[Kemas kini 12:40AM 22 Februari 2018] Roket Falcon 9 SpaceX Akan Melancarkan Satelit Pengintip Sepanyol, Paz

Kemas kini terakhir: 12:40AM 22 Februari 2018

 

[Kemas kini 10:15PM 21 Februari 2018]

Pelancaran roket Falcon 9 untuk misi satelit Paz pada 10:17PM 21 Februari 2018 telah dibatalkan kerana keadaan angin altitud tinggi yang tidak mengizinkan. SpaceX akan cuba kembali pada 10:17PM 22 Februari 2018 [9] [10] [11].

 

[Artikel Asal]

Pada 10:17PM 21 Februari 2018, SpaceX akan melancarkan roket Falcon 9 Full Thrust dan menghantar satelit pemerhatian radar Sepanyol, Paz [1]. Roket Falcon 9 tersebut akan dilancarkan dari Kompleks Pelancaran Angkasa 4 Timur (Space Launch Complex 4 East) di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg di California, Amerika Syarikat. Peluang pelancaran adalah segera iaitu tepat pada 10.17PM 21 Februari 2018 waktu Malaysia (6:17AM waktu tempatan). Sekiranya pelancaran pada 21 Februari dibatalkan, peluang seterusnya adalah pada 22 Februari 2018 waktu yang sama.

IKLAN


Tonton siaran langsung liputan oleh SpaceX pada kira-kira 9:50PM 21 Februari 2018 waktu Malaysia
Kredit: SpaceX [3]

[https://mybit.my/ms/?p=1408]

Satelit Paz (bermaksud keamanan dalam Bahasa Sepanyol) akan digunakan untuk tujuan komersial dan kegunaan ketenteraan Sepanyol [1]. Satelit tersebut akan dihantar ke orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO) oleh roket Falcon 9 pada ketinggian kira-kira 500km x 500 km, dan berkecondongan kira-kira 98º. Satelit Paz dianggarkan mempunyai jisim sebanyak 1,200 kg. Satelit Paz akan mengelilingi bumi sebanyak 15 kali sehari dan mampu membekalkan 200 gambar sehari, dan dijangka akan meliputi kawasan seluas 300,000 km². Satelit Paz dijangka mempunyai hayat penggunaan selama 5 tahun.

Satelit Paz
Gambaran artis: satelit Paz
Kredit: hisdeSAT [7]

 

Turut menumpang pelancaran kali ini adalah 2 buah satelit dari SpaceX sendiri iaitu satelit Microsat-2a dan Microsat-2b. Kedua-dua satelit ini akan dihantar ke orbit untuk menguji teknologi yang akan digunakan untuk kumpulan 4000 satelit Starlink yang akan membekalkan akses internet jalur lebar [2]. Satelit Microsat akan digunakan untuk tujuan demonstrasi teknologi bagi perkhidmatan internet Starlink tersebut. Selepas diletakkan di orbit sementara, kedua-dua satelit akan bergerak ke orbit operasi pada ketinggian 1,125 km x 1,125 km. Satelit demonstrasi ini mempunyai ukuran 1.1 m x 0.7 m x 0.7 m dan seberat kira-kira 400 kg.

Seperti kebanyakkan satelit pengintip, satelit pemerhatian radar atau satelit ketenteraan, satelit Paz akan dilancarkan ke orbit segerak matahari (sun synchronous orbit, SSO). Biasanya orbit tersebut adalah sedikit songsang (retrograde) iaitu melawan arah putaran bumi pada kecondongan kira-kira 98º.

Untuk pelancaran kali ini, SpaceX dijangka akan menggunakan reraut muatan (payload fairing) versi 2 sebagaimana yang dilaporkan oleh NasaSpaceFlight [4]. Reraut muatan adalah bahagian teratas roket yang digunakan untuk mengurangkan seretan atmosfera, dan melindungi muatan ketika masih roket berada dalam lapisan atmosfera yang padat dalam perjalanan ke angkasa. Apabila roket berada pada lapisan atmosfera yang terlalu nipis, biasanya pada ketinggian kira-kira 100km, reraut muatan tersebut akan dibuka dan dibuang untuk membuang berat yang tidak perlu. Biasanya, reraut muatan akan dibiarkan terbakar ketika memasuki kembali atmosfera bumi dan tidak digunakan kembali. Reraut muatan dianggarkan berharga kira-kira RM 23.5 juta (USD 6 juta).

Dengan reraut muatan versi 2, SpaceX akan cuba untuk mengutip dan menggunakan kembali reraut muatan tersebut, sebagaimana yang mereka lakukan untuk roket peringkat pertama Falcon 9 dan Falcon Heavy. SpaceX dijangka akan menggunakan payung terjun pada reraut muatan tersebut untuk memperlahankan kelajuan ketika reraut muatan tersebut jatuh. Malah, reraut muatan tesebut dijangka menggunakan tujahan gas sejuk untuk mengawal hala tuju ketika jatuh sebagaimana yang dapat dilihat ketika roket Falcon 9 melancarkan satelit Iridium-4 pada 22 Disember 2017 [6].


Reraut muatan ketika misi Iridium-4 yang dapat dilihat pada rakaman amatur
Kredit: Agatechlo [6]

 

Reraut muatan tersebut dijangka akan disambut oleh jaring pada kapal bantuan SpaceX yang diberi nama Mr. Steven.

[https://mybit.my/ms/?p=1408]

Untuk pelancaran roket Falcon 9 kali ini, SpaceX tidak akan cuba untuk mendaratkan kembali roket peringkat pertama. Ini kerana roket peringkat pertama Falcon 9 tersebut adalah dari versi lama iaitu Block 3. Roket tersebut mempunyai nombor siri B1038 dan telah digunakan kali pertama pada misi Formosat 5 pada 24 Ogos 2017 [5]. Roket tersebut telah didaratkan di kapal tokang “Just Read The Instruction” dan digunakan kembali untuk misi Paz ini. Roket Falcon 9 B1038 ini adalah roket Block 3 terakhir yang akan diterbangkan. Selepas ini, SpaceX akan menggunakan roket Falcon 9 versi Block 5 yang mempunyai kemampuan dan kebolehgunaan semula yang lebih tinggi.

Untuk pelancaran kali ini, asap yang dilepaskan oleh roket Falcon 9 yang kelihatan seperti kesan “UFO” sebagaimana yang berlaku ketika pelancaran satelit Iridium-4 pada 22 Disember 2017 dijangka dapat dilihat. Ini kerana pelancaran untuk satelit Paz kali ini turut berlaku pada awal pagi.

Kesan asap UFO ketika pelancaran Iridium-4
Kesan asap “UFO” ketika pelancaran Iridium-4
Kredit: Agatechlo [6]

 

Garis Masa Misi

Masa (Jam/Minit/Saat) Peristiwa
00:00:00 Roket Falcon 9 dilancarkan
00:01:17 Max Q (keadaan ketika roket mengalami tekanan mekanikal tertinggi)
00:02:29 Roket peringkat pertama dimatikan / enjin utama dimatikan (main engine cutoff (MECO))
00:02:33 Roket peringkat pertama dan kedua dipisahkan
00:02:40 Enjin roket peringkat kedua dihidupkan
00:02:56 Reraut muatan (payload fairing) dibuka
00:08:58 Enjin roket peringkat kedua dimatikan (second stage engine cutoff (SECO-1))
00:10:58 Satelit PAZ dilepaskan

Sumber: Paz Mission presskit [8]

 

Sejarah Kemas Kini

12:40AM 22 Februari 2018 – klip tujahan gas sejuk pada reraut muatan ketika misi Iridium-4

10:15PM 21 Februari 2018 – penangguhan pelancaran pada 21 Februari 2018

 

Kredit gambar: SpaceX [0]

[https://mybit.my/ms/?p=1408]

Rujukan:

[0] https://www.facebook.com/SpaceX/photos/a.10153653764765131.1073741827.353851465130/10160562717110131/?type=3&theater

[1] Paz: http://space.skyrocket.de/doc_sdat/paz.htm

[2] MicroSat 2a, 2b: http://space.skyrocket.de/doc_sdat/microsat-2.htm

[3] PAZ Mission: https://www.youtube.com/watch?v=-p-PToD2URA

[4] SpaceX Falcon 9 set for PAZ launch with Starlink demo and new fairing: https://www.nasaspaceflight.com/2018/02/spacex-falcon-9-paz-launch-starlink-demo-new-fairing/

[5] Paz & Microsat-2a, -2b Launch Campaign Thread: https://www.reddit.com/r/spacex/comments/7qnflk/paz_microsat2a_2b_launch_campaign_thread/

[6] SpaceX Iridium-4 launch – 12/22/2017: https://www.youtube.com/watch?v=ioG7PaQkDog

[7] Paz: https://www.hisdesat.es/en/paz/

[8] Paz Mission presskit: http://www.spacex.com/sites/spacex/files/pazpresskit.pdf

[9] https://twitter.com/ChrisG_NSF/status/966312801898827776

[10] https://twitter.com/elonmusk/status/966313683633623041

[11] https://twitter.com/SpaceX/status/966313372814749701

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Falcon 9 Akan Melancarkan Satelit Telstar 19 VANTAGE ke Orbit SpaceX akan melancarkan sebuah satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) dengan menggunakan roket Falcon 9 baharu dari "block 5". Pelan...
Roket Long March 2C/SMA Menghantar 2 Satelit Pakistan ke Orbit Segerak Matahari Roket Long March 2C/SMA telah dilancarkan bersama 2 satelit untuk Pakistan . Pelancaran telah dilakukan pada jam 11:56 waktu Malaysia dan tempatan pada 9 Julai 2018. Roket tersebut dilancarkan dari Pu...
Roket Falcon 9 SpaceX Berjaya Melancarkan Satelit Komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6 (Hispasat 1F),... Kemas kini terakhir: 6:00 AM, 7 Mac 2018 SpaceX telah berjaya melancarkan roket Falcon 9 dan menghantar sebuah satelit komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6, ke orbit pindah geopegun (geostationary tra...
Roket Kuaizhou 1A melancarkan satelit prototaip Centispace-1 1S ke orbit segerak Matahari Sebuah roket Kuaizhou 1A telah melancarkan sebuah satelit prototaip Centispace-1 1S ke orbit segerak Matahari. Pelancaran tersebut telah dilakukan pada 29 September 2018 lalu pada jam 12:13 waktu Mala...