ke angkasa [21].

“Apa yang telah kami putuskan secara dalaman adalah untuk memberi fokus kepada pembangunan masa hadapan kami keatas BFR,” kata beliau dengan merujuk kepada Big Falcon Rocket (BFR) iaitu roket yang boleh diguna semula sepenuhnya. Big Falcon Rocket (BFR) diumumkan oleh Elon Musk ketika Kongres Astronautikal Antarabangsa di Mexico pada September 2016. Roket BFR ini masih dalam pembangunan dan belum dibina. Roket ini dirancang untuk membawa manusia ke bulan dan Marikh.

“Pembangunan BFR bergerak dengan cepat, jadi tiada keperluan Falcon Heavy memenuhi syarat untuk penerbangan angkasa lepas dengan krew,” kata beliau lagi sambil menambah SpaceX akan menumpukan fokus kepada pembangunan BFR berbanding pembangunan kapsul Crew Dragon untuk krew pada Falcon Heavy.

Gambaran artis - roket BFR di Marikh
Gambaran artis – roket BFR di Marikh
Kredit: SpaceX [23]

 

Kapsul Crew Dragon adalah kapsul yang ditambah baik dari kapsul Dragon. Kapsul Dragon hanya boleh membawa kargo tanpa manusia ke Stesen Angkasa Antarabangsa dan kapsul Crew Dragon ditambah baik untuk mempunyai ciri-ciri keselamatan agar sesuai membawa manusia ke angkasa. Buat masa sekarang, satu-satunya cara manusia ke Stesen Angkasa Antarabangsa dan pulang ke bumi adalah dengan menaiki kapal angkasa Soyuz dari Rusia.

Namun, Elon Musk tidak menolak untuk meneruskan penerbangan manusia ke angkasa menggunakan Falcon Heavy, tetapi hanya jika terdapat kelewatan dalam membangunkan Big Falcon Rocket (BFR). “Kami akan lihat bagaimana pembangunan BFR,” katanya lagi. “Jika ia mengambil masa yang lebih lama dari yang dirancang, kami akan kembali kepada idea menghantar Crew Dragon ke sekitar bulan di atas Falcon Heavy, dan berpotensi melakukan perkara lain dengan (penerbangan) (ber)krew di atas Falcon Heavy”.

 

Kredit gambar: Flickr rasmi SpaceX [0]

Rujukan:

[0] Falcon Heavy Demo Mission: https://www.flickr.com/photos/spacex/38583829295/

[1] https://www.instagram.com/p/BezcvpzAgYI/

[2] https://twitter.com/ChrisG_NSF/status/956964986353528832

[3] https://twitter.com/elonmusk/status/960366295362494464

[4] Falcon Heavy Test Flight:  https://www.youtube.com/watch?v=wbSwFU6tY1c

[5] What Was the Saturn V?: https://www.nasa.gov/audience/forstudents/5-8/features/nasa-knows/what-was-the-saturn-v-58.html

[6] Falcon Heavy: http://www.spacex.com/falcon-heavy

[7] SpaceX set to attempt history again with Falcon Heavy’s first flight: http://www.spaceflightinsider.com/organizations/space-exploration-technologies/spacex-set-to-make-history-again-with-falcon-heavy/

[8] Airbus A320 Series: https://www.skytamer.com/Airbus_A320.html

[9] DELTA IV: http://www.ulalaunch.com/Products_DeltaIV.aspx

[10] https://twitter.com/elonmusk/status/936782477502246912

[11] ELON MUSK: ON THE ROADSTER TO MARS: http://www.syfy.com/syfywire/elon-musk-on-the-roadster-to-mars

[12] What to know before SpaceX attempts to launch Falcon Heavy – Elon Musk’s most powerful rocket: https://www.cnbc.com/2018/02/05/spacex-falcon-heavy-inaugural-launch-elon-musks-most-powerful-rocket.html

[13] SpaceX reusable launch system development program: https://en.wikipedia.org/wiki/SpaceX_reusable_launch_system_development_program

[14] Reusable launch system: https://en.wikipedia.org/wiki/Reusable_launch_system

[15] REUSABILITY: THE KEY TO MAKING HUMAN LIFE MULTI-PLANETARY: http://www.spacex.com/news/2013/03/31/reusability-key-making-human-life-multi-planetary

[16] SpaceX Marine Fleet: https://www.reddit.com/r/SpaceX/wiki/asds

[17] SpaceX’s Launch and Landing Pads: https://www.reddit.com/r/SpaceX/wiki/pads

[18] Falcon Heavy Demo Launch Campaign Thread: https://www.reddit.com/r/spacex/comments/7hjp03/falcon_heavy_demo_launch_campaign_thread/

[19] Falcon Heavy Demonstration Mission: http://www.spacex.com/sites/spacex/files/falconheavypresskit_v1.pdf

[20] Elon Musk says the Falcon Heavy has a 50-50 chance of success: https://arstechnica.com/science/2018/02/at-the-pad-elon-musk-sizes-up-the-

[21] SpaceX no longer planning crewed missions on Falcon Heavy: http://spacenews.com/spacex-no-longer-planning-crewed-missions-on-falcon-heavy/

[22] Falcon Heavy Animation: https://www.youtube.com/watch?v=Tk338VXcb24

[23] Making Life Multiplanetary: http://www.spacex.com/mars

[24] UNDERSTANDING ISLAMIC ARCHITECTURE : THE SEVEN PRINCIPLES: http://al-blog-al-kaslan.blogspot.my/2012/12/understanding-islamic-architecture.html

[25] https://www.instagram.com/p/BezcvpzAgYI/

[26] https://en.wikipedia.org/wiki/File:Falcon_rocket_family4.svg

[27] Orbit of the Tesla Roadster to be launched by SpaceX’s Falcon Heavy: https://www.youtube.com/watch?v=w7BmM1nn3q8

[28] https://twitter.com/_TomCross_/status/960632799635169280

Anda Mungkin Juga Berminat

SpaceX bakal melakukan pendaratan roket “kembali ke tapak pelancaran” di pantai Barat AS Kemas kini terakhir: 7 Oktober 2018, 17:10   SpaceX bakal melakukan pendaratan "kembali ke tapak pelancaran" ("return to launch site", RTLS) roket peringkat pertama Falcon 9 di pantai Barat Ame...
Roket Falcon 9 SpaceX Akan Melancarkan Satelit Pengintip Sepanyol, Paz Kemas kini terakhir: 12:40AM 22 Februari 2018   Pelancaran roket Falcon 9 untuk misi satelit Paz pada 10:17PM 21 Februari 2018 telah dibatalkan kerana keadaan angin altitud tinggi yang tidak ...
Teleskop Angkasa Kepler Diletakkan Dalam Keadaan Hibernasi Kerana Hampir Kehabisan Bahan Api Pada awal bulan Julai 2018, agensi angkasa Amerika Syarikat, National Aeronautics and Space Administration (NASA) telah meletakkan kapal angkasa Kepler dalam keadaan hibernasi dan menghentikan cerapan...
2 Pelancaran Dalam Tempoh 15 Minit: Arianespace: 4 Satelit Galileo; SpaceX: 10 Satelit Iridium NEXT Kemas kini terakhir: 2018-07-25 14:15   Pada 25 Julai 2018, benua Amerika akan menyaksikan 2 pelancaran roket ke angkasa, masing-masing kurang dari 15 minit antara satu sama lain. Kedua-dua pel...