3 Angkasawan Kembali ke Bumi Dari Stesen Angkasa Antarabangsa

Kemas kini terakhir: 1:15 PM, 28 Februari 2018

3 orang angkasawan dari Ekspedisi 54 Stesen Angkasa Antarabangsa telah selamat mendarat di Kazakhstan pada 10:31 AM 28 Februari 2018 waktu Malaysia (8:31 AM waktu tempatan) [8]. 3 orang angkawasan tersebut ialah Komander Alexander Misurkin dari Rusia, dan Jurutera Penerbangan Mark Vande Hei serta Joe Acaba dari Amerika Syarikat. Mereka berlepas dari Stesen Angkasa Antarabangsa dengan menaiki kapal angkasa Soyuz MS-06 pada 7:08 AM 28 Februari 2018 waktu Malaysia. Perjalanan kembali ke bumi mereka mengambil masa hampir 3 setengah jam.

Kapsul Soyuz MS-06 dalam perjalanan mendarat
Kapsul Soyuz MS-06 dalam perjalanan mendarat
Kredit: NASA/Bill Ingalls [9]

 

Untuk Ekspedisi 54, ketiga-tiga angkasawan tersebut telah berada di Stesen Angkasa Antarabangsa selama 168 hari. Mereka telah mengorbit bumi sebanyak 2,688 kali sepanjang mereka berada di angkasa.

Kapal angkasa Soyuz MS-06 meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa
Kapal angkasa Soyuz MS-06 meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa
Kredit: NASA TV

IKLAN

 

Sepanjang tempoh tersebut, krew Ekspedisi 54 telah menerima 5 ketibaan kapal angkasa. 4 kapal angkasa tersebut ialah untuk misi pembekalan semula stesen angkasa; Progress MS-07 pada 16 Oktober 2017, Cygnus CRS OA-8E pada 14 November 2017. SpaceX CRS-13 pada 17 Disember 2017,  dan Progress MS-08 pada 15 Februari 2018. Mereka juga telah menerima 1 kapal angkasa yang membawa 3 krew baharu ke Stesen Angkasa Antarabangsa iaitu Soyuz MS-07 pada 19 Disember 2017.

Krew Ekspedisi 54 juga telah melihat 5 pelepasan kapal angkasa dari Stesen Angkasa Antarabangsa. 4 daripada kapal angkasa tersebut ialah misi pembekalan semula stesen angkasa iaitu SpaceX CRS-12 pada 16 September 2017, Cygnus CRS OA-8E pada 6 Disember 2017, Progress MS-06 pada 28 Disember 2017, dan SpaceX CRS-13 pada 13 Januari 2018. 1 kapal angkasa membawa angkasawan kembali ke bumi juga telah berlepas sepanjang krew Ekspedisi 54 berada di Stesen Angkasa Antarabangsa iaitu Soyuz MS-05 pada 14 Disember 2017.

Angkasawan NASA, Joe Acaba (kiri), angkasawan Roscosmos Alexander Misurkin (tengah), dan angkasawan NASA Mark Vande Hei (kanan)
Angkasawan NASA, Joe Acaba (kiri), angkasawan Roscosmos Alexander Misurkin (tengah), dan angkasawan NASA Mark Vande Hei (kanan) selepas menerima pemeriksaan perubatan awal
Kredit: NASA/Bill Ingalls [10]

 


Rakaman penutupan hac, pelepasan, dan pendaratan kapal angkasa Soyuz MS-06
Kredit: NASA TV melalui SciNews [11]

 

Artikel Asal: 3 Angkasawan Akan Kembali ke Bumi Dari Stesen Angkasa Antarabangsa

3 orang angkasawan dari Ekspedisi 54 Stesen Angkasa Antarabangsa dijadualkan akan kembali ke bumi dan mendarat di tapak pendaratan di Kazakhstan pada 10:32 AM 28 Februari 2018 waktu Malaysia (8:32 AM waktu tempatan). 3 orang angkawasan tersebut ialah Komander Alexander Misurkin dari Rusia, dan Jurutera Penerbangan Mark Vande Hei serta Joe Acaba dari Amerika Syarikat. Mereka telah tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa pada 13 September 2017. Mereka akan menamatkan misi 168 hari di angkasa, dan akan menaiki kapal angkasa Soyuz MS-06 untuk kembali ke bumi.

Krew Ekspidisi 54
Krew Ekspedisi 54 dalam modul makmal Kibo Jepun di Stesen Angkasa Antarabangsa
Dari bawah mengikut arah jam: Komander Alexander Misurkin dari Roscosmos (baju putih); angkasawan NASA Mark Vande Hei dan Joe Acaba; angkasawan Roscosmos Anton Shkaplerov; angkasawan Norishige Kanai dari Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA); angkasawan NASA Scott Tingle
Kredit: NASA [1]

[https://mybit.my/ms/?p=1483]

Hac kapal angkasa Soyuz MS-06 dijadualkan ditutup pada 3:50 AM waktu Malaysia sebagai persediaan untuk memisahkan kapal angkasa tersebut dari modul Poisk Stesen Angkasa Antarabangsa. Selepas itu, kapal angkasa Soyuz MS-06 dijadualkan akan berpisah dari Stesen Angkasa Antarabangsa pada 7:08 AM. Selepas 2 minit, kapal angkasa Soyuz tersebut akan menggunakan penujahnya sendiri untuk bergerak menjauhi Stesen Angkasa Antarabangsa. Pada 9:38 AM, kapal angkasa Soyuz MS-06 akan memulakan pembakaran keluar orbit yang memakan masa kira-kira 4 setengah minit [4]. Pembakaran membrek secara songsang (retrograde) ini akan memperlahankan halaju orbit kapal angkasa, seterusnya membolehkan kapal angkasa ditarik oleh graviti bumi masuk ke lapisan atmosfera.

Anggaran garis masa urutan keluar orbit dan kemasukan kapsul Soyuz kembali ke bumi
Anggaran garis masa urutan keluar orbit dan kemasukan kapsul Soyuz kembali ke bumi
Kredit: NASA [5]

 

Kira-kira 25 minit selepas itu, 3 bahagian modul pada kapal angkasa Soyuz MS-06 akan dipisahkan. Modul orbit dan modul servis akan dibiarkan terbakar ketika memasuki atmosfera. Modul kemasukan pula akan menggunakan sistem penujah untuk memastikan posisi kemasukan ke atmosfera adalah betul. Modul kemasukan akan melakukan penurunan terkawal dengan membuat beberapa olah gerak miring (banking manoeuvre), dan mengawal julat jarak dari kawasan pembukaan payung terjun. Ketika memasuki lapisan atmosfera yang lebih padat, pelindung haba pada kapsul Soyuz tersebut akan ternyala oleh plasma kerana menahan kepanasan suhu setinggi 1,600 °C.

Kira-kira 9 minit selepas itu, payung terjun mula dibuka. Urutan pembukaan payung terjun dimulakan dengan pelepasan sepasang penyauk angin (drogue parachute) yang besar untuk memperlahankan kelajuan modul kemasukan pada ketinggian kira-kira 11 km. Selepas itu, barulah payung terjun utama yang berwarna oren-putih dibuka pada ketinggian 7.5 km.

Anggaran kawasan pendaratan
Anggaran kawasan pendaratan (Ekspedisi 31)
Kredit: ESA [6]

[https://mybit.my/ms/?p=1483]

Kapsul Soyuz tersebut kemudian akan membuang pelindung haba yang berada dibawah kapsul untuk mendedahkan penujah pendaratan yang akan digunakan untuk memastikan pendaratan berlaku dengan lebih selamat. Selepas mendarat, 3 orang angkasawan tersebut akan dibantu dan melakukan pemeriksaan kesihatan awal oleh pasukan penyelamat yang sudah bersedia berhampiran kawasan pendaratan.

Pendaratan kapsul Soyuz MS-05 pada 14 Disember 2017
Pendaratan kapsul Soyuz MS-05 pada 14 Disember 2017
Kredit: NASA/Bill Ingalls [7]

 

3 orang krew baharu dijangka tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa pada 24 Mac 2018. Krew tersebut terdiri dari angkasawan Rusia, Oleg Artemyev, bersama Andrew J. Feustel dan Richard R. Arnold dari Amerika Syarikat yang akan menaiki kapal angkasa Soyuz MS-08 dan bakal dilancarkan oleh roket Soyuz-FG.

 


Tonton siaran langsung liputan kepulangan 3 angkasawan Ekspedisi 54 ke bumi pada 28 Februari 2018 (waktu Malaysia)
Kredit: NASA TV [2] [3]

Senarai liputan:

1. Penutupan hac pada 3:50 AM; liputan bermula 3:15 AM
2. Perpisahan kapal angkasa Soyuz MS-06 dari Stesen Angkasa Antarabangsa pada 7:08 AM; liputan bermula 6:45 AM
3. Pembakaran keluar orbit (9:38 AM) dan pendaratan (10:32 AM); liputan bermula 9:00 AM

 

Sejarah Kemas Kini

1:15 PM, 28 Februari 2018: 3 angkasawan selamat mendarat di Kazakhstan

[https://mybit.my/ms/?p=1483]

Kredit gambar: NASA [0]

 

Rujukan:

[0] https://www.flickr.com/photos/nasa2explore/40268156421/

[1] https://www.flickr.com/photos/nasa2explore/40398158532/

[2] NASA TV Public-Education: https://www.youtube.com/watch?v=wwMDvPCGeE0

[3] International Space Station Crew Landing to Air Live on NASA Television: https://www.nasa.gov/press-release/international-space-station-crew-landing-to-air-live-on-nasa-television

[4] ISS Crew Members from U.S. & Russia Set for Post-Sunrise Soyuz Landing in Kazakhstan: http://spaceflight101.com/soyuz-ms-06/soyuz-ms-06-landing-preview/

[5] Soyuz Fires Engines for Return to Earth: https://blogs.nasa.gov/spacestation/2015/12/11/soyuz-fires-engines-for-return-to-earth/

[6] RETURN TO EARTH: THE LANDING SITE: http://blogs.esa.int/promisse/2012/06/30/return-to-earth-the-landing-site/

[7] Expedition 53 Soyuz MS-05 Landing (NHQ201712140011): https://www.flickr.com/photos/nasahqphoto/38179313545/

[8] NASA Astronauts Return to Earth, Land Safely in Kazakhstan: https://www.nasa.gov/press-release/nasa-astronauts-return-to-earth-land-safely-in-kazakhstan

[9] https://www.flickr.com/photos/nasahqphoto/25658430567/

[10] https://www.flickr.com/photos/nasahqphoto/26657737478/

[11] Soyuz MS-06 hatch closure, undocking & landing: https://www.youtube.com/watch?v=NWRwmup2tpg

Anda Mungkin Juga Berminat

Cygnus Ubah Orbit ISS, Bersedia Untuk Berlepas ke Orbit Kapal angkasa kargo Amerika Syarikat, Cygnus NG-9/OA-9 telah berjaya menguji kebolehan untuk mengubah orbit stesen angkasa antarabangsa, ISS. Ujian tersebut telah dilakukan bermula pada jam 04:24:50, ...
Krew stesen angkasa antarabangsa ISS Ekspedisi 57 dikurangkan kepada 5 Bulan Oktober 2018 akan menyaksikan stesen angkasa antarabangsa, ISS, melakukan pertukaran krew.   Pada 4 Oktober 2018 lepas, 3 orang angkasawan iaitu Drew Feustel (Amerika Syarikat/NASA), Rick...
Satelit UiTMSAT-1 Akan Dilancarkan Bersama Kapal Angkasa Kargo Dragon CRS-15 ke ISS Kemas kini 2018-07-03 00:30 Satelit UiTMSAT-1 Bersama Kargo Dragon CRS-15 Tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa ISS   Artikel Asal Satelit UiTMSAT-1 akan dilancarkan bersama kapal angkasa kargo...
Soyuz 2.1a Bersama Progress MS-08 Akan Cuba Dilancarkan Semula Pada 4:13PM 13 Februari 2018 Roket Soyuz 2.1a akan cuba melancarkan kembali kapal angkasa Progress MS-08 pada 4:13PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia . Oleh kerana peluang untuk membuat perjalanan pantas 3 setengah jam telah ter...