[Kemas kini] Soyuz 2.1a Bersama Progress MS-08 Akan Cuba Dilancarkan Semula Pada 4:13PM 13 Februari 2018

[Kemas kini: 23:45 12 Februari 2018]

Roket Soyuz 2.1a akan cuba melancarkan kembali kapal angkasa Progress MS-08 pada 4:13PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia [12]. Oleh kerana peluang untuk membuat perjalanan pantas 3 setengah jam telah terlepas, kapal angkasa Progress MS-08 akan membuat perjalanan biasa ke Stesen Angkasa Antarabangsa yang mengambil masa kira-kira 2 hari.

Siaran langsung boleh ditonton di laman berikut bermula 4:00PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia:

NASA TV: https://www.youtube.com/watch?v=wwMDvPCGeE0 (Bahasa Inggeris)

Roscosmos: https://www.youtube.com/watch?v=y774uWKR2po (Bahasa Rusia)

 

[Kemas kini: 17:45 11 Februari 2018]

Menurut RussianSpaceWeb, pelancaran Progress MS-08 dibatalkan pada saat-saat akhir. Arahan Pemotongan Enjin Automatik (Automated Engine Cutoff, AVD) telah diberi menunjukkan terdapat masalah teknikal pada urutan automatik terakhir. Roket dan kapal angkasa selamat di pad pelancaran. Tarikh cubaan seterusnya adalah pada 13 February 2018 menurut Roscosmos [11]

 

[Kemas kini: 17:05 11 Februari 2018]

Pelancaran pada 4:58 PM 11 Februari 2018 telah dibatalkan. Seperti cubaan pada 12 Oktober 2017, misi kali ini terlepas peluang untuk melakukan pertemuan pantas kira-kira 3 setengah jam dengan Stesen Angkasa Antarabangsa. Kira-kira 30 saat selepas 4.58 PM, stesen angkasa akan melepasi tapak pelancaran. Jika Progress MS-08 berjaya dilancarkan, pertemuan pantas 3 setengah jam boleh dilakukan kerana kedudukan stesen angkasa semasa pelancaran membuka peluang untuk melakukan pertemuan pantas itu.

IKLAN

Soyuz 2.1a bersama kapal angkasa Progress MS-08 di pad pelancaran
Soyuz 2.1a bersama kapal angkasa Progress MS-08 di pad pelancaran
Kredit: Roscosmos [10]

 

Ketika countdown dijalankan, kelihatan kabel kedua tidak berpisah dari roket. Ini menyebabkan arahan pembatalan dihantar sebagaimana yang dilaporkan oleh NASA TV. Sebab sebenar pelancaran dibatalkan masih belum diketahui. Tarikh dan masa untuk percubaan pelancaran seterusnya masih juga belum diumum. Kami akan kemaskini setelah maklumat dikeluarkan oleh NASA dan Roscosmos.

 

[Artikel Asal: Kapal Angkasa Kargo Progress MS-08 Akan Menghantar 2700 kg Bekalan ke Stesen Angkasa Antarabangsa Pada 11 Februari 2018]

Roscosmos, agensi angkasa Rusia merancang untuk menghantar kapal angkasa kargo Progress MS-08 ke Stesen Angkasa Antarabangsa pada 4:58 PM 11 Februari 2018 waktu Malaysia (2:58 PM waktu tempatan).

 

Tonton Siaran Langsung Pelancaran Roket Soyuz 2.1a dan Percantuman Kapal Angkasa Progress MS-08

NASA TV akan menayangkan siaran secara langsung aktiviti pelancaran roket Soyuz 2.1a yang membawa kapal angkasa Progress MS-08 ke Stesen Angkasa Antarabangsa. Liputan akan terbahagi kepada 2 bahagian:

1. Pelancaran roket pada jam 4:58 PM 11 Februari 2018 waktu Malaysia. Liputan bermula pada jam 4:30 PM hari yang sama.

2. Percantuman (docking) kapal angkasa Progress MS-08 dengan Stesen Angkasa Antarabangsa pada 8:24 PM 11 Februari 2018. Liputan bermula pada jam 7:30 PM hari yang sama.


Siaran langsung liputan akan ditayangkan di NASA TV pada 4:30 PM dan 7:30 PM 11 Februari 2018 waktu Malaysia
Kredit: NASA TV [2]

[https://mybit.my/ms/?p=534]

Misi Logistik Pertama 2018 ke Stesen Angkasa Antarabangsa

Kapal Angkasa Progress MS-01
Kapal Angkasa Progress MS-01
Kredit: NASA [8]

 

Penerbangan kapal angkasa Progress MS-08 ke Stesen Angkasa Antarabangsa yang dirancang pada 11 Februari 2018 adalah misi logistik pertama bagi tahun 2018 ke stesen angkasa tersebut. Misi ini akan membawa muatan kargo seberat kira-kira 2700 kg. Kargo ini terdiri dari 1390 kg kargo kering, 890 kg propelan untuk pengisian semula propelan stesen angkasa, 420 kg air, dan 46 kg botol oksigen mampat [3].

Kapal angkasa Progress MS-08 akan turut membawa peralatan saintifik, bahan untuk kegunaan sistem sokongan hayat stesen, serta bekas-bekas yang mengandungi makanan, pakaian, bekalan perubatan, dan barang kebersihan diri untuk kegunaan krew stesen angkasa [4].

Kapal angkasa tersebut akan dilancarkan dengan menggunakan roket Soyuz 2.1a dari lapangan angkasa Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan. Roket setinggi 46.3 m itu mempunyai kemampuan  membawa muatan sebanyak 7,000 kg ke orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO). Roket Soyuz versi 2.1a telah beroperasi sejak tahun 2004.

Roket Soyuz 2.1a sedang diproses

Roket Soyuz 2.1a sedang diproses
Roket Soyuz 2.1a sedang diproses
Kredit: Energia [4]

 

Pada ketika ini, ekspidisi ke-54 Stesen Angkasa Antarabangsa mempunyai 6 orang krew:

Amerika Syarikat:
Mark T. Vande Hei
Joseph M. Acaba
Scott D. Tingle

Jepun:
Norishige Kanai

Rusia: 
Alexander Misurkin (komander)
Anton Shkaplerov

Alexander Misurkin, Mark T. Vande Hei dan Joseph Acaba dijangka kembali ke bumi pada 27 Februari 2018 setelah berada di angkasa selama kira-kira 5 bulan.

[https://mybit.my/ms/?p=534]

Rendezvous” Terpantas ke Stesen Angkasa Antarabangsa

Perjalanan kapal angkasa Progress MS-08 yang dirancang pada kali ini adalah agak menarik kerana kapal angkasa tersebut akan bertemu dengan Stesen Angkasa Antarbangsa hanya kira-kira 3 jam selepas pelancaran. Biasanya perjalanan ke Stesen Angkasa Antarabangsa dari lapangan angkasa Baikonur Cosmodrome akan mengambil masa selama 2 hari [5].

Pada 17 Januari 2018, Stesen Angkasa Antarabangsa telah menghidupkan enjin roket pada modul Zvezda selama 16 saat untuk menaikkan orbit stesen angkasa tersebut sebanyak 400 m ke 404.3 km. Ini bertujuan untuk mewujudkan keadaan balistik untuk membolehkan kapal angkasa Progress MS-08 tiba dengan lebih pantas [6].

Pertemuan pantas antara kapal angkasa kargo dan stesen angkasa pada asalnya dirancang untuk misi Progress MS-07 pada 12 Oktober 2017. Namun, terdapat ralat pada komputer menyebabkan pelancaran ditangguhkan. Progress MS-07 telah dilancarkan kembali pada 14 Oktober 2017 dan melakukan perjalanan biasa ke Stesen Angkasa Antarabangsa yang mengambil masa 2 hari.

Setelah perjalanan pendek 3 jam ke Stesen Angkasa Antarabagsa ini diuji sepenuhnya, ia akan digunakan untuk penghantaran krew ke stesen angkasa tersebut.

[https://mybit.my/ms/?p=534]

Percantuman Automatik


Percantuman (docking) kapal angkasa Progress MS-07
Kredit: NASA melalui SciNews [9]

 

Kapal angkasa jenis Progress mempunyai kemampuan untuk melakukan percantuman (docking) secara automatik dengan Stesen Angkasa Antarabangsa. Sekiranya percantuman automatik gagal, krew masih boleh mengawal kapal angkasa tersebut untuk melakukan percantuman secara manual.

Ini adalah berbeza dengan kapal angkasa kargo lain seperti Dragon oleh SpaceX dan Cygnus oleh Orbital ATK yang memerlukan bantuan lengan robotik Canadarm2 pada stesen angkasa untuk “menangkap” kapal angkasa kargo jenis ini. Selepas penangkapan, barulah kapal kargo tersebut ditambat (berthing) ke stesen angkasa.

Kapsul Dragon dipegang oleh Canadarm2
Kapsul Dragon sedang dipegang oleh Canadarm2
Kredit: NASA [7]

 

Biasanya, kapal angkasa Progress akan bercantum di stesen angkasa selama kira-kira 5 bulan. Selepas kapal angkasa dikosongkan, krew stesen angkasa akan memuatkan sampah sarap dari stesen angkasa kedalam kapal angkasa Progress. Selepas kapal angkasa berpisah dari stesen angkasa, kapal angkasa Progress akan melakukan pembakaran enjin secara mengundur (retrograde) untuk membawa kapal angkasa kembali ke atmosfera bumi. Kapal angkasa Progress bersama sampah sarap akan terbakar dan hancur di lapisan atas atmosfera.

[https://mybit.my/ms/?p=534]

Sejarah kemaskini:

23:45 12 Februari 2018 – masa cubaan pelancaran seterusnya [12]

17:45 11 Februari 2018 – kemaskini sebab kegagalan pelancaran [11]

17:05 11 Februari 2018 – percubaan pelancaran pada 4:58 PM 11 Februari 2018 dibatalkan

 

Kredit gambar: NASA [0]

 

Rujukan:

[0] Soyuz and Progress Spaceships Docked at Station: https://www.nasa.gov/image-feature/soyuz-and-progress-spaceships-docked-at-station

[1] NASA to Air Russian Space Station Cargo Ship Launch, Docking: https://www.nasa.gov/press-release/nasa-to-air-russian-space-station-cargo-ship-launch-docking

[2] NASA TV Public-Education: https://www.youtube.com/watch?v=wwMDvPCGeE0

[3] Progress MS-08 logistics vehicle has been transported for integration with the launch vehicle: https://www.energia.ru/en/iss/iss54/progress_ms-08/photo_02-07.html

[4] LV Soyuz general integration is completed: https://www.energia.ru/en/iss/iss54/progress_ms-08/photo_02-08.html

[5] Progress MS-07 docks after missing out on record rendezvous option: https://www.nasaspaceflight.com/2017/10/progress-ms-07-two-orbit-rendezvous-mission/

[6] ISS orbit raised by 400 meters: http://tass.com/science/985592

[7] SpaceX Dragon is grappled by Canadarm2: https://www.nasa.gov/image-feature/spacex-dragon-is-grappled-by-canadarm2

[8] Progress 62P Undocking and Redocking Test: https://images.nasa.gov/details-iss048e017393.html

[9] Progress MS-07 docking: https://www.youtube.com/watch?v=FsSHR8czczg

[10] https://www.youtube.com/watch?v=0_0wUC_V72s

[11] http://russianspaceweb.com/progress-ms-08.html

[12] http://www.russian.space/306/

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket membawa 2 angkasawan Soyuz MS-10 ke angkasa gagal ketika pelancaran Pada 11 Oktober 2018, sebuah roket Soyuz FG telah dilancarkan untuk membawa 2 orang angkasawan iaitu Nick Hague (Amerika Syarikat/NASA), dan Alexey Ovchinin (Rusia/Roscosmos) ke stesen angkasa antarab...
Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 Selamat Tiba di Orbit Kemas kini 2018-07-03 00:30 Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS   Artikel Asal Satelit CubeSat UiTMSAT-1 yang dihantar bersama kapal angkasa ...
Kapal Angkasa Kargo Progress MS-09 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa Kurang 4 Jam Selepas Dilancar... Kapal angkasa kargo dari Rusia, Progress MS-09 telah tiba di stesen angkasa antarabangsa, ISS, kurang 4 jam selepas dilancarkan ke angkasa. Progress MS-09 (atau Progress 70P) telah tiba di stesen angk...
Roket Soyuz 2.1a Melancarkan Kapal Angkasa Kargo Progress MS-08 ke Stesen Angkasa Antarabangsa Kemaskini terakhir: 23:20 14 Februari 2018   Roket Soyuz 2.1a di pad pelancaran Kredit: Roscosmos   Pada 4:13PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia (2:13PM waktu tempatan), roket Soyuz...