Roket H-IIA Melancarkan Satelit Pengintip Jepun, IGS-Optical 6

Kemas kini terakhir: 18:15 27 Februari 2018

Agensi angkasa Jepun, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) telah mengesahkan kejayaan misi IGS-Optical 6 [5].

Walaupun tiada liputan secara langsung rasmi disediakan oleh JAXA atau Mitsubishi Heavy Industries iaitu kontraktor utama roket H-IIA, pemberita yang berada di tapak media berhampiran tapak pelancaran telah melakukan liputan secara langsung, dan pengumuman dapat didengar melalui pembesar suara di tapak media tersebut.

Roket H-IIA dilancarkan tepat pada jam 1:34 PM waktu tempatan (12:34 PM waktu Malaysia). Kira-kira 1 minit 55 saat selepas pelancaran, 2 roket penggalak pepejal (solid rocket booster) SRB-A telah habis melakukan pembakaran. Kedua-dua roket penggalak pepejal (solid rocket booster) SRB-A tersebut dipisahkan dari badan roket utama kira-kira 2 minit 10 saat selepas pelancaran. Pada kira-kira 3 minit selepas pelancaran, reraut muatan (payload fairing) dibuang kerana roket sudah berada pada lapisan atas atmosfera.

IKLAN

Kira-kira 6 minit 40 saat selepas pelancaran, enjin roket peringkat pertama dimatikan. Roket peringkat pertama dan peringkat kedua dipisahkan kira-kira 9 saat selepas itu. Enjin roket peringkat kedua dihidupkan selepas kira-kira 8 saat selepas roket peringkat kedua dipisahkan dari roket peringkat pertama. Kira-kira pada minit ke 15 selepas pelancaran, enjin roket peringkat atas dimatikan. Kira-kira 20 minit 15 saat selepas pelancaran, satelit IGS-Optical 6 dipisahkan dari roket peringkat atas.

Satelit IGS-Optical 6 dijangka mempunyai hayat operasi selama 5 tahun.

 

Artikel Asal: Roket H-IIA Akan Melancarkan Satelit Pengintip Jepun, IGS-Optical 6

Jepun akan melancarkan roket H-IIA dan menghantar satelit pengintip, IGS-Optical 6 ke orbit. Roket tersebut dijangka dilancarkan pada 12:34 PM pada 27 Februari 2018 waktu Malaysia (1:34 PM waktu tempatan). Pelancaran ini mempunyai jendela pelancaran (launch window) selama 14 minit iaitu dari 12:34 PM hingga 12:48 PM waktu Malaysia, jadi pelancaran boleh dilakukan bila-bila masa dalam tempoh ini. Roket tersebut akan dilancarkan dari Kompleks Pelancaran Yoshinobu, Tanegashima, Jepun.

Sebagaimana pelancaran satelit ketenteraan oleh Jepun sebelum ini, tiada siaran langsung rasmi akan disediakan oleh agensi angkasa Jepun, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA).


Tonton siaran langsung pelancaran roket H-IIA membawa satelit IGS-Optical 6 ke orbit kira-kira pada jam 12:00PM Februari 2018 waktu Malaysia
Kredit: NVS [1]

[https://mybit.my/ms/?p=1460]

Tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai spesifikasi satelit pengintip yang dibina oleh Mitsubishi Electric Corpoartion (MELCO) tersebut. Satelit IGS-Optical 6 akan menambah bilangan satelit untuk program perisikan Information Gathering Satellite (IGS) Jepun, yang ketika ini terdiri dari 2 satelit pengintip optik, dan 4 satelit pengintip radar. Satelit IGS-Optical 6 ini akan membekalkan Jepun dengan gambar resolusi tinggi untuk kegunaan keselamatan negara Jepun dan aplikasi sivil seperti pemantauan bencana alam [3].

Roket setinggi 54 meter itu dijangka akan membawa satelit IGS-Optical 6 ke orbit segerak matahari (sun-synchronous orbit, SSO) sebagaimana kebanyakkan orbit satelit pengintip lain. Berdasarkan dari pelancaran satelit IGS-Optical 5 pada 17 Mac 2017 dahulu, satelit IGS-Optical 6 dijangka akan beroperasi pada orbit berketinggian lebih dari 500 km dengan kecondongan kira-kira 97° [2].

Untuk pelancaran ini, roket H-IIA tersebut akan menggunakan konfigurasi asas “202”. Konfigurasi ini menggunakan roket teras yang mempunyai enjin LE-7A bersama bahan bakar hidrogen cecair bersama bahan pengoksida oksigen cecair, dan 2 roket penggalak pepejal (solid rocket booster) SRB-A yang menggunakan bahan dorong pepejal (solid propellant). Roket peringkat kedua pula menggunakan enjin LE-5B dan menggunakan bahan bakar hidrogen cecair bersama bahan pengoksida oksigen cecair. Konfigurasi asas roket H-IIA mempunyai keupayaan membawa muatan ke orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO) sebanyak kira-kira 10,000 kg dan ke orbit pindah geosegerak (geosynchronous transfer orbit, GTO) kira-kira 4,000 kg. Roket H-IIA dikendalikan oleh Mitsubishi Heavy Industries [4].

Konfigurasi roket H-IIA
Konfigurasi roket H-IIA
Kredit: JAXA [4]

 

Sejarah Kemas Kini

16:30 27 Februari 2018 – JAXA mengesahkan misi berjaya

[https://mybit.my/ms/?p=1460]

Kredit gambar: JAXA melalui Space Flight Insider [0]

 

Rujukan:

[0] JAXA’s H-IIA with IGS Radar 5 delayed by 1 day: http://www.spaceflightinsider.com/organizations/jaxa/jaxas-h-iia-igs-radar-5-delayed-1-day/

[1] H-2ARocket F38 Launch: https://www.youtube.com/watch?v=jHJXEpEajOw

[2] IGS OPTICAL 5: https://www.n2yo.com/satellite/?s=40538

[3] Japanese H-IIA rocket set for IGS Optical 6 launch: https://www.nasaspaceflight.com/2018/02/japanese-h-iia-rocket-igs-6-launch/

[4] H-IIA Launch Vehicle: http://global.jaxa.jp/projects/rockets/h2a/

[5] http://www.jaxa.jp/press/2018/02/20180227_h2af38_j.html

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Falcon 9 Menghantar 3 Satelit ke Orbit Rendah Bumi Tepat pada 10:17PM 22 Februari 2018 waktu Malaysia (6:17AM waktu tempatan), roket Falcon 9 Full Thrust dari SpaceX telah berjaya dilancarkan, dan meletakkan 3 satelit di orbit rendah bumi. Satelit ter...
SpaceX bakal melakukan pendaratan roket “kembali ke tapak pelancaran” di pantai Barat AS Kemas kini terakhir: 7 Oktober 2018, 17:10   SpaceX bakal melakukan pendaratan "kembali ke tapak pelancaran" ("return to launch site", RTLS) roket peringkat pertama Falcon 9 di pantai Barat Ame...
Roket Long March 2C/SMA Menghantar 2 Satelit Pakistan ke Orbit Segerak Matahari Roket Long March 2C/SMA telah dilancarkan bersama 2 satelit untuk Pakistan . Pelancaran telah dilakukan pada jam 11:56 waktu Malaysia dan tempatan pada 9 Julai 2018. Roket tersebut dilancarkan dari Pu...
Roket Falcon 9 SpaceX Akan Melancarkan Satelit Pengintip Sepanyol, Paz Kemas kini terakhir: 12:40AM 22 Februari 2018   Pelancaran roket Falcon 9 untuk misi satelit Paz pada 10:17PM 21 Februari 2018 telah dibatalkan kerana keadaan angin altitud tinggi yang tidak ...