Roket Falcon 9 Menghantar 3 Satelit ke Orbit Rendah Bumi

Tepat pada 10:17PM 22 Februari 2018 waktu Malaysia (6:17AM waktu tempatan), roket Falcon 9 Full Thrust dari SpaceX telah berjaya dilancarkan, dan meletakkan 3 satelit di orbit rendah bumi. Satelit tersebut adalah satelit pengintip Sepanyol, Paz, dan 2 satelit SpaceX sendiri iaitu Microsat-2a dan Microsat-2b. Roket Falcon 9 setinggi 70 meter tersebut telah dilancarkan dari Kompleks Pelancaran Angkasa 4 Timur (Space Launch Complex 4 East) di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg di California, Amerika Syarikat. 

Ketiga-tiga satelit telah dilancarkan ke orbit kutub (polar orbit), orbit segerak matahari (sun synchronous orbit, SSO) yang berada di orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO). Satelit-satelit tersebut telah dilepaskan pada orbit sementara 499 x 518 km x 97.46°, 495 x 516 km x 97.46°, dan 497 x 517 km x 97.46° [6].

 

Satelit Paz
Satelit Paz
Kredit: SpaceX [1]

[https://mybit.my/ms/?p=1453]

IKLAN

Satelit Paz yang dioperasikan oleh Hisdesat untuk Sepanyol adalah satelit instrumen radar canggih. Satelit tersebut mampu menjana gambar sehingga resolusi 25 cm, siang dan malam tanpa mengira keadaan cuaca. Satelit Paz akan mengorbit bumi 15 kali sehari meliputi kawasan lebih dari 300,000 km persegi. Satelit tersebut akan beroperasi pada orbit berketinggian 514 km dengan halaju orbit 7 km per saat. Satelit Paz turut mempunyai Sistem Pengenalan Automatik (Automatic Identification System (AIS)), dan pengimejan Radar Apertur Tiruan (Synthetic Aperture Radar (SAR)) yang akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti pemantauan maritim seluruh dunia [5]. Satelit Paz dijangka mempunyai hayat operasi selama 5 tahun.

75 minit selepas pelancaran, stesen bumi DLR mengesahkan mereka telah menerima data telemetri pertama dari satelit Paz. DLR yang dimiliki oleh Pusat Operasi Angkasa Jerman akan mengawal satelit Paz untuk menyelesaikan fasa pelancaran dan orbit awal (Launch and Early Orbit Phase (LEOP)). Selepas itu, kawalan satelit akan diserahkan kepada agensi angkasa Sepanyol, Instituto Nacional de Tecnologia Aeroespacial, INTA [7].

via GIPHY

Pelepasan satelit Paz di orbit
Kredit: SpaceX [1]

 

Turut dilancarkan oleh roket Falcon 9 tersebut adalah sepasang satelit untuk Starlink yang dimiliki oleh SpaceX sendiri iaitu MicroSat-2a dan MicroSat-2b. Kedua-dua satelit tersebut adalah untuk menguji teknologi yang bakal digunakan oleh Starlink untuk membekalkan akses internet jalur lebar. Apabila beroperasi, Starlink dijangka mempunyai lebih dari 4000 satelit yang akan beroperasi di orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO).

Satelit MicroSat-2a dan MicroSat-2b
Satelit MicroSat-2a dan MicroSat-2b
Kredit: SpaceX [1]

[https://mybit.my/ms/?p=1453]

Elon Musk pada laman Twitter beliau telah mengesahkan kedua-dua satelit tersebut telah berkomunikasi dengan stesen bumi. Satelit yang diberi nama Tintin A dan Tintin B itu akan cuba memancarkan signal “hello world” kira-kira 24 jam selepas pelancaran apabila satelit-satelit tersebut melintasi bandar Los Angeles, California, Amerika Syarikat [8].


Pasangan satelit MicroSat-2a dan MicroSat-2b dilepaskan
Kredit: Elon Musk

 

Untuk pelancaran kali ini, SpaceX tidak mendapatkan kembali atau mendaratkan roket peringkat pertama kerana roket tersebut adalah versi lama iaitu Block 3. Roket tersebut mempunyai nombor siri B1038 dan telah digunakan kali pertama pada misi Formosat 5 pada 24 Ogos 2017. Roket tersebut pernah didaratkan di kapal tokang “Just Read The Instruction” dan digunakan kembali untuk misi Paz ini. Roket Falcon 9 B1038 ini adalah roket Block 3 terakhir yang akan diterbangkan. Selepas ini, SpaceX akan menggunakan roket Falcon 9 versi Block 5 yang mempunyai kemampuan dan kebolehgunaan semula yang lebih tinggi.

 

Cubaan Mendapatkan Kembali Reraut Muatan

Untuk pelancaran kali ini, SpaceX telah mengumumkan secara langsung akan cuba mendapatkan kembali reraut muatan (payload fairing), sejajar dengan program SpaceX untuk menggunakan semula keseluruhan roket bagi mengurangkan kos pelancaran ke orbit.

Reraut muatan untuk misi Paz
Reraut muatan untuk misi Paz
Kredit: SpaceX [1]

[https://mybit.my/ms/?p=1453]

Reraut muatan adalah bahagian teratas roket yang digunakan untuk mengurangkan seretan atmosfera, dan melindungi muatan ketika masih roket berada dalam lapisan atmosfera yang padat dalam perjalanan ke angkasa. Setelah roket berada pada lapisan atmosfera yang terlalu nipis, biasanya pada ketinggian kira-kira 100km, reraut muatan tersebut akan dibuka dan dibuang untuk membuang jisim yang tidak perlu. Secara tradisi, reraut muatan akan dibiarkan terbakar ketika memasuki kembali atmosfera bumi dan tidak digunakan kembali. Reraut muatan SpaceX untuk roket Falcon 9 dan Falcon Heavy dianggarkan berharga kira-kira RM 23.5 juta (USD 6 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk, telah mengesahkan bahawa reraut muatan tersebut mempunyai penujah tersendiri dan sistem bimbingan untuk turun dari lapisan atmosfera tinggi kembali ke bumi dengan keadaan yang baik. Reraut muatan tersebut akan membuka parafoil dan akan ditangkap oleh jaring pada kapal sokongan SpaceX yang diberi nama Mr. Steven [2].

 

Elon Musk kemudian menulis di laman Twitter beliau bahawa reraut muatan tersebut telah tersasar beberapa ratus meter dari kapal sokongan dan telah jatuh ke laut, tetapi masih dalam keadaan yang baik. Tambah beliau lagi, reraut muatan tersebut boleh ditangkap jika payung terjun yang lebih besar digunakan untuk memperlahankan kelajuan reraut muatan itu jatuh [3] [4].

 


Rakaman siaran langsung pelancaran roket Falcon 9 membawa satelit Paz, Microsat-2a, dan Microsat-2b
Kredit: SpaceX [1]

 

Pelancaran roket seterusnya oleh SpaceX dijangka akan berlaku pada 25 Februari 2018, jam 1:35PM waktu Malaysia. SpaceX akan melancarkan roket Falcon 9 dan membawa satelit Hispasat 30W-6 ke orbit pindah geosegerak (geosynchronous transfer orbit, GTO).

[https://mybit.my/ms/?p=1453]

Rujukan:

[1] PAZ Mission: https://www.youtube.com/watch?v=-p-PToD2URA

[2] https://www.instagram.com/p/BfgHKDNAplx/

[3] https://twitter.com/elonmusk/status/966692641533390848

[4] https://www.instagram.com/p/BfgRX-lgIt6/

[5] Paz Mission press kit: http://www.spacex.com/sites/spacex/files/paz_press_kit_2.21.pdf

[6] https://forum.nasaspaceflight.com/index.php?topic=44892.msg1791807#msg1791807

[7] PAZ Earth observation satellite successfully launched: http://www.dlr.de/dlr/en/desktopdefault.aspx/tabid-10081/151_read-26110/#/gallery/29745

[8] https://twitter.com/elonmusk/status/966706193560305664

Anda Mungkin Juga Berminat

SpaceX bakal melakukan pendaratan roket “kembali ke tapak pelancaran” di pantai Barat AS Kemas kini terakhir: 7 Oktober 2018, 17:10   SpaceX bakal melakukan pendaratan "kembali ke tapak pelancaran" ("return to launch site", RTLS) roket peringkat pertama Falcon 9 di pantai Barat Ame...
Roket Falcon 9 Akan Melancarkan Satelit Telstar 19 VANTAGE ke Orbit SpaceX akan melancarkan sebuah satelit komunikasi Kanada, Telstar 19 VANTAGE ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) dengan menggunakan roket Falcon 9 baharu dari "block 5". Pelan...
2 Pelancaran Dalam Tempoh 15 Minit: Arianespace: 4 Satelit Galileo; SpaceX: 10 Satelit Iridium NEXT Kemas kini terakhir: 2018-07-25 14:15   Pada 25 Julai 2018, benua Amerika akan menyaksikan 2 pelancaran roket ke angkasa, masing-masing kurang dari 15 minit antara satu sama lain. Kedua-dua pel...
Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS Satelit UiTMSAT-1 bersama kargo yang dibawa oleh kapal angkasa Dragon CRS-15 telah selamat tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS. Lengan robotik Canadarm2 yang dikawal oleh angkasawan NASA, Ricky A...